Tuesday, May 15, 2012

Mengenang Jasa Guru Kita

Sudir sewaktu zaman persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan 
Jalan Bahagia, Temerloh

Sedang saya membelek-belek satu robot mainan, saya terdengar seseorang membisikkan nama saya. Bisikannya antara dengar dan tidak dengar. Perlahan-lahan saya menoleh ke belakang.

"Encik T.T.L" teriak saya spontan sambil tersentak dengan wajah yang berada di hadapan saya.

"Wah.... ingatan kamu kuat ye? Kamu masih ingat nama saya," ujar guru saya sambil menoleh ke arah isteri dan anak-anaknya yang seramai tiga orang. Wajah guru saya menguntum senyum seribu kebanggaan. Dan saya pasti beliau memang tidak menyangka bahawa saya masih ingat akan nama penuhnya.

"Sudah tentu Encik T.T.L, guru sayakan?" Saya cuba mendamaikan hingar keseronokkan kami bertemu kembali.

"Tapi itu sudah lama. Saya dah pun mempunyai anak. Tiga orang. Yang tua dua belas tahun umurnya," Encik T.T.L memperkenalkan saya kepada keluarganya.

Saya mengamat-amati anak sulungnya. Dia masih belum lahir sewaktu saya menjadi murid bapanya, kini dah pun 12 tahun usianya! Begitu pantas masa berlalu!

Sudir sewaktu menyertai Talentime di sekolahnya

"Hampir saya terlupa, ini isteri saya," saya memperkenalkan isteri saya yang ada di sebelah saya.

"Beli mainan untuk anak-anak?" Encik T.T.L bertanya dengan penuh keyakinan.

"Oh tidak. Beli untuk hadiah hari jadi anak rakan. Kami masih lagi berbulan madu," ujar saya. Berderai kami ketawa dan terus berbual dengan lebih mesra di dalam kedai yang ditimbuni berbagai-bagai jenis dan ragam permainan.

Sememangnya, kebelakangan ini saya sering terserempak dengan bekas guru-guru saya. Dan tempat-tempat pertemuan itu pelik-pelik belaka: di medan selera, di gerai, di dalam kedai mainan, seperti sekarang ini. Tetapi yang anehnya setiap kali apabila kami berbicara, cara pertuturan kami tetap seperti dahulu. Tidak banyak berubah. Segala kemesraan yang terjalin di antara guru dan kelas terimbas kembali di dalam benak saya. Dan saya terasa bagaikan masih lagi menjadi murid mereka. Dan perasaan ini sungguh menyenangkan.

Saya masih ingat pesan Cik E.C.P., semasa saya di dalam tingkatan tiga. "Kamu semua bila dah belajar tinggi-tinggi, kamu jumpa cikgu jangan buat tak kenal. Cikgu tahulah diri kamu tu dah lebih pandai daripada cikgu sendiri." Dan sehingga hari ini pesanan itu tersemat di kalbu saya.

Oleh sebab isteri saya dan saya telah kesuntukan waktu saya terus meminta izin untuk berlalu.

"Encik T.T.L, saya amat gembira bertemu cikgu. Lebih daripada itu saya amat berterima kasih atas segala tunjuk ajar cikgu kepada saya semasa saya menjadi murid cikgu."

"Dan lagipun, saya menyambung, saya masih ingat dulu, sewaktu murid-murid sedang menghabiskan waktu di dalam makmal sains, saya leka menyanyi-nyanyi sendirian di dalam kelas. Saya tersentak dan berhenti menyanyi apabila saya sedari cikgu sudah lama berada di hadapan kelas. Tetapi cikgu meminta saya supaya jangan berhenti dan terus menyanyi. Cikgu kata cikgu suka mendengarnya."

"Dan saya tidak berhenti menyanyi sampai hari ini," saya bersenda. Berderai kami ketawa.

"Terima kasih sekali lagi." Saya mengucapkan salam dan terus berlalu bersama isteri saya.

Perasaan saya sungguh lapang. Terasa lega segala sebak di dada.

"Dia itu, guru kamu tahun bila?" isteri saya bertanya.

"Tingkatan satu," kata saya.

"Lamanya dah. Kenapa teruk sangat kamu berterima kasih?" isteri saya bertanya lagi.

"Guru...... tak kira pada peringkat mana, tetap guru kita. Sedikit sebanyak hidup kita telah dicorakkannya. Dan terima kasih saya, adalah kerana saya rasa beliau telah melakukan kerjanya dengan amat baik sekali. Walaupun tak sebanyak mana," ujar saya.

Kami berlalu dari kedai, mencebet permainan yang telah kami beli. Isteri saya memegang tangan saya erat-erat. Saya tahu dia bersetuju dengan pendapat saya.

Petikan: Dari Dalam Sudirman muka 75.

Monday, May 14, 2012

Harian Metro: Kempen terbesar Sudirman


BAGI peminat bekas penghibur nombor satu Asia, Datuk Sudirman Arshad, lokasi Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur meninggalkan kenangan manis yang terus terpahat dalam ingatan sampai bila-bila.

Merujuk pada tarikh 15 April 1986, beliau berjaya menarik perhatian 100,000 penonton hadir menyaksikan konsert percuma di situ. Persembahan itu bukan saja menjadi pencapaian peribadi penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang ini tetapi namanya turut dicatat dalam Malaysia Book of Records.

Paling bermakna, penghibur kesayangan ramai ini pernah dinobatkan Penghibur Terbaik Asia pada majlis anugerah Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London pada 1989.

Selepas dua dekad pemergiannya, sumbangan seni Sudirman terus dikenang ramai peminat. Setiap tahun, acara seperti bacaan tahlil dan doa selamat sentiasa diadakan oleh keluarga Allahyarham.

Namun, pengisian agenda kali ini agak berbeza apabila stesen satelit Astro mengambil inisiatif menganjurkan kempen Aku SUDIRMAN selama sebulan yang bermula 11 Mei lalu.

Majlis Pelancaran Kempen Aku Sudirman

Apa yang paling menarik untuk dikongsi bersama peminat masa kini adalah usaha stesen ini mahu mengadakan Konsert Kenangan Sudirman secara percuma di lokasi sama iaitu Jalan Chow Kit.

Naib Presiden, Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, pada awalnya, hasrat penganjur sudah tentu mahu memilih lokasi nostalgia Sudirman bersama peminat diadakan semula.

Namun, ia bukan perkara mudah untuk dilaksanakan jika melihat senario ketika ini sebagai antara jalan utama di ibu kota dan menjadi tumpuan pelbagai jenis perniagaan.

Katanya, persembahan ini akan diadakan tetapi memilih lokasi Stadium Bola Sepak Cheras pada 3 Jun ini. Ia dijangka disertai lebih 20 artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Rahim Maarof, Jaclyn Victor, Alyah, Misha Omar, Azlan and The Typewriter, Hujan, pelawak Osbon bersama bintang Akademi Fantasia - Hafiz, Adira dan Hazama.

“Konsert ini menjadi persembahan penghargaan pada Sudirman menyaksikan gabungan artis senior dan baru. Acara ini menjadi kemuncak kempen yang menjemput orang ramai pelbagai lapisan masyarakat hadir sama berhibur.

“Dalam pada itu, Astro juga bekerjasama dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia menerbitkan album interpretasi lagu-lagu Sudirman yang dinyanyikan artis generasi muda seperti AwanBand, The Kebayas, XPDC Junior, Hujan, Altimet, DJ Fuzz dan Taxi,” katanya pada sidang media selepas pelancaran acara berkenaan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.



Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan; Pengurus Program Sinar FM, Rostam Said; Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil dan Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Mengenai penerbitan album dikenali Aku SUDIRMAN - Satu Interpretasi, ia memberi matlamat menarik perhatian generasi muda mengenali dan meminati lagu Sudirman.

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy, berkata susunan lagu yang dinyanyikan bergantung pada artis itu sendiri sama ada mahu membuat susunan lagu semula. Dia berpandangan, penerbitan album ini menjadi langkah terbaik dalam tarik perhatian generasi muda.

Merancakkan acara kempen ini yang disokong Sinar FM sebagai stesen radio rasmi bersama Era FM manakala Harian Metro menjadi rakan media, filem baru Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin akan menemui penonton di pawagam bermula 24 Mei ini.

Filem terbitan Astro Shaw Sdn Bhd bersama Real Films Sdn Bhd ini menjadi agenda kempen ini. Dibintangi Akim, Kilafairy, Nurfarah Nazirah, Harun Salim Bachik, Adibah Noor, Fauziah Nawi dan Aznil Nawawi, filem ini turut memainkan semula lagu Sudirman seperti Bercanda Di Pasiran Pantai, Basikal Tua, Salam Terakhir, Merisik Khabar, Milik Siapakah Gadis Ini dan lagu baru, Idola nyanyian Azlan The Typewriter.

Pengurus Besar Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai, berkata pihaknya positif terhadap sambutan dan jangkaan penonton yang akan diterima nanti.

“Kami sentiasa mahu tampilkan sesuatu yang berbeza dan filem ini menarik dengan membawa genre muzikal.


“Apa yang diharapkan agar filem ini membantu menarik perhatian penonton muda datang menonton,” katanya.

Bersama penganjuran konsert, penerbitan album baru dan tayangan filem, Astro juga menggunakan platform saluran Astro Ria, Prima, Awani dan Hitz TV menyiarkan pelbagai program mengenai Sudirman seperti Di Sebalik Pembikinan filem Hoore! Hoore!, Trek Selebriti, Cerita Artis Malaysia dan dokumentari.


 

Saturday, May 12, 2012

Harian Metro: Sebulan Ingati Sudirman



KUALA LUMPUR: Sumbangan seni penghibur nombor satu Asia, Datuk Sudirman Arshad selama lebih dua dekad terus dihargai menerusi penganjuran kempen Aku Sudirman.

Kempen ini berlangsung selama sebulan bermula 11 Mei lalu sehingga 11 Jun ini. Ia dianjurkan Astro Holdings Sdn Bhd dengan sokongan Sinar FM sebagai stesen radio rasmi bersama Era FM dan Harian Metro selaku rakan media.

Naib Presiden, Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh atau Khai berkata, pengisian atur cara kempen itu merangkumi pelbagai aktiviti seperti tayangan filem, program TV, album muzik, klip video dan peraduan.

“Filem baru, Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin akan membuka lembaran kempen ini apabila ia ditayangkan di pawagam pada 24 Mei ini.

“Astro memainkan tanggungjawab besar menghiburkan penonton dengan kandungan hiburan bermutu dan menerusi kempen ini diharap dapat menyuntik semangat legenda yang mengharumkan nama negara pada jiwa anak muda generasi masa kini,” katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di sini semalam.


Khai berkata, pemilihan Sudirman diraikan dalam kempen itu dibuat selepas kejayaan kempen Di Mana Kan Ku Cari Ganti mengenang Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee yang dianjurkan pada 2010.


“Astro menerusi saluran Astro Ria, Prima, Awani dan Hitz TV akan menayangkan program mengenai Sudirman seperti Di Sebalik Pembikinan Hoore! Hoore!, Trek Selebriti Sudirman, Cerita Artis Malaysia, Konsert Hoore Hoore Aznil, tayangan filem Kami, Out and About dan dokumentari.

“Konsert Kenangan Sudirman akan diadakan secara percuma di Stadium Bola Sepak Cheras pada 3 Jun ini.

“Penerbitan album interpretasi lagu-lagu Sudirman juga akan diterbitkan dengan kerjasama Warner Music Malaysia yang dijangka berada di pasaran pada penghujung bulan ini,” katanya.

Dalam memeriahkan atur cara kempen, Sinar FM akan memainkan lagu Sudirman selama 24 jam pada 25 Mei ini.

Pada acara pelancaran itu, hadir sama Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan dan Pengurus Besar Astro Shaw, Gayatri Su-lin Pillai.