Sunday, March 1, 2020

LEBIH 2,000 ZIARAHI JENAZAH SUDIRMAN


TEMERLOH 22 Feb. - Lebih 2,000 orang, termasuk pemimpin politik menziarahi Allahyarham Sudirman Haji Arshad sebelum jenazah penyanyi nombor satu Asia itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, di sini, pukul 3.45 petang ini.

Antara mereka termasuklah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Dato' Sabaruddin Chik, Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato' Abdullah Haji Kia dan Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Dato' Haji Abdul Aziz Abdul Rahman.

Ahli Exco kerajaan negeri, Dato' Bahari Tan Sri Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Semantan, Encik Mohd. Sarit Haji Yusoh juga turut menziarahi jenazah penyanyi popular tanah air itu.

Ramai peminat Sudirman yang mengetahui berita kematiannya, menunggu sejak pukul 8 pagi lagi di rumah ibu tiri Allahyarham, Puan Meriam Mohamad di Kampung Tok Embun, Kilometer 5, Jalan Temerloh-Mentakab, dekat sini.

Wartawan Mingguan adalah antara orang pertama tiba di rumah itu kira-kira pukul 7.50 pagi, setelah mendapat tahu mengenai kematian penyanyi tersebut kira-kira pukul 6.30 pagi ini.

Jenazah Sudirman tiba dengan kereta jenazah milik FELDA di rumah itu pukul 1.26 tengah hari dengan diiringi oleh beberapa orang anggota keluarganya yang terdekat, disambut oleh Puan Meriam dan abang sulungnya, Encik Zainudin Haji Arshad.

Salah seorang lagi abangnya, Encik Morni Haji Arshad yang bertugas sebagai Pegawai Turus di Ibu Pejabat FELDA Kuala Lumpur, tiba kira-kira limat minit kemudian di rumah itu. Beliau bertolak dari Kuala Terengganu awal pagi ini setelah mengetahui berita kematian adiknya itu.

Anggota Polis terpaksa berkawal bagi mententeramkan orang ramai yang bersesak dan cuba menyerbu ke atas rumah untuk menatap wajah Allahyarham bagi kali terakhir.

Mereka diminta turun ke halaman rumah bagi membolehkan urusan memandi dan menyembahyangkan jenazah dijalankan dengan sempurna.

Polis juga terpaksa mengawal kesesakan lalu lintas di jalan utama Temerloh-Mentakab, apabila terlalu ramai orang membanjiri sekitar kawasan rumah Allahyarham untuk mengetahui perkembangan lanjut diri penyanyi itu.

Keluarga Allahyarham kemudian membenarkan orang ramai menatap bagi kali terakhir wajah Sudirman selepas selesai dimandi dan dikapankan, bagi mengelakkan kekecewaan mereka yang setengahnya datang dari luar Pahang.

Sementara itu, Abang Allahyarham, Morni Haji Arshad memberitahu wakil Mingguan, Sudirman terlalu merahsiakan penyakit yang dihidapinya sehingga tidak ada sesiapa anggota keluarga mengetahui keadaan itu pada peringkat awal.

"Saya hanya mengetahui tentang penyakit yang dihidapi Sudirman selepas keadaannya dikatakan agak teruk," katanya penuh sayu.

Menurutnya, ketika sedang sakit Allahyarham juga pernah berpesan supaya adik-beradiknya tidak terlalu mengambil berat mengenai dirinya, sebaliknya memberikan tumpuan kepada keluarga masing-masing.

Sudirman, anak bongsu dari enam beradik, mula diserang sakit secara mengejut sejak kira-kira setahun lalu dan menjalani pelbagai rawatan, termasuk secara tradisional.

Allahyarham dikatakan terlalu rapat dengan dua kakaknya, Rudiah dan Roaini, berbanding perhubungannya dengan tiga lagi abangnya, Zainudin, Morni dan Roslan.

Sumber: Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 23 Februari 1992.


INILAH LUKISAN KARTUN TERAKHIR SUDIRMAN


Inilah lukisan kartun terakhir Penyanyi Nombor Satu Asia Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang dihasilkannya di depan khalayak ramai.

Lukisan yang menggambarkan beliau bersama wartawan hiburan Utusan, Juwie serta lima kanak-kanak sedang menunggang gajah ini dihasilkannya di majlis Temasya Utusan Pelajar di Zoo Negara, 24 Februari 1991.

Tarikh tersebut juga merupakan hari detik-detik terakhir menjelang beliau menghilangkan diri dari khalayak ramai, sebelum terlantar sakit tujuh bulan lalu dan meninggal dunia pada pukul 4 pagi kelmarin di rumah kakaknya di Lorong Taban 1, Bangsar.

Lukisan ini dihasilkan di depan kira-kira 4,000 pelajar yang menghadiri temasya itu.

Lukisan yang menggunakan krayon yang dihasilkannya dalam masa lima minit berjaya menampilkan bakatnya bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi seorang pelukis yang peka pada alam sekeliling.

Lukisan beliau telah menimbulkan kekaguman kepada para pelajar, guru dan ibu bapa yang hadir di temasya itu.

Kini semuanya tinggal kenangan dan lukisan ini membuktikan bahawa beliau begitu disayangi oleh bukan sahaja di kalangan orang tua dan muda tetapi juga kanak-kanak.

Sumber: Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 Februari 1992.


Saturday, February 29, 2020

SUDIRMAN PERGI BUAT SELAMA-LAMANYA


KUALA LUMPUR 22 Feb. - Penghibur kesayangan ramai, Sudirman Haji Arshad yang menghilangkan diri selama tujuh bulan meninggal dunia awal pagi ini akibat penyakit radang paru-paru. Jenazah Penyanyi Nombor Satu Asia yang berusia 38 tahun itu selamat dikebumikan di Temerloh petang ini di sisi pusara ibu dan bapanya.

Sudirman yang jatuh sakit pada 21 Julai tahun lepas kembali menemui Tuhan pada pukul 4 pagi ini di rumah kakaknya, Rodziah Haji Arshad di Lorong Taban 1, Bangsar. Jenazahnya dibawa ke Temerloh tempat beliau dilahirkan pada pukul 11 pagi dengan van jenazah.

Sejak jatuh sakit, Allahyarham tidak pernah muncul di khalayak ramai, menimbulkan berbagai-bagai teka-teki tentang penyakit yang dihidapinya. Malah, beberapa kali tercetus spekulasi bahawa beliau telah meninggal dunia di London.

Menurut rakan-rakan yang berpeluang melawatnya, semasa terlantar sakit, Sudirman tidak boleh makan minum seperti biasa dan dirawat secara Islam. Makanannya, dalam bentuk cecair diberikan melalui tiub.

Sudirman juga tidak boleh cakap dan tidak boleh bergerak. Selama tujuh bulan dia terbaring di dalam sebuah bilik di rumah kakaknya.

Bapa saudaranya, Mohamad Amin bin Hassan 65, berkata, Juara Bintang RTM 1976 itu menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi dua orang kakaknya Rodziah dan Roaini.

Menurut beliau, sejak jatuh sakit, Sudirman dirawat di rumah kakaknya Rodziah. Dia tidak pernah dibawa ke mana-mana, jauh sekali ke London seperti yang pernah dilaporkan.

Semasa masih boleh bercakap beberapa bulan lalu, Sudirman mewasiatkan kakaknya Rodziah supaya mengkebumikan jenazahnya di sisi pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Chengal, Kampung Tok Embun, Batu 3, Jalan Mentakab, Temerloh. "Itu sajalah pesanannya," kata Mohamad Amin.

Sebaik-baik sahaja berita kematian penyanyi kesayangan ramai itu tersebar pagi ini, sahabat-handai serta rakan-rakan seperjuangannya berpusu-pusu datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Rakan seperjuangan Allahyarham yang pertama tiba ialah Mek Habsah.

Sharifah Aini yang pernah berduet dengan Sudirman dalam album-album Melayu Deli dan Habsah Hassan, penulis lirik kebanyakan album Sudirman adalah antara sahabat-sahabat karibnya yang menziarahi jenazah beliau. Mereka menitiskan air mata ketika menghadiahkan surah Yassin kepada Allahyarham. Uji Rashid, seorang lagi rakan baik turut hadir. Uji juga tidak dapat menahan sebak di dada.

Turut berada di rumah itu ialah bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Radzi Sheikh Ahmad. Isteri Radzi ialah sepupu Sudirman. Radzi ketika ditemui berkata, Sudirman diserang angin ahmar (stroke) tujuh bulan yang lalu dan Allahyarham tidak pernah keluar negara untuk mendapatkan rawatan pakar seperti yang diheboh-hebohkan selama ini. Katanya, Allahyarham meninggal dunia kerana radang paru-paru (Pneumonia) iaitu sejenis penyakit paru-paru.

Pemergian Sudirman akan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat yang mengkagumi beliau kerana bakat luar biasanya. Bakat ini terserlah sejak beliau masih menuntut di Universiti Malaya dalam jurusan Undang-Undang. Ketika itulah beliau muncul sebagai Juara Bintang RTM 1976.

Pada tahun 1983 beliau mendapat jolokan 'The Singing Lawyer' apabila diterima menjadi peguam pada bulan Disember. Bagaimanapun minatnya terhadap dunia nyanyian telah membawanya ke puncak kegemilangan apabila lagu-lagunya yang menyentuh kehidupan seharian seperti Chow Kit Road, Punch Card, Aku Penganggur dan Balik Kampung tersemat di jiwa rakyat dan menjadi siulan ramai. Sudirman juga terkenal dengan lagu-lagu patriotiknya.

Peminatnya bukan sahaja dari kalangan anak-anak muda dan orang tua malah kaum bukan Melayu. Beliau lebih dikenali sebagai 'penghibur' kerana kemampuannya mengendalikan 'stage' secara profesional.

Kemuncak kepada kariernya sebagai penyanyi ialah apabila beliau memenangi anugerah Penghibur Nombor Satu Asia pada 19 Mac 1989 setelah mengalahkan Anita Sarawak dan penyanyi sensasi Hong Kong, Leslie Cheung di Royal Albert Hall, London.

Bagaimanapun pada 18 Julai tahun lalu Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Tawakal, Jalan Pahang setelah menghidapi satu penyakit yang dirahsiakan oleh keluarganya.

Beliau dibawa keluar dari pusat perubatan tersebut oleh anggota keluarganya empat hari kemudian dan sejak itu tidak pernah muncul di khalayak ramai sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir awal pagi itu.

Sumber: Akhbar Mingguan Malaysia Bertarikh 23 Februari 1992.





Petikan Berita Pemergian Sudirman 
Dalam Buletin Utama TV3 Pada 22 Februari 1992