Tuesday, March 17, 2020

BARANGAN GUNAKAN JENAMA SUDIRMAN AKAN BERTAMBAH


Setelah berjaya menghasilkan minuman SUDI, Penghibur Terbaik Asia, Sudirman Hj. Arshad akan membuka kedai menjual barang-barang keperluan persekolahan termasuk baju, kasut dan cermin mata yang menggunakan namanya sebagai jenama di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada bulan Mac ini. Kedai tersebut akan dikenali sebagai SUDIR SHOPPE.

Persiapan untuk membuka kedai itu sedang giat dijalankan oleh Sudirman meliputi cara menghias dan konsep kedai.

Sudirman Hj. Arshad ketika ditemui di pejabatnya di tingkat 4, UBN Tower, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, walaupun impian untuk mengeluarkan minuman SUDI telah terhasil namun sebagai seorang ahli perniagaan beliau sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan cabang perniagaannya.

"Walaupun impian saya sudah tercapai, tetapi saya adalah orang yang tidak pernah kenal erti penat. Apa yang penting saya sentiasa berusaha demi kepuasan saya dalam apa juga bidang yang saya ceburi." Kata Sudirman yang ditemani oleh pengurusnya, Dharanee Dharan Kannan di sepanjang pertemuan itu.

Di samping menjual barang-barang keperluan persekolahan, cermin mata, baju dan kasut, SUDIR SHOPPE juga akan menjual minuman SUDI yang dihasilkan dalam tiga cita rasa iaitu cola, orange dan lemonade.

Sebagai seorang ahli perniagaan dan juga penghibur, masa bagi Sudirman begitu bermakna dan setiap waktu ia sentiasa dipenuhi dengan aktiviti di samping mengadakan mesyuarat dengan semua 30 orang kakitangannya bagi memastikan kesemuanya menjalankan kewajipan dengan penuh tanggungjawab dan berkesan ke arah membantu menaikkan imej syarikat di samping pendapatan.

"Waktu saya bekerja bukanlah mengikut waktu pejabat. Kadangkala jika saya ada temujanji pada jam 10 pagi, pada jam 9 pagi saya sudah berada di pejabat dan selepas temujanji dengan pelanggan, saya akan meneruskan dengan urusan pejabat dan syarikat.

"Saya mungkin menghabiskan waktu dari jam 10 pagi hingga 2 pagi esoknya dan memulakan tugas pada jam 10 pagi kemudiannya. Saya tidak pernah merasa penat atau bosan melakukan tugas ini sebaliknya ia menyeronokkan dan setiap saat ia memberi makna kepada syarikat saya," kata Penghibur Terbaik Asia ini yang juga Pengarah Urusan, Sudirman Usaha Dagang Industri Sdn. Bhd. (SUDI).

Menyentuh mengenai minuman SUDI, Sudirman memberitahu, rancangan untuk memulakan perniagaan ini telahpun dimulakan sejak bulan Jun tahun lalu setelah mendapatkan nasihat dari Pan Project Advisory Management Services (PAMS).

Hasil beberapa pertemuan dengan Encik Virinda, akhirnya beliau mengambil keputusan membuka kilang minuman kerana Sudirman berpendapat industri minuman dalam tin mempunyai masa depan yang cerah.

Sudirman yang kemudian menjalankan perniagaan secara usahasama dengan Virinda dan memilih sebuah kawasan sebagai kilang pengeluaran minuman SUDI.

Kilang yang merupakan bekas pusat pengeluaran asparagus dan terletak di tanah seluas 13 ekar di Merlimau, Melaka mempunyai 50 orang pekerja dan mampu menghasilkan 80,000 tin seminit.

Setakat ini kilang itu berjaya membekalkan 500,000 tin sebulan yang merupakan 2 peratus dari eksport bekalan minuman dalam tin ke luar negara.

Kilang SUDI dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad pada bulan Februari ini.

SUDI yang telah menjelajahi pasaran luar negara seperti Arab Saudi, Fiji dan Vietnam dijangka akan dipasarkan ke Jepun tidak lama lagi.

"Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa saya memilih perniagaan minuman dan menganggap ia tidak mendatangkan keuntungan. Sebenarnya melalui kajian yang saya lakukan selama 5 bulan, waktu inilah yang paling sesuai untuk memulakan perniagaan dan perniagaan minuman ringan adalah bertepatan sekali," kata Sudirman lagi.

Tambah beliau, setelah mempunyai tiga cita rasa, SUDI dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi akan mempunyai cita rasa root beer dan soya bean.

"Jika minuman SUDI dan SUDIR SHOPPE menghasilkan kejayaan, saya akan memikirkan untuk membuka perniagaan makanan segera yang lebih bermutu dan mengandungi vitamin," kata Sudirman.

Menyentuh mengenai kariernya dalam bidang seni suara, Sudirman yang akan melancarkan album singlenya di London tidak lama lagi berkata, "walau di mana saya berada dan apa juga bidang diceburi, bidang nyanyian tidak akan saya tinggalkan. Enam belas tahun saya mengharungi dunia seni dan melalui bidang inilah saya mendapatkan modal untuk memulakan perniagaan minuman saya, masakan ia akan ditinggalkan begitu saja.

"Jika dulu saya terpaksa menghabiskan masa beberapa jam untuk latihan sebelum persembahan dimulakan, kini waktu itu boleh saya isi dengan tugas di syarikat, kerana saya kini bertambah yakin akan kemampuan saya untuk terus menyanyi biarpun tanpa latihan," kata Sudirman berterus terang.

Mengenai bidang guaman di mana beliau memiliki ijazah dalam bidang undang-undang, Sudirman dengan tegas berkata, "buat masa ini saya tidak berminat ke arah itu kerana saya tahu kemampuan saya dalam bidang itu. Tentu saya tidak dapat menandingi kehebatan Karpal Singh dan Manjeet Singh tetapi bukanlah mustahil jika di waktu usia saya 40 tahun saya mengalih pandangan ke bidang tersebut kerana saya berkelayakan," kata Sudirman.

Mengenai khabar-khabar angin yang tersebar luas kononnya beliau akan diisytiharkan muflis setelah perniagaan minumannya mula menampakkan hasil dan petanda yang baik, sambil ketawa dan memandang pengurusnya Dharanee, Sudirman berkata, "gosip-gosip begini bagi saya adalah asam garam artis. Dulu waktu saya bercerai dengan bekas isteri saya Kay pada tahun 1983 banyak cerita yang timbul kononnya saya penagih dadah dan hanya punya waktu 6 bulan untuk hidup, tetapi saya tidak pedulikan itu semua.

"Dalam heboh orang memperkatakan mengenai saya, saya menambahkan usaha meneruskan kerja saya dan syukur Alhamdulillah dari usaha yang tidak mengenal erti jemu dan bosan saya berjaya meletakkan diri saya ke tahap yang boleh dibanggakan bukan saja bagi diri saya malah negara Malaysia.

"Saya menceburi bidang perniagaan bukanlah kerana tidak yakin akan masa depan di bidang ini tetapi saya mahu mengukuhkan lagi ekonomi saya dan membuang jauh pandangan masyarakat bahawa artis tidak mampu hidup mewah.

"Bagi saya biar apapun bidang yang diceburi, jika kita mempunyai keyakinan dan kesungguhan serta sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan, pasti akan menjamin masa depan seseorang," kata Sudirman Hj. Arshad mengakhiri perbualan.

Oleh: Muzlina Abu Bakar

Sumber: Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 31 Januari 1990.
















Pelbagai produk atas jenamanya sendiri iaitu SUDIR SHOPPE yang pernah dipasarkan.

SUDIRMAN MILIKI PROTON SAGA

Sudirman Hj. Arshad sedang beraksi di 'boot' kereta Proton Saga yang baru dibelinya di cawangan EON Jalan Segambut, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Penyanyi pujaan ramai, Sudirman Hj. Arshad yang terkenal dengan lagunya 'Basikal Tua', kini mempunyai suatu yang lain pula untuk dinyanyikan - Proton Saganya yang baru.

Sudirman hari ini menerima sebuah Proton Saga 1.5s berwarna putih dengan nombor pendaftaran Proton 108 dari Pemangku Pengurus Besar Pemasaran Edaran Otomobil Nasional, Encik Nadzmi Salleh di cawangan EON Jalan Segambut.

"Saya sungguh gembira dapat memiliki kereta nasional Proton Saga kerana ia benar-benar suatu kejayaan Malaysia dan ia cantik, serta sesuai untuk semua," kata beliau ketika menerima anak kunci kereta itu dari Encik Nadzmi.

Sudirman yang tidak mempunyai lesen memandu, berkata "ini bukan bermakna saya tidak boleh memiliki Proton Saga. Pembantu saya akan membawa ke mana saya nak pergi."

Sudirman dengan wajah berseri-seri, berpakaian baju Melayu menambah bahawa ia sudah lama berhasrat untuk memiliki kereta itu sejak pelancarannya lagi.


Sumber: Petikan akhbar terbitan 22 Februari 1986.

Monday, March 16, 2020

SUDIRMAN JADI PENERBIT DAN PENGARAH FILEMNYA SENDIRI


Penghibur Terbaik Asia, Sudirman Haji Arshad akan menerbit dan mengarahkan filemnya sendiri akhir tahun ini di bawah syarikat SUDIR FILM PRODUCTION.

Beliau kini mempunyai dua buah skrip yang ditulisnya sendiri iaitu Mem dan Seniwati. Skrip-skrip itu dikhaskan kepada rakan karibnya Noor Kumalasari (Mem) dan primadona kesayangannya Sarimah (Seniwati).

Sudirman yang ditemui di pejabatnya minggu lalu memberitahu, setakat ini beliau masih belum menentukan mana satu antara kedua skrip tersebut yang akan difilemkan dulu.

Langkah menerbit dan mengarahkan filem ini merupakan satu lagi kemajuan dicapai oleh Sudirman setelah kejayaannya sebagai penyanyi dan ahli perniagaan. Sebelum ini Sudirman pernah membintangi filem Kami arahan Patrick Teoh.

"Walaupun saya tidak mempunyai sijil kelayakan untuk mengarah filem, saya yakin dapat melakukannya, walaupun mungkin ramai yang akan mempertikaikan kebolehan saya," kata Sudirman.

Menurutnya, beliau menimba banyak pengalaman melalui rancangan hiburan terbitan TV yang disertai disamping bahan-bahan bacaan mengenai penerbitan dan pengarahan filem.

"Saya juga mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dari seniman dan pengarah veteran dan juga pengarah muda yang telah menunjukkan bakat dan kebolehan yang membanggakan untuk membantu saya dalam tugas pertama itu," kata Sudirman.

Menurut Sudirman, melalui rancangan hiburan di mana beliau bertindak selaku hos, tugasnya bukan setakat menyanyi malah skrip ditulis olehnya lengkap dengan lakaran bagaimana keadaan yang dimahukan sewaktu rakaman dibuat. Ini merupakan asas dalam bidang pengarahan yang sering dilakukan oleh pengarah veteran tanah air.

Sudirman memberitahu walaupun hasratnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman sering tergendala berikutan kesibukannya dalam bidang nyanyian, kini keputusannya adalah muktamad dan beliau harus mencuba melakukan sesuatu untuk membuktikannya.

Bagi Sudirman walaupun filem pertama dan seterusnya akan diarah sendiri, beliau tidak pernah gentar kerana yakin bahawa sesuatu yang dilakukan dengan usaha sendiri akan lebih meyakinkan.

"Saya lebih percaya pada diri dan kebolehan sendiri. Bagaimanapun percayalah saya tidak akan teragak-agak atau malu untuk bertanya kepada mereka yang berpengalaman jika saya mengalami masalah," kata beliau.

Menyentuh mengenai skrip Mem yang ditulis sejak beberapa bulan lalu dan dikhaskan untuk lakonan Noor Kumalasari dan beliau, Sudirman memberitahu:

"Mem membawa kisah mengenai kehidupan hari ini yang berlandaskan masalah para siswazah yang tidak bekerja dan saya akan memegang peranan siswazah itu."

Sementara Seniwati membawa kisah mengenai seorang peminat yang terlalu memuja, meminati dan menyayangi seorang primadona.

Bagaimanapun setelah dia mendapat tahu seniwati itu adalah ibu kandungnya, rasa sayang bertukar menjadi benci dan di sinilah bermulanya konflik jiwa peminat berkenaan.

"Peranan peminat itu akan saya lakonkan sendiri dan sudah pasti primadona itu dilakonkan oleh seniwati kesayangan saya, Sarimah," kata Sudirman.

Oleh: Muzlina Abu Bakar

Sumber: Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Jun 1990.