Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad
PETALING JAYA: Hari ini (Rabu) bersamaan 22 Februari 2012, genaplah 20 tahun pemergian Sudirman Hj Arshad, penghibur nombor satu Asia. Beliau pergi meninggalkan kita ketika berusia 37 tahun.
Biarpun jasadnya sudah tiada, namanya tetap terpahat di sanubari terutama sekali kepada mereka yang pernah membesar ketika zaman kegemilangan beliau.
Berita kematian Allahyarham diumumkan ke seluruh negara oleh Radio Malaysia Rangkaian Nasional, pada satu pagi, waktu subuh.
Ia amat mengejutkan seluruh peminat tanah air. Ada yang menitiskan air mata kerana tidak percaya akan berita yang didengar itu.
Dan ternyata, pemergian Allahyarham sehingga kini masih tiada penggantinya. Tiada insan yang mampu menandingi kehebatan Allahyarham.
Beliau bukan sahaja penghibur tetapi boleh diumpamakan sepohon rendang yang lebat buahnya.
Pohon itu menjadi tempat bertaut dan tempat untuk menumpang teduh kerana sifat Allahyarham yang gemar menolong. Malah kebaikan beliau sering digunakan oleh sesetengah pihak untuk mengambil kesempatan.
Penulis lirik dan juga penerbit filem Habsah Hassan antara individu yang amat akrab dengan Allahyarham.
Lirik-lirik lagu yang dihasilkan oleh Habsah biasanya mempunyai makna tersirat menggambar hati naluri Allahyarham.
Habsah dalam diri Sudirman bagaikan kakaknya sendiri. Segala masalah di kongsi termasuklah kisah-kisah peribadi.
“Dia antara artis yang benar-benar rapat dengan saya. Dia tidak pernah menyembunyikan kisah peribadinya selain selalu meminta nasihat saya jika berhadapan dengan apa juga masalah.
“Saya benar-benar sayangkan dia kerana dia adalah anugerah Tuhan yang amat luar biasa sekali,” ujar Habsah kepada mStar Online dalam satu temu bual sebelum ini.
Allahyarham adalah manusia yang amat istimewa dan antara artis contoh yang bukan sahaja berjaya dalam kerjayanya tetapi dalam pelajaran.
Beliau dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang dan membesar dalam keluarga yang aktif berpolitik menerusi Umno.
Ibunya Romlah Dahalan merupakan wakil rakyat wanita pertama di kawasan Temerloh. Beliau meninggal dunia ketika Sudirman berusia lima tahun.
Kematian ibunya itu menyebabkan bapanya Arshad Hassan berkahwin lain sebekum meninggal dunia pada tahun 1978.
Anak bongsu daripada enam beradik ini melanjutkan pelajaran dalam bidang Undang-Undang di Universiti Malaya pada tahun 1976 sehinggalah berjaya mendapat ijazah dalam bidang berkenaan pada tahun 1980.
Beliau menjalani latihan amalan guaman pada tahun 1984 dan layak menjadi peguam bertauliah. Namun minatnya dalam bidang seni menyebabkan Allahyarham meninggalkan kerjayanya itu.
Sejarah dalam bidang seni Allahyarham terbuka luas apabila beliau berjaya menyandang Johan Bintang RTM yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976.
EP pertamanya dihasilkan pada tahun 1977 berjudul Teriring Dosa dan Suratku Yang Ini terbitan Warnada Records. Ia diterbitkan ketika beliau masih lagi menjadi penuntut di Universiti Malaya.
Kerjayanya seninya terus berkembang apabila EMI menawarkannya kontrak sebagai artis rakaman pada tahun 1978.
Beliau bukan sahaja mempunyai lagu-lagu yang menyentuh jiwa sebaliknya Allahyarham turut berkeupayaan menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti 31 Ogos, Tegakkan Bendera Kita dan Warisan.
Paling membanggakan pada tahun 1986 Allahyarham dilantik sebagai Duta Nyanyian Pelancongan apabila berjaya mempopularkan lagu Cintai Malaysia, Kenali Malaysia ciptaan Carol Connors dari Amerika Syarikat yang dijadikan tema Tahun Melawat Malaysia pada 1986.
Gegarkan Chow Kit
Kehebatannya tidak terhenti apabila mampu menjadi artis pertama negara dalam sejarahnya yang berjaya menarik lebih 100 ribu warga kota untuk menyaksikan konsertnya di Chow Kit, Kuala Lumpur secara percuma.
Penghasilan konsert itu adalah sebahagian daripada keluhuran budi Sudirman yang sanggup melayan peminatnya tanpa mengira pangkat atau darjat.
Chow Kit adalah simbol untuk mereka yang kurang berkemampuan dan di lokasi itulah Allahyarham memperdagangkan bakatnya untuk para peminat golongan tersebut supaya dapat mendekatinya dalam satu persembahan percuma.
Kemuncak keagungan Allahyarham apabila beliau diumumkan sebagai Penghibur Asia Terbaik, Asia Popular Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989, mengalahkan lapan peserta negara Asia termasuk Anita Sarawak yang mewakili Singapura.
One Thousand Million Smiles dan Send In The Clown menjadi tuah kepadanya dalam pertandingan itu.
Sementara menerusi pertandingan Juara Lagu pada tahun 1987, Sudirman memenangi persembahan terbaik dengan lagunya Merisik Khabar apabila tampil menggunakan pemetik api sebagai simbolik dalam persembahan itu.
Runtuhnya Istana Cinta
Seperti insan lain, Sudirman juga mahu memiliki keluarga dan memilih tarikh 14 Februari 1981 untuk mendirikan rumah tangga dengan Kamariah Jamaluddin tetapi sayangnya, mereka bercerai tiga tahun kemudian tanpa memiliki anak.
Penceraian itu disaksikan oleh rakan Sudirman sendiri iaitu penyanyi Norkumalasari yang menyifatkan suasana sayu menyelubungi perpisahan itu apabila pasangan tersebut tidak dapat membendung tangisan air mata tatkala cerai dilafazkan.
Dua perkara yang benar-benar menyentuh hati Sudirman dalam hidupnya iaitu kematian ibu tersayang dan kegagalan perkahwinan yang dibina.
Bukan Kerana HIV
Kematian Sudirman dikaitkan dengan pelbagai spekulasi sehinggalah ada pihak yang membuat tuduhan kononnya beliau dijangkiti HIV.
Allahyarham sebenarnya meninggal dunia akibat penyakit paru-paru yang tidak dapat berfungsi dengan sempurna selain turut dikaitkan dengan penyakit misteri.
Malah Habsah Hassan dan juga wartawan veteran Utusan Malaysia, Bahyah Mahmod antara individu yang diberi peluang menatap jenazah Allahyarham pada hari kematiannya.
Kata Habsah , tubuh Allahyarham begitu kecil seperti seorang kanak-kanak. Mungkin atas sebab itulah dia enggan gambarnya dirakamkan sewaktu sedang sakit kerana tidak mahu peminatnya meratapi ujian yang dihadapi itu.
Sudirman bagaikan sudah mendapat petanda dia sebenarnya tidak boleh hidup lama. Lagu Salam Terakhir yang ditulis oleh Manan Ngah sementara lirik oleh Habsah itu menggambarkan yang dia akan pergi buat selama-lamanya.
Kemuncak kejatuhan Allahyarham dalam kerjaya seninya bermula pada 17 Julai 1991 apabila dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Tawakal, Kuala Lumpur selama empat hari selepas dikatakan pengsan akibat terjatuh.
Selepas peristiwa itu, Sudirman sukar dijejaki apabila keluarganya merahsiakan lokasi tempat beliau mendapatkan rawatan.
Selama tujuh bulan peminat tertanya-tanya ke manakah hilangnya Allahyarham, akhirnya persoalan itu terjawab apabila beliau dilaporkan meninggal dunia pada 22 Februari 1992 di rumah kakaknya, Datin Rudiah Arshad di Lucky Garden, Bangsar Park.
Dalam suasana pilu, jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh, Pahang.
Ribuan peminat menziarahi jenazah Allahyarham termasuklah Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Kejayaan Allahyarham dalam dunia seni sehingga berjaya mengharumkan nama negara membuatkan beliau dikurniakan darjah kebesaran daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 18 Jun 2009 yang membawa gelaran Datuk.
Sudirman, engkau pergi meninggalkan nama bersama jasa yang akan dikenang buat selama-lamanya. Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment