Monday, January 10, 2022

RAKAMAN KENANGAN : LEMBAGA GHAIB KUASAI SUDIR

 


KUALA LUMPUR : Sudirman Haji Arshad mendakwa, dirinya kini dikawal oleh suatu lembaga ghaib sejak 6 tahun lalu. 

Sudirman menyifatkan, lembaga misteri tersebut mungkin sebagai 'wali bunian'.

Katanya, jelmaan lembaga itu menggambarkan seorang lelaki tua yang berjanggut dan pakaiannya serba putih. 

Menjawab satu pertanyaan, Sudirman menambah lembaga itu muncul tanpa sebarang bau.

"Lembaga itu muncul sejak tahun 1983 lalu setelah saya bercerai dengan Kay," ujar penghibur itu kepada PERDANA Khamis lalu.

Menurut Sudirman, lembaga itu muncul setiap kali dia dibelenggu masalah, dilanda perasaan sedih atau rasa keseorangan.

"Orang tua itu sering memberi nasihat dan pandangan tentang sesuatu perkara yang mesti saya buat," sambung Sudirman lagi. Menurut penyanyi itu, apa yang menganehkan juga bila kira-kira 2 tahun lalu dia bermimpi dia akan membuat rakaman di Abbey Road Studios dan kini ianya menjadi kenyataan.

"Anak akan membuat rakaman album di London," ujar Sudirman memetik kata-kata orang tua misteri yang muncul dalam mimpinya itu.

Dalam mimpi itu juga Sudirman melihat sekeping piring hitam berputar dan kerumunan orang ramai.

Orang tua itu telah menasihatkan Sudirman supaya memasukkan lagu 'Ulik Mayang' yang diubahsuai terlebih dahulu dalam album yang bakal dirakamkan di London minggu ini.

"Anak ambil Ulik Mayang," kata Sudirman memetik kata nasihat lembaga misteri itu lagi.

Walau bagaimanapun dalam tempoh sekian lama mendampingi Sudirman, lembaga itu hanya sekali muncul secara nyata.

"Ketika itu Sudir hampir-hampir terlena bila orang tua itu muncul dalam kepulan asap dan berdiri di sisi katil. Dia cuma memerhatikan Sudir," kata penghibur itu lagi.

Sudirman mengakui kemunculan orang tua itu tetap menjadi tanda tanya tetapi dia tetap menyenanginya.

Sudirman menyanyi lagu "Ulik Mayang"

Gambaran tentang lembaga ghaib yang hadir dalam mimpi Sudirman pada tahun 1987 (Sewaktu menyertai AJL 1987)

Sumber : Muka hadapan akhbar PERDANA terbitan Ahad 3 - 9 Disember 1989.




Sunday, January 9, 2022

RAKAMAN KENANGAN : SUDIR BIKIN GAMAT DI JB

 


Masih teringat lagi tahun lalu Sudirman datang ke Holiday Plaza JB untuk promosi albumnya Asia's No. 1 Performer. Dia datang dalam keadaan kakinya terjengkot kerana cedera. Pada hari Isnin 28 Ogos lalu dia datang lagi ke sini, kali ini sebagai seorang businessman. Dia mengadakan persembahan pentas untuk promosi Air SUDI dan barang-barang keluaran Sudir Shoppe.

Dalam setiap pementasan Sudirman suasana pasti gamat dengan kelucuan membuatkan penonton tak kering gusi. Wow, kedatangan Sudirman dikawal rapi oleh 30 anggota pasukan keselamatan dari luar bangunan hinggalah ke kawasan pentas green zone, macam Michael Jackson!



Sudirman memulakan persembahannya dengan lagu
Warna Asmara ciptaan Ramli Sarip dan seterusnya dia shoot 3 lagu lain non stop. Selepas menyanyi dia jemput beberapa orang kanak-kanak naik ke pentas.

Sudirman tanya pada seorang kanak-kanak bernama Hafiz "Adik boleh nyanyi tak?" Hafiz menjawab "Tak boleh." Sudirman hairan "Hai, tak boleh nyanyi kenapa ikut naik pentas?" Hafiz jawab "Abang Sudir suruh naik!" Laaa!

Seorang kanak-kanak berbaju belang ditanya "Adik dah besar nanti nak jadi apa?" Budak tu jawab "Nak jadi askar." Sudir tanya "Kenapa nak jadi askar, nak tembak siapa?" Budak tu jawab "Nak tembak nyamuk..." ha! ha!

Lepas berkenalan, semua kanak-kanak itu menari lagu Budak Kampung bersama Sudirman. Seorang dari kanak-kanak itu kebetulan sedang mengunyah chewing gum. Sedang dia berjoget-joget dia tertelan chewing gum itu. Terus hilang jogetnya, dia berdiri terkejung!

Semua kanak-kanak itu dihadiahkan dengan topi visor keluaran Sudir Shoppe. Ketika Sudirman angkat seorang budak untuk dibawa turun ke pentas Sudirman berseloroh "Amboi beratnya badan budak ni. Macam badan mak dia..." Penonton ketawa.


Lepas acara untuk kanak-kanak, seorang wanita pula dijemput naik ke pentas. Seorang awek Singapura tampil ke depan sambil kedua tangannya membimbit beg, baru balik shoppinglah tu. Sudirman membelek salah satu beg itu dan berkata "Wah, dia beli baju, baju kecik!" sambil tangannya menunjukkan ke arah dadanya. Penonton ketawa.

Gadis itu diminta melakukan gaya Anita Sarawak untuk lagu duet Bercanda di Pasiran Pantai. Sudirman kata "Anita Sarawak bibirnya tebal. Adik boleh buat bibir tebal tak?" Gadis itu jadi bengang. He he. Lepas nyanyi gadis itu dapat sehelai T-Shirt Sudir Shoppe.


Acara selanjutnya, empat orang pemuda naik ke pentas, Mereka diminta menggayakan aksi Sudirman macam dalam iklan SUDI di TV, (melulu ke depan pentas, menari dan mengumumkan Air SUDI).

Untuk acara ini mereka diiringi oleh muzik jingle iklan SUDI. Tapi salah seorang pemuda itu nampaknya feeling habis. Muzik belum bunyi lagi dia dah melulu ke depan pentas lalu bergaya. Sudir menjerit "Hei nanti dululah! Muzik belum pasang lagi kamu dah melenting. Ini bukan iklan SUDI ini iklan kartun!!" Penonton jadi riuh rendah.

Selesai acara pentas Sudirman dibawa ke Restoran Sate Ria di sini untuk temuramah dengan wartawan-wartawan JB. Selepas itu dia ke Singapura, menyanyi selama 3 hari di Hotel Westin Stamford di sana.

Oleh : NAS AHMAD (Wartawan URTV di JB & Singapura)
Foto : JEFRI IRAN
Sumber : URTV 1HB. OKTOBER, 1990

Wartawan URTV, Nas Ahmad bergambar dengan Sudirman



Sudirman mendukung peminat cilik


Maznah peminat dari JB bergambar dengan Sudirman