Sudirman
Haji Arshad. Nama yang tidak asing lagi bagi peminat seni suara. Nama yang
bukan sahaja menjadi sebutan rakyat negara ini, malahan lebih daripada itu
telah sampai ke peringkat Asia No. 1. Kini nama ini dikaitkan pula dengan alam
perniagaan.
Kalau
selama ini Sudirman sering bercakap tentang hiburan, MASTIKA bulan ini telah
membawa beliau bercakap pasal perniagaan. Banyak perkara yang disentuh, peluang
perniagaan hari ini, masa depan peniaga Melayu, falsafah hidup untuk maju,
rahsia di sebalik kejayaan dan perancangan masa depan.
“Selepas
16 tahun menyanyi, masanya telah sampai bagi saya untuk terbang jauh dalam
bidang nyanyian ke peringkat antarabangsa. Dalam pada itu, saya perlu
mengukuhkan lagi hubungan saya dengan masyarakat di Malaysia.
Di
samping nyanyian, saya perlukan satu-satu yang baru, yang lebih mencabar untuk
mendekatkan saya ke pangkuan masyarakat. Cara yang terbaik untuk saya memberi
perkhidmatan pada masyarakat adalah dengan memberi mereka satu keperluan.
Keperluan
terbaik bagi saya untuk masyarakat ialah minuman dan makanan sebab setiap orang
perlu minum dan makan setiap hari dan kita minum lebih banyak daripada makan.
Memandangkan keadaan ini, saya rasa eloklah saya memulakan bidang perniagaan.
Insya-Allah,
jika kerjaya saya ke peringkat antarabangsa berjaya, minuman saya akan turut
bersama dengan pasaran yang lebih luas.”
Sudirman
memulakan perbualan yang bersangkut-paut dengan bidang niaga yang diterokai.
Sebelum
memulakan perniagaan ini, Sudirman dan rakan kongsinya telah membuat berbagai
persiapan dan kajian untuk menampilkan satu jenis minuman yang dapat diterima
masyarakat.
Dalam
mengatur perancangan ini, beberapa perkara telah diambilkira:
i)
Sudi mestilah satu barangan yang bermutu sebab setiap barang yang bermutu akan
bertahan dan mendapat sokongan.
ii)
Barangan yang bakal dihasilkan mesti menggunakan satu nama yang melambangkan
Malaysia, mempunyai identiti Malaysia. Jika diperhatikan kini, kebanyakan
minuman yang terdapat dalam negara hari ini mempunyai nama-nama asing, tidak
melambangkan Malaysia. Nama ‘Sudi’ diambil bersempena dengan maknanya ‘Silakan’
atau ‘Welcome’ dan ianya mempunyai kaitan dengan nama beliau, ‘Sudirman’.
iii)
Mereka perlu menghasilkan satu tin yang baru dan tidak pernah dibuat oleh
mana-mana syarikat minuman.
Berdasarkan
tiga perkara ini di samping perkara lain seperti harga berpatutan, ‘Sudi’ pun
melangkah ke tahap kedua.
Beliau
mempunyai rakan niaga, Mr. Virinder, yang pakar di bidang perniagaan. Setelah berdiskusi
dan atas nasihatnya, langkah-langkah yang perlu diambil mula difikirkan.
Langkah
pertama adalah mengambil alih kilang di Merlimau, Melaka. Kilang ini boleh
mengeluarkan 600 tin minuman dalam masa satu minit. Ia bertapak di atas tanah
seluas 5.25 hektar. Bagaimanapun, hanya 0.8 hektar tanah ini digunakan untuk
bangunan.
Kilang
ini mempunyai berbagai kemudahan untuk mengeluarkan makanan dan minuman, tetapi
pada masa ini hanya satu pertiga kilang digunakan untuk memproses minuman.
Dengan makanan yang dirancang iaitu ‘Sudi Rasa’, kilang ini akan dipergunakan dengan lebih berkesan lagi.
Di
samping itu rancangan juga dibuat untuk membuka restoran yang bakal diberi nama
‘Sudi Makan’ di tingkat bawah, ibu pejabatnya, di Taman Sri Hartamas.
Apakah
‘Sudi’ tidak menghadapi sebarang halangan sebelum segala yang dirancang
berjalan lancar?
“Halangan
bagi saya, saya tidak menghadapi sebarang halangan. Semua yang dirancang
berjalan baik. Pinjaman, kilang tidak ada masalah,” ujarnya.
Kalaupun
boleh dikatakan sebagai halangan, beliau berpendapat halangan yang ada pada
setiap insan adalah diri mereka sendiri.
Jika
seseorang itu berjaya mengikis halangan dalam dirinya sendiri, tidak ada
halangan di dunia yang akan menyekat perjalanannya.
Dengan
prinsip ini, beliau menguatkan keyakinan untuk terus maju dan bekerja keras. Setiap
masalah tidak diturunkan Tuhan sebagai masalah untuk menyekat manusia tetapi
untuk manusia membuka fikiran mencari penyelesaian terhadap masalah itu.
Jika
seseorang itu kerapkali berhadapan dengan perkara begini, masalah akan menjadi
mudah. Apa sahaja yang datang akan dapat diatasi apabila telah mempunyai
pengalaman.
Mungkin disebabkan nama Sudirman itu telah dikenali menyebabkan Sudir tidak menghadapi masalah dalam mendapatkan pinjaman?
“Mereka
tidak akan memberi jika saya tidak membuktikan diri saya berkebolehan melakukannya
terlebih dahulu. Sepanjang 16 tahun, saya telah membuktikan bahawa apa yang
saya kerjakan akan berhasil dengan baik.
“Ini
menyebabkan pihak bank berkeyakinan terhadap keupayaan saya, lebih-lebih lagi
dengan sokongan Encik Virinder,” ujarnya.
Sudirman
berpendapat, setiap perniagaan akan mendatangkan hasil yang baik jika mempunyai
kemahiran disertakan dengan minat.
“Lihat
sahaja di sekeliling negara anda sendiri. Banyak yang boleh diurus dan
dimajukan. Perniagaan tidak perlu yang besar-besar. Kita boleh mulakan dengan
perniagaan secara kecil-kecilan.
“Saya
hormat pada anak muda yang menjual burger di tepi-tepi jalan. Saya sendiri
pernah melakukannya di pasar Bangsar ketika masih di bangku sekolah dengan
mendapat upah 20 sen sehari. Ini saya lakukan untuk mencari pengalaman dan
mengikis perasaan malu dalam urusan berniaga.”
Beliau
berkata, bagi mereka yang mahu menceburkan diri dalam lapangan perniagaan, ada
baiknya mereka mulakan secara kecil-kecilan dahulu tetapi mereka mesti
mempunyai cita-cita yang besar.
“Saya
sendiri, umpamanya, ketika menjalankan perniagaan ini, saya tidak fikir mahu
membataskan perniagaan saya kepada Malaysia sahaja. Cita-cita saya adalah
dunia. Tetapi inilah permulaan saya,” tegasnya.
Sudirman seterusnya memberitahu, Malaysia sedang menuju ke arah pembangunan industri yang pesat.
“Dalam
bidang perindustrian juga, kita mahu sampai ke peringkat antarabangsa. Kita tidak
mahu ‘served’ untuk Malaysia sahaja, sebaliknya kita mahu keluar. Kita lihat
apakah barangan yang akan diterima oleh orang di luar. Jika terdapat pasaran
dan kemahuan, kita boleh maju.
Beliau
mengambil contoh jika masyarakat Barat sukakan perabot daripada rotan, mereka
yang mempunyai kemahiran membuat perabot dalam rekabentuk mengikut cita rasa
Barat boleh melakukannya.
Bagaimanapun,
tegasnya, yang paling penting dalam dunia perniagaan adalah pengurusan wang
ringgit.
Beliau
berpendapat, kebanyakan peniaga Melayu tidak berjaya sebab mereka tidak pandai
menguruskan wang ringgit. Bagaimana menggunakan modal pusingan, simpanan dan
perbelanjaan harian.
Tambahnya,
“kebiasaannya, mereka lebih suka berbelanja dahulu sebelum menyimpan. Jika terdapat
berlebihan wang, baru mereka menyimpan. Kenapa tidak diterbalikkan proses ini. Simpan
dahulu, berlebih, baru belanja.
Simpan
dalam erti kata, bukan menyimpan di bawah bantal atau dalam almari. Sebaliknya wang
ini dipergunakan dengan sebaiknya agar ia berkembang dan bertambah seperti
memasukkannya sebagai simpanan tetap, membeli saham atau Amanah Saham Nasional.
Ini perlu sebagai jaminan untuk hari-hari akan datang.”
Bagi Sudir wang business adalah wang business dan tidak boleh diambil untuk melancarkan sebarang program nyanyian. Sebaliknya, wang hasil nyanyian adalah untuk program nyanyian dan juga untuk memajukan lagi perniagaan.
Beliau
berpendapat, falsafah yang penting untuk sesiapa sahaja berjaya dalam
perniagaan adalah hati yang luhur dan bersih.
“Kita
tidak boleh merosakkan orang lain, mengambil rezeki orang lain dan mematahkan
semangat orang lain. Saya sentiasa berserah kepada Allah untuk menunjukkan
jalan yang terang, harus dilalui.
Alhamdulillah,
setakat ini Allah amat pemurah, menemukan saya dengan orang-orang tertentu
dalam hidup saya untuk memajukan karier saya. Saya rasa setiap orang yang
bersama saya adalah ditakdirkan.
“Saya
menganggap semua bangsa di Malaysia sebagai saudara saya tanpa mengira batas
agama atau darjat,” jelasnya.
Menyentuh
tentang penglibatan orang Melayu dalam bidang perniagaan, Sudir memberitahu,
jika dikaji dari segi sejarah, memang benar orang Melayu sekarang berada 10 tahun
di belakang bangsa lain di Malaysia.
Bagaimanapun,
katanya, “jika kita terus berpeluk tubuh, mahu melihat segala-galanya berlaku
di depan mata, lagi 10 tahun, kita akan ketinggalan 20 tahun ke belakang dalam
bidang perniagaan. Ini amat menyedihkan.”
Oleh
itu, tambahnya, orang Melayu mesti sentiasa peka terhadap kejadian di
sekeliling mereka dan mengambil sedikit sebanyak ajaran dari alam keliling.
“Kita
mahu maju seperti mereka, tetapi perasan tradisi kita (maaf saya terpaksa katakan ini kerana sayangkan bangsa saya) suka melihat sesuatu perkara berjalan di
depan mata, berpeluk tubuh dan memikirkan kesusahan nasib kita.
Jangan,
sepatutnya apabila melihat orang berjaya, kita cari jawapan, apakah punca yang
membuat mereka berjaya? Jika mereka berjaya, bolehkah saya berjaya seperti
mereka.
Saya
percaya tentu sahaja kita boleh berjaya sebab orang Melayu kaya dengan perasaan
dan kreativiti. Sebagai seorang Islam pada dasarnya hati mereka memang luhur. Ini
bermakna prinsip utama yang diperlukan telah ada di hati mereka.
Jangan
sekali-kali memikirkan, biarlah orang lain dengan kerja mereka. Saya dengan
kerja saya.
Kita
sepatutnya mempelajari dari apa yang harus dipelajari daripada bangsa asing
untuk maju.
“Jangan
takut bekerja dengan orang bukan Melayu dalam menimba ilmu. Jangan takut dan
malu untuk belajar. Perasaan ini mesti dikikis,” tegas Sudirman.
Beliau
menjawab Hang Tuah pernah berkata, ‘takkan Melayu hilang di dunia’.
Sudir
berpendapat, kata-kata ini bukanlah satu kepastian sebab jika dikatakan orang
Melayu tidak akan hilang di dunia, orang Melayu akan merasa lega, senang dan
tidak berusaha.
“Saya
fikir maksudnya adalah suatu harapan. Janganlah orang Melayu hilang di dunia. Maknanya,
bekerjalah, takkanlah nak hilangkan bangsa Melayu.
Sejarah
telah membuktikan bahawa orang Melayu hampir hilang ketika kemasukan Belanda
atau Portugis.
“Kata-kata
itu adalah satu harapan untuk orang Melayu sedar, jangan biarkan bangsa kita
hilang di dunia,” jelasnya.
Sudir
melihat dalam abad 21 ini, dunia akan lebih mencabar. Setiap negara maju akan
mahu terus maju dan dalam pada itu akan menyekat kemajuan negara membangun.
Sekarang
pun, katanya, mereka cuba menyekat pembangunan negara-negara ketiga dan ini
akan lebih kuat berlaku dalam abad 21.
Bagaimanapun,
tambah beliau, “jika kita menyedari dan menjalankan langkah-langkah yang patut
untuk menjaga hak kita, itu tidak akan terjadi.
“Kita
lihat bagaimana Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad cuba mengembleng
tenaga negara seluruh Asia untuk mempertahankan hak orang Asia dalam
pengendalian perdagangan dengan dunia barat.
Kita
dinamakan Negara Perindustrian Baru (NIC). Kenapa mereka perlu menamakan kita
apa-apa. Apabila orang memberi kita satu nama bermakna mereka mahu kita jadi
itu sahaja.
Jika
kita bangga dengan nama baru NIC yang diberikan
ini, bermakna kita masih di bawah mereka. Kita mahu jadi sama taraf atau
lebih cemerlang dalam cara kita sendiri.”
Setelah
menceburkan diri dalam berbagai bidang, apakah Sudir berminat untuk masuk ke
dunia politik pula?
Kepada
soalan ini, Sudir menjelaskan, buat masa ini, politik tidak menarik minatnya
sebab beliau merasakan Malaysia mempunyai pemimpin yang berkaliber, punya
kemahiran untuk mengendalikan urusan negara, lebih-lebih lagi dengan pimpinan
Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad yang berfikiran jauh ke depan.
Perdana
Menteri bagi beliau telah menggerakkan nadi tanahair ke arah kecemerlangan.
Oleh
itu, beliau berpendapat, negara tidak mempunyai masalah dalam politik. Seseorang
itu tidak perlu menceburkan diri dalam politik semata-mata untuk mendapat nama.
Katanya,
“pengurusan negara biarkanlah pada orang yang telah terbukti keupayaan mereka. Saya
ingin berseru pada semua orang yang berminat pada politik, jangan masuk politik
sebab ingin menjadi seseorang.
“Sebaliknya,
masuklah politik kerana ingin mentadbir negara. Jika seseorang itu berfikiran
begini semua pemimpin kita akan berhati bersih. Apabila pemimpin berhati
bersih, rakyat akan bersih dan negara bersih.
“Kita
tidak perlu berbahas atau berdebat dengan pemimpin semata-mata untuk berbahas
atau berdebat untuk menunjukkan kepandaian kita.
“Jika dilihat dalam jangka masa 10 tahun sejak Perdana Menteri ambil alih menerajui negara, jelas terbukti kemampuannya dalam membawa kemajuan dari setapak ke setapak. Oleh itu, tidak perlulah kita meleraikan segala-galanya dan mencari satu-satu yang baru sebab yang lama itu adalah lebih mantap dan ini jelas terbukti.
Menyentuh
tentang sijil guaman yang diperolehinya, Sudirman menjelaskan, guaman adalah
suatu pengetahuan. Setiap orang perlu mengetahui akan undang-undang yang
melingkungi diri mereka sama ada dia seorang peguam atau tidak.
Katanya,
“ketika masih menuntut, saya bertanya pada diri saya, apakah bidang pelajaran
yang mahu saya pelajari dan saya kata, saya mahu mengetahui undang-undang yang
melingkungi diri saya, yang mengaitkan saya dengan orang ramai.”
Dengan
mengetahui undang-undang, beliau akan mengetahui haknya dan bagaimana beliau
tidak boleh dipermainkan.
“Tidak
perlu saya menjadi seorang peguam sebab negara mempunyai ramai peguam tetapi
ini tidak bermakna sijil saya akan hilang begitu sahaja.
“Saya
masih menggunakannya untuk kepentingan saya di bidang pertunjukan, perniagaan
atau apa saja bidang yang saya terokai.
“Insya-Allah
dalam masa 10 tahun akan datang mungkin saya akan membuka firma guaman sendiri
dan ini adalah dalam perancangan saya,” jelas Sudirman yang sentiasa mempunyai
perancangan dalam apa juga bidang yang bakal diterokainya.
Untuk
itu, beliau telah pun mula membiayai beberapa orang pelajar-pelajar muda
mengambil bidang undang-undang dengan harapan apabila mereka keluar dengan
memiliki kelulusan di bidang guaman, mereka boleh menjalankan usaha firma guamannya.
Petikan : MASTIKA
April 1991
Oleh : Noritah Sulaiman
Foto : Ishak Rahmat