Tuesday, July 31, 2012

Merdeka! Merdeka! Merdeka Kita!


Pada suatu petang dalam tahun 1974. Saya dan Rajoo menyaksikan satu perlawanan hoki di antara Malaysia dan India. Rajoo adalah kawan baik saya ketika itu malahan pada waktu itu kami tiada kenalan lain. Tetapi sebaik sahaja perlawanan selesai, kami membawa diri masing-masing. Persahabatan kami berakhir di situ. Atas kemahuan bersama.

Pada suatu petang dalam tahun ini, saya telah menyaksikan satu perlawanan hoki di antara Malaysia dan India. Di situ saya ternampak Rajoo. Mata kami bertentangan. Dan serentak dengan itu, kami mengerti bahawa perselisihan di antara kami telah lama berkubur. "Kamu sokong pasukan mana Sudir?" Rajoo sengaja mengajukan pertanyaan itu kepada saya. Serentak, kami ketawa. Perbualan kami semakin rancak, serancak permainan yang sedang berlangsung.

Rajoo hari ini berbeza daripada Rajoo yang saya kenal dulu. Kini semangat kenegaraannya begitu ketara sekali. Dia tidak lagi memberi sokongan kepada pasukan India seperti yang dilakukannya dulu sehingga kami memutuskan persahabatan kami kerana saya tidak dapat menerima pendiriannya. Malam itu kami meraikan kemenangan kami bersama. Kami amat gembira kerana persahabatan kami terjalin semula. Dan lebih daripada itu, kami berasa bangga kerana kami berdua mempunyai negara yang satu. Tidak berkiblat ke mana-mana lagi.

Saya mempunyai ramai lagi rakan-rakan seperti Rajoo. Dan saya percaya semangat kenegaraan ini kian menular di kalangan masyarakat kita, tanpa mengira bangsa dan agama.

Pada lewat malam 2 Oktober 1981, saya tiba di kota London yang sunyi sepi ketika kota yang gagah itu. Di satu penjuru yang berdekatan, saya ternampak seorang wanita tua terkontang-kanting mengheret lima beg besar. Saya menghampirinya. Malam itu, tidak kurang daripada dua kali saya turun naik tangga yang bertingkat-tingkat, memunggah lima beg yang seberat anak gajah. Sambil turun naik keretapi bawah tanah dan turun naik teksi, untuk ke hotel penginapannya, kami berbual panjang.


"Anak dari mana?" Suaranya parau. Macam suara nenek saya. "Malaysia," kata saya dan serentak itu, bulu roma saya tegak berdiri. Sekilas petir saya teringat tanah air. Tanah air saya! Saya mempunyai negara! Di tengah-tengah kota yang megah dan sombong ini, saya hilang ditenggelami malam. Namun saya masih berpunya, anak Malaysia!

Bukannya selama ini saya tidak menyedari yang saya bertanah air, tetapi suasana pada malam itu meniupkan satu kesedaran yang amat mendalam ke dalam sanubari saya bahawa saya, seorang musafir ketika itu, masih mempunyai negara!

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, laungan ini seumpama satu laungan sakti yang membangkitkan perasaan patriotik di kalangan kita semua. Ia suatu syarat yang mengafdalkan setiap perayaan merdeka di seluruh negara. Dan saya percaya yang tiupan semangat ini akan terus berkekalan sehingga ke zaman cucu-cicit kita dan seterusnya.

Semasa saya kecil, perayaan 31 Ogos secara tidak langsung, banyak mengenalkan saya kepada tanah air. Di lebuhraya, akan kelihatan bendera-bendera Malaysia berkibar megah. Padang awam akan dihias indah. Seolah ditutup, Pawagam menayangkan tayangan gambar percuma (hingga masam panggung). Ayah pula, selain dari memasang bendera, akan sibuk menggantung kertas dan lampu warna-warni di merata siling rumah.

Pada sebelah pagi, beribu-ribu penduduk di sekitar kawasan Temerloh akan membanjiri padang besar. Perarakan berlangsung dengan meriah sekali. Saya adalah di antara murid-murid sekolah rendah yang bersusun rapi macam semut sepanjang jalan raya, mengibar bendera Malaysia berukuran kecil, mengalu-ngalukan kedatangan menteri. Tetapi saya tak pernah dapat tengok wajahnya. Cuma tangannya sahaja yang melambai-lambai di tepi tingkap. Dan saya rasa sungguh berjasa.

Pada sebelah malamnya, selepas Isyak, berhadapan tapak masjid, akan berlangsunglah pertandingan syarahan, bahas, kuiz, nyanyian, kugiran dan drama. Pertandingan ratu fesyen pun ada. Saban malam saya turut berpesta. Walaupun dilarang keras oleh ayah. Saya tidak boleh tidak, mesti pergi. Saya sudah berjanji dengan kawan-kawan untuk bermain kejar-mengejar di celah-celah orang ramai.

Ayah akan mengunci pintu besar rumah kedai kami sekiranya saya pulang melewati jam sebelas malam. "Lantak (biar) dia tidur di luar!" Ayah pernah memberitahu ibu. Tetapi ayah tidak tahu yang sekiranya saya menolak daun pintu sekuat hati, saya dapat menyelit masuk melalui renggang daun pintu tersebut. Kerana itulah saya galak sangat keluar masuk. Merdeka! Tetapi, kebebasan saya tidak lama. Ayah mendapat tahu pintu rahsia saya. Suatu malam, dia menahan daun pintu daripada dalam dengan sebuah meja berat. Tak larat saya menolak.

"Takkanlah hari Merdeka pun tak boleh keluar. Kalau gitu, baik tak usah Merdeka." Saya merayu kepada ayah.

"Aha! Merdeka. Merdeka. Tetapi belajar corot. Orang Merdeka, patutnya belajar rajin-rajin, dia tidak! Asyik bermain, berjalan. Buku tidak dikajinya." Mujur ayah tidak begitu bengkeng malam itu. Baik betul nasib saya. Esoknya saya buat lagi.

Tetapi hari ini saya faham benar akan kata-kata ayah. Kemerdekaan baginya bekerja keras. Bebas daripada penjajah tidak bermakna lepas daripada kemalasan sendiri, satu belenggu yang boleh meracuni kemerdekaan kita.

"Kemerdekaan tanpa kemajuan adalah seperti berjalan hala ke belakang," kata seorang guru saya.

Namun begitu, kita amat bertuah kerana mendapat kemerdekaan tanpa tumpah darah. Dan kerana itu, Hari Kemerdekaan bagi saya ialah satu gambaran di mana Bapak Malaysia Tunku, sedang mengangkat tangan sambil melaungkan kemerdekaan kita di hadapan ribuan saksi. Itulah detik permulaan kita bebas, bebas dari tekanan kuasa luar.

Dua puluh enam tahun kita merdeka. Dan setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, perasaan cintakan tanah air akan datang meluap-luap. Tetapi sedarkah kita, yang setiap hari adalah hari kemerdekaan kita. Merdeka daripada British atau Sepanyol atau Belanda atau Jepun atau apa saja. Bayangkan kehidupan di bawah telunjuk mereka.

Kini, bayangkan betapa indahnya kemerdekaan! Kemerdekaan negara kepunyaan kita bersama!

"Inilah tanahku, tanah pusaka, tanah ayah bunda, milik bersaudara. Ku jaga, ku lindungi dari bencana. Suci, subur, indah, Ini tanah kita, milik bersaudara, Ini tanah pusaka, ini tanah kita." - (tanah ini, tanahku) Sudirman - "Lagu Anak Desa"

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 29-30.
Oleh: Sudirman Haji Arshad

Laungan keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka!



Saturday, July 28, 2012

Chow Kit Bagai Lautan Manusia Kerana Sudirman

Sebahagian daripada ribuan penonton yang membanjiri Jalan Chow Kit bagi
menyaksikan Konsert Gergasi Penghibur Nasional Sudirman Haji Arshad. 

Sudirman Haji Arshad yang sudah mendapat jolokan "Penghibur Negara" memang suka buat sesuatu yang ganjil dan idea terbarunya yang hangat diperkatakan dalam sejarah hiburan tanah air ialah berjaya mengadakan konsert percuma terbesar di pentas atas Jalan Raya Tuanku Abdul Rahman, berdekatan Chow Kit Road pada jam 9.45 malam, Isnin, 14 April 1986 lalu.

Lebih 50,000 (dianggarkan 100,000) penonton berbilang kaum membanjiri konsert 'non-stop' lebih 2 setengah jam itu dan apa yang istimewanya pula malam tersebut ialah tidak hujan, sedangkan sekarang musim hujan apabila senja mulai berlabuh di Kuala Lumpur.

Antara lagu-lagu yang menghiasi persembahan Sudirman ialah Chow Kit Road sebagai sempena tempat pertunjukkan, Anak Dagang, Punch Card, Hujan, Jauh Di Sudut Hati, Kesian Dia, Pulang Dari Kilang, Apa Khabar Orang Kampung, Orang Muda, Aku Penganggur, Terasing, Basikal Tua, Anak Gembala, Kenali Malaysia, Cintai Malaysia (To Know Malaysia Is To Love Malaysia), Ayah dan Ibu, Staying Alive, We Built This City, We're Gonna Take It Anymore, Memories, When The Smoke Is Going Down, lagu Kantonis "Fantasy", lagu Tamil "Kattavandi", lagu Hindi "Horey-Horey" diakhiri lagu patriotik Abadi dan Tegakkan Bendera Kita sambil mengajak penonton melaungkan MERDEKA!!! berulang kali.

Demikian, Sudirman penghibur intelek itu bukan saja lagu "jiwa-jiwa" sebaliknya turut memupuk nilai perpaduan kaum serta cintakan tanah air menerusi bidang seni. 

"Tanpa negara, siapalah kita...." ucap Sudirman penuh erti. 

Oleh: Nazeri Nong Samah
Sumber: Wiraaz Collezzione

"Tolong lap sini!" Sudirman meminta Hasnah Abdullah, wanita 
Inggeris Islam ketika bermesra dengan penonton di pentas.

Sudirman bersama seorang penarinya ketika menyampaikan
lagu Hindi.

"Ambil ini hadiah gambar Abang Sudir, nanti tampal
di kedai mak ya," kata Sudir kepada gadis kecil
dari Chow Kit Road yang menghadiahkan bunga
kepadanya di pentas.

Sudir menari bersama peminatnya Azman (kanan).

Gadis ini sedang diusung oleh Anggota FRU kerana pengsan
akibat berasak-asak dalam ribuan manusia sewaktu menyaksikan
konsert Sudirman.


Tuesday, July 24, 2012

Habsah Hassan: Tertewas Jua Dia Dalam Kesetiaannya

Istana Negara 1988... potret terakhir penulis (tiga dari kiri), bersama 
Sudirman pada hari Allahyarham dianugerahkan pingat AMN.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pada 1976, aku langsung tidak mengikuti perkembangan pertandingan Bintang RTM. Aku tidak kenal dia, bagaimana kehebatan persembahan dan bakatnya. Aku hanya tahu dia berjaya menyandang gelaran Juara melalui berita di akhbar.

Beberapa bulan selepas pertandingan itu, Din Osman (orang yang pertama memberi peluang untukku menulis lirik) memberitahu cadangannya menerbitkan album penyanyi ini, lalu kami diperkenalkan. Itulah kali pertama aku berhadapan dengannya dan Kay, kekasihnya. Pertemuan pertama itu membawa kepada pertemuan-pertemuan berikutnya.

Aku masih ingat bagaimana dia datang ke rumahku di Lucky Garden membawa motosikal dengan Kay membonceng di belakang. Terlintas pertanyaan di fikiranku: Orangnya kecil saja, bagaimana gadis secantik Kay boleh terpikat kepadanya?

Tapi, sesudah lama berkenalan ternyata sungguh banyak keistimewaan yang ada pada insan kerdil, Sudirman Hj. Arshad ini.

Pemerhatianku terhadap mereka berdua turut mengilhamkan lirik Teriring Doa dan Suratku Yang Ini. Di album EP sulungnya terbitan Din Osman itu turut dirakamkan semula Seruling Bambu dan Jali-Jali, lagu yang membawa kejayaan kepadanya.

Keakraban persahabatan kami tidak bermula daripada album sulung itu, tetapi bercambah selepas aku menghasilkan lirik Terasing untuknya.

Dia tidak pernah menceritakan apa-apa mengenai dirinya sebelum Terasing. Hanya setelah Terasing, kami menjadi semakin rapat.

Hari berganti minggu, bertukar bulan, beralih ke tahun, segala isi hati, suka-duka, pengalaman pahit-manisnya, habis dicurahkan kepadaku. Kadang-kadang kami menangis bersama, kasihan adikku yang ini...

Tetapi entah mengapa, sejak dua tahun kebelakangan, aku merasakan keakraban kami tidak seperti dulu lagi. Dulu dia menelefon aku tidak mengira waktu pagi, petang, siang dan malam. Aku bebas menelefonnya sebagaimana dia bebas menelefonku di rumah, di pejabat atau di mana saja. Ada-ada saja yang nak dilaporkannya kepadaku. Setiap kali dia ada show, Nathan, satu-satunya pembantu Sudir yang setia akan datang menemuiku, membawakan draf skripnya. Aku seperti selalu, semacam menjadi tanggungjawab menokok tambah atau membuat apa-apa perubahan atau cadangan, sesuai dengan audien di majlis persembahan itu. Sejam, dua kemudian, Nathan akan datang semula membawa draf skrip itu. Kalau adikku buntu, dia sendiri akan menelefonku dari hotel, tempat majlis diadakan, satu atau setengah jam sebelum show bermula.

Dia suka bertanya, suka meminta pendapat walaupun dia penuh dengan idea-idea tersendiri yang menarik dan mengejutkan. Dia menghargai setiap orang, tidak mengira siapa dan di mana.

Tetapi sejak akhir-akhir ini aku sukar menghubunginya, macam ada tembok yang memisahkan kami.

Sesudah sekian lama tidak berhubung, tiba-tiba sebulan sebelum dia dimasukkan ke Hospital Tawakkal, setiausahanya, Rohaiza, menghubungiku. Katanya Sudir meminta aku membuatkan budget untuk filem dan berharap aku dapat menyampaikan kepadanya pada keesokan hari. Aku melenting marah, aku rasakan macam diri ini diambil kesempatan, dihubungi hanya apabila diperlukan. Aku memberitahu Rohaiza supaya memaklumkan kepadanya bahawa aku sangat berjauh hati dengan sikapnya sejak akhir-akhir ini. Aku juga menyatakan, aku bukan mesin yang mampu menyediakan budget yang dikehendaki dalam masa yang singkat, tanpa apa-apa data yang boleh ku jadikan panduan.

Seminggu dua kemudian, seorang lagi pekerjanya menelefonku mengajak berbincang membuat Road Show untuknya. Kedua-dua permintaan itu tidak sempat ku layani. Detik ini aku berasa amat kesal sekali dengan kekerasan hatiku itu.

Sepanjang mengenalinya, jarang sekali aku mendengar dia mengata teman seperjuangannya. Sebaliknya telinga ini bagaikan tebal dengan umpat keji, fitnah dan tohmahan orang terhadapnya. Sudir 'tahu' apa yang diperkatakan oleh kebanyakan orang termasuk sahabat-sahabatnya mengenai dirinya.

Disebabkan tidak tahan dengan umpatan yang amat tidak menyenangkan aku, pernah aku berterus-terang kepadanya. Aku tidak peduli, kataku, Sudir nak marah-marahlah, nak benci-bencilah. Tetapi dia tidak marah, apatah lagi membenciku, dia tenang...

Jawabnya: Kak Chah, siapa yang lebih tahu diri saya, selain dari saya dan Tuhan?

Sungguh benar katanya itu. Manusia bebas membuat tafsiran, membuat pelbagai andaian dan tuduhan. Sayangnya, kebebasan itu lebih mendorong mereka memikirkan hanya perkara yang buruk-buruk saja mengenai seseorang. Setiap yang bercerita akan beriya-iya, bermati-matian meyakinkan orang yang mendengar, biarpun dia pada asalnya juga hanya seorang pendengar.

Apa yang amat ku kesali sewaktu dia terlantar sakit dalam keadaan tidak bermaya, bukan doa yang dihimpunkan sebaliknya cerita yang tidak menyenangkan disebarkan ke seluruh pelusuk tanah air.

Lebih menyedihkan, penyebar itu adalah di antara orang yang pernah bergantung hidup dengannya.

Banyak sungguh kenanganku bersamanya tetapi kebanyakannya adalah luahan rasa seorang teman yang resah dan masih sukar menerima kenyataan bahawa dia telah benar-benar kehilangan orang-orang yang dikasihinya.

Dia tidak pernah berhenti mengharap akan berlaku miracle ke atas dirinya.

Umum melihat dia begitu gembira dan cergas di pentas. Semua orang mengkaguminya. Dia contoh yang terbaik kepada adik-adik yang bergiat dalam seni, dia amat komited terhadap apa saja yang dilakukannya. Dia bekerja tidak mengira masa, tidak mempedulikan makan, minum, tidak menghiraukan kesihatan. Setiap sesuatu yang hendak dibuat, hasilnya mestilah yang terbaik, itulah Sudirman.

Memang wajarlah dia merangkul kejayaan demi kejayaan dalam kerjayanya sehingga dia bergelar Penghibur Nombor Satu Asia.

Tetapi di sebalik semuanya itu, Sudirman yang kukenali adalah seorang yang sepi dalam keriuhan, seorang yang dahagakan kasih sayang dalam limpahan sanjungan, seorang yang amat setia tetapi tewas dalam kesetiaannya.

Petikan: Sudirman Yang Kukenali... Sabtu, 7 Mac 1992.
Oleh: Habsah Hassan