Thursday, January 25, 2018

USAH MANIS DI BIBIR SAHAJA

Allahyarham Sudirman ketika dianugerahkan Bintang Kebesaran 
(A.M.N.) daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, 
Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di Istana Negara pada tahun 1990.

“Allahyarham Sudirman Lambang Pejuang Seni Yang Perlu Dikenang”

Jangan biarkan janji tinggal janji!

Begitulah harapan oleh rakan artis agar pihak tertentu tidak sekadar pandai berjanji mahu menubuh, membina atau menamakan jalan sebagai tanda mengingati Penghibur Nombor 1 Asia, Sudirman Haji Arshad.

Kementerian Penerangan, misalnya pernah berura-ura menubuhkan Pustaka Peringatan Sudirman seperti Pustaka Peringatan P. Ramlee, sebagaimana yang diumumkan oleh Setiausaha Parlimen, Datuk Fauzi Abdul Rahman pada Julai 1992.

Datuk Bandar (ketika itu), Datuk Elyas Omar, juga berhasrat mengadakan nama jalan sempena nama Sudirman. Tetapi sesudah dua tahun pemergian Allahyarham, segala apa yang dijanjikan itu masih dalam impian.

Penyanyi Ibnor Reza ketika ditemui di majlis tahlil Allahyarham berharap pihak yang berjanji lebih serius melaksanakan apa yang dijanjikan.

Dia menyifatkan tidak rugi usaha seperti menubuhkan tabung serta mendirikan pustaka dibuat untuk Sudirman.

“Sudirman adalah lambang pejuang seni generasi masa kini. Jasanya mengharumkan nama negara di bidang seni tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

“Jika tiada usaha dibuat untuk memperingatinya, generasi akan datang tidak akan mengenalinya sedangkan kita tahu dia satu-satunya penyanyi Melayu yang berjaya menewaskan semua penyanyi terkenal Asia,” katanya.

Mengenai tabung Sudirman, Ibnor tidak setuju ia dikendalikan oleh organisasi lain.

“Lebih baik PAPITA yang uruskan. Apatah lagi PAPITA diikhtiraf oleh kerajaan,” katanya.

Penyanyi Rahim Maarof mahukan apa yang pernah dijanjikan oleh pihak tertentu diteruskan.

“Sudirman adalah legenda. Tidak salah jika sebatang jalan diberikan namanya,” kata Rahim.

Sebagai tanda memperingati Allahyarham, Rahim bersetuju royalti lagu nyanyiannya Dir, didermakan ke Tabung Kenangan Sudirman.

“Lagu Dir sebagai ingatan kepada Allahyarham, sebenarnya membawa tuah kepada saya yang berpeluang beraksi diperingkat akhir Juara Lagu sebanyak dua kali,” katanya.

Sementara itu kakak Sudirman, Roaini bersedia memberi kerjasama kepada pihak tertentu jika mahu mewujudkan Pustaka Peringatan Sudirman.

Artikel Akhbar Harian Metro bertarikh 24 Februari 1994

Oleh: Adam Salleh 

*Kini setelah hampir 26 tahun pemergian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad ke Rahmatullah, janji hanya tinggal sekadar janji. Hanya Kelab Peminat Sudirman masih terus berjuang agar legasinya terus dikenang.

LUAHAN RASA SEORANG PEMINAT SETIA


Assalamualaikum, Sudir dah meninggal ye! Selama ini segala cakap-cakap orang saya tidak percaya, macam-macam tohmahan yang sampai ke telinga saya, mula-mula kata Allahyarham kena AIDS, lepas tu gerak gempa pula kata Allahyarham dah mati di London, diterbangkan khas dengan jet. Arghh macam-macam, malah ada yang sampai hati kata mayatnya dibakar di London, semua tohmahan itu memeritkan hati dan nurani saya kerana saya amat sayang dan meminati beliau.

Semalam saya terkejut besar dan terus meraung apabila berita di TV menyatakan Sudir telah kembali ke Rahmatullah, sedih, duka, pilu dan hampa. Selama ini saya tahu Sudir sakit tapi bukan sakit biasa, sebab sebelum dia jatuh sakit pada bulan Julai 1991, beberapa bulan sebelum itu Allahyarham pernah menulis memberitahu saya yang Allahyarham baru baik dari sakit, kata Allahyarham sakitnya kerana aniaya orang. Nyaris hilang ingatan dan katanya keluar paku, hirisan tengkorak orang mati dari badannya.

Bila Sudir jatuh sakit Julai itu, saya tidak termakan tohmahan orang yang Sudir kena sakit yang bahaya sebab Sudir dah beritahu awal-awal yang dia nyaris mati kena buatan orang yang dengki. Tapi siapalah saya, saya cuma mampu berdoa dan terus berdoa semoga Allah memanjangkan usia Sudir.

Surat akhir Sudir kepada saya katanya, ingatlah Sabariah biarlah orang buat kita tapi jangan kita buat orang, itu pesanan ibunya sewaktu dia baru berusia 4 tahun dan dia pegang sehingga kini. Dan dia pula pesan begitu kepada saya.

Saya mengasihi Allahyarham seperti keluarga sendiri, meskipun saya sekadar peminat, tapi Sudir begitu baik sekali. Dia sering menulis surat meskipun kadangkala di tengah kesibukan, saya tahu beliau sibuk jika dia menulis ringkas dan tulisan kurang teratur dan sekiranya dia kurang sibuk dia akan menulis panjang lebar dan tulisannya amat kemas sekali.

Setiap suratnya banyak memberi nasihat kepada saya sebagai seorang ibu, malah Allahyarham sering mengirim buku-buku cerita untuk anak saya dan ada masanya setiap suratnya pasti dilampirkan potretnya.

Saya tidak tahu bagaimana remuk dan hancur perasaan saya atas pemergiannya ke Rahmatullah, saya ingin beliau lebih lama meneroka hidup untuk melihat lebih lagi kegigihan beliau mengharungi hidup dan selebihnya saya mahu bekas isterinya melihat kejayaan demi kejayaan yang ditempa Sudir.

Saya sering meniupkan semangat perangsang kepada beliau, menyenangkan perasaannya dengan nasihat-nasihat supaya tenangkan perasaan selalu tanpa terlalu memendam hati atas kehilangan bekas isterinya, tapi kata Sudir dia tidak dapat langsung melupakan Kay, sampai bila-bila Kay tetap bersemadi di hatinya. Dia teramat-amat mengasihi dan mencintai Kay!

Dulu saya kata kepada Allahyarham di dalam surat saya, kalaulah saya ada kuasa, saya mahu merayu agar Kay menerima Sudir kembali ke pangkuannya, tapi apalah daya saya, saya tidak kenal bekas isteri beliau malah tidak tahu langsung tempat tinggalnya.

Saya terlampau sedih, sebak dan hampa atas kehilangan Sudir. Selama ini saya sangka Sudir akan sihat kembali sebab semua peminat mendoakan kesejahteraan beliau. Akhirnya Sudir pergi jua, saya sedih.

Sudir sukar dicari ganti, memang tiada gantinya. Biarpun berjuta-juta penghibur, tiada yang serupa dengannya. Budi bahasanya halus, hatinya mulia malah semua kebaikan ada pada Allahyarham. Justeru itu, semua orang sayang kepadanya.

Perginya Allahyarham membawa duka lara. Saya tahu perasaannya atas kehilangan bekas isterinya, parah sekali luka tidak boleh sembuh sampai bila-bila.

Saya pernah menulis lirik lagu untuk Sudir dan katanya jika nanti selepas dia merakamkan albumnya dia akan menggubah lagu saya pula (lirik kiriman saya). Tapi sekarang ini, nampaknya banyak cita-cita Sudir tidak tercapai, kesian dia. Meskipun begitu, saya tetap mendoakan rohnya ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sudir adalah lambang manusia yang berpegang kepada cinta sejati, sekali dia jatuh cinta itulah cinta yang pertama dan terakhir, lihatlah sampai ke akhir hayatnya cinta kepada bekas isterinya masih bersemi. Saya benar-benar hiba, amat sebak dadanya ini kerana kelaraan perasaannya membawa dirinya merana begitu. Dia selalu berkata, baginya hidupnya sudah tidak ada apa-apa lagi, yang ada cuma kerjayanya, jadi dia mesti bekerja kuat. Masih saya ingat lagi katanya kepada saya, dia mahu menempa nama sampai ke hujung dunia!

Masih saya ingat lagi, sewaktu singlenya diedarkan di London untuk pasaran antarabangsa. Katanya dia panik seperti artis baru, siang malam berdebar-debar mengingatinya. Katanya, doakan dia berjaya. Sebab katanya, berjaya sahajalah yang dia ada, dan dia mahu maju ke puncak dunia Insya-Allah!

Saya tidak dapat menulis panjang lebar, saya masih terasa sebak di dada, kesedihan masih bergayutan di hati saya. Saya benar-benar belum dapat menerima pemergian Sudir ke alam barzakh. Rasa macam tidak percaya kerana saya sayang kepadanya.

Segala surat-surat, gambar-gambar dan buku-buku semuanya saya akan simpan baik-baik sebab itulah kenangan pemberian Sudir untuk saya sekeluarga.

Tolonglah sampaikan salah takziah saya kepada Puan Rodziah, Atai dan Puan Roaini, sebab saya tahu mereka amat berdukacita kini atas kehilangan Sudir, sedangkan saya sendiri bukan ada pertalian kekeluargaan dengan Sudir pun amat berdukacita, keluarganya lebih lagi merasainya kerana sepanjang 7 bulan menderita sakit merekalah yang menjaganya.

Cukup sampai di sini.

Wassalam, terima kasih.

Yang benar,
SABARIAH,
Hulu Kinta, Perak.

CINTANYA DIBAWA BERSEMADI

Kenangan manis Allahyarham Sudirman bersama bekas isterinya Kay sewaktu mereka diijabkabulkan pada tanggal 14 Februari 1981.

Sabtu tanggal 22 Februari 1992 pukul 4.00 pagi Sudirman Haji Arshad telah meninggalkan kita semua buat selama-lamanya. Itulah yang mengisi dada akhbar, menjadi perbualan, menyebak perasaan dan menginsafi bahawa tiada yang kekal di dunia yang fana ini.
Sudir pergi dan tidak akan kembali. Pergi meninggalkan dunia nyanyian, dunia hiburan, dunia perniagaan dan bidang guaman yang sepatutnya dia terokai dengan lebih mendalam.
Namun sesuatu yang Sudir tinggalkan kepada saya masih terlekat sehingga sekarang. Sehinggalah ketika saya tatap rakaman jasadnya disemadikan melalui kaca TV lewat mata saya, kenangan bersamanya itu meruntun hati... secebis kenangan satu-satunya yang ada diantara saya dengan Sudirman.
Dan ketika rancana ini ditulis, rakaman pertemuan saya dengan Sudirman itu seolah-olah terulang kembali. Walaupun dulu pernah saya curahkan keluhan hati Sudirman di pertemuan itu lewat tulisan saya, namun kini saya ingin mengembalikan semula kenangan itu walau kini Sudirman sudah tiada lagi.
Saya tidak sanggup menyimpannya. Saya menjadi terlalu kasihan apabila sebelum itu khabar-khabar liar mengatakan Sudir telah meninggal dunia, dijangkiti penyakit merbahaya disebarkan seluas-luasnya tanpa perasaan belas. Sedangkan kenyataannya Sudir mengidap sejenis penyakit yang sama sekali menyimpang dari anggapan mereka iaitu terkena santau akibat aniaya orang.
Sesungguhnya, saya mengambil ikhtibar, biarlah pertemuan saya itu pada tahun 1986 yang sudah berlaku hampir 6 tahun, saya kongsi bersama peminat setianya, rakan-rakan, keluarga, malah orang yang paling hampir dengannya suatu ketika dulu.
Dan secara ikhlas, itulah pertemuan pertama dan terakhir saya dengan Penghibur No.1 Asia itu secara formal (sebelum itu saya hanya kenal dan berjumpa Sudir melalui ‘press conference’ atau acara-acara hiburan). Pada saat itulah, saya mengetahui siapakah Sudir sebenarnya disebalik glamour, di sebalik tabir hidupnya yang penuh kepura-puraan. Sesungguhnya, keriangan Sudir sebenarnya hanyalah satu lakonan untuk menutup robekan-robekan luka di hatinya.
Dan saya juga sengaja menyelitkan rangkap lagu (Nilai Cintamu ciptaan Sudirman) di awal tulisan ini, kerana pertemuan hari itu sebenarnya lebih banyak mengungkap kisah cinta dan kesetiaan Sudir terhadap wanita bernama Kamariah Jamaluddin (Kay) yang ketika itu sudah bukan miliknya lagi.
Pertemuan kami itu adalah atas ‘desakan’ saya sendiri di saat-saat saya menghadapi kebuntuan untuk menyiapkan Majalah Kisah Cinta keluaran khas Hari Raya.
Selaku penolong pengarang majalah tersebut yang diterbitkan oleh Amir Enterprise (boss saya Pak Harun Hassan) ketika itu, saya mengambil kesempatan (menghentam) Sudir secukup-cukupnya kerana hanya dengan cara itu sajalah penyanyi terkenal seperti Sudirman akan menemui penulis kerdil seperti saya.
Melalui ruangan pojok ‘Teropong Dari Jalan Genting Kelang’ (Kisah Cinta keluaran 1 Jun 1986 ‘cover’ artis-artis popular; antaranya Ogy, Nassier Wahab, Shah Rezza, Melissa Saila dan Syed Sobri) yang menggunakan nama samaran saya ‘Mat Teropong’ (dulunya ruangan ini dikendalikan oleh penulis dan wartawan M. Jusoff Taib), Sudir tampil menyerah diri dengan langkah pertamanya mengirim satu sampul surat yang berisi empat keping poskad berkembar dua melalui pemandunya Nathan yang datang ke pejabat tempat saya bekerja (malangnya poskad itu sudah hilang dari simpanan saya).
Sudir rupa-rupanya menerima ‘kejutan’ dari tulisan-tulisan saya yang mengatakan dia sukar dihubungi dan memandang negatif terhadap penerbitan-penerbitan kecil seperti kami.
Tidak sangka jawapan yang saya terima dari Sudir begitu cepat. Saya ingat tentulah Sudir tunggu sampai lepas raya. Ternyata tentang ini Sudir memang cekap, padanlah dia digelar ‘The Singing Lawyer’.
Dalam majalah yang sama keluaran 1 Julai 1986, saya balas balik kata-kata Sudirman yang sudah beri ‘warning’ siang-siang pada saya; “Saya minta Abang Mat tidak menyiarkan surat ini. Cukuplah sekadar fahaman kita bersama.” (waktu itu Sudir tidak tahu Mat Teropong itu adalah saya).
Saya kata, Sudir pun faham yang tulisan saya itu tidak sepatutnya menyalahkan dirinya. Kalau tidak masakan dalam keluaran yang sama kami siarkan artikel lain yang berjudul; Sudirman - Lilin Yang Bernyala Dalam Sepi.
Dan tulisan saya kali kedua itu juga mendapat ‘action’ yang segera dari Sudir. Dua tiga hari selepas KC berada di pasaran. ‘boss’ saya, Pak Harun datang jumpa saya memberitahu. “Sediakan jamuan sikit. Esok Sudir nak datang pejabat.”
Saya terkejut, saya seolah-olah merasakan Sudir akan ‘cekik’ saya bila dia tahu siapa sebenarnya Mat Teropong. Tetapi saya sudah bersedia dan tidak merasa takut, kerana saya tahu saya benar.
Tepat pada waktu yang dijanjikan, Sudir datang dihantar oleh pemandunya. Tidak ada orang lain mengiringinya, baik pengurusan atau PRO syarikat rekodnya.
Kami mengadakan jamuan dan ‘sidang akhbar’ khas dengan Sudir. Saya, Kak Webah (Pengarang Kisah Cinta), Pak Harun dan beberapa lagi pemberita syarikat kami duduk di bilik mesyuarat. Bertanya itu ini, bermesra, ketawa, gurau senda sambil-sambil menjamah hidangan yang kami sediakan.
Dan saya tidak lupa, kata-kata Sudir pada saya sebaik dia tahu sayalah Mat Teropong yang sungguh celupar menghentamnya. “Ooo, youlah Mat Teropong. I ingatkan lelaki... pandai you ‘tangkap’ I,” kata Sudir ketawa dan saya juga ketawa. Dalam hati saya merasa bangga kerana ‘perangkap yang saya pasang sudah mengena.’
Sudir seorang intelek dengan rendah hati meminta maaf atas kesulitan yang telah saya hadapi. “Saya berjanji, perkara itu tidak akan berulang lagi,” katanya dengan nada amat meyakinkan.
Sudir kemudian bersetuju supaya pertemuan kami itu dilangsungkan secara hati ke hati. Maka di bilik mesyuarat itulah, terungkai segala rahsia kisah cintanya.
Rupanya, di sebalik kejayaan yang dicapai, Sudir menderita dan sengsara kerana kasih sayangnya putus di tengah jalan. Sejak perpisahannya dengan Kay, jiwanya seperti mati, walau kenyataannya dia masih mampu tersenyum meniti kehidupannya hari demi hari.
Di pertemuan itu, saya luahkan ketidakpuasan hati saya melihat dia terlalu memuja-muja Kay (bekas isterinya), sedangkan orang yang dipuja telah hidup bahagia di samping orang lain.
“Lupakanlah Kay. Tidakkah you merasa malu dikata orang ‘gila talak’? Terus-terang, I tidak suka you ‘menghina’ diri you begini, sedangkan dia (Kay) tidak peduli,” kata saya tanpa basa-basi. Saya tahu walaupun kata-kata saya itu agak kasar, tapi saya pasti Sudir memahami niat baik saya.
Bagaimanapun, apa yang saya dengar dari mulut Sudir, cukup membuat lidah saya kelu, seterusnya memaksa saya menghargai pendirian Sudir terhadap CINTA!
Justeru itu, saya merasa kesal yang amat sangat kerana telah menyinggung perasaan insan mulia seperti Sudirman, apabila soalan utama saya mengungkit kisah-kisah peribadinya.
Kata Sudir, walaupun dia tidak suka kisah lamanya itu diungkit-ungkit (khuatir menyentuh dan menyinggung orang ketiga – suami Kay), tetapi dia tidak dapat menolak hakikat bahawa Kay masih dan tetap berada di hatinya sampai bila-bila.
“Saya tak kira apa orang nak kata. Saya tak mahu membangkitkan tentang Kay, kerana dia sudah menjadi milik orang. Bagi saya perkahwinan dan cinta adalah suatu yang tulus. Saya tidak pandai berpindah-randah cinta. Bagi saya cinta itu terlalu mahal,” kata Sudir perlahan. Matanya yang cantik, kecil dan jernih (sejernih hatinya) menatap satu-satu wajah saya, Kak Webah, Pak Harun dan kawan-kawan yang terpaku mendengar keluhannya.
“Sebenarnya, jika ditinjau dari tahun 1976 lagi, kebanyakan lagu-lagu saya melambangkan cinta. Saya menjiwai lagu-lagu itu dan bagi saya tidak ada gadis lain yang saya cintai melainkan Kay. Tiap-tiap lagu itu adalah ilham dari cinta saya,” kata Sudir berterus-terang.
“Cinta pertama akan selalu mengguris hati saya. Saya menganggap dia adalah gadis yang tercantik di sekolah. Saya melalui pelbagai dugaan untuk mendapatkannya. Sekarang segalanya sudah berubah. Saya tidak mahu mengungkitkan cerita kami. Cuma saya harap Kay bahagia,” demikian katanya dengan ikhlas.
Sudir mengakui memang dia menangis mendengar berita Kay berkahwin. “Saya menangis kerana bahagia.” Katanya. “Kerana dulu saya selalu fikirkan apa yang akan terjadi terhadap dirinya.”
Sudir turut menceritakan, betapa di hari penceraiannya dulu dia sedang membuat satu rakaman TV dengan Noor Kumalasari. Katanya semasa pengambaran babak menyanyikan lagu “Eat It”, dia berhenti sekejap, keluar lalu menangis. Dia masuk semula setelah reda dari tangisnya dan meneruskan pengambaran. “Yang penting penderitaan saya tidak dilihatkan,” katanya.
“Saya rasa pengalaman pahit dan manis yang saya tempuh ada banyak gunanya untuk mengembangkan karier saya. Dulu, saya tidak boleh menyanyi lagu-lagu frust dengan penuh perasaan, kerana saya tidak pernah mengalaminya. Tetapi sekarang saya boleh membawanya dengan lebih berkesan. Bila menyanyikan lagu gembira pula, saya ingat waktu-waktu gembira yang pernah saya lalui. Saya sedar, di balik awan mendung ada cahayanya. Ini membuatkan saya lebih matang.”
Kemudian dengan nada perlahan Sudir berkata pula seolah-olah bercakap dengan dirinya. “Cuma sekarang untuk apa?” Tanyanya. Sudir menceritakan betapa dia ingin mempunyai cahaya mata dari perkahwinannya yang dulu. Tetapi hasratnya tidak dikabulkan.
“Sekarang untuk apa? Emak, ayah dah tak ada. Saya pernah bekerja sebagai budak pejabat. Pernah menjadi pekerja jalan raya. Pernah menjadi penyelidik pengguna. Tetapi sekarang untuk apa?” Soalan-soalan itu merupakan pertanyaan yang kita sendiri tidak dapat menjawabnya.
Sudir seterusnya mengatakan, dia boleh mengawal perasaannya dengan membuat pekerjaan-pekerjaan dan sibuk dengan kegiatan-kegiatan seninya di waktu siang. Tetapi bila waktu tidur, perasaannya tidak dapat dikawal lagi. Bila terjaga dia akan menangis. Makan minum tidak dipeduli. Keadaan beginilah yang menyebabkan dia masih belum ingin mencari pengganti isterinya, kerana katanya dia tidak mahu berlaku tidak adil dengan gadis lain.
Perkahwinan kedua atau ketiga mungkin berlaku. Tetapi tidak sama dengan yang pertama. “Paling penting perkahwinan akan datang tersangat-sangat mahal harganya,” katanya. Tidak kira siapa gadis yang bakal menjadi isteri saya; gadis kota atau gadis desa, yang penting ialah perkahwinan kali ini saya yang mahu memegang teraju segala-galanya,” katanya dengan nada tegas.
Menurut Sudir bukan dia menyalahkan perkahwinannya yang telah lalu. Tetapi yang ingin dilakukannya ialah kembali kepada adat Melayu dahulu. Isteri mesti mengikut dan mendengar nasihat suami dan suami ialah pemegang teraju.
Menurutnya lagi, pengalaman telah mengajarnya supaya tidak menuntut terlalu banyak dalam percintaan. Kerana terlalu banyak meminta, cinta akan membakar. “Kita tidak akan berhenti dari melalui badai dan tamparan hidup,” katanya ketika itu, dengan tenang.
Dan kini nyatalah, cinta benar-benar telah membakar dirinya. Luka cinta yang dialami rasanya sulit bertaut kembali. Badai dan tamparan hidup yang dilalui akhirnya sampai ke penghujungnya.
Sudir yang disayangi sudah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Apa pun yang dikata orang terhadap dirinya selama ini, baik manis mahupun pahit, kesetiaan, jasa dan pengorbanannya terhadap bangsa, negara dan masyarakat akan tetap kekal menjadi ingatan dan sanjungan abadi.
Jauh di sudut hati saya merasa bangga, mendapat sedikit perhatian yang saya anggap manis dari Sudir, walaupun untuk mencapai yang manis itu saya telah menelan pahitnya dulu.
Kini walaupun Sudir sudah lebih sebulan meninggalkan kita, saya pohonkan doa dan sedekah Al-Fatihah daripada pembaca semua untuk Allahyarham Sudir yang kita kasihi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi hamba-Nya yang soleh, Amin.
Sudirman Dalam Kenangan: Secebis Kenanganku Bersama Sudirman Haji Arshad oleh Hasnifalina Rosni.
Sisipan Majalah Perempuan terbitan April 1992.