Thursday, May 3, 2012

Sobrie, Mazuin, Shidee, Ella & Sudir Macam Adik-Beradik

Sudir, Ella, Shidee, Mazuin & Syed Sobrie

Memang susah nak mengumpulkan artis-artis pada waktu yang sama, kerana masing-masing banyak urusan, karier dan peribadi. Waktu si anu tu melalak di pentas, si anu ini sedang berembun, dan si anu lagi seorang itu sedang shooting. Jadi huru-haralah diari kawan-kawan BAM di meja URTV, Fatimah, Norbaya dan Nazeri. Beginilah yang dialami selalu, tapi kami tak pernah serik-serik. Malah anggap sebagai cabaran!

Namun artis tak boleh disalahkan, kerana mereka mencari rezeki melalui profesion mereka. Masing-masing tentulah ada kapal sendiri.

Sebab itu dalam ramai-ramai artis yang BAM jemput hanya empat artis sahaja yang hadir. Puteri Ema seorang itu sibuk dengan "Mawar Merah" yang ketika itu tengah shooting di Subang Airport. Janji nak datang juga, apakan daya tak sempat!

Sheila sibuk dengan shownya, Ogy pula sibuk terbang sana sini. Sekejap Indonesia, sekejap Singapura, sekejap Malaysia, sekejap senyap tak dengar khabar berita. Amat sukar untuk menemuinya.

Nassier Wahab pun sibuk berfilem. Ketika itu berada di Kuala Terengganu menghadapi pengambaran filem "Sepi Itu Indah". Shah Rezza pula dah berlepas ke Kota Bharu buat show sempena menyambut Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Maka empat artis yang hadir di Studio URTV hari itu ialah Syed Sobrie, Shidee, Mazuin dan Ella tanpa The Boys. Dan mereka berkeriau apabila masuk seorang demi seorang ke dalam studio dan nampak member sedang bergambar, cuba teka?

Ya! Superstar kita SUDIRMAN!

Sudirman yang sedang berposing untuk jurugambar kelihatan tersenyum-senyum melihat kawan-kawan artis yang muncul, seorang demi seorang BAM masih ingat, dulu pernah Sudir menyuarakan hasratnya untuk bertemu artis yang baru muncul. Kerana itu BAM tidak memberitahunya terlebih awal lagi, surprise kononnya!

Dan dalam pada itu pula, Ella dan Mazuin pernah menyuarakan keinginan mereka untuk bergambar dengan Sudir. Begitu juga dengan Shidee dan Sobrie. Maklumlah selalunya artis TOP macam Sudir itu, ada yang tidak suka bergambar lepak bersama orang-orang baru. Lebih-lebih lagi jika senantiasa sibuk seperti Sudir, tentu dia lebih senang bergambar sendirian sahaja.

Tapi Sudir artis macam padi. Makin berisi makin tunduk. Macam resmi orang kampung lumrahnya! Kerana itulah mudah bagi BAM menjemput dia sama-sama berlepak bergambar dengan adik-adik showbisnesnya ini.

Mereka ketawa bersalam-salaman macam anak-anak kucing yang baru pandai bergurau. Lalu BAM meminta mereka berposing macam gambar dalam poster ini.

Ibu Mazuin yang sentiasa turut sama di dalam pergerakan Mazuin di bidang seni ini, hanya memerhatikan sahaja kemesraan dan eratnya tali perhubungan artis-artis muda ini.

Sudir, Ella & Shidee

Sudir pegang Ella dan Shidee, Shidee pegang Ella, Ella pegang Sudir, Sobrie pegang Mazuin dan Shidee. Mazuin pegang Shidee. Pendek kata macam adik-beradiklah! Seronok BAM tengok gelagat mereka. Hilai tawa berderai kerana mereka sendiri merasa lucu, geli-geli hati untuk berposing begitu, tapi seronok juga, lain dari yang lain.

Bukan Mazuin sahaja ditemani ibunya, Ella pun datang dengan rombongannya. Seperti juga Sudir dengan pembantu-pembantunya. Cuma Syed Sobrie nampaknya datang sendirian.

Ternyata masing-masing macam dah kerap berjumpa. Walaupun BAM tau, antara mereka, ada yang belum pernah bersua muka.

Kasihan Shidee, dia bercerita mengenai keretanya dikebas orang beberapa hari lalu. Hal itu telahpun dilaporkan kepada Polis. Begitu keresahan Shidee, sampai tertinggal songkok untuk pakaian kebangsaannya. Tetapi semangatnya tetap kuat.

Sedang seronok mereka bergambar, BAM nampak Sudir masuk ke bilik persalinan berkali-kali. Rupa-rupanya Sudir mencubit mi goreng dalam bungkusan. Katanya "Nak jemput orang lain malu, tak senonoh makan cubit-cubit begini. Tapi tak ada cara lain."

Kesian Sudir... rupa-rupanya sepanjang fotografi seharian itu dia kelaparan. Makan mi goreng pulak tu. Hish.... Sudir ni memang tak kisah sangat dengan makan, sebab itulah badannya kurus kering.

Syed Sobrie, Sudir & Shidee

Tapi BAM faham sangat cara hidup seseorang artis yang terpaksa berkejar dengan waktu ke sana ke mari, lalu BAM taruh mi goreng itu dalam pinggan dan cakap "Sudir, cakap kalau tak selesa, atau kalau ada apa-apa masalah jangan berdiam diri bersusah-susah seorang diri."

"Kak Bahyah ni bukan bini pun berleter bukan main banyak," katanya ketawa.

Sudir memang pandai berjenaka menyerikan suasana. Kata Shidee "Shidee kagum Sudir tak sombong, Sudir boleh 'act' kalau dia hendak. Adatlah kalau sudah sampai status seperti dia. Tapi dia tak act pun!"

BAM tersentak mendengar pengakuan Shidee itu, sebab Sudir pun pernah bercerita pada BAM yang Shidee itu baik orangnya, pandai berbahasa dan kata Sudir lagi, rasa-rasanya Insyaallah, Shidee tidak akan lupa diri.

Seronok BAM tengok artis berlima ini. Lebih-lebih lagi mereka tidak ada urusan macam Ogy, Nassier, Sheila, Emma dan Rezza.

Sedang BAM seronok mengelamun sendirian, tiba-tiba Syed Sobrie kata dia harus minta diri kerana dia menyanyi di kelab tempat kerjanya pada malam itu. Terkejut BAM dari lamunan... BAM ucapkan terima kasih kepada Sobrie, yang orangnya memang BAM tahu, tidak suka bergambar terlalu intim dengan mana-mana artis wanita sejak dia berkahwin, tetapi mungkin kerana saudara-saudara artis yang lain, macam adik-beradik, Sobrie tidak keberatan juga. Tambahan lagi Sudirman ada, maka Sobrie dengan rela hati bergambar istimewa untuk peminat-peminat URTV.

Tiba-tiba, rombongan Ella mengingatkan Ella tentang waktu. Ella ada show malam itu dan terpaksa pergi. Ella bergegas pergi selepas bergambar mesra dengan Sudir. Dan kemudian Mazuin pula minta diri. Juga ada urusan pada malam itu. Shidee pun rupanya ada show malam itu, dan bergegas pergi.

Sudirman ya, penghibur kesayangan ramai yang tidak henti-henti dipukul badai, tetapi tetap gagah dan kukuh bagai besi waja, rupa-rupanya terpaksa terbang ke Sabah dan Sarawak selama dua minggu pada pukul 9 malam itu. Dan dia cuma ada dua jam sahaja lagi, untuk bersiap-siap ke airport. Sudir pun pergi dengan pembantu-pembantunya dengan beg-beg besar yang berisi pakaiannya.

Terima kasih wahai artis-artis kesayangan semua; Sudirman, Syed Sobrie, Shidee, Mazuin dan Ella.

Oleh: Bahyah Mahmood
Foto: S. Agil & Hayat Sueet


No comments: