Peminat-peminat Allahyarham Sudirman generasi baru & lama bergambar
kenangan dalam pertemuan penuh bermakna pada 19 Februari 2011
Tahun ini, seperti tahun yang sudah-sudah ramai para peminat yang menghantar kad raya kepada saya. Tapi pada tahun ini, tidak seperti tahun-tahun yang lalu, saya tidak dapat membalas semua kad raya tersebut. Tahun ini adalah tahun yang amat sibuk bagi diri saya. Macam-macam kerja yang harus saya selesaikan. Dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'selamat hari raya' maaf zahir dan batin kepada semua peminat dan muslimin, sekali lagi.


Selepas pemergian Allahyarham P.Ramlee, saya pernah menulis kepada biduanita Saloma meminta dia membenarkan saya bekerja apa-apa saja untuknya dan meminta kebenaran darinya untuk belajar bermain piano di rumahnya. Saya tidak tahu akan alamatnya. Surat itu saya alamatkan ke Pawagam P.Ramlee. Tiada jawapan darinya. Apabila saya menceritakan hal ini kepadanya, Allahyarhamah cuma ketawa panjang. "Ngapa tulis ke panggung wayang?" Dia bertanya.

Tapak demi tapak saya mendekati peminat saya, sehingga hari ini. Ramai yang menghantar hadiah-hadiah tanda ingat. Ada yang datang menziarah. Ada yang kerap menulis surat. Tetapi mereka semua mempunyai persamaan mendapat tempat istimewa di hati saya.
Segala pengalaman saya, saya jadikan panduan untuk merapatkan diri kepada peminat-peminat saya. Kini, saya mempunyai adik angkat di seluruh negara. Yang sedihnya, saya tidak dapat menulis selalu kerana kesibukan dengan urusan seharian. Kasih sayang saya terhadap mereka saya tunjukkan secara bekerja kuat untuk memberikan satu pertunjukkan yang baik, biar di pentas ataupun di televisyen.

Saya suka bercerita kosong dengan peminat saya. Tetapi sayang sekali, kerana kebiasaannya apabila mereka mengenali saya mereka tidak berbicara dengan biasa. Satu peristiwa di Kuala Terengganu yang tidak akan saya lupakan ialah apabila pada lewat malam saya tidak dapat tidur, saya telah bertemu dengan dua orang remaja lelaki di tepi pantai. Kami di dalam kegelapan. Cuma cahaya bulan menerangi wajah kami. Kami bercerita berjam-jam. Saya yang tidak merokok menerima sahaja rokok yang dipelawanya. Akhirnya dia berkata, "Muka kamu macam Sudirman lah." Saya tersenyum sahaja. Kemudian katanya lagi,"itu tak pelik. Ramai orang kata muka saya macam muka Badul, serupa tak?"
Saya juga melawat peminat saya dengan mengejut sekiranya dipelawa ke rumah. Tetapi ini saya lakukan apabila ada waktu lapang.
Sememangnya ramai yang telah saya jumpa. Ibu, bapa, abang, kakak, nenek dan adik-adik, sepanjang pertunjukkan saya selama ini. Menghiburkan mereka adalah satu hiburan bagi diri saya. Itulah kekuatan peminat. Seperti yang pernah saya katakan dulu,"Mintalah saya menyanyi di hadapan seorang hakim nyanyian, saya akan jatuh pengsan. Tetapi suruhlah saya menyanyi di hadapan ribuan penonton, dan saya tahu di antaranya terdapat peminat-peminat saya, saya akan menyanyi sampai pengsan!
Itulah saktinya. Sekali kita berbuat baik berpuluh-puluh kali ganda datang balasannya. Itulah kekayaan Tuhan. Dan saya tahu, cerita saya dengan peminat tidak akan tamat. Insya Allah.
Sumber : Dari Dalam Sudirman (Muka 22 & 23)