Saturday, October 1, 2016

A Musical Tribute to Sudirman


Pada 3 - 5 November 2016 ini sebuah pementasan Muzikal One Thousand Million Smiles: A Musical Tribute to Sudirman akan dipentaskan di Pentas Seni Kuala Lumpur (klpac) di Jalan Strachan, Sentul, Kuala Lumpur.

Muzikal ini dibawakan khas oleh The Actors Studio Seni Teater Rakyat. Atai (Razman Azrai bin Dato' Zainudin) iaitu anak saudara kepada Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad turut akan membuat penampilan istimewa pada ketiga-tiga malam tersebut.

Tiket-tiket boleh dibeli secara atas talian iaitu di www.ticketpro.com.my atau hubungi terus di talian 03-4047 9000 (klpac Box Office).


Khazanah Sudirman


Sudah agak lama tiada posting terbaru di blog ini iaitu kali terakhir admin menulis ialah pada tahun 2014. Kini admin ingin kembali menulis tentang Penghibur Nombor 1 Asia ini. Bermula dengan perkongsian himpunan koleksi milik admin sendiri yang telah dikumpul sekian lama.

Minat mendalam terhadap Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad telah bermula sejak admin dibangku sekolah lagi sehingga kini (pada usia 30-an) masih setia meminati beliau, kerana pada admin Allahyarham Sudirman seorang tokoh seni berwibawa yang memiliki bakat yang cukup luar biasa (multi-talented) berbanding artis-artis ternama lain sama ada yang seangkatan dengan beliau atau artis-artis masa kini. Legasi yang ditinggalkannya masih kekal relevan dan bertahan sehingga kini, bak kata pepatah "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas" begitulah perumpamaan yang dapat admin berikan kepada Ikon Seni ini.

Allahyarham Sudirman layak dijadikan contoh dan ikutan kepada generasi baru khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang seni sebagai penyanyi. Kerana dengan usaha yang gigih berpegang pada matlamat tidak mustahil seseorang itu mampu bergelar seorang Penghibur yang berjaya dan disanjung tinggi. Buktinya pada pencapaian yang dicapai oleh Allahyarham Sudirman ketika hayatnya, walaupun beliau mempunyai kelulusan tinggi (Ijazah undang-undang (LL.B) dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga dari Universiti Malaya) yang melayakkannya menjadi seorang Peguam dengan pendapatan yang lebih tinggi berbanding menjadi artis, beliau sanggup melupakan kerjayanya itu untuk lebih fokus kepada terhadap kerjaya seni yang beliau minati. Berkat usaha gigih demi mencapai matlamat, Allahyarham Sudirman telah membuktikan bahawa anak seni juga mampu mencapai kejayaan yang gemilang sehingga ke persada antarabangsa.

Cukuplah setakat ini dahulu penulisan admin untuk posting terbaru ini. Admin akhiri dengan pesanan yang pernah diungkapkan oleh Allahyarham Sudirman sewaktu hayatnya dahulu iaitu "bukan gelaran jadi ukuran, tapi bakti yang disumbangkan".