Sunday, June 5, 2022

RUMAH ALLAHYARHAM SUDIRMAN DIBESARKAN YANG KINI TERABAI

 

Beginilah keadaan terkini rumah Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad di Kg. Tok Embun, Temerloh, Pahang yang ditinggalkan sepi sehingga dipenuhi belukar selepas musnah dalam satu kebakaran pada tahun 2008.

Belum nampak sebarang usaha dari pihak berwajib untuk memulihara kembali rumah Legenda Seni tanah air ini untuk dijadikan Memorial @ Pustaka Peringatan Sudirman sepertimana yang dibangunkan untuk mengenang Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di rumah kelahirannya di Pulau Pinang dan kediaman terakhirnya di Kuala Lumpur.

Jika tidak di peringkat Persekutuan sekurang-kurangnya kerajaan negeri kelahirannya Pahang berusaha untuk memuliharanya sebagai tanda penghargaan kepada tokoh yang telah berjasa untuk negeri Pahang dan negara Malaysia dalam bidang seni.

Gambar-Gambar Keadaan Terkini Rumah Sudirman Di Kampung Tok Embun, Temerloh, Pahang.










USAH MANIS DI BIBIR SAHAJA

“Allahyarham Sudirman Lambang Pejuang Seni Yang Perlu Dikenang”

Jangan biarkan janji tinggal janji!

Begitulah harapan oleh rakan artis agar pihak tertentu tidak sekadar pandai berjanji mahu menubuh, membina atau menamakan jalan sebagai tanda mengingati Penghibur Nombor 1 Asia, Sudirman Haji Arshad.

Kementerian Penerangan, misalnya pernah berura-ura menubuhkan Pustaka Peringatan Sudirman seperti Pustaka Peringatan P. Ramlee, sebagaimana yang diumumkan oleh Setiausaha Parlimen, Datuk Fauzi Abdul Rahman pada Julai 1992.

Datuk Bandar (ketika itu), Datuk Elyas Omar, juga berhasrat mengadakan nama jalan sempena nama Sudirman. Tetapi sesudah dua tahun pemergian Allahyarham, segala apa yang dijanjikan itu masih dalam impian.

Penyanyi Ibnor Reza ketika ditemui di majlis tahlil Allahyarham berharap pihak yang berjanji lebih serius melaksanakan apa yang dijanjikan.

Dia menyifatkan tidak rugi usaha seperti menubuhkan tabung serta mendirikan pustaka dibuat untuk Sudirman.

“Sudirman adalah lambang pejuang seni generasi masa kini. Jasanya mengharumkan nama negara di bidang seni tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

“Jika tiada usaha dibuat untuk memperingatinya, generasi akan datang tidak akan mengenalinya sedangkan kita tahu dia satu-satunya penyanyi Melayu yang berjaya menewaskan semua penyanyi terkenal Asia,” katanya.

Mengenai tabung Sudirman, Ibnor tidak setuju ia dikendalikan oleh organisasi lain.

“Lebih baik PAPITA yang uruskan. Apatah lagi PAPITA diikhtiraf oleh kerajaan,” katanya.

Penyanyi Rahim Maarof mahukan apa yang pernah dijanjikan oleh pihak tertentu diteruskan.

“Sudirman adalah legenda. Tidak salah jika sebatang jalan diberikan namanya,” kata Rahim.

Sebagai tanda memperingati Allahyarham, Rahim bersetuju royalti lagu nyanyiannya Dir, didermakan ke Tabung Kenangan Sudirman.

“Lagu Dir sebagai ingatan kepada Allahyarham, sebenarnya membawa tuah kepada saya yang berpeluang beraksi diperingkat akhir Juara Lagu sebanyak dua kali,” katanya.

Sementara itu kakak Sudirman, Roaini bersedia memberi kerjasama kepada pihak tertentu jika mahu mewujudkan Pustaka Peringatan Sudirman.

Artikel Akhbar Harian Metro bertarikh 24 Februari 1994

Oleh: Adam Salleh