Monday, July 19, 2021

ALLAHYARHAM SUDIRMAN SUDAH DIHAJIKAN


Teringat saya Allahyarham Sudir semasa hayatnya 20 tahun dulu pernah berkata "Di dunia ini, tidak semua orang hidup dalam kesenangan. Kerana itulah saya bekerja keras untuk hidup senang. Memang bukan senang nak jadi orang senang.

Kata-kata itu sebagai menjawab teguran saya terhadap tabiatnya yang selalu asyik bekerja sehingga jam dua tiga pagi bersengkang mata menyiapkan skrip untuk shownya dan membaca surat peminat dan membalas surat peminat yang bertimbun-timbun.

Sedangkan kehidupan manusia itu telah diaturkan oleh Allah, waktu siang untuk bekerja mencari nafkah hidup dan pada waktu malam adalah untuk berehat dan tidur.

Semasa hayatnya dulu, memang menjadi impian Sudir, bila kesenangan telah dikecapi, dia sudah berniat untuk menjejakkan kakinya ke tanah suci, Mekah Al-Mukarramah untuk mengerjakan Umrah, teringin menatap Kaabah dan melakukan Tawaf di dalam Masjidil Haram.

Dia telah bermuafakat bersama kakak kesayangannya Datin Rudiah untuk pergi bersama menemaninya. "Selepas mengerjakan ibadah Umrah, di tahun berikutnya nanti bolehlah mengerjakan ibadah Haji pula." Begitulah mendapat tahu penyanyi M.Shariff (Allahyarham) telah berangkat ke Mekah bersama isteri dan kesemua anak-anaknya.

Rudiah mengakui memang Deman dah pasang niat untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah. "Sebelum dia jatuh sakit dulu, saya dan Deman memang telah merancang untuk pergi ke Mekah bersama, mengerjakan Umrah dulu, dan kemudian pada tahun berikutnya kami nak mengerjakan ibadah Haji pula. Adik-beradik yang lain kalau nak ikut serta lagilah meriah, memang dialu-alukan.

Begitulah, manusia hanya merancang, tapi Allah yang menentukan segala-galanya.

"Hajat kami berdua tidak kesampaian disebabkan halangan-halangan yang mendadak datangnya. Kemudian, tidak lama selepas itu Deman jatuh sakit. Namun saya masih mengharap sangat penyakit akan sembuh dan dia akan kembali sihat seperti sedia kala dan bolehlah kami segerakan niat untuk ke tanah suci itu mengerjakan ibadah Umrah," kata Rudiah terkenangkan kisah-kisah yang terjadi kepada adik kesayangannya itu, walaupun 20 tahun telah berlalu.

"Saban tahun datangnya tarikh 22 Februari, dikala rakyat jelata mengenang kepergiannya, kami adik-beradik jadi sebak. Perasaan sedih pilu menusuk kalbu dan tergambar segala peristiwa dan penderitaan yang ditanggung oleh Deman. Kami adik-beradik yang tidak berputus asa, malah sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk menyembuhkan penyakitnya. Penyakit santaunya terlalu kuat hingga tidak tertanggung oleh tubuh yang kecil itu.

"Akhirnya kami redha dengan kepergiannya yang tak kembali lagi, kami yakin Allah lebih sayangkan dia, tak mahu hidup lama. Allah pinjamkan dia selama 37 tahun di alam dunia yang fana ini untuk disayangi. Tapi terasa tak puas menyayangi Deman. Memang tak diduga dia pergi secepat itu," ujar Rudiah begitu terharu.

Namun ibadah Haji yang menjadi impian Sudir yang tak tercapai semasa hayatnya, kata Rudiah, adik-beradik semua sepakat melaksanakan BADAL HAJI untuk Deman begitu cepat sekali dilakukan pada tahun kematiannya (1992) sempena musim Haji pada 1412 Hijrah.

Rudiah menegaskan: "Kami adik-beradik tidak dapat melaksanakan sendiri Badal Haji buat Arwah Deman, kerana saya sendiri pada ketika itu (1992) masih belum lagi mengerjakan ibadah Haji. Jadi tak bolehlah melaksanakan Badal Haji untuk Arwah Deman," tegas Rudiah menjelaskan mengenai Badal Haji bererti, melaksanakan atau menggantikan haji untuk orang lain.

Sesungguhnya, seseorang yang akan menggantikan Badal Haji untuk orang lain, orang itu harus sudah melaksanakan haji untuk dirinya sendiri.

Sabda Rasulullah S.A.W "Laksanakan terlebih dahulu Hajimu, baru kamu melaksanakan haji orang lain." (Hadis riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ibnu Abbas)

Rudiah menyatakan, biaya Badal Haji buat Allahyarham Sudir adalah dari wang sedekah yang dihulurkan oleh kawan-kawan dan sanak saudara yang menziarahi jenazah Deman di hari kematiannya, dan ditokok tambah lagi dari wang kami adik-beradik.

Selang beberapa tahun pemergian Allahyarham Sudir ke alam barzakh (alam penantian menunggu alam akhirat), Rudiah telah berangkat ke Mekah mengerjakan Umrah bersama suaminya Datuk Zainudin Awang Ngah pada tahun 1996. Kemudian 1998, Rudiah dan suaminya berangkat lagi ke Mekah mengerjakan ibadah Haji, rukun Islam yang kelima.

Dituruti seorang lagi abang Arwah Sudir iaitu Encik Basir telah mengerjakan Haji bersama isterinya Aishah Haji Mahadi pada tahun 2002.

Kesemua abang dan kakak Arwah Sudir tidak lupa mengerjakan Umrah untuk Arwah Deman yang disayangi bila mereka berkesempatan berada di Mekah mengerjakan ibadah Umrah.

Sudir dikalangan keluarganya panggilan mesranya ialah Deman. Sementara anak-anak saudaranya yang ramai itu memanggil Sudir, COKMAN.

Banyak kenangan bersama Sudir semasa hayatnya dulu, abadi di hati sanubari abang-abang dan kakak-kakaknya. Begitu juga Sudir meninggalkan kenangan manis dan indah di hati orang-orang yang menyayanginya, sahabat handai, peminat-peminat dan rakyat yang sentiasa mengingatinya yang kadangkala hati itu begitu terharu mendengar nyanyiannya di di corong-corong radio di pasar raya. Terasa seolah-olah dia masih hidup. Pada hakikatnya, Sudir telah pun kembali ke alam barzakh meninggalkan dunia yang fana ini.

Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan rohnya di alam barzakh bersama penghuni-penghuni syurga.

Al-Fatihah....! Amin... Amin... Ya Rabbal'alamin.

Petikan: Majalah URTV Jun 2012, "abadi dalam kenangan" catatan Bahyah Mahmood.



HARI RAYA HAJI INGATAN SAYA


Hari Raya Haji adalah untuk Haji dan Hajjah sahaja. Begitulah yang ditekankan oleh ayah kepada kami adik-beradik semasa kecil. Dan kami mempercayai ayah. Merengek-rengeklah untuk mendapat sehelai baju baru; hantuklah kepada ke dinding untuk mendapat sepatu baru, namun ayah tetap tidak akan berganjak daripada pendiriannya.

"Hari Raya Haji untuk wan, datuk, Pak Aji, Mak Aji Itam.... pergi lawat orang-orang tua tu!" satu perintah daripada ayah. Saya patuh dengan segala kerelaan hati. Tak ada baju baru atau sepatu baru pun tak apa. Perintah ayah dijunjung tinggi. Di rumah Wan, Pak Aji dan Mak Aji, mesti dapat duit belanja raya. Dan mereka ini tidak pernah menghampakan saya.

Apabila meningkat dewasa, saya mula dapat membaca tabiat ayah. Sememangnya ayah pandai mencari alasan sekiranya dia tidak berkemampuan untuk mendapatkan sesuatu yang kami adik-beradik hajatkan. Dan sekiranya kami masih berkeras kepala, barulah tangan ayah melayang ke pipi. Dengan ayah ada hadnya.

Sehingga hari ini saya masih berpendirian seperti ayah. Begitulah berkesannya 'ajaran' ayah. Dan kerana itu juga, pada setiap Hari Raya Haji saya selalu terkenangkan ayah dengan cara dan tindak-tanduknya.

Ayah mendapat panggilan 'Haji'nya pada tahun 1972. Ayah menaiki kapal laut. Dia diterima bertugas sebagai Pegawai Kebajikan jemaah-jemaah Haji ketika itu. Kerana itulah pelayarannya percuma. Kalau hendak menunggu ayah mengumpul duit untuk mengerjakan Haji, memang tidak terkumpul oleh ayah. Kerana ayah suka berkawan-kawan, suka berbelanja. Dan saya amat bangga dengan cara ayah.

Seminggu sebelum ayah bertolak, ayah telah melawat kami di rumah kakak saya di Kuala Lumpur. Suasana malam itu menjadi riuh-rendah. Kami amat merasakan keghairahan ayah untuk belayar ke tanah suci. Kami bersembang anak-beranak sampai lewat malam. Kemudian ayah memimpin saya ke suatu penjuru rumah.

Ayah pastikan tiada orang lain yang mendengar kami sebelum dia berpesan. Dan permintaannya walaupun mengharukan, amat menggeletek hati saya. Kerana belum pernah saya melihat ayah yang begini. Sebelum dia bertolak pulang ke kampung kami di Temerloh, Pahang, ayah berpesan sekali lagi. Kali ini di hadapan semua.

"Sudir jangan lupa benda yang ayah nak tu ye?"

"Benda apa?" saya pura-pura bingung.

"Benda itulah," Ayah mengulangi. Keluarga saya saling berpandangan. Masing-masing ingin tahu apa yang dimaksudkan oleh ayah. Saya cuma tersenyum.

Dua minggu selepas ayah bertolak saya mendapat sekeping poskad darinya menyatakan yang 'tape recorder' tua saya habis rosak, tak boleh berjalan, kerana dimasuki air laut. Dan 'tape' yang saya rakamkan dengan lagu-lagu melayu untuk ayahpun habis rosak. Kasihan ayah. Pasti dia berasa kesunyian di dalam kapal.

Sepanjang pemergiannya, ayah kerap menghantar surat dan gambar-gambar semasa dia menunaikan Fardhu Haji di Kota Mekah. Kami tahu dia amat merindui kami. Kerana kami juga begitu terhadapnya.

Ayah pulang membawa sebahagian daripada Mekah; batu-batu akik yang berwarna-warni, permaidani yang berbagai-bagai ukuran, pinggan-mangkuk, buah kurma, air zam-zam, berbagai bentuk kitab dan terjemahannya dan seribu satu barang lagi. Ayah kelihatan seronok melihat kami adik-beradik berebut-rebut mengambil ole-ole yang dibawanya pulang. Saya agak ayah berasa amat puas kerana dapat menghadiahkan kami sesuatu yang amat kami sukai ketika itu.

Pada tahun 1978, saya memenangi peraduan menulis esei anjuran Syarikat Penerbangan Jepun (JAL). Hadiahnya merupakan kursus selama tiga bulan di Jepun. Saya berhari Raya Haji di sana. Dan saya sempat menghantar sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya Haji yang saya buat sendiri kepada ayah. Di dalamnya saya tulis:

"Dulu ayah kata Hari Raya Haji untuk orang dah naik Haji. Sekarang saya ucapkan Selamat Hari Raya Haji  kepada ayah, rajin-rajin makan ubat."

Ayah tidak membalas kad saya. Ayah memang tidak suka menulis surat. Tetapi apabila saya telah pulang ke kampung, saya ternampak kad ucapan saya di dalam laci biliknya. Dan saya nampak beberapa bekas titisan air mata atas kiriman saya. Dan saya tahu ayah amat terharu menerima kad tersebut daripada saya.

Semenjak ayah bergelar 'Haji', setiap Hari Raya Haji kami raikan bersama sekiranya tiada aral melintang. Dan ayah orang yang paling gembira sekali.

Pada Hari Raya Haji tahun 1979, saya ke Malaysia Timur, menyanyi. Saya sempat menghantar kad Hari Raya Haji saya untuk ayah. Ayah ketika itu sedang sakit. Dan seminggu selepas Hari Raya Haji tahun itu, ayah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Dan saya terus dibuai rindu dengan seribu kenangan tentang ayah setiap tahun pada Hari Raya Haji.

Kerana itulah pada Hari Raya Haji, setiap Haji dan Hajjah mendapat tempat yang paling istimewa di hati saya. Malahan perasaan ini terus terpupuk sepanjang tahun kerana saya menganggap mereka ini telah mencapai satu tahap yang mulia di sisi agama.

Dan pada Hari Raya Haji ini, saya berhajat untuk menziarahi sepasang Haji dan Hajjah yang bertanggungjawab ke atas perkahwinan saya, Haji Romainoor dan Hajjah Umi Kalthoum yang kebetulan mereka adalah juga sahabat lama ayah. Dan seperti pesan ayah saya akan membawa kain pelekat baru sebagai tanda ingat, kan ini hari raya untuk mereka!

Petikan: 'Dari Dalam Sudirman' muka 32-33, tulisan Sudirman Haji Arshad.

DIDIKAN AYAH DAN IBU (SEMPENA HARI RAYA HAJI)


Bila sampai Hari Raya Haji, saya selalu gelisah teringatkan arwah ayah saya. Saya teringat betapa bangga wajah ayah bila mula bergelar haji. Saat itu bagaikan pencapaian tertinggi bagi ayah. Memang itu hak ayah. Sebab dia bersusah payah nak dapatkan gelaran itu. Maklumlah keluarga kami bukan kaya. Jadi ayah pergi pun atas tiket pegawai membantu menyelaraskan urusan jemaah haji. Jaga orang naik haji. Saya bangga atas usaha ayah walaupun kesian pun ada, sebab ayah pun terlalu dijaga. Sudah tua.

Ayah ke sana berbekalkan lagu-lagu Melayu yang dia minta saya rakamkan dalam 'tape'. Tapi ayah tak dapat dengar sebab tape recordernya jadi masin, kena simbah air laut. Ayah pergi naik kapal haji, dalam tahun 1972.

Dan Hari Raya Haji tahun ini, saya teringat anak-anak buah saya. Baru-baru ini ramai peminat bertanya geli-geli hati kenapa anak-anak buah saya ditempatkan dalam perkarangan reban ayam sewaktu saya menerima kunjungan tetamu istimewa ke rumah saya pada hari raya dulu.

Sebenarnya perkarangan reban ayam Abang Sudir itu amatlah bersihnya. Mak Abang Sudir ni, kaki bersih orangnya. Tengok Abang Sudir, kalau berkarat pun disental sampai putih melepak, kadang-kadang merah lebam. Lebih dari itu. Tempat ini selamat dari ular, lipan atau kala sebab berpagar rapat. Lagipun dalam rumah tu, kalau budak-budak bergolek sikit, papan akan bunyi iek-oik-iek-oik. Jadi bising dan tak manis.

Lebih dari itu, anak buah Abang Sudir ni anggap Abang Sudir macam cikgu. Semuanya tak mahu dengar kata Abang Sudir. Tapi kalau Abang Sudir nyanyi, semua berhenti main. Kalau Abang Sudir nyanyi dalam dapur, semua berlonggok di muka pintu. Maksudnya, Abang Sudir ada caranya dengan mereka. Kan Abang Sudir ni 'Cik Oman' dia orang.

Sebenarnya kalau adik peminat ingat Abang Sudir ni 'bertuah' punya bapak saudara, adik mesti tahu dulu cerita Abang Sudir ini. Abang Sudir masa kecil dulu selalu merungut: "Ayah ni kolotlah. Anak ayah ni bukannya perempuan. Takkan tak boleh hensot-hensot sikit."

Tapi ayah Abang Sudir keras orangnya. Macam orang Melayu lama. Budak kecil mesti pergi jauh-jauh bila orang tua bercakap. Dia kata duduk, duduk! Dia kata diam, diam! Dan Abang Sudir selalu anggap ayah kolot.

Tapi bila dah besar, Abang Sudir mula faham mengapa ayah buat macam tu. Sampai ke hari ini, Abang Sudir sentiasa mahu fikirkan kesejahteraan orang lain dulu. Macam ayah. Dan ayah Abang Sudir tak pernah marah.

Selamat Hari Raya Haji untuk semua Pak Aji dan Mak Aji.

Petikan: "Teringat-Ingat" catatan Sudirman Haji Arshad di URTV keluaran 1980-an.