Sunday, March 8, 2020

MENATAP SUDIR DI SAAT AKHIR



OLEH KERANA ramai orang yang percayakan berita-berita angin yang menghebahkan Sudir dah meninggal dunia, maka berita benar Sudirman telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4 pagi Sabtu (22 Februari 1992), membuatkan saya sendiri masih tidak mahu mempercayainya bulat-bulat.

Tapi saya yang masih berada di tempat tidur pada jam 7.30 pagi itu, terus bangun bila dikejutkan dari tidur dan mengatakan ada orang telefon dari pejabat memberitahu Sudir dah meninggal dunia.

Sudir dah meninggal dunia? Betulkah begitu? Saya masih lagi tidak mahu percaya berita itu, tapi badan saya dah lemah, hati saya dah sebu sebak, macam bom tunggu meletup, tunggu nak meraung sepuas-puasnya.

Terus saya batalkan saja rancangan untuk hadir di perhimpunan Hari Seniman Malaysia pada jam 9 pagi di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Hulu Klang.

Walau apapun saya mesti pergi ke rumah kakak Sudir di Bangsar, untuk melihat sendiri benar atau tidak berita itu.

Bila kereta membelok saja ke Lorong Taban, hati saya terus menangis, badan jadi lemah melihat beberapa orang Polis telah berkawal di situ. Kereta-kereta sudah berderet sepanjang tepi jalan raya. Bahkan kereta jenazah pun sudah menunggu.

Ya Allah, betul Sudir dah tak ada, beginilah kata hati saya sambil melangkah masuk mendapatkan kakak-kakaknya Ani, Aisyah... semuanya menangis.

Sudir sudah terbujur kaku dikatilnya... wajahnya seperti dia sedang tidur dengan tenang... mungkin begitu lembut malaikat mencabut nyawanya. Sudir, akhirnya pergi meninggalkan kita semua.

Mana Rodziah, kakak kesayangan Sudir?

Dia sedang sembahyang di biliknya. Kemudian kami berdua berpelukan dan bertangisan.

Kata saya kepada Rodziah: "Rodziah, redhakanlah adik awak pergi, daripada dia menderita dan merana. Tuhan lebih sayangkan dia.

Sebagai kakak, awak telah banyak berkorban selama dia sakit, hingga terpaksa meninggalkan suami berbulan-bulan dengan izin suami juga.

"Saya redhakan jawab Rodziah dalam sedu sedannya.

"Pukul berapa dia nazak? Siapa-siapa dapat menghadapnya di saat-saat akhir?" tanya saya.

"Yang ada, hanya saya dan Ani. Basir (Abang Sudir) tak ada, pergi Terengganu.

"Diman nazak sekejap aje. Kami sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah," jawab Rodziah.

Kedua kakak Sudir, Rodziah dan Ani, mengatakan, sejak Sudir (yang dipanggil Diman) sakit, mereka memang tak nyenyak tidur kerana menjaga Sudir yang juga tak nyenyak tidur, terkebil-kebil di tengah malam, matanya hanya memandang ke atas saja.

Kata Rodziah, sejak dua bulan ini mereka adik-beradik semua bersembahyang berjemaah saban hari. Dan Rodziah sendiri saban malam bangun di tengah malam, 2 pagi, 3 pagi, 4 pagi, bila tersedar terus bangun menunaikan sembahyang hajat, mendoakan Diman sembuh.

Kata Rodziah lagi, dia pernah terbaca dalam buku yang ditulis oleh Prof. Dato' Dr. Haron Din, ulama terkemuka pakar perubatan secara Islam, bahawa keluarga yang menjaga "orang sakit" hendaklah berpuasa.

"Saya pun berpuasa, qadha' semua puasa-puasa yang pernah ditinggalkan masa lalu.

"Macam-macam saya lakukan untuk Diman, tapi sudah takdir apa nak buat" ujar Rodziah yang terus menangis kesedihan.

Tak minta pertolongan Dr. Haron Din?

Mendengar pertanyaan ini Rodziah terdiam sejenak... kemudian menjawab: "Saya dah menghubunginya. Dr. Haron Din meminta saya bawa Diman ke pusat perubatan secara Islam di Darussyifa', Bangi.

"Saya katakan pada Dr. Haron Din, macam mana saya nak bawa dia ke Darussyifa', dia lemah dan tak boleh berjalan. Dia sakit, kalau saya dukung pun badannya terasa sakit. Saya kesian, tak sampai hati.

"Tapi, kata Dr. Haron Din, bawalah, asalkan sampai ke Darussyifa', dalam kereta pun tak apa, tak payah turun kalau takutkan orang surat khabar ambil gambar."

Memang kata Rodziah, dia tidak sanggup adiknya itu menjadi serbuan orang-orang surat khabar. Walaupun Sudirman Penghibur No.1 Asia, menjadi milik masyarakat dan punya jutaan peminat, tapi Rodziah memegang amanah adiknya itu, yang semacam tahu dia akan jatuh sakit, lalu berpesan, jangan izinkan sesiapa pun datang melihatnya.

Rodziah masih tidak berputus asa, manalah tahu dengan izin Allah, mungkin Dr. Haron Din yang dapat mengubati Sudir. Apakah Dr. Haron Din tidak boleh datang ke rumah mengubati Sudir?

Dr. Haron Din akhirnya bersetuju, tapi ketika itu beliau harus berangkat ke luar negara, beliau meminta menghubunginya semula setelah beliau pulang ke tanah air nanti.

Sesungguhnya, segala sesuatu adalah dengan izin Allah jua. Dengan izin Allah jua hati Dr. Haron Din mungkin belum terbuka untuk menziarahi Sudir. Itulah yang dinamakan takdir.

Rodziah beryukur kerana dia tidak pernah merungut penat dan bosan selama menjaga Sudir sakit. Kerana Sudir adalah adik kesayangannya. Mereka berdua begitu rapat sekali. Segala cerita baik dan cerita buruk, maupun keluh kesahnya semuanya Rodziah tahu.

Kata Rodziah: "Diman tau agaknya dia nak mati, kerana itu dia sengaja menjauhkan dirinya dari adik-beradik semua. Dia tu memang suka menyendiri... bukan kami semua tak sayangkan dia, tapi dia yang suka membawa diri.

"Beberapa bulan sebelum jatuh sakit, Diman menulis surat panjang kepada saya. Disebutkan sekali, walaupun dia semacam tak rapat dengan adik-beradik, sebenarnya dia amat sayang dengan semua abang-abang dan kakak-kakak.

Kata Rodziah lagi, "dia adik bongsu saya, saya tau perangainya. Dulu masa arwah nenek nak meninggal. Diman semacam dah tau, semua orang pergi jumpa, tapi dia tak mau jumpa. Akhirnya baru dia kata, kerana nenek orang yang paling disayanginya, dia tak mau tengok nenek dalam keadaan tenat. Dia takut merana kerana rindu."

Masakan seorang adik bongsu, tidak menyayangi abang-abang dan kakak-kakaknya.

Sudir, saya kenal dekat, bila setiap kali kami dapat berbual panjang dan lepak-lepak... topik perbualan yang paling disukainya ialah bercerita zaman kecilnya dulu, siapa-siapa abangnya dan kakaknya.

Sesungguhnya dia amat penyayang dan meminta perhatian. Seolah-olah hendak dibelai dan dimanja. Tapi kepada siapa?

Al-Fatihah buat Sudir semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sumber: Tulisan Wartawan Hiburan Senior Allahyarhamah Bahyah Mahmood (BAM).


Saturday, March 7, 2020

SUDIRMAN CIPTA LAGU BAGI ALBUM TERBARUNYA


SUNGGUHPUN usahawan muda Sudirman Haji Arshad begitu sibuk dengan perniagaannya namun ia masih meluangkan waktu untuk pembikinan albumnya yang terbaru.

Boleh dikatakan rata-rata lagu untuk album ini dicipta sendiri oleh Sudir sekaligus memperlihatkan bakat dalam penciptaan lagu pula.

Menurut pengurus Sudirman, Encik Dharanee Dharan Kannan yang bertindak sebagai penerbit album Sudir yang ke-11 kali ini, ia begitu tertarik dengan lagu-lagu yang dicipta oleh Sudir.

"Untuk album ini sahaja Sudir telah menampilkan 15 buah lagu untuk didengar dan dibuat pilihan. Belum dipastikan judulnya tetapi kemungkinan besar Kini".

Dalam album ini selain menampilkan bakat Sudirman dalam penciptaan lagu, ia juga menampilkan kemampuan Sudir dalam penulisan lirik di mana dari lima belas lagu itu, lapan daripadanya, ditulis oleh Sudir.

Rakaman album dilakukan di Scats Studio dan album yang dijangka siap bila-bila masa sahaja ini dijangka menemui para peminatnya akhir Mac ini.

Dharanee menambah pembikinan album Sudir kali ini mengambil masa yang agak panjang kerana pihaknya tidak mahu terburu-buru. Sudir dan pihaknya sejak dari dulu mementingkan kualiti dan unsur-unsur komersil.

Antara lagu-lagu yang terdapat dalam album ini Cinta Di Sisi Mu, Jiwa Orang Berniaga (JOB), Kekasih di Akhirat, Itu Dia Datang, Pesan Untuk Tersayang, Kau Yang Jelita di Mata, Bayangan Cinta, Kekasihku dan Ulik Mayang.

Apakah album yang mengisi lagu-lagu cinta ini menggambarkan Sudirman sudah ada pilihan hati, Dharanee tersenyum seketika dan mencelah, "Aha, anda kenalah tanya Sudir, pasal itu soalan peribadi dan hanya dialah yang layak menjawabnya."

Kemungkinan besar album terbaru Sudir ini akan dibuat dalam bentuk cakera padat, untuk mereka yang ingin menyimpan cakera padat sebagai bahan koleksi.

Melihat pencapaian Sudirman sepintas lalu, Sudirman berjaya mendapat anugerah persembahan terbaik dalam Juara Lagu 1987, berjaya mendapat pengikhtirafan dalam Pertandingan Lagu anjuran Salem di London sebagai Penghibur No.1 Asia 1989 dan mencapai kejayaan cemerlang dalam persembahan di Hawaii 1990.

Sebelum ini Sudir pernah mengadakan konsert di Chow Kit Road yang menarik hampir 100,000 orang membanjiri kawasan Chow Kit.

"Selepas mendapat sambutan yang baik di Hawaii termasuk mendapat dua kali standing ovation, kami semakin teliti dengan rakaman dan persembahan Sudir di masa akan datang," ujar Dharanee.

Minggu lalu Sudir telah sudi memeriahkan Temasya Utusan Pelajar di Zoo Negara. Beliau juga turut melayani para peminat kecil terdiri daripada kanak-kanak sekolah sekitar Lembah Klang yang menyertai pertandingan melukis dan mewarna.

Beliau juga turut melukis suasana di Zoo yang menunjukkan kanak-kanak menuanggang gajah. Kemunculan Sudir mengembirakan para peminat kecil. Artis lain yang turut hadir ialah kumpulan Krystal dan penyanyi Andrian dan adiknya Fifi.

Sudir juga telah memberi kata-kata nasihat dan perangsang kepada kanak-kanak untuk maju jaya dalam pelajaran.


Sumber: Sisipan Panca akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 3 Mac 1991.

KEMATIAN SUDIRMAN JADI BERITA UTAMA SEMUA AKHBAR


KUALA LUMPUR 23 Feb. - Hampir semua akhbar harian tempatan, termasuk akhbar bukan Melayu, hari ini menyiarkan berita kematian penyanyi nombor satu Asia, Sudirman Haji Arshad sebagai berita utama di muka satu (lead story).

Akhbar-akhbar tersebut turut memaparkan gambar Allahyarham di muka depan dengan pelbagai aksi yang mencerminkan imej tersendiri penyanyi kesayangan ramai itu, antaranya ketika Sudirman sedang minum minuman jenama 'SUDI' dan ketika menyanyi di atas pentas dengan "diselubungi" bendera Malaysia.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4 pagi semalam akibat radang paru-paru di rumah kakaknya di Bangsar setelah menghilangkan diri selama tujuh bulan.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh, Pahang.

Liputan luas akhbar-akhbar bukan Melayu ini sekaligus menunjukkan Sudirman adalah penyanyi yang berjaya menambat hati semua lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama.

Contohnya akhbar China Press, selain daripada memilih berita kematian Sudirman sebagai berita utama, turut menyediakan satu muka penuh gambar berwarna-warni penyanyi lincah itu dalam pelbagai aksi.

"Kita memilih berita ini sebagai 'lead story' kerana ia mempunyai nilai berita yang tinggi kepada semua lapisan masyarakat di negara ini," kata seorang jurucakap syarikat akhbar itu.

Sebuah lagi akhbar utama Cina, Tong Bao juga tidak mahu ketinggalan dengan memaparkan kematian Sudirman sebagai berita utama, dengan diiringi gambar warna Sudirman sedang memegang minuman SUDI.

Akhbar Sin Chew Jit Poh pula memaparkan gambar Allahyarham sedang mengucup trofi yang dimenangi sewaktu Pertandingan Muzik Popular Asia yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989.

Akhbar itu meletakkan berita kematian Sudirman sebagai berita utama membuat laporan penuh mengenai karier Sudirman serta liku-liku hidupnya.

Nanyang Siang Pau turut meletakkan berita kematian Allahyarham Sudirman sebagai berita muka depan dan dua kolum lagi berita mengenainya di muka surat enam dan tujuh.

Akhbar popular di kalangan masyarakat Cina itu antara lain menyebut Sudirman adalah penyanyi bertaraf antarabangsa yang disayangi oleh rakyat di negara ini, termasuk oleh peminat bukan Melayu.

Dua akhbar Tamil tempatan, Malaysia Nanban dan Tamil Nesan menyiarkan berita kematian Sudirman sebagai berita utama serta memaparkan gambar ahli keluarganya sedang menangisi pemergian penyanyi kesayangan ramai itu.

Tamil Nesan melaporkan, Allahyarham dalam persembahannya sering menyanyikan lagu Tamil dengan aksi yang melucukan dan menghiburkan.

Antara lagu-lagu Tamil yang pernah didendangkan oleh penyanyi serba boleh itu ialah "Kaddahvandi.... Kappatha Vanthavandi" yang bermaksud kereta lembu dan "Puthiya Vanam, Puthiya Bumi" (Bumi baru).

Akhbar itu mengulas Allahyarham sebagai penyanyi yang merendah diri dan sering menyifatkan dirinya sebagai orang kampung.

Sebuah lagi akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh memuatkan berita kematian Sudirman di muka satu tetapi bukan sebagai berita utamanya.

Akhbar itu menyifatkan, kehilangan Sudirman sebagai kehilangan yang akan dirasakan oleh peminat seni suara tanah air.

Mingguan Malaysia turut menyiarkan berita kematian penyanyi itu sebagai berita utama muka satu hari ini dengan gambar-gambar serta laporan yang menyeluruh oleh wartawan-wartawannya.

Begitu juga dengan akhbar berbahasa Inggeris The Star.

Bagaimanapun, Berita Harian dan New Straits Times tidak menjadikan berita kematian Sudirman sebagai berita utamanya.