Saturday, February 27, 2021

ATAI MERAUNG KERANA COKMAN


Sampai saat ini Atai masih tidak dapat melupakan peristiwa sedih dan pilu kerana dia tidak dapat menatap Cokman (Sudirman). Pakciknya yang paling disayanginya di hari terakhir Cokman menghembuskan nafas terakhir... kembali ke Rahmatullah, meninggalkan dunia yang fana ini.

Alkisah, pada hari kematian Sudir, Sabtu, 22 Februari 1992, Atai bertolak dari Kuantan, Pahang ke Kuala Lumpur. Tiba di rumah di Lorong Taban 1, Bangsar pada jam 4.30 petang. Hairan...? Tiada sesiapa pun di rumah itu. Kosong dan sunyi sepi... hairan sungguh ke mana perginya semua orang?

Atai terus naik ke tingkat atas untuk melihat Cokmannya. Cokman pun tak ada? Katilnya kosong tanpa tilam.

"Mungkin Cokman dah dibawa ke hospital," berkata-kata hati Atai yang sama sekali tidak menyangka Cokmannya sudah dijemput Malaikat Maut meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.

Atai terus menelefon ibu saudaranya Makcik Timah, isteri pakciknya, Doktor Roslan (abang Sudirman) di Johor Bahru. Makcik Timah memberitahu, Cokman telah meninggal dunia pada pukul 4 pagi.

Hancur luluh Atai mendengarnya dan lemah longlai seluruh tubuhnya. Dia menangis dan meraung... bergema satu rumah raungannya... "Cokman, sampai hati tinggalkan Atai". Dia terus menangis sepuas-puasnya.

Sejenak... setelah puas menangis melepaskan perasaan sedih pilu dan terperanjat yang amat sangat, Atai bergegas keluar untuk pergi ke Temerloh, Pahang. Di sana di tanah tumpah darahnya jenazah Sudir disemadikan.

Baru saja Atai berjalan nak keluar dari Lorong Taban 1 ke Jalan Bangsar, dengan kuasa Tuhan, tiba-tiba terserempak dengan Peter, pekerja Cokman. Peter terkejut melihat Atai sendirian dan bersedih.

Peter terus menghantar Atai ke perhentian teksi di Pudu Raya. Tapi kata pemandu teksi, dia terpaksa menunggu tiga orang lagi penumpang, barulah boleh bertolak ke Temerloh.

Kata Peter, tak mengapa! Atai boleh sewa satu teksi sekali. Bayarannya RM60 kata pemandunya.

Tapi kata Atai, dia hanya ada RM30 sahaja. Kata Peter, tak mengapa, dia boleh tambahkan RM30 lagi. Atai boleh bertolak sekarang.

Entah macam mana, selepas tol, ada pulak sekatan jalan raya, pihak JPJ sedang membuat pemeriksaan. Tiba-tiba kata si pemandu teksi, dia tak dapat menghantar Atai ke Temerloh. Tapi dengan kuasa Allah jua, bila hampir tiba giliran pada teksi yang Atai tumpang, tiba-tiba pemeriksaan itu diberhentikan.

Syukur Alhamdulillah... kerana Cokman, segala-galanya dilalui dengan mudah, ada-ada saja pertolongan yang datang di saat akhir.

Atai begitu kesal teringatkan peristiwa pagi tadi sewaktu dalam perjalanan menaiki bas dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Bas tersebut singgah berhenti di Temerloh. Penumpang-penumpang termasuk Atai semuanya turun untuk minum dan makan tengah hari.

Kalaulah Atai tau jenazah Cokman sudah berada di Temerloh pada ketika itu, tidaklah Atai panik begini. Agaknya memang sudah ditakdirkan... tak mahu dijumpakan Atai dengan Cokman di saat-saat akhir jenazah Cokman nak dikebumikan.

Atai tiba di Temerloh betul-betul pada waktu senja di saat-saat semua ahli keluarga di rumah dan orang-orang kampung sedang bersedia nak menunaikan solat Maghrib berjemaah dan bertahlil untuk arwah Cokman.

Tapi Atai ketika itu sudah lemah longlai dan tidak bermaya lagi.

Menurut Datin Rudiah (emak Atai, kakak Sudir), dia menghubungi Atai di Kuantan sejak pagi lagi. "Saya telefon banyak kali di asramanya tapi tak berjawab, susah betul nak dapat, terus saya hantar telegram suruh Atai balik ke Temerloh terus.

"Memang sudah ditakdirkan, Atai tak dapat menatap wajah Cokmannya buat kali terakhir.

"Selalunya dia balik KL hari Jumaat malam, tak kiralah pukul berapa dia sampai, pukul satu pagi, pukul dua pagi, dia mesti balik. Tapi kali ini pulak dia balik hari Sabtu, oleh kerana sibuk nak menghadapi peperiksaan," ujar Datin Rudiah.

BAM yang sering menziarahi Sudir ketika dia sakit dulu, memang kerap juga dapat bertemu dengan Atai. Kata emaknya, Atai ni memangnya tunggu aje hari cuti, cuti hujung minggu ke, cuti umum ke, dia mesti balik ke Bangsar kerana nak menjenguk Cokmannya.

Atai terlalu risau sejak Cokmannya terlantar sakit. Dia selalu telefon dan berpesan: "Emak mesti jaga Cokman betul-betul tau!"

BAM perhatikan, Atai yang baru sampai ke rumahnya di Bangsar, KL (dari Kuantan) memang dah tengah malam. Masuk aje rumah, terus masuk ke bilik Cokmannya. Wajahnya sedih macam nak menangis melihat Cokmannya yang terus membisu, dan hanya sekali-sekala terbatuk-batuk. Atai pun membisu juga, tanya sepatah, jawab sepatah.

Atai pada ketika itu berusia 18 tahun, sedang menuntut di Maktab Rendah Sains MARA, Kuantan, Pahang Darul Makmur.

Tapi pada suatu malam itu, bila BAM nak melangkah pulang, Atai mendekati BAM, lantas berkata: "Auntie BAM tau tak, tulisan Auntie BAM selalu membuat Atai 'tension' di Kuantan. Kadang-kadang rasa macam nak terbang balik jam tu jugak nak tengok Cokman.

"Auntie BAM janganlah tulis yang sedih-sedih pasal Cokman," rayunya dengan suara perlahan.

"BAM memujuknya sambil berkata; "Apa yang tersurat itulah perasaan Auntie BAM. Sepanjang Cokman sakit, Auntie rasa sedih... risau dan bimbang!"

Hancur luluhnya hati ini menerima hakikat bahawa nama Sudir sudah tercatat "Allahyarham Sudirman". Begitu cepat Sudir menjadi Arwah.

20 tahun - dua dekad sudah berlalu. Abadi dalam kenangan.

Petikan: Majalah hiburan URTV keluaran 15-31 Disember 2012, "Abadi Dalam Kenangan" catatan Bahyah Mahmood (BAM).

Paparan asal sisipan Panca akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 1 Mac 1992


Friday, February 26, 2021

SUDIRMAN YANG KU KENALI CORETAN S. ATAN

 


"Mrs. Beh, you want to listen to me or Sudir? If you listen to that superstar, I will submit my resignation 24 hours as EMI Producer."

Suara lantang saya itu memeranjatkan Mrs. Beh, Pengarah Urusan Syarikat Rakaman EMI (Malaysia). Dia meminta saya mengalah, seterusnya mengikut apa yang dikehendaki oleh Sudirman, penyanyi kesayangan EMI (Malaysia) ketika itu. Saya berkeras.

Saya tidak sanggup maruah saya tercemar dengan sikap Sudir yang sudah keterlaluan itu. Saya tidak boleh tahan. Setiap albumnya yang saya terbitkan, banyak sangat kerenahnya.

Hinggalah ke album kelimanya, ABADI, yang saya terbitkan, kerenahnya ketara semakin menjadi. Ini benar-benar sudah keterlaluan.

Bukan saya tidak mahu menerima idea Sudir, saya akui dia banyak idea. Tetapi cara yang dilakukannya itu tidak kena. Sudir mahukan sedikit perubahan pada susunan muzik pada lagu Punch Card yang diselitkan dalam album ABADI.

Yang menjadi kemarahan saya, permintaan Sudir itu hanya sesudah album ABADI selesai menjalani final mixing. Bermakna album itu sudah selesai, cuma menunggu masa untuk diedarkan.

Jika permintaannya dalam peringkat proses, masih boleh dipertimbangkan. Satu kerja pula jika saya mengikut kehendaknya, terpaksa menyewa studio semula, mengumpulkan ahli muzik, pelancaran album ditangguhkan dan bermacam lagi, yang akan meningkatkan kos penerbitan album itu.

Tidak hairanlah jika saya katakan, saya pernah menerbitkan album Sudirman dengan kosnya melambung hingga $30,000. Jika keadaan ini berterusan, alamat saya akan bertanggungjawab dengan boss.

Kemarahan saya kepadanya semakin memuncak kerana Sudir tidak merujuk kepada saya terlebih dahulu. Dia terus berjumpa dengan Pengarah Urusan, kerana itulah saya dipanggil oleh Mrs. Beh.

Dalam kekalutan itu Mrs. Beh menghubungi boss saya di EMI (Singapura). Sesudah dipujuk oleh boss saya, saya pun mengalah. Tetapi di dalam hati masih berbuku dengan sikap Sudir.

Sebaik saja segalanya mengenai album itu selesai dan selamat dilancarkan, saya tetap dengan pendirian saya. Saya berhenti dari EMI (Malaysia) dan pulang ke Singapura.

Sudir tahu mengenai hati saya yang sudah terluka dengan sikapnya itu. Dia trunk call saya dari Kuala Lumpur beberapa kali. Bermacam cara cuba dirayunya.

"I apologise for what had happen, I hope that you change your mind to produce my album again..."

Antara lain begitulah yang sering dicakapkan oleh Sudir setiap kali trunk call saya. Kata-katanya itu tidak dapat melembutkan hati saya. Akhirnya dia mengambil keputusan datang ke Singapura untuk menemui saya.

Dia bijak. Dia menggunakan girl friend saya untuk memujuk saya agar bersedia menerbitkan albumnya kembali. Saya masih ingat berkali-kali girl friend saya itu merayu supaya saya mengubah fikiran.

Saya tidak mengendahkan sangat. Akhirnya ditakdirkan Tuhan, suatu hari di Singapura kami berkesempatan bertemu muka. Dan disaksikan Tuhan juga, itulah pertama kali saya melihat Sudir menangis lalu melutut di depan saya supaya memaafkannya dan mengharapkan agar bersedia menerbitkan albumnya kembali.

Sekeras-keras kerak nasi akan lembut juga apabila terkena air. Tetapi saya bukanlah kerak nasi, kerana saya adalah manusia yang mempunyai hati dan perasaan.

Di dalam keadaan haru biru itu, saya menjelaskan kepada Sudir mengenai pendirian saya agar dia tidak berbuat begitu kepada penerbit yang lain pula.

"Sudir don't you think that you are a superstar, you can do anything you like. As a producer, I have the right on every album that I produce because this is my responsibility to the company.

"Sorry my decision still stands. I will not produce your album anymore." Sudir agak tergamam dengan keputusan muktamad yang saya buat itu.

Sebelum dia pulang ke Kuala Lumpur, saya memberitahu biarpun saya tidak berminat menerbitkan albumnya lagi, namun hubungan persahabatan masih tetap diteruskan.

Ini jelas sekali selepas kejadian itu, Sudir beberapa kali mengundang saya sebagai pemuzik iringannya (untuk Organ) semasa dia mengadakan konsert termasuklah di Sabah. Saya tidak menolak, kami profesional.

Setiap penerbit mempunyai kenangan menarik bersama Sudirman, begitulah saya sepanjang menerbitkan album Sudirman iaitu Anak Muda (1980) Lagu Anak Desa (1980), Lagu Dari Kota (1981), Abadi (1982) dan Lagu Cinta (1982).

Sudir mempunyai keunikan tersendiri. Pertama kali diserahkan tugas menerbitkan albumnya, kami menggunakan sebuah studio di Singapura.

Keunikan yang saya maksudkan itu, ialah setiap kali merakamkan suara, Sudirman mahukan suasana gelap di dalam studio rakaman.

Hairan, dia menyifatkan suasana terang benderang tidak dapat medatangkan feel kepadanya. Sikap Sudirman yang paling saya puji ialah daripada segi penghafalan lirik lagu.

Saya percaya setiap penerbit tidak khuatir apabila Sudirman berada di dalam studio, kerana dia terlebih dahulu sudah menghafal lirik dengan teliti sebelum merakamkan suara.

Sikap seperti ini sukar didapati daripada penyanyi lain yang pernah saya terbitkan album mereka, kerana ada antaranya terlupa lirik lagu yang akan dirakamkan untuk albumnya sendiri.

"Kehadiran dan pemergianmu sentiasa menjadi kenangan abadi yang takkan dilupakan, semoga rohmu berada di sisi orang-orang yang soleh, Al-Fatihah." - S. Atan (03.03.1992)



Sunday, February 21, 2021

SUDIRMAN BAYANGKAN PEMERGIANNYA DALAM LAGU 'SALAM TERAKHIR'

 


Sudirman Haji Arshad seolah-olah tahu dia tidak akan lama di dunia yang fana ini. Amatilah senikata lagu nyanyiannya ini yang diberi nama Salam Terakhir.

Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergianku ini tak dirancang

Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepadamu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadap mu

Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padaNya

Salam akhir salam yang teristimewa
Bersamanya ku memohon keampunan
Melaluinya kuberi kemaafan kepadamu

Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padaNya

Salam akhir salam yang teristimewa
Bersamanya ku memohon keampunan
Melaluinya kuberi kemaafan kepadamu

Andainya aku punya waktu
Masih ku ingin mengulangi semula
Saat indah bersamamu
Sayang tak berkesempatan
Abadikan saja
Salamku di ingatan
Salamku yang terakhir.

Menjelang subuh pagi semalam, penyanyi serba boleh kesayangan ramai itu kembali ke Rahmatullah setelah terlantar sakit selama tujuh bulan. Dia pergi meninggalkan para peminatnya dalam tangisan. Dia pergi tanpa sempat mencapai banyak lagi cita-cita besar dalam dunia hiburan dan perniagaan.

Kegemilangannya tersekat dengan tiba-tiba tujuh bulan yang lalu apabila beliau jatuh sakit dan 'menghilangkan' diri tanpa khabar berita. Beliau terlantar sakit di rumah, tidak mampu untuk berkata-kata sehinggakan 'kehilangannya' menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai penyakitnya.

Malah di saat-saat akhir hayatnya, beliau telah melalui dugaan yang cukup hebat dengan khabar-khabar angin bahawa dirinya telah dihinggapi penyakit merbahaya.

Sudirman mula mendapat perhatian dunia muzik apabila menjadi Juara Bintang RTM 1976 dengan lagu Cabaret kemudian muncul dengan EP pertama Teriring Doa.

Sebagai anak kampung yang dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 25 Mei 1954, Sudirman adalah seorang yang patriotik. Beliau seringkali muncul di pentas antarabangsa dengan baju kebangsaan dan jubah Bendera Malaysia.

Lagunya To Know Malaysia is To Love Malaysia yang didendangkannya ketika mengadakan konsert-konsert promosi Malaysia di luar negara pasti membuatkan para pendengar jatuh cinta dengan negara ini. Begitulah semangat yang ada pada Sudirman.

Allahyarham mendapat didikan awal di Sekolah Rendah Abu Bakar, Mentakab kemudian ke Sekolah Menengah Jalan Bahagia, Temerloh. Latar belakang pendidikannya sebagai seorang lulusan undang-undang Universiti Malaya sehinggalah beliau diterima menjadi peguam pada tahun 1983 telah menjadikannya begitu popular.

Majalah-majalah luar negara menemuramahnya menggelar beliau The Singing Lawyer ketika Sudirman mengambil bahagian dalam pertandingan Asian Popular Music Awards yang diadakan di The Royal Albert Hall, London pada tahun 1989.

Beliau memenangi Anugerah Penghibur Nombor Satu Asia dalam pertandingan itu mengalahkan Anita Sarawak dan Leslie Cheung yang sudahpun popular di peringkat antarabangsa.

Dia membuktikan ada anak Melayu yang mampu menembusi dinding tebal The Royal Albert Hall dengan lagu One Thousand Million Smiles dan Send in the Clown.

Kejayaannya itu memberi peluang kepada Sudirman menghampiri semua lapisan masyarakat. Kerana itu Sudirman bukan hanya seorang penghibur tetapi tokoh yang mempunyai visi yang cukup jauh dalam soal politik, ekonomi dan budaya. Beliau minat menulis dan melukis dan pernah menjadi kolumnis di pelbagai majalah serta akhbar tempatan.

Di kalangan kanak-kanak dia terkenal dengan lagu Basikal Tua, Balik Kampung dan Mat Disko sementara remaja pula tentu tidak lupa dengan lagu Milik Siapakah Gadis Ini, Salam Terakhir dan Merisik Khabar yang menyentuh perasaan. Sudirman juga akan dikenang kerana lagu-lagu rakyatnya seperti Chow Kit Road dan Aku penganggur.

Allahyarham berkahwin dengan Kamariah Jamaludin, gadis yang dicintainya sejak dibangku sekolah yang terkenal dengan panggilan 'Kay' pada tahun 1981 tetapi bercerai pada tahun 1984.

Allahyarham terus menduda dan dikatakan hidup dalam kedukaan selepas itu. Sudirman kerap jatuh sakit. Lagu Terasing dalam albumnya dianggap banyak menyingkap sebagai kisah cinta Sudirman dengan Kay yang menghibakan.

Allahyarham juga pernah menceburi dunia lakonan melalui filem KAMI tetapi itulah filem pertama dan terakhirnya. Pun begitu beliau menyimpan hasrat untuk menjadi pengarah filem. Hajat ini tidak kesampaian.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham tidak pernah melupakan budi masyarakat yang meletakkan dirinya di puncak kejayaan sebagai penghibur. Ternyata setiap gerak-gerinya mendapat perhatian masyarakat.

Kehilangan Sudirman di masa namanya sedang menjulang samalah seperti mereka kehilangan Seniman Agung P. Ramlee 19 tahun lalu yang mengabdikan diri kepada masyarakat dan negara.

Sudirman tidak memilih tempat untuk menabur bakti seperti turut menjayakan majlis perasmian Kejohan Sepak Takraw MAS - Utusan Malaysia - RTM tahun 1987 di Stadium Negara yang dihadiri oleh ribuan peminatnya.

Allahyarham juga mencatatkan sejarah sebagai penyanyi popular pertama yang mengadakan konsert terbuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow Kit) di sini pada tahun 1986 yang membuatkan jalan itu dibanjiri hampir 100,000 peminatnya. Sepanjang satu kilometer manusia membanjiri Jalan Tuanku Abdul Rahman semata-mata mahu menyaksikan persembahan Sudirman yang luar biasa itu.

Kerana mahu mempertingkatkan penguasaan bumiputera dalam bidang perniagaan, Sudirman yang mempunyai impian cukup tinggi mengusahakan Syarikat Sudirman Usaha Dagang Industri Sdn. Bhd. (SUDI), yang memperkenalkan minuman SUDI. Sudirman adalah lambang seorang penghibur dan usahawan yang berjaya menguasai kedua-dua bidang ini sekaligus.

Beliau ibarat model kepada sesiapa sahaja, pelajar sekolah, anak muda mahupun seorang pemandu teksi. Kepada anak-anak muda, beliau adalah lambang satu sikap yang tidak putus asa. Kepada para pelajar, beliau adalah pendorong mereka untuk ke universiti. 

Kepada rakyat umum yang lain beliau adalah penghibur. Malah kepada penganggur sekalipun beliau adalah sahabat kerana hanya Sudirman yang berkata: "Jangan ku pandang hina, hanya kerna aku penggangur... Aku hanya insan biasa..."

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Sumber : Akhbar Mingguan Malaysia, Ahad 23 Februari 1992.

Oleh : Ku Seman Ku Hussein













Saturday, February 20, 2021

BANGLO RAHSIA DI BANGSAR

 


Banglo dua tingkat di Lorong Taban 1, Bangsar, Kuala Lumpur adalah tempat persembunyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad sepanjang tujuh bulan lalu, termasuk ketika dia digembar-gemburkan sudah meninggal dunia di London pada akhir tahun lalu.

Sejak dimasukkan ke Hospital Tawakkal di ibu negara pada 17 Julai tahun lalu dan dibenarkan pulang empat hari kemudian. Allahyarham tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu.

Menurut seorang waris, Rahimah Sinan, 48, Allahyarham tinggal di rumah kakaknya Rodziah di Bangsar sebaik saja keluar dari Hospital Tawakkal.

"Allahyarham ada dibawa ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu pada akhir tahun lalu. Selepas itu, Allahyarham dibawa kembali ke Bangsar," katanya.

Media massa, khususnya akhbar tabloid, sebelum ini menyiarkan pelbagai siri pembongkaran kes kehilangan dan spekulasi mengenai keadaan Allahyarham dalam usaha mengesannya di seluruh negara.

Sepupunya, Maarof Idris, 30, berkata dia kerap melawat Allahyarham di Bangsar untuk mengetahui keadaan Allahyarham dari semasa ke semasa.

Dia yang tinggal di Kuantan, berkata Sudirman hanya dibawa ke beberapa tempat tertentu bagi mendapatkan rawatan secara tradisional dan moden untuk mengubati penyakit ganjil yang dialaminya.

Ramai peminat dan waris Allahyarham terkilan kerana sukar mengetahui perkembangan penyakitnya yang dianggap misteri.

Malah, waris kecuali adik-beradik Allahyarham, dilarang menziarahinya ketika Allahyarham sedang dirawat dan ini menyebabkan mereka terkejut apabila diberitahu mengenai kematiannya semalam.

Seorang waris, Kamaruddin Abdul Manaf, 48, berkata beliau masih tidak tahu mengenai penyakit sebenar Sudirman.

"Ramai waris tidak mengetahui penyakit Allahyarham kerana adik-beradiknya enggan bercerita dan menganggap perkembangan kesihatan Allahyarham sebagai rahsia," katanya.

Sebelum itu, di Kuala Lumpur, tidak ramai yang datang menziarahi Allahyarham kecuali saudara terdekat dan wakil media massa.

Tidak ramai artis datang menziarahi, kecuali pelakon Mek Habsah yang tiba pada jam 10 pagi, disusuli penyanyi Sharifah Aini sejam kemudian. Penulis lirik terkenal, Habsah Hassan tiba kira-kira jam 11.30 pagi.

Sharifah Aini yang terkejut dengan kematian Allahyarham, menyifatkannya sebagai kehilangan besar kepada peminat seni suara kerana tiada yang dapat menandingi  kehebatan Sudirman.

Sumber : Petikan paparan akhbar bertarikh 23 Februari 1992.

HABSAH HASSAN TEMPAT MENCURAH ISI HATINYA

 


KUALA LUMPUR 22 Feb - Jika ada orang yang mengetahui segala isi hati Sudirman, orang itu tidak lain dan tidak bukan, penulis lirik terkenal Habsah Hassan.

Habsahlah yang menjadi tempat Sudirman mencurahkan segala isi hati dan kekecewaan selepas perkahwinannya gagal.

Dan semua cetusan perasaan Sudirman itu diabadikan dalam lirik lagu-lagu sentimentalnya yang menjadi hit seperti 'Terasing' dan 'Merisik Khabar'. Kedua-dua lagu tersebut pernah menjadi Juara Lagu Popular Minggu Ini (LPMI) di radio selama beberapa minggu berturut-turut.

"Beliau adalah seorang insan kerdil yang berjiwa besar... kehilangannya adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti sebagaimana Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee," Kata Habsah kepada Utusan.

Menurut Habsah, Allahyarham tahu bakatnya tidak sepenuh bakat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tetapi dia yakin dengan usaha dan kebolehan yang ada, akan membantunya mencapai apa yang diimpikan.

Beliau yang telah mengenali Allahyarham Sudirman Haji Arshad sejak 15 tahun lalu terkejut apabila mendapat khabar mengenai kematian Sudirman.

"Saya merasa amat sedih... saya seperti kehilangan seorang rakan yang sukar dicari ganti," ujarnya lagi. Habsah adalah orang yang menulis lirik 'Teriring Doa' dan 'Suratku Yang Ini' untuk EP pertama Penghibur Nombor Satu Asia itu selepas beliau menjuarai Bintang RTM '76.

"Walaupun setiap apa yang dicitakan sentiasa berjaya dimilikinya tetapi sebenarnya Allahyarham merupakan seorang yang berputus asa dalam percintaannya dan sering mencurahkan keluhan perasaannya.

"Allahyarham sering mencurahkan keluhan perasaan kerana kegagalannya dalam membina sebuah rumah tangga bahagia dan itu memberi beliau idea untuk menulis lirik bagi lagu-lagu untuk album terbaru Allahyarham."

"Kebanyakan lagu-lagu nyanyian Allahyarham yang liriknya menyentuh perasaan sesiapa saja yang mendengarnya, merupakan rintihan perasaan Allahyarham sendiri," cerita Habsah.

'Salam Terakhir' lagu sentimental yang paling popular pernah dinyanyikan oleh Sudirman dicipta oleh Manan Ngah dan liriknya ditulis oleh Habsah merupakan sebuah lagu yang menggambarkan betapa kecewa dan putus asa Allahyarham dalam menghadapi kenyataan hidup.

Habsah terkilan kerana impian dan hasrat Allahyarham untuk menerbitkan filem "Mem" dan "Seniwati" secara usahasama Sudirman Film Production dengan Serangkai Film Production tidak tercapai.

"Allahyarham telah menyerahkan kertas-kertasnya mengenai penerbitan filem itu Jun tahun lalu, hingga kini saya masih menyimpan segala perancangannya mengenai filem berkenaan," kata Habsah.

Sumber : Akhbar Mingguan Malaysia, Ahad 23 Februari 1992.

Oleh : Muzlina Abu Bakar