Sunday, March 1, 2020

PRINSIP HIDUP SUDIRMAN


KUALA LUMPUR: Sudirman Haji Arshad yang kembali ke Rahmatullah awal pagi semalam mempunyai hidup yang penuh warna sebagai penyanyi, pelakon, usahawan dan peguam.

Berikut adalah antara prinsip hidupnya yang membabitkan pelbagai perkara: 

Mengenai hidup: "Kita dalam menghadapi kehidupan, jangan taruh pagar mengelilingi kita."

Tujuan hidup: "Saya rasa pokok pangkalnya dalam setiap kehidupan manusia, dalam diri setiap manusia, ialah memberi 'service' kepada masyarakat. Kita hidup di dunia bukan seorang diri."

Formula belajar: "Kepada semua budak-budak sekolah yang ingat mereka belajar tidak masuk, saya nasihat bacalah berulang kali. BUFSU... baca, ulang, fahamkan, salin, ulang."

Hidup: "Saya hanya menggunakan kebolehan yang ada pada diri saya. Saya mahu memastikan 'my life is well spent'. Saya tidak expect orang mengingati saya, tetapi expect diri saya yang melakukan terbaik."

Mengenai wang: "Pada saya, wang hanya hamba kehidupan. Wang tidak tidak pernah mengaburi mata saya. Yang penting, usaha seseorang itu dan keinginan seseorang itu menyempurnakan dirinya apabila sampai ke akhir hayat."

Mengenai profesion: "Saya tidak pernah menghadkan kegiatan saya dalam apa bidang pun."

Mengenai kerja: "Yang penting ialah kepuasan."

Mengenai kejayaan: "Seseorang yang mahu berjaya perlu mempelajari sesuatu dari mana-manapun. Yang penting kita mesti menimba pengetahuan, menimba ilmu untuk diri kita cepat maju dan mesti mempunyai prinsip-prinsip tertentu."

Mengenai model contoh: "Role model saya ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Saya fikir beliau mempunyai segala-galanya dalam kepala beliau."

Mengenai bangsa Melayu: "Masalah dalam masyarakat Melayu ialah terlalu banyak polemik, bila sesuatu usaha diketengahkan untuk dilakukan, pelbagai orang pandai berdebat mengenai masalah itu, bila habis masanya perkara itu tidak dijalankan sebab orang asyik berdebat. Itulah sebabnya saya suka kerja sendirian."

Mengenai kerja: "Saya hanya kerja dan terus bekerja hingga saya berasa letih, saya akan berhenti dan buat kerja lain yang merupakan satu 'relaxation' daripada kerja pertama dan memberi kepuasan."

Mengenai rehat: "Kerja itu adalah rehat bagi saya. Saya bimbang kalau saya mula relax, kalau saya relax, tak buat apa-apa, tak fikir apa-apa, tak bimbang apa-apa, ini menakutkan saya."

Mengenai senjata: "Senjata terkuat kita ialah akal fikiran."

Mengenai perniagaan: "Saya sendiri ketika menjalankan perniagaan, saya tak fikir mahu membataskan perniagaan saya kepada Malaysia saja." 

Falsafah perniagaan: "Kita tidak boleh merosakkan orang lain, mengambil rezeki orang lain dan mematahkan semangat orang lain."  

Sumber: BERNAMA bertarikh 23 Februari 1992.

SUDIRMAN MENINGGAL DUNIA KERANA TERKENA GANGGUAN SIHIR


KUALA LUMPUR, Ahad - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kematian penyanyi kesayangan ramai, Sudirman Haji Arshad, disebabkan radang paru-paru (pneumonia) dan bukan kerana Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids) seperti yang dihebohkan sebelum ini.

Setiausaha Sulit kepada Menteri Kesihatan, Michael Loh Kee Ming, berkata penyakit yang dihidapi Sudirman itu tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana doktor pakar yang mengesahkannya.

"Kita tidak perlu membangkitkan isu Aids lagi kerana Doktor Pakar yang bertauliah dari Pusat Perubatan Tawakal sendiri yang mengesahkan penyakit pneumonia itu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini. Menurutnya, hospital kerajaan tidak terbabit dalam merawat Sudirman kerana penyanyi itu menerima rawatan di beberapa pusat perubatan swasta.

"Pusat perubatan swasta yang bertanggungjawab merawat Sudirman juga tidak perlu menghantar laporan kepada Kementerian Kesihatan, kecuali jika penyanyi itu menghidap penyakit berbahaya," katanya.

Sementara itu dua pembantu kanan Profesor Datuk Dr. Haron Din, dari Pusat Rawatan Islam Darussyifa di Bangi berkata, kematian Sudirman dipercayai berpunca daripada 'gangguan sihir'.

Muhammad Abu berkata, Allahyarham Sudirman pernah menerima rawatan daripada pusat itu Julai lalu. "Saya sendiri dipertanggungjawabkan oleh Dr. Haron Din untuk merawat Allahyarham ketika itu," katanya kepada Berita Harian.

Menurutnya, berdasarkan rawatan itu beliau percaya Allahyarham terkena 'gangguan sihir'. Keadaan beliau ketika itu agak lemah, tidak boleh bercakap, matanya sentiasa terbuka dan selepas dirawat dengan bacaan doa, Sudir berupaya bergerak, Sudir juga cuba menerangkan sesuatu tetapi menggunakan Bahasa Siam," katanya.

Beliau berkata, selepas menerima rawatan itu, Allahyarham beransur pulih. Malangnya keluarga penyanyi itu tidak membuat rawatan susulan di pusat itu. Muhammad berkata, selepas dihubungi keluarga Allahyarham, beliau merawat penyanyi itu di rumah kakaknya di Bangsar. "Seperti yang dijanjikan saya berjumpa dengan keluarganya di Masjid Bangsar dan dibawa ke rumah kakaknya," katanya.

Seorang lagi pembantu kanan pusat itu, Salleh Kassim, berkata Dr. Haron Din tidak sempat merawat Allahyarham Sudirman ketika itu kerana ada urusan lain dan meminta Muhammad Abu menguruskannya.

"Keluarga Sudirman kemudian menghubungi Dr. Haron Din bulan lalu untuk menyambung rawatan tetapi beliau terlebih dahulu kembali ke Rahmatullah," katanya.

Beliau berkata Dr. Haron Din sendiri mengesahkan kepadanya bahawa Allahyarham terkena 'gangguan sihir'. "Penyakit itu tidak diumumkan kerana keluarganya sendiri mahu ia dirahsiakan," katanya.

Sudirman meninggal dunia di rumah kakaknya di Lorong Taban 1, Bangsar awal pagi semalam, selepas menderita penyakit pneumonia atau radang paru-paru.

Sumber: Akhbar Berita Harian bertarikh 23 Februari 1992.

SUDIRMAN SUDAH MENINGGAL DUNIA



KUALA LUMPUR: Sudirman Haji Arshad meninggal dunia pagi ini.

Penyanyi Nombor Satu Asia itu, yang dilaporkan menghidap penyakit ganjil sejak Julai tahun lalu, meninggal dunia kerana penyakit Pneumonia di rumah kakaknya di No. 16, Lorong Taban 1, Bangsar di sini, pada kira-kira jam 4 pagi ini.

Laporan mengenai kematian Sudirman, 38, dibuat oleh abang Allahyarham, Dr. Roslan, di Balai Polis Pantai Baru pada jam 7.30 pagi.

Harian Metro difahamkan, beberapa anggota keluarga, termasuk kakaknya, Rodziah, berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad, yang mempunyai hubungan saudara dengan Sudirman, memberitahu Harian Metro Allahyarham meninggal dunia kerana Pneumonia.

Menurutnya, Allahyarham lumpuh sebelah badan sejak enam bulan lalu dan keadaannya bertambah tenat kira-kira seminggu lalu.


Spekulasi Berakhir...

KUALA LUMPUR: Kematian Sudirman Haji Arshad awal pagi ini melenyapkan spekulasi dan khabar angin pelbagai pihak selama ini mengenai keadaan penyanyi superstar itu selepas diserang penyakit ganjil tahun lalu.

Berikutan itu, media massa, khususnya akhbar tabloid menyiarkan pelbagai laporan spekulasi mengenai keadaan Allahyarham dan usaha mengesannya dilakukan di seluruh negara.

Bagaimanapun, kebanyakan laporan itu lebih banyak menimbulkan tanda tanya kepada masyarakat, khususnya peminat setia yang menyayangi Sudirman.

Antara laporan dan khabar angin yang tersebar ialah Sudirman sudah meninggal dunia di London di mana beliau dibawa untuk mendapatkan rawatan perubatan dan jenazah Allahyarham dikebumikan di Bukit Kiara, Damansara.

Bagaimanapun, semua laporan itu didapati palsu.

Sumber: Muka hadapan Akhbar Harian Metro bertarikh 23 Februari 1992.


Ramai lambat terima berita kematian

TEMERLOH, Ahad - Ramai peminat Penghibur Nombor Satu Asia, Sudirman Haji Arshad, yang lewat menerima berita mengenai kematiannya, menziarahi kubur Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Kampung Paya Dalam, di sini hari ini.

Kebanyakan yang datang secara bersendirian dan berkumpulan, turut mengadakan tahlil.

Mereka juga tidak ketinggalan mengunjungi ibu tiri Allahyarham, Mariam Mohamad, di Kampung Tok Embun, di sini, untuk mengucapkan takziah.

Beberapa peminat yang ditemui, berkata mereka terkilan kerana lewat mengetahui kematian Allahyarham serta tidak berpeluang untuk menatap wajah Allahyarham sebelum dikebumikan.

Majlis Tahlil malam tadi dan malam ini diadakan di rumah Mariam manakala malam esok, di rumah abangnya Morni, di Damansara, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, ramai menyifatkan kematian Allahyarham sebagai kehilangan kepada bangsa dan negara, khususnya dalam bidang seni suara.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik, berkata Allahyarham berjuang dalam bidang seni, bukan sahaja untuk dirinya, malah negara.

"Mesej perjuangan serta cintanya pada negara adalah nyata dan dapat dilihat dalam semua pertunjukan Allahyarham," katanya.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Datuk Abdul Mutalib Mohd Ali Al-Fakwie pula, berkata Allahyarham adalah seorang tokoh korporat Melayu berwibawa.

Menurutnya, selain berkebolehan sebagai penghibur, Allahyarham juga berpendidikan tinggi dan boleh membaca Al-Qur'an dengan baik.

Dr. Mahathir Turut Bersedih

KUALA LUMPUR, Ahad - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, turut bersedih dengan kematian Penghibur Nombor Satu Asia 1989, Sudirman Haji Arshad semalam.

"Saya sedih dengan kematian seorang penghibur terkenal yang pernah mengharumkan nama negara dalam dunia hiburan. Dia masih muda," katanya ketika mengulas kematian penghibur terkenal itu selepas melancarkan limousine Mara, Majalah Imej, Video Vision 20 dan imej baru bas ekspres Mara, hari ini.

Allahyarham meninggal dunia kerana Pneumonia di rumah kakaknya di Bangsar kira-kira jam empat pagi semalam. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Kampung Paya Dalam, Temerloh.

Sementara itu, Naib Presiden PEMADAM, Lee Lam Thye, menyifatkan pemergian Sudirman sebagai kehilangan besar kepada dunia hiburan kerana Allahyarham berjaya membuktikan kemampuannya sebagai penghibur terkenal di Asia.

"Allahyarham berjaya membuktikan kecemerlangannya dan menempa nama Malaysia di luar negara. Namanya wajar diabadikan kerana banyak berjasa di bidang hiburan," katanya.