Monday, February 27, 2012

Uji Rashid: Sudirman Yang Ku Kenali


Uji Rashid 

Hari ini, 22 Februari 2012, tahunnya saja lain, 20 tahun lalu 1992, perginya seorang lagi penyanyi hebat, kawan saya Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Tiap kali bila ada berita tentang seseorang itu, tak kira beliau selebriti atau tidak, akan teringat di benak saya; siapa, suasana, masa atau apa-apa yang berkaitan dengan orang itu. Semasa kami bernaung di bawah label rakaman yang sama (beliau baru saja menjadi artis rakaman manakala saya di dalam waktu kritis berura-ura hendak keluar....).


Sewaktu kami membuat persembahan di pementasan EMIRAMA (anjuran syarikat rakaman EMI di Singapura, Victoria Theatre). Semuanya terlibat, Saloma, Sharifah Aini, Anita Sarawak, D.J. Dave, Hail Amir, Tracy Huang, Francis Yip, Sudirman, saya dan ramai lagi artis tempatan.

Penggubah Muzik yang diberi tanggungjawab mengatur lagu-lagu persembahan kami ialah, S. Atan. Kami, yang dari Kuala Lumpur, seperti di anak tirikan oleh syarikat sendiri. Kami di tempatkan di hotel murah manakala yang lain duduk di hotel 5 bintang. Sudir melantik dirinya untuk menjadi jurucakap kami, ada mesyuarat tergempar di bilik Sharifah Aini, kalau tak silap saya. Semua akhirnya setuju dengan apa yang Sudir cadangkan.


Pada keesokan harinya, kami berpindah ke hotel 5 bintang. Dan saya masih ingat juga, beliau meminta saya supaya jangan keluar dari syarikat dulu, ujar beliau,"Ji, biarlah kuatkan lagi kumpulan kita untuk meneruskan perjuangan. "You are a sweetheart of Malaysia, so strong, we have all that we need to get what's right for us...". Buat seketika, saya ikut berjuang setakat mana termampu tetapi saya sudah hampir dengan hari persandingan saya.

Saya baru pulang dari Eropah; bersiap-siap untuk persandingan saya. Saya tidak mengundang mana-mana wartawan, secara kebetulan Puan Bahyah Mahmood datang ke rumah sebelum hari pernikahkan, jadi ibu saya (orang yang jujur dalam segala hal, memberitahunya tentang pernikahan saya). Persandingan saya, begitu juga, semua yang hadir bukan dengan undangan rasmi. Yang rasmi, orang kampung saya (satu Ampang Jaya, ibu saya undang... macam pesta).

Siapa yang muncul di meja pengantin....? Tanpa pengetahuan saya, orang-orang besar dari EMI Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, London, juga Sudirman Haji Arshad bersama isteri, Sharifah Aini, Azean Irdawaty, Allahyarham R. Jaafar, A.R. Badul... (semua tak diundang) dan ramai lagi.


Sukarni Jaafar (meminta menjadi pengapit saya, selepas beliau tahu kakaknya, Allahyarham Kasma Booty, yang andamkan saya). Saya rasa, Sudir yang mengepalai rombongan itu. Dan akhir sejarah kami, sebelum beliau pergi, beliau menyuruh salah seorang kerani di pejabatnya untuk mencari saya untuk menanda tangani kontrak menyanyi di bawah labelnya (Sudir Records), malangnya, kami tidak berjumpa hinggalah saya diberitahu tentang pemergiannya selamanya. Al-fatihah. Salam terakhir juga buat adik Datin Paduka Julie Sudiro, Raden Sunar, yang baru semalam ditemui sudah pergi meninggalkan dunia ini. Beliau pernah menaja baju (seorang usahawan, mengendalikan butik) untuk saya di RTM.
Takziah buat kak Julie (satu-satunya anak Raden Sudiro, pelakon seangkatan P.Ramlee) yang tinggal. Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk memberitahu, Datuk Yahya Sulong telah dimasukkan ke Hospital Ampang, semalam, selepas terjatuh dan koma. Mudah-mudahan dengan berita ini, semua yang membaca ini dapat berdoa untuk semua mereka ini. Assalamualaikum.

Petikan: Facebook Uji Rashid bertarikh 22 Februari 2012.

No comments: