Thursday, May 3, 2012

Sudir Yang Selalu Bertukar Fesyen


Peminat-peminat semuanya bertanya: "Mengapa Sudirman kurus sangat?"

Apa jawapan Sudirman? Apakah Sudir panik! Lantaran dalam keadaan kekosongan dan kesunyian membendung diri, tiba-tiba dirinya menjadi tumpuan. Tentunya dia benar-benar gelisah!

"Saya seorang yang penyedih dan sentimental," kata Sudir, bercakap dari hati ke hati. "Saya begitu cepat perasa dengan keadaan dan kejadian yang berlaku di sekitar hidup saya. Apalagi kejadian sedih.

"Secara langsung ianya mengganggu kesihatan saya dan tanpa saya sedari saya sudah jadi begini kurus," katanya ketawa...

"Mungkin itu faktor utama mengapa badan saya ini kurus. Namun banyak sebab lain menyebabkan badan saya susut sehingga mendapat simpati dari para peminat. Terima kasih atas perhatian saudara semua!" Kata Sudir dengan nada sayu.


Semua golongan masyarakat mengakui dan kagum setiap kali Sudir muncul di pentas. Rata-rata para peminat puas dan kagum dengan kelincahan Sudir. Apalagi dengan Band Glue dan penarinya Girls. Apa kesannya pada diri Sudir sendiri?

"Saya bekerja kuat untuk itu. Saya masih belum puas dan masih banyak kekurangan lagi. Bagi mengekalkan pandangan peminat terhadap show saya, saya sentiasa bertungkus-lumus bagi memastikan setiap show saya berjaya. Sebab ini juga badan saya jadi susut!" Katanya lagi.

Sudir menghargai pandangan berat para peminat terhadap kesihatannya. Dia benar-benar terharu! Kalau sudah ternyata dirinya disayangi, mengapa tidak dia berusaha kuat untuk menyenangi hati semua pihak.


"Kini saya berusaha menambah berat badan. Alhamdulillah, sekarang dah berat sikit. Dari 92 lbs kini 97 lbs iaitu bertambah 5 lbs. Bestkan?" Tanya dia gembira.

Berat badan Sudir pada mulanya 118 lbs dan kemudian menurun hingga 92 lbs dan sejak beberapa bulan yang lalu berat badannya tidak pernah mencecah ke angka 100 lbs.

Apakah makanan yang biasa Sudir makan?

"Tak kisah sangat! Bayangkan saja, balik dari latihan badan letih-letih. Nak keluar tak pandai bawa kereta. Jadi, makan apa saja yang ada dalam peti sejuk tu. Ada ketikanya sedih betul bila dalam peti sejuk tak ada apa-apa. Terpaksalah makan mee Maggi!" Katanya tergelak.

Mungkin juga stail rambut terbaru Sudir ini menjadikan wajah Sudir bertambah kecil dan cengkung?

"Mungkin juga. Pada mulanya tak berniat untuk menukar stail rambut ni, tapi disebabkan kejadian pada suatu malam maka saya mengekalkan fesyen ini.

"Saat itu saya muncul dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel di KL ni, sekelompok peminat yang terdiri dari gadis-gadis menjerit ke arah saya. Kata mereka "We like it!". Sedangkan rambut saya masa itu memang kusut masai dan saya perasan bila menoleh di cermin. Jadi, saya fikir "Why not!" Katanya ketawa.

Sudir juga mengakui memang dia sudah lama mencari stail rambut yang tidak payah berdandan. Adalah sesuatu yang menyusahkan dirinya setiap kali naik ke pentas setiap kali itu juga dia terpaksa bersikat. Jadi Sudir menganggap inilah fesyen rambut yang paling sesuai.

Bagi para peminat yang tidak berpeluang menonton Konsert Anak Desa Bersama Sudirman di UKM, Bangi pada 2hb Mac lalu, jangan kecewa. Pihak EMI telah membuat rakaman langsung dan kini album yang mengandungi 30 buah lagu-lagu Melayu kini berada di pasaran.

Oleh: Norbaya Musa
Foto: S. Agil



Wednesday, May 2, 2012

Kenapa Sudirman Kurus?


Bila saja Sudirman muncul dalam rancangan Band 4-5 RMIK Isnin lalu, maka ramailah peminatnya menelefon, semuanya bertanya: Kenapa Sudir kurus? Boleh tanya tak, Abang Sudir kurus kerana apa?

Pendek kata bertalu-talu pertanyaan pasal badan Sudir yang kurus itu.

Kesian Sudir..... jangan pula nanti ada yang menyangka yang bukan-bukan tentang dia. Maklumlah zaman sekarang ini, bila orang kurus aje, tak ada lain mesti disangka hisap dadah! Gila takkanlah Sudirman sebodoh itu?

Apa yang BAM tau, Sudir kurus sebenarnya ada tiga sebab: Pertama, sungguh berat tekanan jiwanya selepas bercerai dengan "Kay". Kedua, Sudir meradang dia tak dapat makan sedap dan sempurna kerana sakit gigi. Dan ketiga, kerana terlampau banyak kerja, tiap hari bekerja dan berlatih untuk setiap shownya, untuk meningkatkan mutu persembahan shownya.

Sudir sentiasa bekerja kuat sehingga melupakan makan dan minum. Makan minumnya tak menentu! Kerana itu badannya semakin kurus. Dan untuk memberi tenaga kepada tubuh badannya, apa yang BAM tau, kebiasaannya, beberapa jam sebelum show, Sudir akan menelan beberapa butir telur ayam mentah! Pendek kata bilik Sudirman penuh dengan telur ayam.

BAM - Semakin hari semakin tembam!




Sudirman Bukan Penghibur Sambil Lewa


Memang cerewet! Betul-betul cerewet! Kalau sekadar mahu ambil gambar Sudirman sambil lewa sahaja, baiklah batalkan saja rancangan itu. Sebab Sudir bukanlah orangnya yang bekerja seperti itu.

Sewaktu membuat persiapan untuk mengambil gambar ini, Sudir begitu sibuk menentukan tempat duduk setiap orang. Berbagai faktor yang difikirkan. Dari segi warna bajulah, pendek rendah seseoranglah, entah macam-macam lagi.

"Yang berbaju gelap tak boleh duduk sebelah yang berbaju gelap juga, nanti gambar tak cantik!  Dan yang tinggi jangan berdiri di sebelah orang yang terlalu pendek, nanti gambar jadi lucu! Begitulah teori Sudir sewaktu bergambar beramai-ramai ini.

Sudirman bersama Giggles, Glue dan Girls

Memanglah pada dasarnya, sikap Sudir itu nampak cerewet. Tetapi bagi orang-orang yang faham tentang sudut fotografi, perkara itu memang harus difikirkan demi untuk kebaikan mutu gambar. Dan Sudir pun nampaknya telah maklum tentang perkara ini.

Sikap Sudir yang cerewet itu, memang telah difahami betul oleh orang-orang yang selalu mengiringi pertunjukkannya: Giggles, Glue dan Girls. Malah mereka menganggap Sudir bukanlah seorang yang cerewet, tapi teliti. Dan mereka sukakan kerja Sudir kerana ketelitiannya. Memanglah penat sedikit tetapi hasilnya lumayan!

Memang ada di antara penganjur pertunjukkan pentas menggaru kepala untuk mengundang Sudir kerana memikirkan bayaran untuk Sudir dan kumpulannya. Malah ada yang terus terang mengakui bayaran untuk Sudir lebih mahal dari bayaran untuk Angela Brown dari Amerika.


Begitupun masing-masing tidak dapat menafikan betapa pertunjukkan Sudirman tidak pernah mengecewakan. Malah lebih berkesan! Puas! Dan lebih menggembirakan bukan saja untuk masyarakat tempatan tetapi juga untuk penonton berbagai golongan.

Hal ini jelas terbukti sewaktu Sudir membuat pertunjukkan di Paddock, Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Penontonnya bukan saja terdiri dari bangsa Melayu, tetapi juga bangsa Cina, India, Inggeris, Jepun dan Filipina.

Dari wajah-wajah setiap penonton, jelas menunjukkan mereka memang puas hati dan merasa bergembira dengan persembahan Sudir bersama Glue, Girls dan Giggles.

Cerita lama...