Tinggal kenangan, rumah peninggalan Sudirman ini telah
musnah dalam satu kebakaran pada tahun 2008
KUALA LUMPUR: Memulihara dan menjaga peninggalan penyanyi tersohor Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad adalah satu penghormatan kepadanya yang perlu diberikan seperti peninggalan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Penulis lirik terkenal, Habsah Hassan yang juga teman rapat Allahyarham menyifatkan dengan memulihara kembali rumah Allahyarham di Kampung Bukit Tok Embun, Temerloh, bukan saja boleh dijadikan sebagai memorial sebaliknya dapat mengenang jasanya.
Berasakan kerajaan negeri dan kementerian perlu mencari pendekatan bagi memulihara kembali satu-satunya peninggalan itu di samping menjadikannya satu produk pelancongan bagi negeri Pahang, terutama di kawasan Temerloh.
"Jika rumah Tan Sri P.Ramlee boleh dijadikan Pustaka kenapa tidak Sudirman? Masing-masing berjasa kepada industri seni dan perlu diberikan penghormatan sama.
"Kita tidak boleh nak menyalahkan ahli keluarganya kerana masing-masing mempunyai komitmen sendiri. Sudirman kini milik negara, milik kita bersama dan tanggungjawab itu tidak adil diletakkan ke atas keluarganya sahaja," katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Semalam akhbar ini melaporkan bekas tapak rumah Allahyarham yang terbakar kini diliputi semak samun, malah pusaranya di Kampung Chengal juga tidak dijaga dan terbiar. Keadaan ini menyentuh hati Habsah yang menganggap peninggalan Sudirman seolah-olah tiada harga bagi masyarakat sekitar mahupun pihak yang bertanggungjawab.
"Sepatutnya kerajaan perlu melakukan sesuatu sepertimana yang dilakukan kepada P.Ramlee, tetapi kenapa penggiat seni yang banyak berbakti kepada negara sepertinya tidak diberikan penghargaan sama?
"Mungkin orang berfikir jasa dan namanya kecil dalam dunia seni tetapi dia juga menyumbang sesuatu yang besar dalam industri. Dia boleh dijadikan ikon serta ikutan kepada anak muda sekarang.
Pusara Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad
"Tidak salah rasanya jika sedikit peruntukan diberi untuk peninggalan Sudirman ini diperbaiki dan seterusnya dijaga rapi. Pusaranya boleh dijadikan khazanah berharga," katanya.
Menganggap kehilangan Sudirman tiada galang gantinya seperti P.Ramlee, dengan memulihara khazanah yang ada dan diwartakan sebagai warisan peninggalan membantu mengangkat jasa penggiat seni.
Oleh: Fatin Farhana Ariffin
Petikan: Berita Harian, Jumaat, 3 Februari 2012.
No comments:
Post a Comment