Friday, February 24, 2012

Luahan Rasa Sudir Dalam 'Setiamu Tiada Lagi'

Perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama 3 tahun

Sudirman Haji Arshad, nama yang sudah dikenali ramai sebagai penghibur tanah air. Setiap persembahan yang dibuat oleh Sudirman pasti mendapat sambutan dari penonton yang menyaksikannya. Kelincahan Sudirman membayangkan dia seorang yang periang dan hidup dalam penuh kegembiraan.

Tetapi, disebalik keriangannya itu  Sudirman sebenarnya menyembunyikan kisah sedihnya terutama mengenai dirinya sekarang. Sudirman menghiburkan peminat-peminatnya tetapi hatinya sendiri tidak pernah terhibur. Lalu Sudirman mencurahkan isi hatinya dalam lagu "Setiamu Tiada Lagi".

"Memang lagu itu adalah kisah benar saya. Pada mulanya lagu itu untuk album saya. Tapi, saya sendiri tak boleh menyanyikannya. Mungkin kalau saya menyanyikannya tentu tak boleh habis. Saya dah cuba, tapi saya tak boleh membawakannya. Ianya terlalu menghiris perasaan saya.

"Lepas itu saya terfikir lagu 'Setiamu Tiada Lagi' amat sesuai untuk suara Ibnor Riza. Kebetulan penerbit Album Ibnor mahukan lagu ciptaan saya, lalu lagu itu terus saya berikan pada Ibnor dalam album keduanya," ujar Sudirman.

"Kalau saya sendiri yang buat lagu dan lirik dan terus menyanyikannya tentu saya tak boleh menyanyi. Bukan suara saya tak boleh menyanyi. Bukan suara bercucuran. Memang saya akui itu adalah kisah benar mengenai diri saya. Terlalu sedih cerita di dalam lagu itu," akui Sudirman berterus terang.

Lirik lagu 'Setiamu Tiada Lagi' seperti berikut;

Setiamu tiada lagi
Diriku kini engkau hindari
Kehadiranku kau tak peduli
Sendaku menyakitkan hati
Tak tahu apa sebabnya
Dirimu kini jauh berbeza 
Memandang wajahku pun kau enggan
Mungkinkah aku kau lupakan
Kau bisikkan
Agar kau dilepaskan
Itu harganya
Untuk kau berbahagia
Kau nyatakan
Kau ada penggantinya
Ku tersentak
Rasanya biar mati
Demi ketulusan cinta
Padamu yang tiada batasnya
Kurelakan perpisahan ini
Biarpun menikam di hati...

Bagi Sudirman, keluhan dan rintihan hatinya hanya dicurahkan melalui lagu ciptaannya. Di luar Sudirman nampak gembira dan periang tetapi keluhan hatinya terus dicurahkan dalam lagu 'Setiamu Tiada Lagi'. Kekecewaan hatinya jelas terbayang dalam lagu dendangan Ibnor Riza ini...!

'Robohnya Mahligai Cinta'


Kenangan manis ketika mereka masih bersama

PERCINTAAN dan perkahwinan dengan Kamariah Jamaludin atau lebih dikenali Kay adalah sesuatu yang indah buat Sudirman Haji Arshad. 
 
Sudirman pernah memberitahu sahabat baiknya, pelakon dan penyanyi Noorkumalasari bahawa Kay adalah wanita pertama dan terakhir yang dicintainya. Mereka disatukan pada Hari Valantine - 14 Februari 1981 selepas Sudirman menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya. Kay yang bekerja di Petronas adalah pilihan hati Sudirman yang dikenali sejak kecil lagi.

Pastinya berita perkahwinan mereka diterima baik peminat kerana percintaan mereka bukan rahsia lagi.
 

Bagaimanapun, takdir menentukan segalanya apabila mahligai cinta yang dibina dengan kasih sayang roboh bak istana pasir dilanda ombak. Perkahwinan mereka cuma bertahan selama tiga tahun sahaja. Ia berakhir dengan penceraian pada 25 Mei 1984 kerana tidak wujud lagi persefahaman antara mereka. Pasangan itu tidak mempunyai anak.
 
Dalam majalah Utusan Filem dan Fesyen (UFF) dalam kolum Masih Kuingat Lagi, Sudirman menulis, 2 perkara yang sangat memilukan hatinya. Pertama, kehilangan ibu pada usia yang sangat muda. Keduanya, perkahwinannya yang gagal.
 
Sudirman merakamkan kedukaannya melalui pahit getir penceraian menerusi lagunya Terasing dan Merisik Khabar, malah beliau turut mencipta lagu 'Setiamu Tiada Lagi' dendangan Ibnor Riza. Setelah bercerai, Sudirman menumpukan seluruh tenaga kepada kariernya termasuk menulis, melukis, dan menubuhkan syarikatnya sendiri.
 
Sahabat baik Sudirman, penyanyi Noorkumalasari dalam catatan mengenai Allahyarham yang disiarkan dalam Harian Metro pada 1992 berkata, suasana malam di rumah Sudirman sangat sayu menjelang perpisahan antara mereka. “Apabila cerai dilafazkan mereka bertangisan. Air mata tidak dapat dibendung,” kata Noor yang menyaksikan sendiri perceraian Sudirman dan Kay.


Sewaktu hampir berpisah dengan Kay, Sudirman menelefon Noorkumalasari supaya dapat menjadi saksi ketika dia melafazkan cerai. Noorkumalasari bersama-sama bekas suaminya ketika itu bergegas ke rumah Sudirman di Bangsar.
 
Noorkumalasari berkata "Suasana malam itu begitu sayu menjelang perpisahan mereka. Kedua-duanya kelihatan seperti biasa. Sebaik cerai dilafazkan, mereka tiba-tiba bertangisan. Air mata tidak dapat dibendung lagi, lalu kedua-duanya berpelukan. Begitu sayu menyaksikan peristiwa itu."
 
Noorkumalasari tidak dapat menahan sebak, seterusnya turut menangis sama. Sudirman, katanya, ketika itu berada dalam keadaan tidak tentu arah. Siapa sangka percintaan yang mereka pupuk sekian lama berakhir dengan cara begitu. Namun, Noorkumalasari  memuji caranya yang begitu gentleman.
 
Noorkumalasari berkata lagi : "Sejak perpisahan itu jugalah, timbul semacam perubahan pada diri Sudir. Peminatnya mungkin tidak perasan mengenai perubahan ini. Tetapi di kalangan rakan artis, apatah lagi mereka yang rapat dengannya, perubahan diri Sudir itu jelas ketara.
 
"Percayalah kalau Noor katakan, meskipun di antara Allahyarham dan Kay tiada sebarang ikatan, namun Allahyarham masih terus menyarung cincin perkahwinan mereka. Noor sendiri kehairanan mengapa Allahyarham bersikap begitu?"


Noorkumalasari ada menasihati Allahyarham agar menerima hakikat hidup. "Payah juga hendak dilentur, tetapi lama kelamaan, jika tidak silap Noor di antara dua atau tiga tahun, barulah Allahyarham menanggalkan cincin itu daripada jarinya," cerita Noorkumalasari lagi. 


Nota:

Khamis 29 Mac 1984

Saya makin tertekan dengan masalah rumahtangga saya. Tiada yang tahu. Saya tidak mahu mengejutkan peminat-peminat. Saya tuliskan cerita ini dengan harapan peminat akan dapat mengagak. Tapi, kami pasangan bahagia, kata orang. Cuma seorang peminat dari Perak sahaja yang dapat membaca isi hati saya di dalam tulisan ini.

Khamis 17 Mei 1984

Perkahwinan saya sudah hampir sampai ke tempoh yang ditakdirkan. Saya cuba melawan. Rencana ini saya tulis untuk menyuarakan perasaan saya. Tiada yang mengerti.

Khamis 24 Mei 1984

Waktu saya sudah hampir tamat. Peminat masih tidak mengerti.

Selasa 7 Ogos 1984

Saya cuba menulis semula. Tetapi ianya hanyalah memilukan.

" Jika kamu menyayangi sesuatu, 
lepaskan ia...
Sekiranya ia pulang, 
Ia milikmu...
Seandainya sebaliknya, 
Ia bukan hakmu...
Sejak mula dulu!!! "

- Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad

No comments: