Abang Sudir, Sudi, Sudir, apa pun nama yang beliau dipanggil dan dikenali, namun dia adalah Sudirman, Penghibur No.1 negara yang telah pergi buat selama-lamanya.
Namun Sudir yang ku kenali selama 7 tahun ketika bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam Syarikat EMI ketika itu tidak akan saya lupakan. Beliau memang hebat, memang penghibur serba boleh, yang kreatif, yang 'hardworking', yang 'intelligent', yang 'perfectionist' sehingga kadangkala saya rasakan dia begitu 'cerewet', tetapi cerewetnya bersebab.
Norisah Sulaiman paling kanan bergambar kenangan bersama teman-teman rapat
serta kakak Allahyarham Sudir, Datin Rudiah ketika Majlis Tahlil & Doa Selamat
20 tahun pemergian Sudir ke Rahmatullah pada 25 Februari 2012 yang lalu.
Banyak yang saya pelajari dari sikap dan perangai beliau. Saya pernah dimarah, ditegur dan terus menitiskan air mata. Namun saya anggap semua ini sebagai iktibar untuk saya terus tabah dan menjadi seorang yang lebih teliti dan lebih prihatin terhadap sesuatu perkara. Dan saya percaya, sikap beliau inilah yang telah membuatkan saya menjadi seorang yang lebih tabah dalam menghadapi segala cabaran dalam kerjaya saya sehingga kini.
Kata-kata beliau seperti, "why...chah...why......??????" soalan yang sering dia ajukan setiap kali terdapat kesilapan dalam album cover terutamanya 'typing error' pada senikata lagu atau hasil yang tidak memuaskan pada gambar album yang telah dicetak. Pada beliau, kalau dia boleh bersengkang mata sehingga tidak tidur malam dalam kerja-kerja persiapan album, kenapa kita dengan sewenang-wenangnya boleh membuat kesilapan dan tidak teliti dalam hal-hal sebegini. Itulah sikap beliau, yang begitu perfect sehingga kadangkala kita segan di atas kesilapan kita sendiri.
Itulah yang dikatakan 'cerewetnya Sudir', bukan dia cerewet sesuka hati tetapi cerewetnya untuk peminatnya, kerana pada beliau 'I have to give the best to my fans'. Dan beliau tidak sekali-kali ingin mengecewakan peminatnya.
Ketika membuat rakaman untuk rancangan TV umpamanya, bayangkan beliau akan membawa lori ke rumahnya dan mengangkut barang-barang untuk dijadikan 'props'. Setiap lagu ada konsepnya. Beliau akan menyuruh saya membawa penerbit rancangan TV ke rumahnya untuk berbincang tentang konsep setiap lagu yang akan didendangkan. Beliau begitu terperinci sehinggakan setiap 'shot' juga akan dibincangkan. Bayangkan seorang penghibur yang begitu 'involved' dan komited dalam apa jua yang diceburi; penerbitan album, penerbitan rancangan hiburan, konsertnya, semua hasil karyanya memberi impak yang begitu berkesan kepada kita semua. Dan itulah yang beliau inginkan, kepuasan kepada peminatnya. Agar mereka akan terus mengingati beliau.
Sehinggakan setelah 10 tahun pemergian beliau, masih saya teringat gelak ketawa, gurauan serta jokes yang biasa beliau ceritakan setiap kali saya menjemput beliau dalam kereta Volkswagon Golf saya yang tidak berhawa dingin, untuk menghadiri sesi temuramah dengan wartawan hiburan atau sepanjang perjalanan kami ke stesen TV atau radio untuk rakaman.
Norisah Sulaiman bersama anak-anaknya
Sepanjang perjalanan, kami akan terus bercerita; dan beliau akan asyik bertanya pendapat saya tentang lagu-lagunya, persembahannya dan juga tentang artis-artis lain.
Banyak lagi pengalaman-pengalaman yang saya lalui bersama Sudir yang mungkin tidak dapat saya lupa, namun ianya akan menjadi kenangan untuk saya abadikan dan berkongsi bersama anak-anak saya yang sayang sekali tidak berkesempatan untuk mengenali lagenda ini.
Namun setiap kali lagunya berkumandang di corong-corong radio akan saya ceritakan kepada mereka tentang kehebatan Sudirman sebagai seorang penghibur. Tentang konsert gergasinya di Chow Kit; tentang pakaian bendera Malaysianya dan tentang lagu-lagunya. Dan yang pentingnya saya pernah mengenalinya dan pernah bekerja dengannya dan I will always remember and be proud of my working experience with Sudir!!!!!
"Sudir semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Roh mu"
Amin
- Norisah Sulaiman
1 comment:
Pengalaman manis dari seorang sahabat...
Post a Comment