Saturday, February 29, 2020

SUDIRMAN PERGI BUAT SELAMA-LAMANYA


KUALA LUMPUR 22 Feb. - Penghibur kesayangan ramai, Sudirman Haji Arshad yang menghilangkan diri selama tujuh bulan meninggal dunia awal pagi ini akibat penyakit radang paru-paru. Jenazah Penyanyi Nombor Satu Asia yang berusia 38 tahun itu selamat dikebumikan di Temerloh petang ini di sisi pusara ibu dan bapanya.

Sudirman yang jatuh sakit pada 21 Julai tahun lepas kembali menemui Tuhan pada pukul 4 pagi ini di rumah kakaknya, Rodziah Haji Arshad di Lorong Taban 1, Bangsar. Jenazahnya dibawa ke Temerloh tempat beliau dilahirkan pada pukul 11 pagi dengan van jenazah.

Sejak jatuh sakit, Allahyarham tidak pernah muncul di khalayak ramai, menimbulkan berbagai-bagai teka-teki tentang penyakit yang dihidapinya. Malah, beberapa kali tercetus spekulasi bahawa beliau telah meninggal dunia di London.

Menurut rakan-rakan yang berpeluang melawatnya, semasa terlantar sakit, Sudirman tidak boleh makan minum seperti biasa dan dirawat secara Islam. Makanannya, dalam bentuk cecair diberikan melalui tiub.

Sudirman juga tidak boleh cakap dan tidak boleh bergerak. Selama tujuh bulan dia terbaring di dalam sebuah bilik di rumah kakaknya.

Bapa saudaranya, Mohamad Amin bin Hassan 65, berkata, Juara Bintang RTM 1976 itu menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi dua orang kakaknya Rodziah dan Roaini.

Menurut beliau, sejak jatuh sakit, Sudirman dirawat di rumah kakaknya Rodziah. Dia tidak pernah dibawa ke mana-mana, jauh sekali ke London seperti yang pernah dilaporkan.

Semasa masih boleh bercakap beberapa bulan lalu, Sudirman mewasiatkan kakaknya Rodziah supaya mengkebumikan jenazahnya di sisi pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Chengal, Kampung Tok Embun, Batu 3, Jalan Mentakab, Temerloh. "Itu sajalah pesanannya," kata Mohamad Amin.

Sebaik-baik sahaja berita kematian penyanyi kesayangan ramai itu tersebar pagi ini, sahabat-handai serta rakan-rakan seperjuangannya berpusu-pusu datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Rakan seperjuangan Allahyarham yang pertama tiba ialah Mek Habsah.

Sharifah Aini yang pernah berduet dengan Sudirman dalam album-album Melayu Deli dan Habsah Hassan, penulis lirik kebanyakan album Sudirman adalah antara sahabat-sahabat karibnya yang menziarahi jenazah beliau. Mereka menitiskan air mata ketika menghadiahkan surah Yassin kepada Allahyarham. Uji Rashid, seorang lagi rakan baik turut hadir. Uji juga tidak dapat menahan sebak di dada.

Turut berada di rumah itu ialah bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Radzi Sheikh Ahmad. Isteri Radzi ialah sepupu Sudirman. Radzi ketika ditemui berkata, Sudirman diserang angin ahmar (stroke) tujuh bulan yang lalu dan Allahyarham tidak pernah keluar negara untuk mendapatkan rawatan pakar seperti yang diheboh-hebohkan selama ini. Katanya, Allahyarham meninggal dunia kerana radang paru-paru (Pneumonia) iaitu sejenis penyakit paru-paru.

Pemergian Sudirman akan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat yang mengkagumi beliau kerana bakat luar biasanya. Bakat ini terserlah sejak beliau masih menuntut di Universiti Malaya dalam jurusan Undang-Undang. Ketika itulah beliau muncul sebagai Juara Bintang RTM 1976.

Pada tahun 1983 beliau mendapat jolokan 'The Singing Lawyer' apabila diterima menjadi peguam pada bulan Disember. Bagaimanapun minatnya terhadap dunia nyanyian telah membawanya ke puncak kegemilangan apabila lagu-lagunya yang menyentuh kehidupan seharian seperti Chow Kit Road, Punch Card, Aku Penganggur dan Balik Kampung tersemat di jiwa rakyat dan menjadi siulan ramai. Sudirman juga terkenal dengan lagu-lagu patriotiknya.

Peminatnya bukan sahaja dari kalangan anak-anak muda dan orang tua malah kaum bukan Melayu. Beliau lebih dikenali sebagai 'penghibur' kerana kemampuannya mengendalikan 'stage' secara profesional.

Kemuncak kepada kariernya sebagai penyanyi ialah apabila beliau memenangi anugerah Penghibur Nombor Satu Asia pada 19 Mac 1989 setelah mengalahkan Anita Sarawak dan penyanyi sensasi Hong Kong, Leslie Cheung di Royal Albert Hall, London.

Bagaimanapun pada 18 Julai tahun lalu Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Tawakal, Jalan Pahang setelah menghidapi satu penyakit yang dirahsiakan oleh keluarganya.

Beliau dibawa keluar dari pusat perubatan tersebut oleh anggota keluarganya empat hari kemudian dan sejak itu tidak pernah muncul di khalayak ramai sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir awal pagi itu.

Sumber: Akhbar Mingguan Malaysia Bertarikh 23 Februari 1992.





Petikan Berita Pemergian Sudirman 
Dalam Buletin Utama TV3 Pada 22 Februari 1992