Sunday, March 18, 2012

Sudirman Penghibur No.1 Asia Tak Pernah Ketinggalan Baju Melayu


19 Mac 2012 genap 23 tahun Sudir bergelar Penghibur No.1 Asia

URTV: Terlebih dahulu bagi pihak URTV, Kak Bahyah ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Sudir, di atas kejayaan Sudir baru-baru ini meraih kejuaraan ASIA'S MUSIC AWARDS di Royal Albert Hall London dan sekaligus mendapat gelaran PENGHIBUR TERBAIK ASIA.

SUDIR: Saya pun berterima kasih kepada pihak URTV, Kak Bahyah khasnya di atas segala sokongan terhadap kerjaya saya selama ini.

URTV: URTV perhatikan, sejak dulu Sudir tak pernah ketinggalan baju Melayu, baik di mana saja. Malah di London tempoh hari pun, semasa bergambar di taman dengan artis-artis lain pun Sudir berbaju Melayu.

Sudir berbangga berbaju Melayu di Kota London

SUDIR: Memang saya suka berbaju Melayu. Pertama, ia baju kebangsaan kita, kalau tak kita yang pakai, siapa lagi. Tak bermakna saya tak suka berbaju moden, tapi, saya tak boleh lupakan baju Melayu. Kedua, sebenarnya baju Melayu ini amat selesa dipakai, longgar dan dingin. Ketiga, ia menarik. Masa di London dulu, bila saya pakai baju Melayu, ramai orang bertanya, baju apa, buat kat mana, banyak tak pakai kain.

URTV: Sejak bila, Sudir suka pakai baju Melayu ni?

SUDIR: Sejak kecil lagi. Waktu pergi mengaji, atau sembahyang terawih di masjid, atau waktu berlepak di padang nak tunggu wang 'free' yang dibawa oleh kerajaan di pekan kecil Temerloh, tempat saya dilahirkan. Tapi, bila lepak-lepak begini, tak pakai sampin.

Sudir berbaju Melayu ketika pulang dari London

URTV: Berapa helai baju Melayu Sudir kesemuanya?

SUDIR: Banyak, tak ingat. Tapi selalunya setiap raya, saya buat sekurang-kurangnya empat pasang. Dan selalunya, apabila perlu, atau terasa nak buat yang baru. Tapi yang lama, dah tak boleh pakai, saya beri orang. Sebab seluarnya ketat, pakai cangkuk. Tapi sekarang ni saya pakai kain ikat, dan boleh pakai sampai bila-bila. Masa gemuk, masa kekenyangan, mahupun masa kurus kering.

URTV: Sudir suka pilih kain yang macam mana?

SUDIR: Kain lembut macam sutera. Tapi bukan sutera sebab tak boleh bawa sutera untuk sembahyang. Warnanya pula, saya suka warna yang pelik-pelik sikit. Tak kira garang atau tidak. Kadang-kadang, peminat bagi kain.

URTV: Kak Bahyah juga perhatikan Sudir suka buat songkok dan sampin sama warna, kenapa?

SUDIR: Nampak kemas dan selari. Tak payah pilih-pilih kain sampin yang sesuai atau padan warnanya. Lagipun, cara itu bagi saya lebih menarik, dan badan saya tidak terpotong tiga. Sebab itu saya suka sampin yang labuh sedikit. Nampak lebih lembut dan sesuai dengan keperibadian baju itu sendiri. Tentang songkok pula, sengaja saya suka warna yang sama. Melainkan sekiranya sampinnya berlainan, saya akan pakai songkok hitam.

URTV: Berapa harga sepasang?

SUDIR: Nak beli ke? (ketawa) Saya tak pernah ambil tahu, sebab saya buat banyak sekaligus, tukang jahit saya hantar bil kemudian, tapi saya tahu, dia tak akan kelentong saya atau cekik darah macam beberapa tailor saya yang dulu-dulu. Bagi saya, kepercayaan ini nombor satu dalam perhubungan. Dan saya sebenarnya pun tak ambil kira sangat sebab tailor saya ini istimewa sikit, kadang-kadang dalam tempoh satu hari saja dia siapkan apa yang saya mahu. Ini kes 'emergency' lah.


URTV: Siapa tailor Sudir?

SUDIR: Dulu saya biasa buat dengan bapanya, Pak Wahab. Tapi, beliau telah meninggal dunia, dan anaknya ambil alih. Namanya Den. Pak Wahab amat mahir dengan jahitan tradisional, dan kemahiran ini menular pada anaknya. Jadi saya sambungkan saja. Kedainya kecil saja, di Jalan Masjid India. Tapi kerjanya bagus dan teliti.

URTV: Semasa bercuti di negara orang, adakah Sudir pakai baju Melayu sekali-sekala?

SUDIR: Ada. Bila rasa rindu atau rasa patriotik habis. Kadang-kadang orang pandang, tapi tak kisahlah. Jeans, kot dan tie pun baju 'kebangsaan' juga, tapi orang asing punya. Jadi tak kisahlah.

URTV: Pada pandangan Sudir bagaimanakah caranya untuk terus mempopularkan baju Melayu ini supaya budaya Melayu Malaysia ini akan lebih terserlah?

SUDIR: Sebenarnya, pakaian ini adalah hak seseorang individu mengikut selera masing-masing. Kita tak boleh paksa-paksa. Tapi bagi saya, kalau sejak kecil ibu bapa membiasakan anak-anak mereka berbaju Melayu dan memupuk perasaan bangga memakainya, saya rasa apabila besar nanti, mereka akan menjadi biasa memakainya. Juga, paling best, kalau dalam setahun, mungkin dalam masa satu hari atau satu minggu, semua orang Melayu pakai baju Melayu untuk keluar ke mana-mana, pasti best. Macam di Jepun, orang-orang Jepun moden habis, tapi baju kebangsaan mereka tetap kelihatan walau di mana.

URTV: Terima kasih Sudir. Semoga Sudir akan terus berjaya dalam bidang yang diceburi.

SUDIR: Terima kasih kembali, dan tolong sampaikan ucapan Selamat Hari Raya saya kepada semua peminat, dan maaf zahir batin.

Petikan: Wawancara BAM dengan Sudir yang dimuatkan dalam URTV keluaran tahun 1989.



2 comments:

Anonymous said...

Sudir Penghibur yang sangat Patriotik yang tak pernah lupa akar budaya...

Shahrina Shaharin said...

Tiba-tiba hari ni rindu sangat dengan abang SUDIRMAN. :')