Saturday, February 5, 2022

RAKAMAN KENANGAN : HADIAH GUINNESS DIDERMA KEPADA RUMAH KEBAJIKAN OZANAM

 



PETALING JAYA 22 Julai - Penghibur terkenal Sudirman Haji Arshad menyampaikan sebuah peti sejuk yang diterimanya sebagai hadiah Anugerah Dayausaha Guinness baru-baru ini kepada Rumah Ozanam di sini hari ini.

Kata beliau ketika menyerahkan peti sejuk tersebut, sumbangannya itu amat kecil jika dibandingkan dengan kemuliaan hati para pengurus yang secara sukarela menguruskan rumah kebajikan itu.

Saya akan memenuhkan peti sejuk ini jika saya kaya," katanya terharu sambil berseloroh.

Setibanya Sudirman ke situ, sekumpulan 20 orang kanak-kanak dari rumah kebajikan itu meraikannya dengan acara nyanyian dan tarian.

Penyanyi itu meluahkan harapannya agar semua orang tidak ketinggalan membuat kebajikan dengan menolong mereka yang malang.

Rumah kebajikan Ozanam menyediakan tempat perlindungan kepada ibu-ibu yang tidak berkahwin, isteri dan anak-anak yang didera dan terbuang.

Petikan akhbar ini bertarikh : 27 Julai 1989






Thursday, February 3, 2022

RAKAMAN KENANGAN : ANITA & SUDIR NYANYI LAGU CINA DALAM PESTA ANG POW (1985)

 


Pernahkah peminat-peminat tengok Anita Sarawak dan Sudirman menyanyi lagu Cina di TV?

Kalau di pertunjukan pentas mungkin ramai yang sudah biasa mendengar nyanyian mereka. Tapi di TV mungkin ada yang belum pernah.

Oleh itu, pada 19 Februari (Selasa) ini jam 8.45 malam, janganlah pergi ke mana-mana. Duduk di depan kaca TV dan mengadaplah tengok Anita hiburkan kita dengan lagu Mandarin - Chew Khang Boey Boh dalam rancangan Pesta Ang Pow (1985) sempena Tahun Baru Cina di Rangkaian Pertama (RTM).

Anita juga dendangkan lagu terbarunya - Aku Menyayangimu dan sebuah lagu barat Loving Eyes.

Manakala lagu Kantonis nyanyian Sudir ialah - Hao Ge Xian Gei Ni. Sudir yang telah mengubah fesyen rambutnya juga mengalunkan lagu popularnya Dilema Dunia Cinta.

Penyanyi dan pelakon kacak yang bermata hijau dari Taipei - Fe Xiang membawakan lagu - Chor Joo Sien Chiew dan Mai Chang Khor Chee.

Pelawak Jamali Shadat muncul bersama rakan barunya - Mazlan Hassan menggeletek hati penonton di Auditorium Besar, Angkasapuri sewaktu rakamannya pada malam Khamis lalu. Kemudian Jamali menemubual Anita sambil berjenaka.

Lain-lain artis yang mengambil bahagian ialah: Kao San, Kang Chiow, Hwang Li Ching, Kerin Chow, Janet Lee, Richard Hoon, Kesavan, Band Young Beats dan kumpulan penari Peppermint serta Sanglin Artistic Centre. Juruacara ialah: Pelakon Nancie Foo bersama Kao San. Siaran ulangannya pada Khamis jam 3.12 petang.




Tuesday, February 1, 2022

RAKAMAN KENANGAN : SIAPA ANIAYA ALLAHYARHAM?

 


SUDIR CAKAP BAHASA SIAM

KUALA LUMPUR: Sah, Allahyarham Sudirman Haji Arshad bukan mengidap AIDS. Kenyataan pembantu kanan Profesor Datuk Dr. Harun Din, Muhammad Abu dari Pusat Rawatan Islam, Darul Syifa bahawa Sudirman berkomunikasi tetapi menggunakan bahasa Siam sewaktu dirawat dengan doa mengesahkan laporan PERDANA, 3 November 1991.

Laporan PERDANA itu memetik keluarga terdekat penghibur kesayangan ramai itu memberitahu PERDANA bahawa penyakit yang dideritai oleh Sudirman adalah seperti dianiaya oleh orang tertentu.

Dalam laporan itu juga, keluarga terdekat Sudir memberitahu PERDANA, Sudirman (ketika itu) sedang mendapatkan rawatan tradisional.

"Pakar perubatan tempatan gagal mengesan penyakit yang dideritai oleh Sudir dan keluarga Sudir bercadang membawanya untuk mendapat rawatan di luar negeri," kata keluarga terdekat Sudir kepada PERDANA.

"Tetapi seorang pakar perubatan tradisional tempatan menasihati agar Sudir tidak dibawa ke luar negeri untuk mendapat rawatan," katanya.

Keluarga terdekat Sudir itu juga kesal dengan berbagai berita angin yang dilemparkan kepada Sudirman.

"Sampai hati 'mereka' mereka-reka cerita kononnya Sudir meninggal dunia di luar negeri. Sungguh tidak berhati perut," keluhnya kesal.

Sementara itu, laporan mengenai kematian yang dibuat oleh abang Allahyarham, Dr. Roslan Haji Arshad di Balai Polis Lembah Pantai jam 7.30 pagi, 22 Februari lalu mengesahkan laporan tajuk muka depan PERDANA, 26 Januari lalu bahawa Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tidak mempunyai rekod kematian Sudirman seperti desas-desus yang hangat diperkatakan ketika itu.

Dalam laporan PERDANA itu juga Timbalan Penguasa Perhubungan Awam PDRM, TPP Ridzuan Aslie memberitahu setiap kematian harus dilaporkan kepada Balai Polis yang berdekatan untuk mendapat sijil kematian sebelum jenazah dikebumikan.

"Adalah menjadi satu kesalahan merahsiakan kematian atau mengkebumikan jenazah tanpa sijil kematian daripada pihak Polis," ujar beliau.

BUKAN MUSTAHIL SUDIR 'DISIHIR' - MUFTI

SHAH ALAM: Bukan perkara mustahil, Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang meninggal dunia kira-kira jam 4:00 pagi 22 Februari lalu di Bangsar, disebabkan 'gangguan sihir'.

Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haji Ishak Baharom berkata, berdasarkan kenyataan beberapa orang saudara Allahyarham di media massa, kemungkinan Penghibur No. 1 Asia itu terkena perbuatan tersebut.

"Sakit terkena sihir ini atau lebih dikenali dengan panggilan 'sakit buatan orang' adalah angkara manusia yang ditunggangi oleh syaitan dengan tujuan untuk memuaskan nafsu, membalas dendam, menjatuhkan seseorang dan sebagainya," katanya.

"Bagaimanapun sebagai umat Islam semua penyakit yang kita alami adalah dugaan daripada Yang Maha Esa dan kita juga digesa berikhtiar untuk memulihkannya," tambahnya.

Menurut Datuk Haji Ishak Baharom, Islam mengakui kewujudan sihir di mana menjadi kemuncak di zaman Nabi Musa A.S.

Katanya, ketika itu, beberapa orang Raja termasuk Firaun telah cuba memusnahkan Nabi Musa dengan perbuatan tersebut supaya penyebaran dakwah dapat dihalang.

"Begitu juga dengan Nabi Muhammad S.A.W. yang disihir oleh seorang Yahudi bernama Labib ketika bersembahyang," ujarnya.

POLIS SEDIA TERIMA ADUAN DAN SIASAT : SIAPA ANIAYA ALLAHYARHAM?

KUALA LUMPUR: Kini hampir seminggu, Penghibur No. 1 Asia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya untuk menemui Illahi.

Allahyarham, 38 tahun telah meninggal dunia kira-kira jam 4:00 pagi, di No. 16, Lorong Taban 1, Bangsar dekat sini pada 22 Februari lalu.

Allahyarham telah selamat dikebumikan berdekatan dengan kubur ibunya Ramlah Dahlan, di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Temerloh pada hari yang sama beliau meninggal dunia.

Walaupun Allahyarham telah pergi, namun penyakit sebenar yang dialami oleh Allahyarham masih menjadi tanda tanya.

Berdasarkan laporan awal saudaranya, Datuk Radzi Sheikh Ahmad memberitahu, Sudirman menghembuskan nafas terakhir setelah diserang penyakit radang paru-paru.

Bekas Menteri Perusahaan Utama itu juga memberitahu, Penghibur No. 1 Asia itu diserang lumpuh sebelah badan disamping tidak boleh makan, minum dan berkata-kata.

Bagaimanapun abang kepada Allahyarham, Zainudin Haji Arshad berkata, penyakit yang ditanggung oleh Sudir hampir 7 bulan dipercayai teraniaya.

"Kami telah melakukan perubatan secara tradisional dan pihak berkenaan memberitahu bahawa Allahyarham telah dianiaya," katanya.

Kenyataan abang kandung Allahyarham disokong oleh pembantu kanan Profesor Datuk Dr. Harun Din dari Pusat Perubatan Darul Syifa, Muhammad Abu.

Beliau berkata, penyakit yang dialami oleh Allahyarham seperti terkena 'gangguan sihir'.

"Sebaik sahaja Allahyarham dipulihkan daripada tidak sedarkan diri, beliau telah berkata-kata tetapi kami tak memahaminya kerana bahasa yang terkeluar daripada mulutnya adalah bahasa Siam," ujarnya.

Terdahulu sebelum itu, rakan persekolahan Allahyarham, T. Nadarajah berkata, Sudir telah mengalami sakit sedemikian pada awal tahun lalu.

Katanya "keadaan tersebut semakin serius sebaik sahaja pulang ke tanah air setelah membuat pertunjukan di Indonesia."

Persoalannya, jika benar Allahyarham dianiaya siapakah yang melakukannya? Apakah tujuan sebenar penganiayaan tersebut? Adakah kerana hasad dengki atau membalas dendam?

Sementara itu, Polis sedia menerima aduan daripada kaum keluarga Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan membuat siasatan terhadap kemungkinan bekas Penghibur No. 1 Asia itu dianiaya oleh orang tertentu.

Timbalan Penguasa Perhubungan Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) TPP Ridzuan Aslie berkata, pihak Polis sedia untuk menerima setiap aduan dan menjalankan siasatan untuk memastikan perkara tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya.

Bagaimanapun katanya, perkara-perkara yang berkaitan angkara ghaib atau spiritual adalah sukar bagi pihak Polis untuk membuat dakwaan walaupun orang yang disyaki melakukannya telah diketahui.

"Selalunya mahkamah akan menolak kes-kes seperti ini di samping tidak menerima bukti-bukti yang datang daripada pengamatan bomoh dan sebagainya," jelasnya.

TPP Ridzuan juga memberitahu sehingga kini belum ada kes yang berkaitan spiritual didakwa di mahkamah.

Laporan Oleh : M. Azlan Suhaimi & Noorma Ismail
Petikan : Akhbar Warta Perdana, Terbitan 01 Mac 1992