Wednesday, June 12, 2019

Sudirman Ingin Takluk Dunia


Sudirman Haji Arshad. Nama yang tidak asing lagi bagi peminat seni suara. Nama yang bukan sahaja menjadi sebutan rakyat negara ini, malahan lebih daripada itu telah sampai ke peringkat Asia No. 1. Kini nama ini dikaitkan pula dengan alam perniagaan.

Kalau selama ini Sudirman sering bercakap tentang hiburan, MASTIKA bulan ini telah membawa beliau bercakap pasal perniagaan. Banyak perkara yang disentuh, peluang perniagaan hari ini, masa depan peniaga Melayu, falsafah hidup untuk maju, rahsia di sebalik kejayaan dan perancangan masa depan.

“Selepas 16 tahun menyanyi, masanya telah sampai bagi saya untuk terbang jauh dalam bidang nyanyian ke peringkat antarabangsa. Dalam pada itu, saya perlu mengukuhkan lagi hubungan saya dengan masyarakat di Malaysia.

Di samping nyanyian, saya perlukan satu-satu yang baru, yang lebih mencabar untuk mendekatkan saya ke pangkuan masyarakat. Cara yang terbaik untuk saya memberi perkhidmatan pada masyarakat adalah dengan memberi mereka satu keperluan.

Keperluan terbaik bagi saya untuk masyarakat ialah minuman dan makanan sebab setiap orang perlu minum dan makan setiap hari dan kita minum lebih banyak daripada makan. Memandangkan keadaan ini, saya rasa eloklah saya memulakan bidang perniagaan.

Insya-Allah, jika kerjaya saya ke peringkat antarabangsa berjaya, minuman saya akan turut bersama dengan pasaran yang lebih luas.”

Sudirman memulakan perbualan yang bersangkut-paut dengan bidang niaga yang diterokai.

Sebelum memulakan perniagaan ini, Sudirman dan rakan kongsinya telah membuat berbagai persiapan dan kajian untuk menampilkan satu jenis minuman yang dapat diterima masyarakat.


Dalam mengatur perancangan ini, beberapa perkara telah diambilkira:

i) Sudi mestilah satu barangan yang bermutu sebab setiap barang yang bermutu akan bertahan dan mendapat sokongan.

ii) Barangan yang bakal dihasilkan mesti menggunakan satu nama yang melambangkan Malaysia, mempunyai identiti Malaysia. Jika diperhatikan kini, kebanyakan minuman yang terdapat dalam negara hari ini mempunyai nama-nama asing, tidak melambangkan Malaysia. Nama ‘Sudi’ diambil bersempena dengan maknanya ‘Silakan’ atau ‘Welcome’ dan ianya mempunyai kaitan dengan nama beliau, ‘Sudirman’.

iii) Mereka perlu menghasilkan satu tin yang baru dan tidak pernah dibuat oleh mana-mana syarikat minuman.

Berdasarkan tiga perkara ini di samping perkara lain seperti harga berpatutan, ‘Sudi’ pun melangkah ke tahap kedua.



Beliau mempunyai rakan niaga, Mr. Virinder, yang pakar di bidang perniagaan. Setelah berdiskusi dan atas nasihatnya, langkah-langkah yang perlu diambil mula difikirkan.

Langkah pertama adalah mengambil alih kilang di Merlimau, Melaka. Kilang ini boleh mengeluarkan 600 tin minuman dalam masa satu minit. Ia bertapak di atas tanah seluas 5.25 hektar. Bagaimanapun, hanya 0.8 hektar tanah ini digunakan untuk bangunan.

Kilang ini mempunyai berbagai kemudahan untuk mengeluarkan makanan dan minuman, tetapi pada masa ini hanya satu pertiga kilang digunakan untuk memproses minuman.


Dengan makanan yang dirancang iaitu ‘Sudi Rasa’, kilang ini akan dipergunakan dengan lebih berkesan lagi.

Di samping itu rancangan juga dibuat untuk membuka restoran yang bakal diberi nama ‘Sudi Makan’ di tingkat bawah, ibu pejabatnya, di Taman Sri Hartamas.

Apakah ‘Sudi’ tidak menghadapi sebarang halangan sebelum segala yang dirancang berjalan lancar?

“Halangan bagi saya, saya tidak menghadapi sebarang halangan. Semua yang dirancang berjalan baik. Pinjaman, kilang tidak ada masalah,” ujarnya.

Kalaupun boleh dikatakan sebagai halangan, beliau berpendapat halangan yang ada pada setiap insan adalah diri mereka sendiri.

Jika seseorang itu berjaya mengikis halangan dalam dirinya sendiri, tidak ada halangan di dunia yang akan menyekat perjalanannya.

Dengan prinsip ini, beliau menguatkan keyakinan untuk terus maju dan bekerja keras. Setiap masalah tidak diturunkan Tuhan sebagai masalah untuk menyekat manusia tetapi untuk manusia membuka fikiran mencari penyelesaian terhadap masalah itu.

Jika seseorang itu kerapkali berhadapan dengan perkara begini, masalah akan menjadi mudah. Apa sahaja yang datang akan dapat diatasi apabila telah mempunyai pengalaman.


Mungkin disebabkan nama Sudirman itu telah dikenali menyebabkan Sudir tidak menghadapi masalah dalam mendapatkan pinjaman?

“Mereka tidak akan memberi jika saya tidak membuktikan diri saya berkebolehan melakukannya terlebih dahulu. Sepanjang 16 tahun, saya telah membuktikan bahawa apa yang saya kerjakan akan berhasil dengan baik.

“Ini menyebabkan pihak bank berkeyakinan terhadap keupayaan saya, lebih-lebih lagi dengan sokongan Encik Virinder,” ujarnya.

Sudirman berpendapat, setiap perniagaan akan mendatangkan hasil yang baik jika mempunyai kemahiran disertakan dengan minat.

“Lihat sahaja di sekeliling negara anda sendiri. Banyak yang boleh diurus dan dimajukan. Perniagaan tidak perlu yang besar-besar. Kita boleh mulakan dengan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Saya hormat pada anak muda yang menjual burger di tepi-tepi jalan. Saya sendiri pernah melakukannya di pasar Bangsar ketika masih di bangku sekolah dengan mendapat upah 20 sen sehari. Ini saya lakukan untuk mencari pengalaman dan mengikis perasaan malu dalam urusan berniaga.”

Beliau berkata, bagi mereka yang mahu menceburkan diri dalam lapangan perniagaan, ada baiknya mereka mulakan secara kecil-kecilan dahulu tetapi mereka mesti mempunyai cita-cita yang besar.

“Saya sendiri, umpamanya, ketika menjalankan perniagaan ini, saya tidak fikir mahu membataskan perniagaan saya kepada Malaysia sahaja. Cita-cita saya adalah dunia. Tetapi inilah permulaan saya,” tegasnya.


Sudirman seterusnya memberitahu, Malaysia sedang menuju ke arah pembangunan industri yang pesat.

“Dalam bidang perindustrian juga, kita mahu sampai ke peringkat antarabangsa. Kita tidak mahu ‘served’ untuk Malaysia sahaja, sebaliknya kita mahu keluar. Kita lihat apakah barangan yang akan diterima oleh orang di luar. Jika terdapat pasaran dan kemahuan, kita boleh maju.

Beliau mengambil contoh jika masyarakat Barat sukakan perabot daripada rotan, mereka yang mempunyai kemahiran membuat perabot dalam rekabentuk mengikut cita rasa Barat boleh melakukannya.

Bagaimanapun, tegasnya, yang paling penting dalam dunia perniagaan adalah pengurusan wang ringgit.

Beliau berpendapat, kebanyakan peniaga Melayu tidak berjaya sebab mereka tidak pandai menguruskan wang ringgit. Bagaimana menggunakan modal pusingan, simpanan dan perbelanjaan harian.

Tambahnya, “kebiasaannya, mereka lebih suka berbelanja dahulu sebelum menyimpan. Jika terdapat berlebihan wang, baru mereka menyimpan. Kenapa tidak diterbalikkan proses ini. Simpan dahulu, berlebih, baru belanja.

Simpan dalam erti kata, bukan menyimpan di bawah bantal atau dalam almari. Sebaliknya wang ini dipergunakan dengan sebaiknya agar ia berkembang dan bertambah seperti memasukkannya sebagai simpanan tetap, membeli saham atau Amanah Saham Nasional. Ini perlu sebagai jaminan untuk hari-hari akan datang.”


Bagi Sudir wang business adalah wang business dan tidak boleh diambil untuk melancarkan sebarang program nyanyian. Sebaliknya, wang hasil nyanyian adalah untuk program nyanyian dan juga untuk memajukan lagi perniagaan.

Beliau berpendapat, falsafah yang penting untuk sesiapa sahaja berjaya dalam perniagaan adalah hati yang luhur dan bersih.

“Kita tidak boleh merosakkan orang lain, mengambil rezeki orang lain dan mematahkan semangat orang lain. Saya sentiasa berserah kepada Allah untuk menunjukkan jalan yang terang, harus dilalui.

Alhamdulillah, setakat ini Allah amat pemurah, menemukan saya dengan orang-orang tertentu dalam hidup saya untuk memajukan karier saya. Saya rasa setiap orang yang bersama saya adalah ditakdirkan.

“Saya menganggap semua bangsa di Malaysia sebagai saudara saya tanpa mengira batas agama atau darjat,” jelasnya.

Menyentuh tentang penglibatan orang Melayu dalam bidang perniagaan, Sudir memberitahu, jika dikaji dari segi sejarah, memang benar orang Melayu sekarang berada 10 tahun di belakang bangsa lain di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, “jika kita terus berpeluk tubuh, mahu melihat segala-galanya berlaku di depan mata, lagi 10 tahun, kita akan ketinggalan 20 tahun ke belakang dalam bidang perniagaan. Ini amat menyedihkan.”

Oleh itu, tambahnya, orang Melayu mesti sentiasa peka terhadap kejadian di sekeliling mereka dan mengambil sedikit sebanyak ajaran dari alam keliling.

“Kita mahu maju seperti mereka, tetapi perasan tradisi kita (maaf saya terpaksa katakan ini kerana sayangkan bangsa saya) suka melihat sesuatu perkara berjalan di depan mata, berpeluk tubuh dan memikirkan kesusahan nasib kita.

Jangan, sepatutnya apabila melihat orang berjaya, kita cari jawapan, apakah punca yang membuat mereka berjaya? Jika mereka berjaya, bolehkah saya berjaya seperti mereka.

Saya percaya tentu sahaja kita boleh berjaya sebab orang Melayu kaya dengan perasaan dan kreativiti. Sebagai seorang Islam pada dasarnya hati mereka memang luhur. Ini bermakna prinsip utama yang diperlukan telah ada di hati mereka.

Jangan sekali-kali memikirkan, biarlah orang lain dengan kerja mereka. Saya dengan kerja saya.

Kita sepatutnya mempelajari dari apa yang harus dipelajari daripada bangsa asing untuk maju.

“Jangan takut bekerja dengan orang bukan Melayu dalam menimba ilmu. Jangan takut dan malu untuk belajar. Perasaan ini mesti dikikis,” tegas Sudirman.

Beliau menjawab Hang Tuah pernah berkata, ‘takkan Melayu hilang di dunia’.

Sudir berpendapat, kata-kata ini bukanlah satu kepastian sebab jika dikatakan orang Melayu tidak akan hilang di dunia, orang Melayu akan merasa lega, senang dan tidak berusaha.

“Saya fikir maksudnya adalah suatu harapan. Janganlah orang Melayu hilang di dunia. Maknanya, bekerjalah, takkanlah nak hilangkan bangsa Melayu.

Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu hampir hilang ketika kemasukan Belanda atau Portugis.

“Kata-kata itu adalah satu harapan untuk orang Melayu sedar, jangan biarkan bangsa kita hilang di dunia,” jelasnya.

Sudir melihat dalam abad 21 ini, dunia akan lebih mencabar. Setiap negara maju akan mahu terus maju dan dalam pada itu akan menyekat kemajuan negara membangun.

Sekarang pun, katanya, mereka cuba menyekat pembangunan negara-negara ketiga dan ini akan lebih kuat berlaku dalam abad 21.

Bagaimanapun, tambah beliau, “jika kita menyedari dan menjalankan langkah-langkah yang patut untuk menjaga hak kita, itu tidak akan terjadi.



“Kita lihat bagaimana Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad cuba mengembleng tenaga negara seluruh Asia untuk mempertahankan hak orang Asia dalam pengendalian perdagangan dengan dunia barat.

Kita dinamakan Negara Perindustrian Baru (NIC). Kenapa mereka perlu menamakan kita apa-apa. Apabila orang memberi kita satu nama bermakna mereka mahu kita jadi itu sahaja.

Jika kita bangga dengan nama baru NIC yang diberikan  ini, bermakna kita masih di bawah mereka. Kita mahu jadi sama taraf atau lebih cemerlang dalam cara kita sendiri.”

Setelah menceburkan diri dalam berbagai bidang, apakah Sudir berminat untuk masuk ke dunia politik pula?

Kepada soalan ini, Sudir menjelaskan, buat masa ini, politik tidak menarik minatnya sebab beliau merasakan Malaysia mempunyai pemimpin yang berkaliber, punya kemahiran untuk mengendalikan urusan negara, lebih-lebih lagi dengan pimpinan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad yang berfikiran jauh ke depan.

Perdana Menteri bagi beliau telah menggerakkan nadi tanahair ke arah kecemerlangan.

Oleh itu, beliau berpendapat, negara tidak mempunyai masalah dalam politik. Seseorang itu tidak perlu menceburkan diri dalam politik semata-mata untuk mendapat nama.

Katanya, “pengurusan negara biarkanlah pada orang yang telah terbukti keupayaan mereka. Saya ingin berseru pada semua orang yang berminat pada politik, jangan masuk politik sebab ingin menjadi seseorang.

“Sebaliknya, masuklah politik kerana ingin mentadbir negara. Jika seseorang itu berfikiran begini semua pemimpin kita akan berhati bersih. Apabila pemimpin berhati bersih, rakyat akan bersih dan negara bersih.

“Kita tidak perlu berbahas atau berdebat dengan pemimpin semata-mata untuk berbahas atau berdebat untuk menunjukkan kepandaian kita.


“Jika dilihat dalam jangka masa 10 tahun sejak Perdana Menteri ambil alih menerajui negara, jelas terbukti kemampuannya dalam membawa kemajuan dari setapak ke setapak. Oleh itu, tidak perlulah kita meleraikan segala-galanya dan mencari satu-satu yang baru sebab yang lama itu adalah lebih mantap dan ini jelas terbukti.

Menyentuh tentang sijil guaman yang diperolehinya, Sudirman menjelaskan, guaman adalah suatu pengetahuan. Setiap orang perlu mengetahui akan undang-undang yang melingkungi diri mereka sama ada dia seorang peguam atau tidak.

Katanya, “ketika masih menuntut, saya bertanya pada diri saya, apakah bidang pelajaran yang mahu saya pelajari dan saya kata, saya mahu mengetahui undang-undang yang melingkungi diri saya, yang mengaitkan saya dengan orang ramai.”

Dengan mengetahui undang-undang, beliau akan mengetahui haknya dan bagaimana beliau tidak boleh dipermainkan.

“Tidak perlu saya menjadi seorang peguam sebab negara mempunyai ramai peguam tetapi ini tidak bermakna sijil saya akan hilang begitu sahaja.

“Saya masih menggunakannya untuk kepentingan saya di bidang pertunjukan, perniagaan atau apa saja bidang yang saya terokai.

“Insya-Allah dalam masa 10 tahun akan datang mungkin saya akan membuka firma guaman sendiri dan ini adalah dalam perancangan saya,” jelas Sudirman yang sentiasa mempunyai perancangan dalam apa juga bidang yang bakal diterokainya.

Untuk itu, beliau telah pun mula membiayai beberapa orang pelajar-pelajar muda mengambil bidang undang-undang dengan harapan apabila mereka keluar dengan memiliki kelulusan di bidang guaman, mereka boleh menjalankan usaha firma guamannya.

Petikan : MASTIKA April 1991
Oleh : Noritah Sulaiman
Foto : Ishak Rahmat


Tuesday, August 7, 2018

SUDIR CADANG PUNGUT SETENGAH JUTA UNTUK TABUNG ARTIS


Kuala Lumpur 21 Ogos 1990 - Penyanyi Sudirman Haji Arshad bercadang mengutip setengah juta ringgit pada persembahan amal 16 September 1990 ini untuk mengisi tabung artis-artis yang ditimpa kemalangan.

Sudirman berkata, persembahan khas itu yang berunsurkan kemanusiaan, berbeza dengan yang sebelumnya dan akan diadakan di Kuala Lumpur Hilton mulai jam 7.30 petang hingga 12.00 malam.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata, tujuan persembahan itu terutamanya adalah untuk membantu penyanyi Zaiton Sameon dan Azmeer yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar yang sama, Sudirman menyampaikan derma peribadinya berjumlah RM 10,000 kepada Zaiton yang tidak dapat meneruskan kerjayanya bagi sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan lagi.

Kata Sudirman, sumbangan kepada Zaiton itu adalah berdasarkan rasa tanggungjawab persahabatan sesama artis.

Sudirman yang juga seorang usahawan menyatakan, "tanpa sokongan kuat masyarakat kepada barangan keluaran saya, tentulah saya tidak dapat membuat sumbangan sebanyak itu."

Mengenai persembahan amal khas itu, Sudirman memberitahu beliau akan mengedarkan jemputan khas memungut derma kepada orang-orang kenamaan termasuk menteri-menteri kabinet.

Katanya, persembahan itu bukanlah bercorak hiburan semata-mata, tetapi merupakan persembahan matang yang diadakan untuk menimbulkan rasa kemanusiaan dan jiwa murni membantu mereka yang malang.

Kepada para peminatnya, beliau berkata, mereka juga dijemput datang tetapi terpaksalah mengumpul wang dahulu untuk membantu Zaiton dan Azmeer.




Wednesday, February 28, 2018

SUDIRMAN HAJI ARSHAD AKHIRNYA BERJAYA DI BIDANG PELAJARAN


KUALA LUMPUR, Isnin – Penyanyi terkenal, Sudirman Haji Arshad akhirnya berjaya, cuma kali ini bukan dalam bidang seni suara, tetapi di bidang pelajaran.

Sudirman selama ini ingin menjadi seorang peguam, berjaya dalam peperiksaan tahun akhir undang-undang bersama 47 pelajar lain.

Penyanyi itu, walaupun terlalu sibuk dengan pertunjukkan pentas berjaya mendapat kepujian kelas ketiga dari Universiti Malaya setelah lima tahun setengah berusaha.

Berikut ialah keputusan peperiksaan tahun akhir undang-undang Universiti Malaya:

Kepujian Kelas Pertama: Chan Wai Yen, Lim Chew Yan.

Kepujian Kelas Kedua (Bahagian Tinggi): Chan Peng Soon, Chung Chew Chan, Edwards Philips, Halimah Ismail, Harbans Kaur Shingara Singh, Heah Wee Theng, John, Leong Kim Mooi, Ong Geok Heow, Quek Siow Leng, Tan Seng Kee dan Wong Fook Yong.

Kepujian Kelas Kedua (Bahagian Rendah): Abdul Kohar Kamari, Abdullah Sidek, Amdam Mat Din, Azahar Mohamed, Choong Siew Kim, Fina Norhizah Baharu Zaman, Foo Kah Foong, Christopher, Gerawat Gala, Gooi Soon Seng, Hamdan Indah, Hapipah Monel, Hussin Che Pa, Ibrahim Mohd Hanafiah, Idrus Harun, Imba Malar Yogalingam, Lau Bee San, Low Wye Lynne, Manjeet Singh, Mariah Maliah Ahmad, Mariati Abdul Ghani, Mohd Baharuddin Harun, Mohd Nordin Nor, Mohd Roslan Hassan, Mutang Tagal, Rohana Yusof, Siti Mariah Haji Ahmad, Tan Boon Hock dan Thomas Mariasoosay.

Kepujian Kelas Ketiga: Abdul Ghani Patail, Ibrahim Ismail dan Sudirman Haji Arshad.

Sumber: Akhbar Berita Harian (1980) Sudirman Hj. Arshad Akhirnya Berjaya Di Bidang Pelajaran.