Friday, February 3, 2012

Berita Harian: Jabatan Warisan Negara Nilai Tapak Kediaman


KUANTAN: Jabatan Warisan Negara akan memeriksa tapak rumah seniman Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad bagi menentukan nilai warisannya, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

Beliau berkata, perkara lain yang akan diberi perhatian ialah nilai seni atau sejarah rumah berkenaan yang terletak di Kampung Bukit Tok Embun, Temerloh.

Katanya, jabatan berkenaan juga perlu mendapatkan maklumat lanjut sama ada rumah itu didiami berterusan atau hanya sebagai rumah persinggahan ketika Allahyarham berkerjaya sebagai Penghibur.

"Jabatan berkenaan juga akan membuat penilaian potensi rumah berkenaan dijadikan sebagai bangunan warisan yang mampu menarik pelancong," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai bekas tapak rumah Allahyarham Sudirman kini hampir sukar dijejaki kerana dilitupi semak samun.

Penduduk kampung menziarahi pusara Allahyarham Sudirman
di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Temerloh.

Ketika hayatnya, Sudirman pernah mencipta nama sebagai Penghibur TV Terbaik, penerima Anugerah Seri Angkasa, menjuarai pertandingan nyanyian Bintang RTM (1976), Persembahan Terbaik Anugerah Muzik-Muzik TV3 (1987) dan Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Azmir Yahaya ketika dihubungi berkata, pihaknya belum bercadang membangunkan semula bekas tapak rumah kediaman dan pusara penyanyi itu.

Katanya, pihak berkuasa tempatan itu bagaimanapun mempunyai cara tersendiri mengingati jasa dan sumbangan penyanyi berkenaan, termasuk mengadakan pameran mengenainya di Galeri Tokoh, di sini.

"Di situ peminat Allahyarham Sudirman dapat melihat sejarah kehidupan penyanyi, anugerah yang diterima serta lagu yang pernah dirakamkan.

"Malah, kita juga sudah mengabadikan namanya di sebatang jalan di Bandar Temerloh sebagai usaha menyanjungi dan menghargai perjuangan seninya," katanya.

Petikan: Berita Harian, Jumaat, 3 Februari 2012.

Koleksi Sudirman di Galeri Tokoh Temerloh

No comments: