KUALA LUMPUR: Orkestra Radio Televisyen Malaysia (ORTM) bakal mengadakan Konsert Sudirman... Abadi Di Hati yang menampilkan barisan penyanyi baru dan lama bersempena 20 tahun pemergian penyanyi legenda negara Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad.
Konsert yang berdurasi dua jam itu akan berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini pukul 9 malam pada 24 Februari ini.
Menurut penerbitnya Ain Sabrina Onn, penerbitan konsert penghargaan pada kali kedua ini lebih sentimental dan istimewa berbanding Konsert Suara Hati Sudirman di Stadium Malawati , Shah Alam pada 2007.
“Untuk konsert kali ini, ia lebih istimewa dan sentimental berdasarkan pemilihan lokasi dan pengisian konsert itu sendiri. Allahyarham bermula sebagai johan Bintang RTM pada 1976, jadi kita pilih lokasi ini sebagai mengimbau kenangan itu.
“Sebanyak 24 lagu dipilih mengikut kesesuaian kronologi seni Allahyarham daripada album pertama hingga terakhir. Ia bakal dipersembahkan oleh 11 penyanyi popular, baru dan lama,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran konsert berkenaan di Angkasapuri, di sini, petang Khamis.
Barisan penyanyi yang akan menyampaikan lagu-lagu popular Allahyarham termasuklah Datuk Sharifah Aini, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Alyah, Bob (AF), Shila Amzah, Tomok, Black, Aril dan Rey (BRTM).
Ia akan diacarakan oleh pengacara Didie Alias dan Saiful Apek.
Ain Sabrina berkata selain pemilihan lagu, dua pengacara Didie Alias dan Saiful Apek akan bertindak sebagai pencerita dan turut menyampaikan lagu-lagu tertentu ketika mengacarakan konsert berkenaan.
“Kita akan tampilkan beberapa sedutan klip rakaman eksklusif Allahyarham daripada arkib RTM pada malam konsert sebelum lagu-lagunya dipersembahkan oleh penyanyi-penyanyi yang terlibat.
“Malah, kita turut merancang untuk mengundang semua komposer, penerbit dan individu penting yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang penghasilan album-album Allahyarham menghadiri konsert ini,” katanya.
Bakal diketuai oleh pengarah muzik Luqman Abdul Aziz, konsert ini akan diiringi 40 pemuzik ORTM.
Ia merupakan konsert pertama daripada lapan konsert orkestra yang dirancang bagi mengisi kalendar ‘Siri Orkestra 2012’ ORTM pada tahun ini.
Allahyarham yang merakamkan kira-kira 168 buah lagu sepanjang hayatnya dilahirkan pada 25 Mei 1954 dan meninggal dunia pada 22 Februari 1992 akibat komplikasi radang paru-paru.
No comments:
Post a Comment