Monday, February 27, 2012

Harian Metro: ‘Jangan letak pagar dalam hidup’

Atai, Habsah Hassan & Datin Rodziah

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pelbagai pihak terus menganjurkan program bagi mengenang 20 tahun pemergian bintang lagenda, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang meninggalkan kita pada 22 Februari 1992. Tidak ketinggalan memberikan penghargaan begini ialah rakan baik merangkap kakak angkat Allahyarham, penulis lirik terkenal Habsah Hassan (Kak Chah).

Hasil kerjasamanya dengan Kelab Peminat Sudirman, Astro Shaw, Warner Chappel, Den Wahab dan Laila Johari, Kak Chah menganjurkan Majlis Tahlil bertempat di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Sabtu lalu. Majlis ini turut mengadakan bacaan doa selamat, Yassin, takzirah dan solat Asar yang diketuai penceramah popular, Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusof.

Sebahagian Ahli Kelab Peminat Sudirman yang hadir

Majlis serba sederhana ini dihadiri lebih 100 tetamu terdiri daripada rakan-rakan rapat Allahyarham serta kakak Allahyarham, Datin Rodziah serta anak saudaranya, Razman Azrai atau lebih dikenali dengan panggilan Atai. Turut hadir pengarah Saw Teong Hin dan barisan pelakon filem muzikal Hoore! Hoore! yang diterbitkan menggunakan rangkaian lagu popular Allahyarham.

Teong Hin berkata, ilham untuk menghasilkan filem yang memuatkan 12 lagu Sudirman ini terhasil apabila dia menonton filem Mamma Mia yang berupaya membangkitkan kenangan lalu. Dia terus terfikir untuk menghasilkan filem berdasarkan lagu artis tempatan.

“Saya berfikir selepas Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, siapa lagi yang boleh diangkat? Saya teringat Datuk Sudirman dan apabila semak lagunya, ternyata lagunya pelbagai daripada genre lagu rakyat, sedih, cinta dan banyak lagi. Ia sangat sesuai dijadikan sebuah naratif cerita yang menarik.

“Ini adalah filem penghargaan buatnya kerana pelbagai lagu popularnya dimuatkan antaranya Bercanda Di Pasiran Pantai, Basikal Tua, Hidup Sederhana, Hoore! Hoore!, Salam Terakhir, Kasih dan Milik Siapakah Gadis Ini. Semua lagu ini diberikan sentuhan baru oleh Audi Mok.

“Cerita filem ini diambil berdasarkan falsafah album Datuk Sudirman. Saya ambil kata-katanya iaitu ‘jangan letakkan pagar dalam kehidupan’ dan tiada yang mustahil dalam dunia. Inilah yang saya terjemahkan dalam filem ini. Ia menampilkan kisah selepas zaman persekolahan sehinggalah kepada situasi terkini,” katanya.

Sementara itu, Rodziah dan Atai, 39, yang ditemui mulanya seakan enggan memberikan sebarang kenyataan. Alasannya, cukuplah dengan ingatan yang diberikan oleh Habsah serta masyarakat yang tidak lupa bersedekah al-Fatihah serta mengadakan pelbagai acara bagi mengenang insan tersayang dalam hidup mereka.

Bagaimanapun, mereka akhirnya lembut hati dan beralah dengan pujukan pihak media yang ingin berkongsi perasaan. Apatah lagi dua dekad pemergian Sudirman bukan satu jangkamasa yang singkat. Senada dengan kenyataan Habsah yang dikeluarkan menerusi RAP Sabtu lalu, mereka menggesa kerajaan memberikan penghargaan buat Allahyarham.

“Syukur Alhamdulillah, peminat generasi muda yang tidak lahir pada zamannya juga kenal dia. Ketika hayat Sudirman, peminatnya yang kecil pun kenal dia.


Antara teman rapat Allahyarham Sudirman yang hadir

Bahkan sampai kaum Cina dan India pun kenal dia sampaikan saya susah nak berjalan dengannya ke mana-mana. Sampai ke hari ini orang ingat dia dan saya berterima kasih kepada artis yang menyanyikan lagunya.

“Cuma, saya berharap pihak kerajaan beri sedikit penghargaan terhadapnya dengan menjaga harta intelek Allahyarham. Yang boleh melakukannya hanyalah kerajaan dengan menubuhkan yayasan. Dari sini yayasan itu boleh digerakkan untuk aktiviti mengenang Sudirman seperti untuk majlis tahlil ini. Tidaklah nanti beberapa pihak kena keluarkan modal untuk menganjurkannya.

“Royalti daripada lagu Allahyarham tidak diterima atas sebab tertentu dan keuntungannya pergi kepada pihak lain. Takkan kami hendak cari peguam dan perlu membayar untuk semua ini. Kami tidak pernah terfikir mengenai kepentingan peribadi dan mahu menyalurkannya kepada yayasan. Hanya kerajaan yang boleh membantu. Kena ada dana yang boleh digunakan untuk mengadakan aktiviti mengenang Sudirman,” kata Atai yang mengakui memendam perkara ini sudah 20 tahun.

Rodziah pula berkata, mereka kecewa kerana tiada usaha daripada pihak kerajaan untuk menamakan jalan atau bangunan dengan nama Sudirman sebagai mengenang jasanya. Bahkan rumah pusaka keluarganya di Temerloh juga terbiar begitu saja tanpa pembelaan daripada mana-mana pihak untuk dijadikan kenangan.

“Takkanlah kami yang perlu buat semua itu. Kami juga kecewa kerana kadangkala kami digunakan sebagai tiket pelaris dalam mana-mana program berkaitan Sudirman. Bagaimanapun saya berterima kasih terhadap peminat yang melakukan umrah dan bersedekah Al-Fatihah untuk Allahyarham,” katanya tenang.





No comments: