Tuesday, July 24, 2012

Habsah Hassan: Tertewas Jua Dia Dalam Kesetiaannya

Istana Negara 1988... potret terakhir penulis (tiga dari kiri), bersama 
Sudirman pada hari Allahyarham dianugerahkan pingat AMN.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pada 1976, aku langsung tidak mengikuti perkembangan pertandingan Bintang RTM. Aku tidak kenal dia, bagaimana kehebatan persembahan dan bakatnya. Aku hanya tahu dia berjaya menyandang gelaran Juara melalui berita di akhbar.

Beberapa bulan selepas pertandingan itu, Din Osman (orang yang pertama memberi peluang untukku menulis lirik) memberitahu cadangannya menerbitkan album penyanyi ini, lalu kami diperkenalkan. Itulah kali pertama aku berhadapan dengannya dan Kay, kekasihnya. Pertemuan pertama itu membawa kepada pertemuan-pertemuan berikutnya.

Aku masih ingat bagaimana dia datang ke rumahku di Lucky Garden membawa motosikal dengan Kay membonceng di belakang. Terlintas pertanyaan di fikiranku: Orangnya kecil saja, bagaimana gadis secantik Kay boleh terpikat kepadanya?

Tapi, sesudah lama berkenalan ternyata sungguh banyak keistimewaan yang ada pada insan kerdil, Sudirman Hj. Arshad ini.

Pemerhatianku terhadap mereka berdua turut mengilhamkan lirik Teriring Doa dan Suratku Yang Ini. Di album EP sulungnya terbitan Din Osman itu turut dirakamkan semula Seruling Bambu dan Jali-Jali, lagu yang membawa kejayaan kepadanya.

Keakraban persahabatan kami tidak bermula daripada album sulung itu, tetapi bercambah selepas aku menghasilkan lirik Terasing untuknya.

Dia tidak pernah menceritakan apa-apa mengenai dirinya sebelum Terasing. Hanya setelah Terasing, kami menjadi semakin rapat.

Hari berganti minggu, bertukar bulan, beralih ke tahun, segala isi hati, suka-duka, pengalaman pahit-manisnya, habis dicurahkan kepadaku. Kadang-kadang kami menangis bersama, kasihan adikku yang ini...

Tetapi entah mengapa, sejak dua tahun kebelakangan, aku merasakan keakraban kami tidak seperti dulu lagi. Dulu dia menelefon aku tidak mengira waktu pagi, petang, siang dan malam. Aku bebas menelefonnya sebagaimana dia bebas menelefonku di rumah, di pejabat atau di mana saja. Ada-ada saja yang nak dilaporkannya kepadaku. Setiap kali dia ada show, Nathan, satu-satunya pembantu Sudir yang setia akan datang menemuiku, membawakan draf skripnya. Aku seperti selalu, semacam menjadi tanggungjawab menokok tambah atau membuat apa-apa perubahan atau cadangan, sesuai dengan audien di majlis persembahan itu. Sejam, dua kemudian, Nathan akan datang semula membawa draf skrip itu. Kalau adikku buntu, dia sendiri akan menelefonku dari hotel, tempat majlis diadakan, satu atau setengah jam sebelum show bermula.

Dia suka bertanya, suka meminta pendapat walaupun dia penuh dengan idea-idea tersendiri yang menarik dan mengejutkan. Dia menghargai setiap orang, tidak mengira siapa dan di mana.

Tetapi sejak akhir-akhir ini aku sukar menghubunginya, macam ada tembok yang memisahkan kami.

Sesudah sekian lama tidak berhubung, tiba-tiba sebulan sebelum dia dimasukkan ke Hospital Tawakkal, setiausahanya, Rohaiza, menghubungiku. Katanya Sudir meminta aku membuatkan budget untuk filem dan berharap aku dapat menyampaikan kepadanya pada keesokan hari. Aku melenting marah, aku rasakan macam diri ini diambil kesempatan, dihubungi hanya apabila diperlukan. Aku memberitahu Rohaiza supaya memaklumkan kepadanya bahawa aku sangat berjauh hati dengan sikapnya sejak akhir-akhir ini. Aku juga menyatakan, aku bukan mesin yang mampu menyediakan budget yang dikehendaki dalam masa yang singkat, tanpa apa-apa data yang boleh ku jadikan panduan.

Seminggu dua kemudian, seorang lagi pekerjanya menelefonku mengajak berbincang membuat Road Show untuknya. Kedua-dua permintaan itu tidak sempat ku layani. Detik ini aku berasa amat kesal sekali dengan kekerasan hatiku itu.

Sepanjang mengenalinya, jarang sekali aku mendengar dia mengata teman seperjuangannya. Sebaliknya telinga ini bagaikan tebal dengan umpat keji, fitnah dan tohmahan orang terhadapnya. Sudir 'tahu' apa yang diperkatakan oleh kebanyakan orang termasuk sahabat-sahabatnya mengenai dirinya.

Disebabkan tidak tahan dengan umpatan yang amat tidak menyenangkan aku, pernah aku berterus-terang kepadanya. Aku tidak peduli, kataku, Sudir nak marah-marahlah, nak benci-bencilah. Tetapi dia tidak marah, apatah lagi membenciku, dia tenang...

Jawabnya: Kak Chah, siapa yang lebih tahu diri saya, selain dari saya dan Tuhan?

Sungguh benar katanya itu. Manusia bebas membuat tafsiran, membuat pelbagai andaian dan tuduhan. Sayangnya, kebebasan itu lebih mendorong mereka memikirkan hanya perkara yang buruk-buruk saja mengenai seseorang. Setiap yang bercerita akan beriya-iya, bermati-matian meyakinkan orang yang mendengar, biarpun dia pada asalnya juga hanya seorang pendengar.

Apa yang amat ku kesali sewaktu dia terlantar sakit dalam keadaan tidak bermaya, bukan doa yang dihimpunkan sebaliknya cerita yang tidak menyenangkan disebarkan ke seluruh pelusuk tanah air.

Lebih menyedihkan, penyebar itu adalah di antara orang yang pernah bergantung hidup dengannya.

Banyak sungguh kenanganku bersamanya tetapi kebanyakannya adalah luahan rasa seorang teman yang resah dan masih sukar menerima kenyataan bahawa dia telah benar-benar kehilangan orang-orang yang dikasihinya.

Dia tidak pernah berhenti mengharap akan berlaku miracle ke atas dirinya.

Umum melihat dia begitu gembira dan cergas di pentas. Semua orang mengkaguminya. Dia contoh yang terbaik kepada adik-adik yang bergiat dalam seni, dia amat komited terhadap apa saja yang dilakukannya. Dia bekerja tidak mengira masa, tidak mempedulikan makan, minum, tidak menghiraukan kesihatan. Setiap sesuatu yang hendak dibuat, hasilnya mestilah yang terbaik, itulah Sudirman.

Memang wajarlah dia merangkul kejayaan demi kejayaan dalam kerjayanya sehingga dia bergelar Penghibur Nombor Satu Asia.

Tetapi di sebalik semuanya itu, Sudirman yang kukenali adalah seorang yang sepi dalam keriuhan, seorang yang dahagakan kasih sayang dalam limpahan sanjungan, seorang yang amat setia tetapi tewas dalam kesetiaannya.

Petikan: Sudirman Yang Kukenali... Sabtu, 7 Mac 1992.
Oleh: Habsah Hassan


1 comment:

Hoh Li Chin said...

"Kak Chah, siapa yang lebih tahu diri saya, selain dari saya dan Tuhan?"

Memang benar apa yang dikatakan oleh Allahyarham Sudirman Hj. Arshad. Tetapi malangnya, kebanyakan orang dalam kalangan kita lupa akan hakikat yang asas ini. Banyak orang yang lebih suka membuat andaian yang tidak berasas tanpa bukti yang kukuh dan seterusnya menghakimi insan-insan lain yang berniat murni seperti Allahyarham Sudirman. Lebih menyedihkan adalah ada segelintir yang tergamak menyebarkan cerita-cerita sedemikian kepada kenalan-kenalan mereka, dan seterusnya mencemarkan nama baik individu tersebut.

Hanya Tuhan dan kita sahaja yang benar-benar mengenali empunya diri ini.