Monday, April 13, 2020

KISAH DI SEBALIK KONSERT CHOW KIT ROAD | 14 APRIL 1986


Saya tidak suka baring terlantar tidak bermaya. Bertambah sakit rasanya. Sebab itu saya selalu ditegur sewaktu di hospital.
Hasil perit saya mencuri-curi bekerja, ialah konsert terbuka di Chow Kit Road, Kuala Lumpur.
Sewaktu di hospital saya menghantar sepucuk surat cadangan konsert kepada 'Cik Lah' di TDC untuk menyemarakkan lagi Persidangan PATA '86, lebih-lebih lagi di kalangan masyarakat tempatan. Supaya kita semua dapat menikmati keghairahan minggu PATA dalam mengalu-alukan delegasi yang datang dari luar.
Saya juga menulis kepada Ketua Polis Bandaraya, Dato' Zaman Khan. Sejak kecil saya takut kepada polis... Tapi pada 7 April saya memberanikan diri untuk berhadapan dengan KP. Saya pakai baju Melayu merah meminta persetujuannya. Saya bersedia menerima apa-apa tentangan atau bantahan darinya. Tapi, KP seperti ayah saya... Keras, tegas, pedas tapi amat memahami. Terima kasih.
Lepas itu, pertolongan Dewan Bandaraya pula diperlukan. Lepas itu, cari penaja. Dapat McDonald dan Singer.
Pengurus saya, Mike Bernie dan kakitangannya. Bekerja keras beberapa hari suntuk kerana waktu persiapan terlalu singkat.
Glue, Girls dan Giggles giat berlatih. Saya, huru-hara mengatur dan merancang segalanya. Sampai hilang rasa sakit.
Pada 9.00 malam 14 April, 1986 di Chow Kit Road, sewaktu saya dijulang 'skylift' bomba, saya memandang ke bawah, dan ternampak satu aliran sungai manusia yang lebar dan panjang yang bersimpang-simpang... "Ya Allah Ya Tuhanku, jika begini hebatnyalah mereka datang, berikanlah hamba-Mu ini kekuatan untuk menguasai dan menghiburkan mereka."
Tuhan Maha Kaya. Tidak ada hujan. Tidak ada malapetaka besar yang berlaku terhadap himpunan yang dianggarkan 100,000 orang itu. Saya pun tak jatuh pengsan!
Malam itu, kita telah mengeratkan lagi silaturrahim sesama senegara. Bagi peminat-peminat yang jauh, tak dapat datang, Abang Sudir harap lukisan ini dapat bercerita dan menghiburkan! Salam sayang dari Abang Sudir kepada semua peminat kesayangan.










Friday, March 27, 2020

SUDIR KE LONDON BAWA BERJUTA SENYUMAN


Semanis-manis senyuman, tidak sama senyuman yang menyimpul harapan dan salam sebuah negara. Begitulah besar ertinya senyuman Sudirman yang berlepas ke London jam 11.35 malam ini bersama One Thousand Million Smiles lagu yang akan diperdengarkan di Royal Albert Hall, Ahad ini.

Dia ditemani pengurusnya, Dharanee Dharan Kannan dan Michael Veerapen pengarah muzik yang mencipta lagu Inggeris ini.

One Thousand Million Smiles adalah sebuah lagu ballad yang menyimpul salam dan memperkenalkan Malaysia sebagai salah sebuah negara Asia yang indah dan istimewa.

Ia disiapkan dalam tempoh tiga minggu dan seni katanya oleh Paul Ponnudurai. Dalam pertemuan khas itu, Sudirman berkata, “Saya hanya mampu membawa sebuah cinta, bukan sebuah benua. Walaupun saya hanya insan kecil tinggi 5 kaki 2 inci, saya berjanji akan menghasilkan persembahan yang terbaik, sekurang-kurangnya kita tidak ketinggalan.”

“Pemergian ini bukanlah untuk saya semata-mata. Ia adalah untuk Malaysia dan saya mesti membuat rakyat Malaysia bangga,” kata penyanyi yang mereka pakaian yang berwarna hitam dan putih untuk menyanyi di Asian Popular Music Awards itu.

Ketika sidang akhbar pada 23 Februari lalu, dia tidak dapat mengumumkan lagu One Thousand Million Smiles kerana masih belum bertajuk.

Menurutnya, tempoh tiga minggu membuat persiapan untuk persembahan itu adalah ujian besar baginya.

“Saya hampir-hampir hilang keyakinan kerana setiap sesi ada saja pertukaran yang dibuat, sama ada melodi atau seni kata. Mujurlah pengurus saya sentiasa meyakinkan saya dan memberi semangat untuk meneruskan, apa lagi ini satu peluang yang mungkin hanya sekali dalam hidup.”

“Saat ini saya masih berdebar dan tidak nyenyak tidur selagi tidak sampai ke London, selagi tugas saya memperkenalkan Malaysia tidak selesai,” katanya.

Saya sedar setiap penghibur di dunia ingin menyanyi di Royal Albert Hall. “Kerana itu saya berusaha ketepikan segala kesangsian. Saya berterima kasih kepada Michael dan Paul memahami apa yang saya mahukan.

“Hasilnya, One Thousand Million Smiles adalah sebuah lagu sedap, indah dan boleh dibanggakan. Ia setanding dengan lagu antarabangsa, mungkin lebih baik lagi,” katanya.

Diberi peluang

“Lagu ini digubah dengan cukup teliti kerana saya mahu Malaysia tampil dengan persembahan yang paling baik. Saya kira, keadaan yang saya alami ketika ini adalah terbaik,” kata Sudirman.

Selain Michael, Paul Ponnudurai dan Dharanee, Sudirman juga dibantu oleh koreografer, Eddie Chan.

“Saya berlatih di hadapan mereka selama enam jam. Tiga jam latihan vokal dan tiga jam latihan menari. Saya minta mereka memberi pandangan yang sejujur-jujurnya kerana saya mahu yang terbaik buat Malaysia,” tegasnya.

Sudirman dipilih untuk menyanyi di Asian Popular Music Awards bersama Sembilan penyanyi dari Asia. Setiap penyanyi diberi peluang mengadakan persembahan 15 minit.

Acara ini memberi peluang kepada jaguh-jaguh dalam bidang seni suara menyanyi bersama orchestra lengkap Royal Albert Hall bersama penari latar.

Mereka adalah Anita Sarawak (Singapura), Harvey Malaihollo (Indonesia), Jeon Yong Rok (Korea Selatan), Anchalee (Thailand), Sarah Chen (Taiwan), Kuh Ledesma (Filipina), Masahiko Kondo (Jepun), Leslie Cheung (Hong Kong) dan Cui Jian (China).

Menurut Sudir, selain One Thousand Million Smiles, dia juga melengkapkan diri dengan lagu-lagu lain sebagai persediaan.

Oleh: Saodah Ismail
Sumber: Sisipan hiburan akhbar Berita Harian terbitan tahun 1989.









Thursday, March 26, 2020

SUDIRMAN DENGAN ORANG BARU



Setelah mendiamkan diri buat seketika selepas album 'LAGU DARI SEBUAH BILIK', kini Sudirman kembali menemui peminat-peminatnya bersama 'ORANG BARU' melalui album terbaharu dari beliau. Siapakah ORANG BARU yang dimaksudkan oleh beliau? Sama-samalah kita mengetahuinya melalui album terbaru beliau yang kini sudah pun berada di pasaran.

Album yang diberi jodol 'ORANG BARU' ini telah diterbitkan oleh saudara Fauzi Marzuki dan saudara Adnan Abu Hassan. Ini merupakan kali pertama Sudirman menukar penerbit album beliau, yang mana selama ini kesemua album beliau diterbitkan oleh saudara S. Atan.

Terdapat 10 buah lagu merdu yang berbagai rentak telah menghiasi album ini, termasuk rentak 'New Wave' dan 'Sentimental Ballad'. 6 buah lagu dari album ini telah dirakamkan dengan alat-alat electronic.

10 buah lagu tersebut ialah, dari muka satu:

BARU DAPAT KERJA (Sudirman & Adnan Abu Hassan/Sudirman) * DILEMA DUNIA CINTA (Sudirman) * SELAMAT MALAM SAYANG (Adnan Abu Hassan/Siti Zaleha Hashim & Sudirman) * HUJAN SEMALAM (Syed Haron) * KUPANDU LAJU (BERSALAH) (Sudirman & Adnan Abu Hassan/Sudirman).

Muka dua:

DIA TIADA LAGI (Adnan Abu Hassan/Sudirman) * KETENANGAN JIWA (Adnan Abu Hassan/Sudirman) * ORANG MUDA (Sudirman & Adnan Abu Hassan/Sudirman) * HANYA NYANYIAN (Syed Haron) * TERASING (Manan Ngah/Habsah Hassan).

Kini Sudirman sekali lagi mengadakan persembahan di Paddock, Hotel Hilton selama 3 minggu. Ini merupakan satu penghormatan bagi beliau, kerana bukanlah mudah untuk dapat mengadakan pertunjukan di sana. Apa lagi untuk mempersembahkan persembahan yang bertaraf antarabangsa. Tapi Sudirman mampu mempersembahkannya.

Sama-samalah kita menyaksikan gaya dan showmanship terbaru dari beliau dan juga 'ORANG BARU' sepertimana yang dinyatakan di atas tadi.



Sumber: Artikel berkaitan penerbitan album terbaru Sudirman 'ORANG BARU' pada tahun 1984.

Wednesday, March 25, 2020

KISAH SUDIRMAN DI HAWAII

Sudirman bersama pembantunya Peter Joseph & pengurusnya Dharanee di Hawaii.

Berkisah tentang Hawaii, kata Sudir, "Sebelum sampai di Hawaii, saya ingat saya akan menyanyi di hotel lima bintang macam selalu. Tapi hotel ini semacam. Luasnya sampai 80 ekar. Panjangnya satu batu. Nak pergi bilik kena naik kereta api elektronik atau motobot.

Kereta apinya ada dua. Motobot ada tiga. Kereta apinya pula masuk keluar hotel, bahkan sampai ke dalam lobby hotel. Memang ralit kita dibuatnya. Macam alam fantasi, macam Disneyland!".

Bagaimana layanan mereka terhadap Sudir?

Mr. Dunn (Dharanee, pengurus Sudir) tersenyum lebar menjawab: "Huh, Sudir macam anak Raja Arablah. Untuk Sudirman disediakan Limousine panjang enam pintu sampai dua buah, putih dan hitam. Dan sebuah kereta mewah berwarna merah. Sudirman boleh pilih yang mana saja, siap dengan pemandu.

Salah sebuah limo panjang yang disediakan untuk Sudirman.

"Tapi Sudirman, kalau show, dia tak suka jalan-jalan. Pekerja-pekerja dialah yang pakai segala kemudahan, termasuk saya," ujar Mr. Dunn sambil ketawa bergurau.

Cerita Mr. Dunn lagi: "Hotel ini - Waikoloa Beach Resort termewah di dunia. Menelan belanja 400 juta dolar."

"Tapi kesian Sudirman.... masalah dia, makanan. Walaupun dia boleh makan apa saja tapi Sudirman, kalau dia tak berkenan, dia tak usik. Biarlah mahal macam mana pun. Last-last dalam biliknya dia makan 'maggi' aje. Kadang kala dia telan telur mentah, tahan lapar," kata Mr. Dunn.

"Standing Ovation" 2 Kali


Teringin juga nak tahu, macam mana show Sudir di Hawaii?

Cerita Mr. Dunn: "Sebelum show, memang orang tak kenal siapa Sudirman. Walaupun ada desas-desus tentang dia, tapi mereka tidak tahu siapa.

"Masa show, penonton seramai 1,800 orang, kebanyakan mat saleh, semacam punya berlagak. Mereka kalangan elit yang memang meminati show-show penghibur-penghibur terkenal dunia.

"Bila tiba saatnya Sudirman tampil ke pentas, nampak wajah masing-masing semacam, menyombong buat tak kisah, mereka macam mahu Sudirman buktikan macam manalah shownya, mungkin mereka fikir, siapalah si dia ini, lebih-lebih lagi dia datang dari Asia.

"Ternyata pada malam itu Sudirman bekerja keras. Penyanyi latarnya seorang sahaja, Sarah. Sebab seorang lagi terkandas tak dapat visa. Tapi Sudirman tak peduli itu semua, Sudirman bila sudah berada di pentas. 'Pentas itu aku punya', segala kelemahan dapat ditutupnya dengan aksi persembahannya.

"Penonton-penonton yang semacam dingin aje pada mulanya, macam ndak tak ndak aje pandang Sudirman, tapi last-last mereka beri Sudirman "Standing Ovation" sebanyak dua kali dan meminta Sudirman menyanyi lagi.

"Yang pada mulanya macam sombong pada Sudirman, last-last naik pentas beri dia bunga dan menciumnya berkali-kali.

"Kalau Kak BAM ada bersama, mesti Kak BAM bangga kerana artis dari sebelah Asia, Melayu pulak tu, telah dapat memenangi hati penonton mat saleh yang begitu kritikal dan keras macam batu," cerita Mr. Dunn.

Esoknya, semua orang di hotel tersebut kerumun Sudir, hulur autograph, tangkap gambar dan memuji-muji Sudir macam nak rak. Kata mereka, "Sudirman akan mencabar Michael Jackson".

Apa kata Sudir?

"Tau-taulah Sudirman tu, dia tak makan puji. Bila orang puji, dia tersengih aje."

Mr. Dunn turut berasa bangga, bila mereka kata, belum pernah melihat penyanyi dan penghibur seperti Sudirman. Semua penonton terus terpaku, tak bergerak-gerak di tempat duduk mereka. Lepas satu lagu ke satu lagu dengan showmanshipnya yang memukau.

Kata Mr. Dunn, dia faham sangat dengan perangai Sudir, bila dia merasakan kewibawaanya tercabar, kerana mat-mat saleh tu tengok tubuh badannya yang kecil, sebab itulah dia lanyak penonton-penonton yang ada itu dengan persembahannya yang betul-betul kelas kerana geram dan tercabar.

Minuman SUDI Atas Pentas


Penonton-penonton menjerit-jerit bila mereka nampak muka Sudirman di minuman tin SUDInya. Seorang wanita Amerika yang dijemput oleh Sudirman naik ke pentas, menjerit...! "My... he's got his face on the can!!". 

Memang, mula-mula mereka ingat agaknya Sudirman artis kokak aje, tapi perlahan-lahan mereka sedar siapa Sudirman sebenarnya. Apalagi, esoknya ramai yang meminta minuman SUDI nak bawa pulang. Sudir kata, tunggu bila dia 'famous' di Amerika nanti. Sudirman acah-acah aje tu!

Perempuan Mat Saleh Marah-Marah


Menceritakan pengalamannya selama beberapa hari mengikut Sudir ke Hawaii, kata Mr. Dunn, memang banyak peristiwa yang ditempuhinya. "Kecik-kecik Sudirman, tapi dia pandai mengajar mat-mat saleh ni yang memandang rendah kepada orang-orang Asia. Sudirman memang bijak dan tidak gentar berhadapan dengan sesiapa aje!"

Satu lagi peristiwa, lagi dahsyat, cerita Mr. Dunn: "Semasa Sudirman masuk Limousine panjang di bandar, seorang wanita mat saleh berbadan besar telah menghampiri kereta tersebut, terus terjah si pemandu dan memaki hamunnya dengan kata-kata yang kesat dan sumpah seranah macam-macam, saya pun tak faham. Mungkin dia geram dan marah sangat, si driver mat saleh yang sebangsa dengannya menjadi driver orang Asia.

Yang Mr. Dunn ingat antara lain kata-kata perempuan mat saleh itu: "I hope that man pays you a lot of money for making you his slave (saya harap orang itu bayar awak banyak wang untuk kamu menjadi 'khadamnya')...."

"Sudir memang bengang sangat menghadapi peristiwa itu, tapi dia kawal dirinya seboleh mungkin, kerana mengenangkan dirinya itu adalah 'tetamu terhormat'.

Kata Sudirman: "Biarkanlah perempuan itu seperti anjing menyalak bukit. Namun di sudut hatinya terasa juga, mentang-mentanglah dia orang Asia, macam tak layak aje mat saleh menjadi 'driver'nya."

Kena Tahan

SAM bodyguard Sudir duduk di sebelah kirinya.

Telah berlaku satu lagi peristiwa yang agak mencemaskan juga, bodyguard Sudirman, SAM amat dicurigai oleh mat-mat saleh di Hawaii sana.

Baik polis, pegawai imigresen dan sekuriti, semuanya menyangka SAM 'gangster' kulit hitam dari Chicago. Dia orang ingat, SAM orang Mafia

"Ke mana-mana sahaja SAM ditanya macam-macam tentang siapa dirinya dan entah apa-apa lagi.

Komen Mr. Dunn: "Ini semua kerja Sudirmanlah. Dia yang membentuk imej SAM begitu, saja-saja."

Kata Sudir: "Biar lantaknya, mat-mat saleh tu takut kepada bayang-bayangnya sendiri."

Teringat-Ingat Sudir di Hawaii

Oleh: Bahyah Mahmood (BAM)
Sumber: Majalah hiburan URTV terbitan tahun 1991. 

SUDIRMAN PERKENAL MALAYSIA DI HAWAII


Lagu-lagu yang menjadi kegemaran Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj akan menghiasi persembahan hiburan Penghibur Terbaik Asia, Sudirman Haji Arshad dalam segmen mengenalkan Malaysia di Hyatt Waikoloa Beach Resort, Kona Island, Hawaii pada 17 Januari depan. 

Selain lagu-lagu yang menjadi kegemaran Almarhum, persembahan selama dua jam itu juga akan dipenuhi dengan lagu-lagu Inggeris dari negara-negara yang menyertai konvensyen perniagaan barang-barang pengeluaran yang dikendalikan oleh Sunrider International.

"Almarhum adalah orang yang dikenali dan disanjung dan saya orang tidak begitu mengenali. Jadi, saya rasa adalah lebih baik saya membawakan sesuatu yang lebih bermakna untuk mengenalkan Malaysia dengan kisah-kisah Bapa Kemerdekaan kita yang disanjung oleh masyarakat dunia.

"Selain dari lagu-lagu kegemaran Almarhum, saya telahpun merancangkan sesuatu yang lain untuk para penonton malam itu mengenalinya dengan lebih dekat lagi. Ini merupakan satu penghargaan dari saya untuk Almarhum," kata Sudirman Haji Arshad.

Bercakap kepada para pemberita sempena perasmian pejabat barunya setinggi empat tingkat berharga $750,000 di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Sudirman memberitahu, "sebagai penyanyi Malaysia yang pertama berpeluang menyanyi di tempat bertaraf antarabangsa, saya berjanji akan memberikan satu persembahan yang menarik."

Sudirman yang akan berada di sana selama seminggu akan bertolak dari Kuala Lumpur pada 13 Januari ini bersama pengurus dan 21 lagi ahli rombongan yang terdiri dari dua penyanyi latar iaitu Azlina dan Liza Aziz, pemuzik terkenal Michael Veerappan, Lewis Pragasam, Fauzi Marzuki, empat orang penari dan beberapa krew.

Menyentuh mengenai perkembangan album Inggeris single "One Thousand Million Smiles" yang telah diedarkan sejak Julai lalu, Sudirman memberitahu, setakat ini beliau belum mengetahui perkembangannya.

"Bukanlah mudah untuk mendapat tempat atau sambutan secara mendadak. Sedangkan Richard Marx mengambil masa lima tahun. Saya rasa enam bulan tidaklah terlalu lama.

"Tahun 1990 adalah tahun yang paling sibuk bagi saya, bukan saja urusan nyanyian malah perniagaan minuman SUDI saya. Sebab itulah rancangan promosi di London terpaksa ditangguhkan beberapa kali. Insya-Allah jika tiada aral melintang pada Jun tahun depan, saya akan ke sana bagi tujuan promosi album single itu," kata Sudirman.

Mengenai filem 'Mem' yang dirancangkan pada Disember itu terpaksa ditangguhkan kerana skripnya terpaksa diolah lagi.

"Kalau mahu sekarang juga saya boleh terbitkan tetapi saya tidak mahu tergopoh-gapah dalam melakukan kerja. Apa yang penting ketelitian sebab itulah skrip yang telah siap itu terpaksa saya olah lagi untuk melicinkan perjalanan ceritanya," kata Sudirman.

'Mem' adalah sebuah filem yang mengisahkan seorang graduan yang menganggur. Beliau kemudian mendapat kerja dan bossnya adalah seorang wanita. Watak Mem dicadangkan untuk Noorkumalasari manakala graduan itu akan dilakonkan oleh Sudirman sendiri.

Di samping menulis skrip filem, Sudirman juga telah menyiapkan novel untuk kanak-kanak "Taming Si Budak Pintar" yang akan mula diedarkan tahun depan. Beliau juga kini sedang menulis beberapa buah buku lain.

Oleh: Muzlina Abu Bakar
Foto: Kadir Bachok
Sumber: Sisipan hiburan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 Disember 1990.

Sudirman bersama Fauzi Marzuki di London sewaktu rakaman single "One Thousand Million Smiles" pada bulan Julai 1990.


Sudirman bersama pembantu peribadinya Peter Joseph dan Pengurusnya Dharanee sewaktu di Hawaii pada bulan Januari 1991.


Sudirman bersama pengurusnya Dharanee yang ketika itu agak sibuk dalam menguruskan perniagaan minuman SUDI nya.

Sunday, March 22, 2020

PERGINYA SEORANG LEGENDA


Aneh sekali seseorang itu dijenguk atau dimuliakan hanyalah apabila nyawanya bercerai dari badan. Ramailah yang datang bertandang. Ramailah yang memuji-memuja. Dan lebih ramai lagi yang bersimpati. Kalaulah kita dapat meluangkan sedikit masa, walaupun seketika dalam seumur hidup kita untuk menceritakan titik berat terhadap yang disayangi, tentu kita akan berasa hampa. Taklah terkilan.

Sejak kecil saya didodoi suara itu. Ia menyentuh hati saya sedalam-dalamnya. Sungguh saya rasa bertuah. Dan ramai lagi yang bertuah seperti saya.

Tidak terlintas di kepala saya akan dapat mendampinginya pada tahun-tahun ini. Tidak terlintas langsung. Dengan kehendak Tuhan ia menjadi kenyataan juga. Alhamdulillah. Tetapi yang lebih indah lagi ialah Allahyarhamah adalah segala-galanya seperti yang saya sangkakan sewaktu kecil periang, lemah-lembut, peramah dan penyayang. Allahyarhamah seperti ibu. Di saat-saat kesempatan pertama saya bersamanya, tanpa meminta saya memanggilnya 'Mama'. Tanpa segan silu saya luahkan perasaan saya. "Terima kasih Mama kerana mendekatkan lagu-lagu lemak merdu, sukaria, sedih pilu kepada saya, di hari-hari saya berjinak-jinak dengan dunia seni." Saya seakan terbaca kata-kata di senyumannya.

"Hei this boy." (Hei budak ini) Saya masih teringat penjelajahan kami ke seluruh Malaysia Barat bersama Orkes Tentera Darat. Ia seakan-akan lambaian terakhirnya buat semua yang mencintai suaranya.

Saya tidak akan melupakan masa luang kami sepanjang pertunjukkan tersebut. Kami main scrabble. Kami menyanyi. Kami memancing. Kami bersembang hingga pagi.

Saya masih ingat di suatu malam selepas pertunjukkan, Mama mengadu lapar. Dalam bilik tiada apa untuk dimakan. Di luar kedai sudah tutup. Malam hujan lebat. Yang ada cuma empat ekor ikan yang kami pancing waktu petangnya. Ikan pun duduk termenung dalam peti ais. Nak dipanggang, kayu di tanah basah. Tetapi Mama lapar. Saya mesti cari jalan.

Api saya nyalakan di beranda. Ikan, saya panggang semua. Saya hidang cantik-cantik bila dah siap, saya menjemput Mama ke bilik. "Macam mana panggang ni?" Mama nampak berselera "Dengan kayu," jawab saya. "Kayu mana?" "Kayu laci." "Laci? Laci Mana?" "Tu ha! Laci almari." Saya tunjukkan ke arah almari yang terlopong. Mama ketawa...........

Saya turut ketawa. Saya tahu perbuatan saya patut dikutuk. Tetapi Mama tak patut lapar di hadapan saya. Esoknya saya bayar tauke hotel harga tiga buah laci. Kami pernah terlewat untuk satu pertunjukkan Serantau Abadi. Kami leka memancing. Hingga terlupa waktu. Di tapak pertunjukkan orang ramai riuh. Pegawai tentera semuanya kelihatan berang. Kami tiba macam orang salah nak mengadap pengadilan.

"Mama, Mama pergilah cakap kat dia orang. Kalau Mama yang cakap dia orang tak marah," saya memujuknya untuk membela kami. "Lah kita buat salah. Dia marah tak apa," jawabnya tenang.

"Bukan kita sengaja, Mama. Kalau dia orang berang, saya susah sikit nak nyanyi, Mama," pujuk saya lagi. Mama cuma tersenyum. Seperti seorang anak yang tahu akan kekuatan ibunya. Saya perhatikan BIDUAN NEGARA kita berbicara dengan lentok-liuknya. Saya percaya tiada masalah akan timbul. Mama ada.

Sebelum pertunjukkan, Mama kerap bertanya sama ada saya suka persalinannya. "Cantik, Mama. Suara Mama punya 'best'. Mama pakai 'jersey' bola pun orang suka," kata saya. Memang saya suka melihat Mama ketawa.

Saya pernah menyanyi di pentas dengan jahitan di kepala saya, balutan di rusuk kiri dan luka di lengan saya. (Jatuh sebab tak boleh duduk diam). Mama terus mendapatkan air mandi buang bala siap dengan peraturan-peraturannya dan sukat bunga yang berbagai jenis.

"Kata orang mandi buang bala ni bagus. Cubalah," katanya. Memikirkan titik beratnya terhadap diri saya, sudah cukup untuk membuat saya gugup.

Mungkin waktu-waktu ini adalah hadiah istimewa darinya buat saya kerana begitu setia menyanjunginya sejak anak-anak dan cucu saya akan datang. Insya-Allah. Seperti serangkap lagu saya:-

Walaupun kau akan pergi
Kau tetap di awan tinggi
Kerana kau bintang hati

Begitulah, kalau dengan ikhlas kita menghulur tangan untuk memegang seorang yang lain, dunia akan menjadi indah. Percayalah.

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 9.



SUDIRMAN PERNAH BANTU SALOMA SECARA DIAM-DIAM



Penghibur rakyat yang disayangi ramai Allahyarham Sudirman Hj. Arshad amat terkenal dengan budi bahasanya yang santun dan menghormati orang tua khususnya artis veteran. Bahkan Allahyarham turut mengambil berat terhadap mereka yang dalam kesusahan.

Ramai artis veteran yang pernah menemui Allahyarham Sudirman semasa hayatnya mengetahui hakikat ini termasuk seniwati Mariani.

"Allahyarham Sudirman amat sayang dengan Allahyarhamah (Puan Sri) Saloma. Masa mereka masih hidup dulu, sering mereka berhubung kerana arwah Sudir ni terlalu sangat ambil berat pada arwah Saloma yang kurang sihat.

"Arwah adik saya itu (Saloma) pernah beberapa kali bercerita dengan saya bila setiap kali arwah Sudir memberikan bantuan padanya. Entah dah berapa ribu ringgit saya tak tahulah.

"Oleh kerana terlalu kasih sangat pada arwah Saloma, Allahyarham Sudir telah merakamkan sebuah lagu yang dicipta khas untuknya berjudul 'Mama'.

"Masa arwah Sudir buat show untuk tentera di Port Dickson, dia ajak arwah Saloma nyanyi bersama. Sebab dia teringin sangat mahu arwah Saloma tu jadi guest starnya. Layanan yang diberikan pada arwah Saloma pula macam VIP," cerita seniwati Mariani.

"Saya pun arwah Sudir pernah membantu. Dia tak lokek bila saja saya minta minuman SUDI untuk pengambaran drama saya "Canai". Dia bagi sampai enam tong besar. Lebih dari cukup. Kalau di mana-mana dia nampak saya atau artis veteran, dia yang lebih dulu menegur dan datang pada kita," jelas Mariani lagi.

Anaknya, pelakon dan penyanyi Melissa Saila pula memberitahu: "Arwah Abang Sudir banyak memberi nasihat pada Lis supaya serius dalam karier dan waktu terjumpa Lis di tengah jalan, dia pernah tumpangkan Lis dan hantar pulang ke rumah."




Saturday, March 21, 2020

P. RAMLEE BIDUAN SAYA


Pertama kali saya lihat orangnya ialah sewaktu umur saya sembilan tahun. Itu pun antara nampak dan tidak nampak. Penonton berduyun-duyun ramainya. Masing-masing menjingkit kaki, dan memanjat apa saja yang membolehkan mereka melihat Seniman Agung itu beraksi di atas pentas. Saya terlompat-lompat di belakang pentas untuk melihatnya. Sekali saya melompat, sekali itulah saya dapat melihat 'hero' masyarakat itu. Akhirnya saya mengalah, dan hanya berpuas hati dengan mendengar suara orangnya sahaja, sementara mata saya memandang penonton-penonton sekeliling pentas yang sudah tidak menghiraukan sama ada mereka ketinggalan bas lewat malam atau tidak.

Malam itu, ramai orang terhibur. Saya terpegun bagaimana seorang insan boleh mengawal, menyentuh dan mencuit perasaan orang ramai yang beribu-ribu itu. Sesungguhnya dia milik ramai.

Memang ramai pengikut Allahyarham P.Ramlee di kampung saya. Semasa masih anak-anak, filem-filemnya bagaikan satu hadiah untuk seluruh masyarakat Temerloh, Pahang. Panggung Semantan yang bagai nak roboh itu akan menjadi sesak dengan penghuni kampung-kampung berdekatan. Mereka berasak-asak membeli tiket. Ada yang tarik baju. Ada yang panjat dinding. Ada yang bertumbuk. Ada yang pengsan. Ini semua perkara biasa bagi kami. Lebih-lebih lagi apabila filem P.Ramlee sedang ditayangkan.

Saya masih ingat suara sayunya menyanyikan lagu Nasib Si Miskin, Berkorban Apa Saja, Tidurlah Permaisuri, Jeritan Batinku dan berpuluh-puluh lagi. Ia mengingatkan saya akan keluarga saya sewaktu saya masih kecil. Kami selalu berkelompok mendengar radiogram besar yang berat setengah ton. Saya juga teringatkan kepingan-kepingan rekod yang setebal capati. Kalau jatuh boleh terbelah empat. Dan saya juga masih ingat bagaimana berharganya rekod-rekod P.Ramlee kepada keluarga kami. Kerana itulah lagu-lagunya amat menyentuh saya sedalam-dalamnya. Dan sehingga hari ini, lagu-lagunya masih segar dalam ingatan saya.

Pada zaman kegemilangannya, ramai anak-anak muda di kampung saya yang terikut-ikut dengan caranya berpakaian, bergaya dan menyanyi. Remos P.Ramlee, Misai P.Ramlee, Senyuman P.Ramlee. Sehingga jerawat pun, jerawat P.Ramlee. Yang cuba menyanyi ala P.Ramlee, usah dikira lagi, berlori-lori ramainya.

Dan P.Ramlee terus menghibur dalam pergolakan masa. Selera bertukar ganti. Artis-artis baru datang dan pergi. Angkatan Pop Yeh-Yeh menular. Satu 'revolusi' selera muncul seperti air bah yang melimpahi tebing sungainya. Dan terdapat sebahagian masyarakat mula memandang sepi terhadap P.Ramlee. Namun dia tidak pernah mengalah. Hingga ke akhir hayatnya. Kerana dia seniman tulen.

Pada pagi 29 Mei tahun 1973 itu, saya sedang bersiap-siap di dalam asrama untuk ke sekolah. Berita pemergiannya mencengkam saya dan penuntut-penuntut yang meminatinya. Tiba-tiba saya rasa seolah-olah sesuatu yang perlu telah hilang. Kosong. Lengang. Seperti kilat saya teringat emak saya, ayah saya, abang-abang dan kakak-kakak saya, radiogram buruk kami, rekod-rekod lama kami dan rumah papan yang usang tempat saya dilahirkan. P.Ramlee sudah tidak ada lagi. Tapi seperti juga ingatan saya terhadap kehidupan kami sewaktu saya kecil, ingatan terhadap P.Ramlee akan terus kekal abadi kerana P.Ramlee sebahagian besar dari kehidupan kami.

Sepanjang hayat saya hanya menerima apa yang dicurahkannya seperti juga saya menerima sumbangan dari seniman-seniman lain. Keagungan sumbangannya hanyalah benar-benar saya rasakan setelah dia sudah tiada lagi. Dan ramai lagi yang berperasaan seperti saya. Kini yang tinggal hanya sanjungan dan pujaan yang tidak akan luput.

Sememangnya, kalau kita menabur jasa dengan ikhlas tanpa meminta dibalas dan disanjung, keagungan jasa itu dengan sendirinya akan menerbitkan penghargaan yang tinggi di kalangan orang ramai. Tidak payahlah kita mendabik dada untuk dihargai. Ia akan datang dengan sendiri. Tetapi sayangnya, ini kerap berlaku hanyalah apabila orang yang berjasa itu sudah tiada lagi. Begitu lumrah alam.

Petikan: Dari Dalam Sudirman muka 15.

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee
(22 Mac 1929 - 29 Mei 1973)

Friday, March 20, 2020

RAHSIA SUDIR MENGAMBIL SURAJ SEBAGAI ANAK ANGKAT


URTV: Berapa usia Suraj ketika ini?

SUDIR: 1 tahun 3 bulan.

URTV: Kami tahu Suraj amat manja dengan Sudir, tapi hari ini dia asyik tidur aje (ketawa).

SUDIR: Dia sakit baru-baru ini. Tengah dalam perintah makan ubat doktor lagi ni. Sebab tu dia mengantuk.

URTV: Kesian. Bolehkah Sudir ceritakan sedikit sebanyak tentang pengambilan Suraj sebagai anak angkat?

SUDIR: Boleh. Suraj sebenarnya ialah anak saudara mendiang Rethina Kumar, 'bodyguard' saya yang mati dibunuh dulu. Dulu semasa mendiang bertugas dengan saya, dia bercadang masuk Islam. Lalu saya berjanji akan mengambil anak lelaki sulungnya untuk saya pelihara seperti anak sendiri. Beri dia segala kemudahan untuk berjaya dalam pelajaran dan hidup. Kemudian, satu hari mendiang bertanya, kalau dia mati sebelum itu, apakah yang akan saya lakukan? Saya berkata saya akan mengambil salah seorang bayi dari keluarganya untuk saya didik seperti anak sendiri. Dia sungguh gembira dan sehingga hari ini saya terbayang kegembiraan di wajahnya. Seperti mendiang tahu yang dia akan pergi.

URTV: Di mana Sudir jumpa Suraj pertama kalinya?

SUDIR: Klinik beranak Chowdhry di KL. Saya dapat berita yang adik perempuan mendiang telah melahirkan anak sulung di Klinik Chowdhry. Saya bergegas ke sana. Walaupun baru 2 jam setelah dilahirkan, Suraj tersenyum melihat saya. Saya terus jatuh hati.

URTV: Terus Sudir angkat?

SUDIR: Tidak. Tapi saya berkenan sebab iras wajahnya pun seperti mendiang Kumar. Dua hari kemudian, saya melawatnya lagi. Kali ini dia menangis dan semua orang dukung dia, tapi dia tetap menangis. Apabila saya dukung, dia terus diam. Dan ini berlaku beberapa kali. Kalau saya dodoikan dia, dia tidur. Lalu saya berkenan habis dan menyatakan hasrat saya.

URTV: Tiada yang menentang?

SUDIR: Salah seorang bapa saudara Kumar melarang saya melibatkan diri saya dalam menamakan bayi itu. Tapi kalau saya sudah suka, saya akan cuba hingga berjaya. Saya namakan bayi itu Suraj Kumar bermakna "Raja yang cantik". Saya ambil 'SU' dari nama awalan saya. Ibu bapanya suka nama itu.

URTV: Lepas itu?

SUDIR: Selepas dua minggu, saya nyatakan hasrat saya untuk mengangkat Suraj lagi. Ibu bapanya bersetuju, tetapi setelah 4 tahun, Suraj perlukan kasih sayang seorang ibu pada usia sebegini. Walau bagaimanapun, Suraj mengenali saya dan amat manja dengan saya. Dia membuat saya rasa terhibur.

URTV: Ada orang bertanya, kenapa Sudir tak ambil anak yatim piatu?

SUDIR: Saya tahu orang akan bertanya. Tapi di sini, soalnya bukan soal kebajikan. Itu saya lakukan tanpa alasan. Tapi di sini, pokoknya ialah Suraj sukakan saya dan saya mahu memenuhi janji-janji saya pada mendiang Kumar. Seperti perkahwinan, kita tidak kahwin kerana kasihan, tapi kerana ada perasaan cinta, kasih dan sayang. Begitu juga dengan Suraj. Dengan cenderungnya dia kepada saya, saya amat tersentuh hati. Saya rasa ini ditakdirkan Tuhan untuk saya. Bukan senang nak dapatkan seorang bayi yang sayangkan kita.

URTV: Dulu kata Sudir, Suraj akan Sudir Islamkan.

SUDIR: Benar. Saya bertanya pada Ustaz saya. Kata beliau, tunggu sehingga dia boleh bertutur dan mengucap. Dalam perkiraan 4-5 tahun. Saya sedia menunggu. Niat saya jujur mahu membahagiakan dirinya. Kerana ini membahagiakan saya. Saya sudah sampai ke tahap umur di mana saya mahu menimang budak dan bertanggungjawab mendidik. Suraj datang bergolek.

URTV: Kenapa tak kahwin dapatkan anak darah daging sendiri?

SUDIR: Susahlah soal kahwin-kahwin ini (ketawa). Ini hal takdir. Tuhan masih belum membuka jalan saya ke arah ini. Kalau takdir saya tak menolak. Untuk mencari, saya penat dan banyak kerja. Saya rasa kalau jodoh, tak ke mana.

URTV: Tidakkah nanti belaian seorang ibu akan lebih memudahkan pembimbingan anak?

SUDIR: Kita manusia sering membeza-bezakan perasaan ibu, ayah dan seumpamanya. Perasaan kasih terbit dari siapa saja. Terserah kepada hati masing-masing. Saya rasa kasih sayang saya amat tinggi nilainya.

URTV: Apakah perancangan Sudir untuk Suraj?

SUDIR: Ada jangka pendek. Ada jangka panjang. Tapi saya pun hanya merancang. Allah jua yang menentukan segala-galanya. Kita tak dapat melawan takdir.

URTV: Apabila diislamkan, apa nama Suraj nanti?

SUDIR: Saya suka Muhammad Qamar kerana itulah nama pilihan mendiang Kumar dahulu untuk dirinya. Maksudnya: 'Bulan Yang Terpuji'.

URTV: Sudir nak ambil anak angkat lagi?

SUDIR: Saya amat sibuk. Banyak urusan. Nak jaga Suraj terus pun mungkin sukar ketika ini, dia masih kecil. Jadi, sukar untuk menjaga lebih ramai bayi ketika ini. Tetapi, saya sentiasa berserah pada takdir.

URTV: Apa kata kalau ibu bapa Suraj menolak kemudiannya untuk diislamkan?

SUDIR: Saya tak boleh meramalkan apa yang belum berlaku. Saya terima segala ketentuan takdir. Kita boleh berusaha, takdir juga yang berkuasa. Yang kita dapat ialah pengalaman dan pengajaran.







Oleh: Bahyah Mahmood (BAM) 
Foto: Sa'ari Amin
Sumber: Majalah Hiburan URTV terbitan 15hb April 1991.