Friday, February 3, 2012

Berita Harian: Beri Peluang Generasi Muda Dapat Maklumat


TEMERLOH: Pihak berkuasa diminta membangunkan semula bekas tapak rumah dan pusara Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad di Kampung Bukit Tok Embun, di sini, bagi kemudahan peminat dan orang ramai untuk melawat dan memperingatinya.

Mereka berpendapat langkah itu wajar berdasarkan sumbangan dan kejayaan Allahyarham mengharumkan industri seni muzik hingga ke peringkat antarabangsa.

Namun setakat ini belum ada mana-mana pihak, termasuk Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) bercadang memaju dan membangunkan semula rumah serta menyediakan papan tanda ke arah rumah penyanyi berkenaan dari jalan utama Temerloh-Mentakab.

Dua pupu kepada Penghibur No.1 Asia itu, Saadih Tasim, 62, berkata belum ada pihak tampil menyatakan kesediaan untuk membangunkan bekas tapak rumah Allahyarham dan pusaranya untuk diingati orang ramai.

Katanya, adalah wajar pusara dan rumah kediamannya dibangunkan semula supaya generasi muda memperoleh Maklumat lanjut berkaitan penyanyi itu bukan sekadar lagunya sahaja.

Petikan: Berita Harian, Jumaat, 3 Februari 2012.

Berita Harian: Pulihara Peninggalan Kenang Jasa Sudirman

Tinggal kenangan, rumah peninggalan Sudirman ini telah 
musnah dalam satu kebakaran pada tahun 2008

KUALA LUMPUR: Memulihara dan menjaga peninggalan penyanyi tersohor Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad adalah satu penghormatan kepadanya yang perlu diberikan seperti peninggalan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Penulis lirik terkenal, Habsah Hassan yang juga teman rapat Allahyarham menyifatkan dengan memulihara kembali rumah Allahyarham di Kampung Bukit Tok Embun, Temerloh, bukan saja boleh dijadikan sebagai memorial sebaliknya dapat mengenang jasanya.

Berasakan kerajaan negeri dan kementerian perlu mencari pendekatan bagi memulihara kembali satu-satunya peninggalan itu di samping menjadikannya satu produk pelancongan bagi negeri Pahang, terutama di kawasan Temerloh.

"Jika rumah Tan Sri P.Ramlee boleh dijadikan Pustaka kenapa tidak Sudirman? Masing-masing berjasa kepada industri seni dan perlu diberikan penghormatan sama.

"Kita tidak boleh nak menyalahkan ahli keluarganya kerana masing-masing mempunyai komitmen sendiri. Sudirman kini milik negara, milik kita bersama dan tanggungjawab itu tidak adil diletakkan ke atas keluarganya sahaja," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Berasakan dengan memulihara kembali peninggalan Allahyarham adalah satu penghormatan bagi mengenang jasa penyanyi yang pernah dibobatkan sebagai Penghibur No.1 Asia pada Anugerah Muzik Asia 1989 di Royal Albert Hall, London.

Semalam akhbar ini melaporkan bekas tapak rumah Allahyarham yang terbakar kini diliputi semak samun, malah pusaranya di Kampung Chengal juga tidak dijaga dan terbiar. Keadaan ini menyentuh hati Habsah yang menganggap peninggalan Sudirman seolah-olah tiada harga bagi masyarakat sekitar mahupun pihak yang bertanggungjawab.

"Sepatutnya kerajaan perlu melakukan sesuatu sepertimana yang dilakukan kepada P.Ramlee, tetapi kenapa penggiat seni yang banyak berbakti kepada negara sepertinya tidak diberikan penghargaan sama?

"Mungkin orang berfikir jasa dan namanya kecil dalam dunia seni tetapi dia juga menyumbang sesuatu yang besar dalam industri. Dia boleh dijadikan ikon serta ikutan kepada anak muda sekarang.

 Pusara Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad

"Tidak salah rasanya jika sedikit peruntukan diberi untuk peninggalan Sudirman ini diperbaiki dan seterusnya dijaga rapi. Pusaranya boleh dijadikan khazanah berharga," katanya.

Menganggap kehilangan Sudirman tiada galang gantinya seperti P.Ramlee, dengan memulihara khazanah yang ada dan diwartakan sebagai warisan peninggalan membantu mengangkat jasa penggiat seni.

Oleh: Fatin Farhana Ariffin

Petikan: Berita Harian, Jumaat, 3 Februari 2012.

Thursday, February 2, 2012

Berita Harian: Rumah Sudirman Terbiar, Dipenuhi Semak Samun

Tinggal Kenangan, selepas musnah dalam kebakaran pada tahun 2008

TEMERLOH: Namanya tersohor ke seluruh pelusuk negara, malah pernah mengukir nama di persada antarabangsa apabila menjadi penyanyi tempatan pertama mengadakan persembahan di Dewan Royal Albert Hall, London.

Mungkin ada benarnya perumpamaan Melayu 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama', kerana yang tinggal hanyalah satu nama, Datuk Sudirman Haji Arshad.

Selepas 20 tahun pemergiannya ke Rahmatullah pada 22 Februari 1992 pada usia 37 tahun, apa yang tinggal hanyalah nama dan himpunan lagunya yang masih segar dalam ingatan peminat.

Tinjauan Berita Harian ke rumah tempat dia dibesarkan di Kampung Bukit Tok Embun, Temerloh, baru-baru ini mengejutkan kerana bekas tapak rumah itu kini hampir sukar dijejaki kerana dilitupi semak samun. Rumah berkenaan hangus terbakar pada tahun 2008 dan yang tinggal kini hanyalah cebisan kayu rentung serta tapak rumah.

 Beginilah keadaan tapak rumah Sudirman sekarang yang terbiar

Berikutan itu, adalah wajar pihak berkuasa mengambil langkah membina semula rumah terbabit atau mendirikan memorial bagi menghargai sumbangan Sudirman kepada industri hiburan tanah air atau setidak-tidaknya meletakkan papan tanda yang merujuk kepada penyanyi itu.

Statusnya sebagai lagenda seni seharusnya dihargai sebagaimana yang diberikan kepada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Sekurang-kurangnya jasanya akan terus dikenang dan dapat dihargai generasi baru yang bukan sezaman dengannya serta tidak hanya tinggal sekadar nama.

Perkara itu diakui seorang penduduk Kampung Tok Embun, Roslan Mohd, 53, yang turut menyaksikan pengebumian Allahyarham. Walaupun beliau tidak mengenali rapat keluarga Allahyarham, tetapi masih mengingati peristiwa ketika jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung itu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal.

"Saya masih ingat ribuan orang ramai datang ke rumahnya untuk menziarahi jenazah arwah. Bukan saja penduduk kampung tetapi juga kenalan dan peminat dari jauh turut datang ke sini," katanya.

Beliau yang bekerja sebagai pekerja am di Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) berkata, rumah keluarga Sudirman sudah tidak berpenghuni ketika berlaku kebakaran pada tahun 2008. "Sepanjang saya tinggal di sini, kerap juga orang datang ke rumah saya bertanyakan jalan untuk ke rumah Allahyarham kerana laluan untuk ke rumah itu agak terpencil," katanya.

Roslan yang juga anak jati Temerloh berkata, beliau pernah bertemu dengan penyanyi itu ketika dia pulang ke kampung dan menyifatkannya sebagai seorang yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja. "Pemergiannya pada usia muda amat dirasai dan dia juga menjadi kebanggaan Pahang, terutama orang Temerloh. "Malah langkah MPT menamakan jalan di Bandar Temerloh sempena nama Sudirman amat baik dan dapat mengingatkan orang ramai terhadap sumbangan penyanyi itu," katanya.

Sementara itu, tinjauan ke pusara Allahyarham Sudirman di Kampung Chengal pula mendapati keadaanya agak terbiar seolah-olah sudah lama tidak dikunjungi.

Sudirman ketika dinobatkan sebagai juara Bintang RTM (1976)

Ketika hayatnya, Sudirman pernah diikhtiraf dengan pelbagai anugerah seperti Penghibur TV Terbaik; menerima Anugerah Seri Angkasa; menjuarai pertandingan nyanyian Bintang RTM (1976); Persembahan Terbaik Anugerah Muzik-Muzik TV3 (1987) dan Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989. Barangkali pencapaian terbesarnya ialah terpilih sebagai Penghibur No.1 Asia pada Anugerah Muzik Asia 1989 di Royal Albert Hall, London.