Aneh sekali seseorang itu
dijenguk atau dimuliakan hanyalah apabila nyawanya bercerai dari badan.
Ramailah yang datang bertandang. Ramailah yang memuji-memuja. Dan lebih ramai
lagi yang bersimpati. Kalaulah kita dapat meluangkan sedikit masa, walaupun seketika
dalam seumur hidup kita untuk menceritakan titik berat terhadap yang disayangi,
tentu kita akan berasa hampa. Taklah terkilan.
Sejak kecil saya didodoi
suara itu. Ia menyentuh hati saya sedalam-dalamnya. Sungguh saya rasa bertuah.
Dan ramai lagi yang bertuah seperti saya.
Tidak terlintas di kepala
saya akan dapat mendampinginya pada tahun-tahun ini. Tidak terlintas langsung.
Dengan kehendak Tuhan ia menjadi kenyataan juga. Alhamdulillah. Tetapi yang
lebih indah lagi ialah Allahyarhamah adalah segala-galanya seperti yang saya
sangkakan sewaktu kecil periang, lemah-lembut, peramah dan penyayang.
Allahyarhamah seperti ibu. Di saat-saat kesempatan pertama saya bersamanya,
tanpa meminta saya memanggilnya 'Mama'. Tanpa segan silu saya luahkan perasaan
saya. "Terima kasih Mama kerana mendekatkan lagu-lagu lemak merdu,
sukaria, sedih pilu kepada saya, di hari-hari saya berjinak-jinak dengan dunia
seni." Saya seakan terbaca kata-kata di senyumannya.
"Hei this boy."
(Hei budak ini) Saya masih teringat penjelajahan kami ke seluruh Malaysia Barat
bersama Orkes Tentera Darat. Ia seakan-akan lambaian terakhirnya buat semua
yang mencintai suaranya.
Saya tidak akan
melupakan masa luang kami sepanjang pertunjukkan tersebut. Kami main scrabble.
Kami menyanyi. Kami memancing. Kami bersembang hingga pagi.
Saya masih ingat di suatu
malam selepas pertunjukkan, Mama mengadu lapar. Dalam bilik tiada apa untuk
dimakan. Di luar kedai sudah tutup. Malam hujan lebat. Yang ada cuma empat ekor
ikan yang kami pancing waktu petangnya. Ikan pun duduk termenung dalam peti
ais. Nak dipanggang, kayu di tanah basah. Tetapi Mama lapar. Saya mesti cari
jalan.
Api saya nyalakan di
beranda. Ikan, saya panggang semua. Saya hidang cantik-cantik bila dah siap,
saya menjemput Mama ke bilik. "Macam mana panggang ni?" Mama nampak
berselera "Dengan kayu," jawab saya. "Kayu mana?"
"Kayu laci." "Laci? Laci Mana?" "Tu ha! Laci
almari." Saya tunjukkan ke arah almari yang terlopong. Mama
ketawa...........
Saya turut ketawa. Saya
tahu perbuatan saya patut dikutuk. Tetapi Mama tak patut lapar di hadapan saya.
Esoknya saya bayar tauke hotel harga tiga buah laci. Kami pernah terlewat untuk
satu pertunjukkan Serantau Abadi. Kami leka memancing. Hingga
terlupa waktu. Di tapak pertunjukkan orang ramai riuh. Pegawai tentera semuanya
kelihatan berang. Kami tiba macam orang salah nak mengadap pengadilan.
"Mama, Mama pergilah
cakap kat dia orang. Kalau Mama yang cakap dia orang tak marah," saya
memujuknya untuk membela kami. "Lah kita buat salah. Dia marah tak
apa," jawabnya tenang.
"Bukan kita sengaja,
Mama. Kalau dia orang berang, saya susah sikit nak nyanyi, Mama," pujuk
saya lagi. Mama cuma tersenyum. Seperti seorang anak yang tahu akan kekuatan
ibunya. Saya perhatikan BIDUAN NEGARA kita berbicara dengan lentok-liuknya.
Saya percaya tiada masalah akan timbul. Mama ada.
Sebelum pertunjukkan, Mama
kerap bertanya sama ada saya suka persalinannya. "Cantik, Mama. Suara Mama
punya 'best'. Mama pakai 'jersey' bola pun orang suka," kata saya. Memang
saya suka melihat Mama ketawa.
Saya pernah menyanyi di
pentas dengan jahitan di kepala saya, balutan di rusuk kiri dan luka di lengan
saya. (Jatuh sebab tak boleh duduk diam). Mama terus mendapatkan air mandi
buang bala siap dengan peraturan-peraturannya dan sukat bunga yang berbagai
jenis.
"Kata orang mandi
buang bala ni bagus. Cubalah," katanya. Memikirkan titik beratnya terhadap
diri saya, sudah cukup untuk membuat saya gugup.
Mungkin waktu-waktu ini
adalah hadiah istimewa darinya buat saya kerana begitu setia menyanjunginya
sejak anak-anak dan cucu saya akan datang. Insya-Allah. Seperti serangkap lagu
saya:-
Walaupun kau akan pergi
Kau tetap di awan tinggi
Kerana kau bintang hati
Begitulah, kalau dengan
ikhlas kita menghulur tangan untuk memegang seorang yang lain, dunia akan
menjadi indah. Percayalah.
Petikan: Dari Dalam
Sudirman, muka 9.
No comments:
Post a Comment