Monday, July 23, 2012

Norisah Sulaiman: Walaupun Hatiku Luka Kerananya...

Norisah Sulaiman (paling kanan)

Memang sebak hati saya apabila bercakap mengenai Sudirman. Air mata saya begitu mudah mengalir jika nama itu disebut sekarang. Bukan kerana dipaksa ataupun cuba mengada-ngada tetapi hakikatnya, hingga kini saya seperti tidak percaya bahawa Sudirman, penyanyi yang pernah bekerjasama dengan saya itu sudah pergi buat selama-lamanya.

Ingatan saya lebih sensitif kepadanya apabila membayangkan hubungan kami sejak saya menjawat jawatan Pegawai Perhubungan Awam syarikat rakaman EMI (Malaysia Sdn. Bhd.) dari 1981 hingga 1988.

Sebenarnya, ketika pertama kali saya melangkah ke syarikat itu, nama Sudirman sudahpun dikenali umum. Sebagai PRO baru ketika itu, kerisauan berdetik di hati saya apakah akan mendapat kerjasama daripada penyanyi ternama sepertinya.

Bagaimanapun, segala sangkaan itu meleset kerana Sudirman mudah didekati, meskipun di peringkat awalnya, dia tidak begitu mesra dengan saya.

Sebagaimana PRO syarikat rakaman lain, saya dan PRO lain di EMI (Malaysia) perlu memastikan setiap artis yang berada di bawah lebel syarikat kami mendapat promosi yang meluas daripada media massa.

Sekarang segala urusan promosi Sudirman terletak di bahu kami. Untuk itu pernah beberapa kali saya mengambilnya di Bangsar sekiranya ada temujanji dengan akhbar.

Ada ketika dia terlewat tiba ke pejabat akhbar. Bukan kerana dia tidak berdisiplin tetapi kerana kesibukannya memanjang dengan urusan stage show. Sesudah sekian lama bersama, lama-kelamaan hubungan kami menjadi mesra.

Kami seringkali  minum bersama di sebuah warung di Jalan Ipoh, berhampiran Batu Kompleks. Sudir cukup sukakan roti canai, roti telur dan mee goreng. Saya pula tidak mengira.

Sesudah mengenalinya lebih mendalam, saya akui Sudirman adalah seorang profesional. Dia begitu sensitif terhadap berita yang disiarkan di akhbar. Ada yang tidak betul walaupun berita itu kecil, dia meminta saya menghubungi pihak media itu menjelaskan kedudukan sebenar.

Dalam mengendalikan rancangan hiburan televisyen pun Sudir cerewet. Ada anggapan kononnya Sudirman mempengaruhi penerbit agar mengikut telunjuknya, berdasarkan penyediaan skrip dari A hingga Z adalah idea Sudirman sendiri. Malah untuk rakaman sesebuah lagu, kalau tidak silap saya, pernah Sudir menghabiskan masa sehari, sedangkan tiga lagu boleh dirakamkan dalam sehari.

Bagaimanapun, Sudir ada memberitahu, tujuannya menulis skrip sendiri dan mengambil masa yang panjang untuk rakaman televisyen kerana dia mahukan program yang dikendalikannya itu menarik. Dia mahu penonton berpuas hati selain kebanggaan dirinya dan penerbit rancangan.

Sudir juga cukup teliti dalam penerbitan setiap albumnya. Apabila selesai rakaman, dia akan menanyakan bagaimana, OK atau tidak? Dia memerlukan kritikan untuk memperbaiki kesilapannya.

Laut mana yang tidak bergelora, begitu juga yang berlaku antara saya dan Sudir. Saya tidak dapat melupakan bagaimana air mata saya mengalir kerana diherdik Sudir. Memang saya tidak menyangka Sudir sanggup melukakan hati saya dengan cara begitu, sedangkan saya sudah memberi perkhidmatan yang terbaik kepadanya. Puncanya bukan besar. Cuma ada kesilapan sedikit ejaan pada senikata sebuah lagu yang dalam albumnya Kul it.

"...Cha how can you do this to me? I spent all night to make it perfect, this is what i get from you!"

Teguran itu rupa-rupanya menggagalkan saya menahan air mata lalu membiarkan ia mengalir sebanyak mungkin. Saya tahu, Sudir memang bengang dengan kesilapan itu. Jadi, mahu tidak mahu, dalam sedu sedan, saya menerima kemarahannya. Mungkin juga kerana kelalaian saya, tetapi ia juga menjadi pelajaran yang baik selamanya.

Lagipun dalam tugas PRO, kita tidak dapat menumpukan sepenuh masa kepada seorang artis saja. Kesilapan begini sudah tentu tidak disengajakan. Selang beberapa hari selepas itu Sudir menelefon saya di rumah. Hati saya kembali tenang. Seterusnya kami mula bekerjasama kembali, sehinggalah saya meninggalkan EMI pada 1988, untuk menyertai TV3.

Saya tidak memberitahu Sudir mengenai pengunduran saya dari syarikat itu. Akhirnya dia tahu juga. Sudir menelefon saya.

"...i wish you all the best..."

Kami saling meminta maaf sepanjang bekerjasama dulu. Sejak itu kami jarang bertemu. Saya hanya mengikuti perkembangan Sudir melalui media massa.

Kali terakhir saya bertemunya ialah di Holiday Villa pertengahan 1990. Saya sibuk mengendalikan urusan ABU - Golden Kite Song Festival. Manakala Sudir ada mengadakan show di situ.

Saya menunggunya sampai dia tiba kerana saya tahu untuk bertemu dengannya bukan mudah, tambahan pula sejak Sudir membabitkan diri dalam bisnes, dia begitu sibuk sekali. Tahu-tahulah apabila sudah bertemu. Kami berbual panjang, mesra dan ketawa seperti dulu. Nostalgia begini manis dan sukar dikikis dari ingatan saya.

"...Cha you look very nice," kata Sudir yang agak kehairanan melihat perubahan saya yang bertudung apabila menyertai TV3.

Secara peribadi, walaupun Sudirman seorang penghibur yang sentiasa riang di pentas, sebenarnya jiwanya seringkali berasa sunyi. Dia memang memerlukan seorang teman untuk meluahkan segala masalah yang terbuku di hatinya.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya" - Chah

Petikan: Sudirman Yang Kukenali... Jumaat, 28 Februari 1992.
Oleh: Norisah Sulaiman

Friday, July 20, 2012

Kot Sudirman Tempahan Terakhir Di Toko Den Wahab

Kot terakhir Sudir

Pakaian terakhir untuk diri Allahyarham Sudirman Haji Arshad adalah dua pasang Baju Melayu songket untuk menyambut Hari Raya pada tahun 1991 yang lalu. Juga sehelai kot lukisan tangan yang menampilkan tandatangan logo Sudirman.

Demikian diberitahu oleh Encik Den Wahab, tuan punya kedai jahit kegemaran Allahyarham yang terletak di Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Menurut Den Wahab, Sudirman datang sendiri ke kedai bersama bodyguardnya SAM yang berbadan tegap dan sasa itu, dalam bulan puasa pada pertengahan April 1991.


Sudir duduk bersebelahan bodyguardnya SAM (paling Kanan)

Kata Den Wahab, bahan kain tersebut pada mulanya Sudirman minta buatkan kot untuk SAM. "Seperti biasa saya mengukurnya dulu, saya dapati kain itu memang tak cukup untuk kot SAM. Tapi kalau untuk Abang Sudir memang cukup, kerana Abang Sudir kecik, tapi SAM besar."

"Kalau tak cukup tak mengapalah. Buatlah saja kot untuk saya," jawab Sudirman.

"Saya sendiri yang memotong kain baju kot itu, terus jahit. Dan siap dalam tempoh empat lima hari saja, berpandukan 'design' yang dilukis oleh Sudirman sendiri," kata Den Wahab lagi.

Kata Den Wahab lagi: "Sebelum itu saya pernah menyiapkan pakaian yang dikehendaki segera oleh Sudirman dalam tempoh 24 jam."

Bagi Den Wahab, kain yang dibuat kot itu agak istimewa dari yang biasa ditempah oleh Sudirman, kerana kain itu bercorak tandatangan logo Sudirman, sungguh menarik, lain dari yang lain.


Sambutan Hari Jadi terakhir Sudir di Pulau Pinang pada tahun 1991.

Rupanya kot tersebut telah dipakai oleh Sudirman di majlis sambutan hari lahirnya yang ke-37. Majlis itu berlangsung di perkarangan rumah abang iparnya (bapa Atai) Encik Zainuddin Awang Ngah (Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pulau Pinang) iaitu suami kakak Sudir, Rudiah.

Peristiwa yang sangat bererti pada 25 Mei 1991 itu turut meraikan bersama anak-anak yatim seramai 500 orang.

Turut memeriahkan majlis tersebut ialah pelawak kesayangan Sudir, iaitu Yusni Jaafar (ibu Raja Ema). Kata Yusni, waktu itu dia telah menegur Sudir: Mengapa kurus sangat? Kesihatan pun kena jaga Sudir," kata Yusni menasihatkannya. Dia hanya tersenyum. "Saya sihat," jawabnya.

Kira-kira sebulan lebih selepas majlis tersebut, Sudirman pun jatuh sakit di Kuala Lumpur. Terus menghilang selama 7 bulan.... dan menghilang terus buat selama-lamanya dari pandangan mata.

Petikan: Majalah URTV terbitan tahun 1992
Oleh: Norazli Noh


Sudirman Semasa Kecil Sering Melukis Wajah-Wajah Tetamu Ibu Tirinya

Lukisan terakhir Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad

Berdasarkan kejayaan dalam arena hiburan yang dicapainya sejak menjadi juara Bintang RTM 1976 sehingga ke taraf Penghibur No. 1 Asia (1989) di London dan mungkin ke taraf dunia beberapa tahun akan datang, jadi tidak syak lagi Sudirman Haji Arshad, anak watan bumi Temerloh, Pahang Darul Makmur ini layak digelar "Penghibur Agung Malaysia" lantaran bakat seninya yang cemerlang dan membanggakan masyarakat seluruhnya!

Memang telah menjadi kelaziman ciri-ciri utama seseorang itu akan muncul sebagai "artis terkemuka" boleh kita lihat kepada perkembangan wataknya yang kreatif dan aktif sejak kecil lagi. Begitulah juga halnya dengan Sudirman.

Kalau Seniman Agung Allahyarham P.Ramlee sejak kecil bersama-sama dengan rakan-rakan sebaya bermain lawan pedang, dia pasti mahu menjadi hero. Apabila dewasa ternyata dia memang seorang hero filem serba boleh sehingga kehebatan bakatnya itu diangkat oleh masyarakat sebagai lagenda "Seniman Agung" bertaraf Asia kerana Allahyarham P.Ramlee pernah menang anugerah "Golden Harvest" untuk seniman serba boleh menerusi filem "Nujum Pak Belalang" dalam Pesta Filem Asia ke-7 (1960) di Tokyo, Jepun dan sampai sekarang tiada siapa pun pelakon mahupun pengarah filem di rantau ini yang dapat mengatasinya.

Dalam hubungan ini apabila menulis cerita Sudirman, sudah tentu orang ingin tahu kisah keganjilan bakat kesenimanan dalam dirinya sejak kecil lagi. Sudirman memiliki berbagai bakat seni dan tidak syak lagi dia juga seorang artis 'versatile' serta progresif sekaligus kreatif! Pendek kata kisah-kisah keganjilan zahir dan batin Sudirman boleh dibuat sebuah buku atau siri yang menarik, jika diolah dengan penuh daya kreatif.

Selain menyanyi dan mengarang, bakat kreatif cemerlang yang dipancarkan oleh Allah ke dalam diri insan bernama Sudirman ini ialah bakat melukis yang boleh dibanggakan, sama ada melukis pemandangan, komik, kartun mahupun potret manusia hidup!

Al-kisah maka tersebutlah kisah budak kecil bernama Sudirman (ketika berusia sekitar 5-7 tahun)  suka sangat duduk menyorok di bawah meja sambil membawa pensil atau pen dan kertas apabila setiap kali tetamu ibu tirinya datang ke rumah.

Adapun mungkin pembaca tertanya-tanya mengapa Sudirman selalu menyorok bawah meja apabila tetamu ibu tirinya datang? Dia seorang yang pemalu ke? Atau apa yang ditakutkannya? Apakah tetamu-tetamu ibu tirinya itu 'gergasi' atau 'hantu kopek' yang hodoh? Ini semua menjadi teka-teki terhadap keganjilan masa kecil Sudirman yang penuh misteri.....

Untuk mencari jawapan teka-teki tersebut kita kenalah 'flashback' kepada budaya hidup orang-orang di tahun 1950-an sehingga 1960-an lampau. Pada zaman itu orang-orang tua atau ibu bapa tidak 'sporting' macam sekarang.

Waktu zaman dahulu, golongan yang disebutkan itu tidak suka anak-anak atau budak-budak kecil mengada-ngada kacau daun apabila ibu bapa atau orang tua berbual. Anak-anak mesti pergi jauh. Kalau degil akan dipukul atau dirotan hingga lebam atau berbilur!

Kerana itulah anak kecil Sudirman, manusia yang kreatif itu terpaksa menyorok sambil mengintip di bawah meja untuk mengetahui kegiatan orang-orang tua. Memang Sudirman anak kecil yang cerdik kerana dengan mengetahui perbualan orang tua, membuatkan pemikirannya menjadi lebih matang dari usia.

Sudirman ketika itu bukan sahaja menjadi 'pengintip termuda di dunia', malah dia turut melukiskan wajah-wajah setiap tetamu ibunya.

Sudirman kembali ke sekolahnya, Sekolah Menengah Seri Bahagia, 
Temerloh pada tahun 1990. 

"Apabila semua tetamu pulang, Sudirman keluar menunjukkan kepada saya satu persatu lukisan wajah semua tetamu yang baru pulang tadi," demikian ibu tiri Sudirman (Puan Mariam Mohamad) bercerita kepada pemberita URTV sewaktu berkunjung ke rumah lama Penghibur Internasional berkenaan di Kampung Bukit Tok Embun, Temerloh, Pahang Darul Makmur pada siang hari Ahad, tanggal 18 Februari 1990.

Menurut Puan Mariam, Sudirman juga bertanyakan apakah lukisan-lukisannya itu sama seperti wajah tetamu-tetamu tadi?

"Memang Sudirman anak kecil yang berbakat melukis, kerana kalau diukur dengan usianya yang belum masuk sekolah rendah, tetapi sudah boleh melukis mirip orang yang dilukisnya," akui Puan Mariam yang kini menjadi Ketua Penerangan Wanita UMNO Baru Bahagian Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Urutan perkembangan bakat Sudirman sebagai 'pelukis' itu terus berkembang sehingga ke sekolah menengah, universiti (Universiti Malaya) dan hari ini. Di dalam setiap keluaran majalah URTV sejak empat tahun lalu hingga kini, para pembaca berpeluang menatap episod kartun 'Teringat-Ingat' yang sungguh lucu lukisan Sudirman dan nampaknya dia juga berkebolehan dalam bidang lawak jenaka bukan saja di pentas seperti Seniman Agung Allahyarham P.Ramlee, malah dalam berbagai karya kreatifnya Sudirman sentiasa menyelitkan unsur jenaka.

Satu hal yang tak pernah dibuat oleh penghibur lain ialah kebolehan luar biasa Sudirman menyanyi di pentas dia boleh melukis dengan cantik potret seorang penonton yang diundang naik duduk atas kerusi di pentas. Setiap buah lagu dalam tempoh tujuh minit, bermakna siap jugalah sebuah lukisan potret penonton lalu dihadiahkan kepada penonton itu.

Demikianlah betapa uniknya Sudirman hinggakan semua bangsa di dunia ini yang pernah menyaksikan pertunjukkan pentasnya mengakui Sudirman 'artis yang agung'. Gelaran itu tidak keterlaluan kerana 'artis' yang tulen merangkumi pencipta, penyanyi dan pelukis.

Hai Abang Sudir ni ada-ada saja idea fantasi yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Bersyukurlah selalu. Apa khabar Abang Sudir hari ini? Kelakarlah Abang Sudir. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin dan semoga Abang Sudir berjaya mencacakkan sebatang lagi bendera kejayaan di Amerika Syarikat pula, selepas berjaya sebagai "Penghibur No.1 Asia" di Royal Albert Hall, London (1989). Syabas Abang Sudir! Wa caya lu.... baik punya! Klas.... you!

Petikan: Majalah URTV terbitan tahun 1990.
Oleh: Nazeri Nong Samah