Saturday, March 21, 2020

P. RAMLEE BIDUAN SAYA


Pertama kali saya lihat orangnya ialah sewaktu umur saya sembilan tahun. Itu pun antara nampak dan tidak nampak. Penonton berduyun-duyun ramainya. Masing-masing menjingkit kaki, dan memanjat apa saja yang membolehkan mereka melihat Seniman Agung itu beraksi di atas pentas. Saya terlompat-lompat di belakang pentas untuk melihatnya. Sekali saya melompat, sekali itulah saya dapat melihat 'hero' masyarakat itu. Akhirnya saya mengalah, dan hanya berpuas hati dengan mendengar suara orangnya sahaja, sementara mata saya memandang penonton-penonton sekeliling pentas yang sudah tidak menghiraukan sama ada mereka ketinggalan bas lewat malam atau tidak.

Malam itu, ramai orang terhibur. Saya terpegun bagaimana seorang insan boleh mengawal, menyentuh dan mencuit perasaan orang ramai yang beribu-ribu itu. Sesungguhnya dia milik ramai.

Memang ramai pengikut Allahyarham P.Ramlee di kampung saya. Semasa masih anak-anak, filem-filemnya bagaikan satu hadiah untuk seluruh masyarakat Temerloh, Pahang. Panggung Semantan yang bagai nak roboh itu akan menjadi sesak dengan penghuni kampung-kampung berdekatan. Mereka berasak-asak membeli tiket. Ada yang tarik baju. Ada yang panjat dinding. Ada yang bertumbuk. Ada yang pengsan. Ini semua perkara biasa bagi kami. Lebih-lebih lagi apabila filem P.Ramlee sedang ditayangkan.

Saya masih ingat suara sayunya menyanyikan lagu Nasib Si Miskin, Berkorban Apa Saja, Tidurlah Permaisuri, Jeritan Batinku dan berpuluh-puluh lagi. Ia mengingatkan saya akan keluarga saya sewaktu saya masih kecil. Kami selalu berkelompok mendengar radiogram besar yang berat setengah ton. Saya juga teringatkan kepingan-kepingan rekod yang setebal capati. Kalau jatuh boleh terbelah empat. Dan saya juga masih ingat bagaimana berharganya rekod-rekod P.Ramlee kepada keluarga kami. Kerana itulah lagu-lagunya amat menyentuh saya sedalam-dalamnya. Dan sehingga hari ini, lagu-lagunya masih segar dalam ingatan saya.

Pada zaman kegemilangannya, ramai anak-anak muda di kampung saya yang terikut-ikut dengan caranya berpakaian, bergaya dan menyanyi. Remos P.Ramlee, Misai P.Ramlee, Senyuman P.Ramlee. Sehingga jerawat pun, jerawat P.Ramlee. Yang cuba menyanyi ala P.Ramlee, usah dikira lagi, berlori-lori ramainya.

Dan P.Ramlee terus menghibur dalam pergolakan masa. Selera bertukar ganti. Artis-artis baru datang dan pergi. Angkatan Pop Yeh-Yeh menular. Satu 'revolusi' selera muncul seperti air bah yang melimpahi tebing sungainya. Dan terdapat sebahagian masyarakat mula memandang sepi terhadap P.Ramlee. Namun dia tidak pernah mengalah. Hingga ke akhir hayatnya. Kerana dia seniman tulen.

Pada pagi 29 Mei tahun 1973 itu, saya sedang bersiap-siap di dalam asrama untuk ke sekolah. Berita pemergiannya mencengkam saya dan penuntut-penuntut yang meminatinya. Tiba-tiba saya rasa seolah-olah sesuatu yang perlu telah hilang. Kosong. Lengang. Seperti kilat saya teringat emak saya, ayah saya, abang-abang dan kakak-kakak saya, radiogram buruk kami, rekod-rekod lama kami dan rumah papan yang usang tempat saya dilahirkan. P.Ramlee sudah tidak ada lagi. Tapi seperti juga ingatan saya terhadap kehidupan kami sewaktu saya kecil, ingatan terhadap P.Ramlee akan terus kekal abadi kerana P.Ramlee sebahagian besar dari kehidupan kami.

Sepanjang hayat saya hanya menerima apa yang dicurahkannya seperti juga saya menerima sumbangan dari seniman-seniman lain. Keagungan sumbangannya hanyalah benar-benar saya rasakan setelah dia sudah tiada lagi. Dan ramai lagi yang berperasaan seperti saya. Kini yang tinggal hanya sanjungan dan pujaan yang tidak akan luput.

Sememangnya, kalau kita menabur jasa dengan ikhlas tanpa meminta dibalas dan disanjung, keagungan jasa itu dengan sendirinya akan menerbitkan penghargaan yang tinggi di kalangan orang ramai. Tidak payahlah kita mendabik dada untuk dihargai. Ia akan datang dengan sendiri. Tetapi sayangnya, ini kerap berlaku hanyalah apabila orang yang berjasa itu sudah tiada lagi. Begitu lumrah alam.

Petikan: Dari Dalam Sudirman muka 15.

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee
(22 Mac 1929 - 29 Mei 1973)

Friday, March 20, 2020

RAHSIA SUDIR MENGAMBIL SURAJ SEBAGAI ANAK ANGKAT


URTV: Berapa usia Suraj ketika ini?

SUDIR: 1 tahun 3 bulan.

URTV: Kami tahu Suraj amat manja dengan Sudir, tapi hari ini dia asyik tidur aje (ketawa).

SUDIR: Dia sakit baru-baru ini. Tengah dalam perintah makan ubat doktor lagi ni. Sebab tu dia mengantuk.

URTV: Kesian. Bolehkah Sudir ceritakan sedikit sebanyak tentang pengambilan Suraj sebagai anak angkat?

SUDIR: Boleh. Suraj sebenarnya ialah anak saudara mendiang Rethina Kumar, 'bodyguard' saya yang mati dibunuh dulu. Dulu semasa mendiang bertugas dengan saya, dia bercadang masuk Islam. Lalu saya berjanji akan mengambil anak lelaki sulungnya untuk saya pelihara seperti anak sendiri. Beri dia segala kemudahan untuk berjaya dalam pelajaran dan hidup. Kemudian, satu hari mendiang bertanya, kalau dia mati sebelum itu, apakah yang akan saya lakukan? Saya berkata saya akan mengambil salah seorang bayi dari keluarganya untuk saya didik seperti anak sendiri. Dia sungguh gembira dan sehingga hari ini saya terbayang kegembiraan di wajahnya. Seperti mendiang tahu yang dia akan pergi.

URTV: Di mana Sudir jumpa Suraj pertama kalinya?

SUDIR: Klinik beranak Chowdhry di KL. Saya dapat berita yang adik perempuan mendiang telah melahirkan anak sulung di Klinik Chowdhry. Saya bergegas ke sana. Walaupun baru 2 jam setelah dilahirkan, Suraj tersenyum melihat saya. Saya terus jatuh hati.

URTV: Terus Sudir angkat?

SUDIR: Tidak. Tapi saya berkenan sebab iras wajahnya pun seperti mendiang Kumar. Dua hari kemudian, saya melawatnya lagi. Kali ini dia menangis dan semua orang dukung dia, tapi dia tetap menangis. Apabila saya dukung, dia terus diam. Dan ini berlaku beberapa kali. Kalau saya dodoikan dia, dia tidur. Lalu saya berkenan habis dan menyatakan hasrat saya.

URTV: Tiada yang menentang?

SUDIR: Salah seorang bapa saudara Kumar melarang saya melibatkan diri saya dalam menamakan bayi itu. Tapi kalau saya sudah suka, saya akan cuba hingga berjaya. Saya namakan bayi itu Suraj Kumar bermakna "Raja yang cantik". Saya ambil 'SU' dari nama awalan saya. Ibu bapanya suka nama itu.

URTV: Lepas itu?

SUDIR: Selepas dua minggu, saya nyatakan hasrat saya untuk mengangkat Suraj lagi. Ibu bapanya bersetuju, tetapi setelah 4 tahun, Suraj perlukan kasih sayang seorang ibu pada usia sebegini. Walau bagaimanapun, Suraj mengenali saya dan amat manja dengan saya. Dia membuat saya rasa terhibur.

URTV: Ada orang bertanya, kenapa Sudir tak ambil anak yatim piatu?

SUDIR: Saya tahu orang akan bertanya. Tapi di sini, soalnya bukan soal kebajikan. Itu saya lakukan tanpa alasan. Tapi di sini, pokoknya ialah Suraj sukakan saya dan saya mahu memenuhi janji-janji saya pada mendiang Kumar. Seperti perkahwinan, kita tidak kahwin kerana kasihan, tapi kerana ada perasaan cinta, kasih dan sayang. Begitu juga dengan Suraj. Dengan cenderungnya dia kepada saya, saya amat tersentuh hati. Saya rasa ini ditakdirkan Tuhan untuk saya. Bukan senang nak dapatkan seorang bayi yang sayangkan kita.

URTV: Dulu kata Sudir, Suraj akan Sudir Islamkan.

SUDIR: Benar. Saya bertanya pada Ustaz saya. Kata beliau, tunggu sehingga dia boleh bertutur dan mengucap. Dalam perkiraan 4-5 tahun. Saya sedia menunggu. Niat saya jujur mahu membahagiakan dirinya. Kerana ini membahagiakan saya. Saya sudah sampai ke tahap umur di mana saya mahu menimang budak dan bertanggungjawab mendidik. Suraj datang bergolek.

URTV: Kenapa tak kahwin dapatkan anak darah daging sendiri?

SUDIR: Susahlah soal kahwin-kahwin ini (ketawa). Ini hal takdir. Tuhan masih belum membuka jalan saya ke arah ini. Kalau takdir saya tak menolak. Untuk mencari, saya penat dan banyak kerja. Saya rasa kalau jodoh, tak ke mana.

URTV: Tidakkah nanti belaian seorang ibu akan lebih memudahkan pembimbingan anak?

SUDIR: Kita manusia sering membeza-bezakan perasaan ibu, ayah dan seumpamanya. Perasaan kasih terbit dari siapa saja. Terserah kepada hati masing-masing. Saya rasa kasih sayang saya amat tinggi nilainya.

URTV: Apakah perancangan Sudir untuk Suraj?

SUDIR: Ada jangka pendek. Ada jangka panjang. Tapi saya pun hanya merancang. Allah jua yang menentukan segala-galanya. Kita tak dapat melawan takdir.

URTV: Apabila diislamkan, apa nama Suraj nanti?

SUDIR: Saya suka Muhammad Qamar kerana itulah nama pilihan mendiang Kumar dahulu untuk dirinya. Maksudnya: 'Bulan Yang Terpuji'.

URTV: Sudir nak ambil anak angkat lagi?

SUDIR: Saya amat sibuk. Banyak urusan. Nak jaga Suraj terus pun mungkin sukar ketika ini, dia masih kecil. Jadi, sukar untuk menjaga lebih ramai bayi ketika ini. Tetapi, saya sentiasa berserah pada takdir.

URTV: Apa kata kalau ibu bapa Suraj menolak kemudiannya untuk diislamkan?

SUDIR: Saya tak boleh meramalkan apa yang belum berlaku. Saya terima segala ketentuan takdir. Kita boleh berusaha, takdir juga yang berkuasa. Yang kita dapat ialah pengalaman dan pengajaran.







Oleh: Bahyah Mahmood (BAM) 
Foto: Sa'ari Amin
Sumber: Majalah Hiburan URTV terbitan 15hb April 1991.

Wednesday, March 18, 2020

ATAI PERGI LONDON IKUT COKMAN?


URTV: Apa khabar Atai? Lama Tak Jumpa

ATAI: Khabar baik. Atai ada kat rumah, tapi kakak tak datang, jadi tak jumpalah.

URTV: Hah... Kakak nak tanya sikit. Ni kes berat ni Keputusan SRP Atai dulu macam mana?

ATAI: Best sebab itulah kakak tak tahu. Kalau tak best mesti kakak tahu juga.

URTV: Best macam mana?

ATAI: Cokman tak bagi tahu. Kata Cokman, jangan nak 'act' Atai. Awak tu masih ada SPM, ada STPM, jadi jangan nak 'act'.

URTV: (Ketawa) Yelah... Atai sekarang dalam kelas apa?

ATAI: 4 Sains Satu, masih di Victoria Institution.

URTV: Betul ke Atai pergi London baru-baru ini, ikut Cokman?

ATAI: Macam mana kakak tahu? Ini rahsia ni. Sebenarnya Atai ada operation kat sana. Sepatutnyalah. Jadi sambil-sambil itu. Atai tengok-tengok Cokman sebab Atai tahu, dalam masa-masa macam tu, Cokman kena dijaga.

URTV: Atai jaga dia macam mana?

ATAI: (Ketawa) Atai jaga duit dia. Cokman ini, bila dia 'tension', dia susah tidur. Atai kena garu-garu kening dia, baru dia tidur. Atau kadang-kadang kena picit tapak kaki dia baru dia tidur. Dah tu, makan dan minum dia cerewet sangat. Itu tak boleh, ini tak boleh.

URTV: Jadi tak enjoylah Atai kat sana?

ATAI: Enjoy tengok dia risau-risau dan panik. Atai tahu Cokman, dia selalu nak menang. Atai kata, jangan takut Cokman, Cokman mesti menang.

URTV: Apa kata Cokman?

ATAI: Dia kata, mati Cokman Tai, mati Cokman Tai. Tapi Atai tahu sebenarnya dia konfiden menang, cuma dia suka tak mahu tunjuk-tunjuk pada orang. Tapi Atai kesian tengok dia.

URTV: Sebab apa?

ATAI: (Ketawa) sebab Atai lagi hansem pada dia (ketawa).

URTV: (Ketawa) Nakal Atai ni! Masa di Royal Albert Hall itu, Atai tengok, siapa yang paling mencabar Cokman?

ATAI: Semuanya dia orang best. Masing-masing nyanyi semua perfrect pitching dia. Semua ada stail. Atai suka KUH LEDESMA dari Filipina sebab dia jambu, cun. Atai suka ANITA SARAWAK sebab dia tangkap gambar dengan Atai, best. Dia bestlah! Yang lain tu semua baik dengan Atai.

URTV: Masa Cokman menang tu, apa kata Cokman pada Atai, dia tak belanja Atai ke?

ATAI: Dia kata pada Atai, Atai aren't you proud of your uncle? Aren't you proud of your uncle? Atai kata yes I am proud. Lepas tu dia kata: Kalau proud, pergi beli present untuk Cokman cepat. (Ketawa) entah apa-apa dia tu.

URTV: (Ketawa) Atai belilah? Apa Atai beli?

ATAI: Atai beli dia topi. Mahal habis, tapi masa Atai pergi shopping dengan Cokman, Atai nampak dia macam suka-suka satu topi, tapi dia tak beli. Jadi Atai belilah.

URTV: Cokman suka topi tu?

ATAI: Dia kata, topi ni mahal. Kalau Cokman tahu Atai nak belanja macam ni, Cokman suruh Atai beli benda lain. Tapi Atai tahu dia suka, saja dia tak nak cakapkan.

URTV: Apa kenangan paling best sewaktu Atai di London.

ATAI: Atai syok sebab Cokman bagi Atai buat apa saja, atau pergi ke mana saja. Hari pertama dia tunjuk Atai itu, ini, macam mana nak naik keretapi 'subway', naik bas, naik teksi, pergi sana, sini. Cokman kata, buat apa Atai suka, asal jangan hidap dadah sudah. Dan Atai syok tengok cara orang sana layan Cokman. Ada kereta panjang. Ada bodyguard. Macam-macam. Tapi ada lagi best, paling best.

URTV: Apa dia?

ATAI: Kat sana Cokman macam VIP. Balik rumah, dia masak untuk Atai (ketawa).

URTV: Nakal Atai ni. O.K. Selamat Hari Raya Atai. Raya kat mana tahun ni?

ATAI: Mak Atai suruh Atai pergi ke Labuan Wilayah Persekutuan. Dia kata dia rindu kat Atai. Tapi sebenarnya, Atai rasa dia nak 'present' dia yang Atai beli kat London. Kirim salam pada peminat-peminat Atai ye?

URTV: O.K. Oh ya. Tak buat album baru ke?

ATAI: Cokman kata bila dia dah habis sibuk-sibuk ni, dia akan uruskan. Jadi tanya dialah ye. O.K. bye.





Oleh: Wartawan Kita

Sumber: Majalah hiburan URTV keluaran 1 Mei 1989.