Monday, July 16, 2012

Harapan Sudirman Tidak Tercapai


Sudirman tidak sempat mencipta nama di Indonesia
dan memasarkan minuman SUDI di sana.

Hampir setiap ibu kota dan kota di Indonesia mengabadikan Sudirman sebagai salah satu nama jalan. Dan biasanya jalan Sudirman merupakan antara jalan utama di kota atau ibu kota tersebut. Contohnya Jalan Sudirman di Jakarta merupakan salah satu dari jalan protokol atau jalan utama.

Bagaimanapun Sudirman yang dimaksudkan adalah salah seorang pahlawan Indonesia, bukan ditujukan kepada penghibur Sudirman Haji Arshad.

Walaupun penghibur Sudirman Haji Arshad sudah tidak lagi perlu diperkenalkan di Malaysia, malah turut dikenali di sejumlah negara lain terutama setelah memperoleh gelaran "Penghibur Terbaik Asia '89". Di Indonesia nama dan populariti Sudirman hampir tidak diketahui oleh masyarakat Indonesia.

Di kalangan artis Indonesia juga begitu sedikit yang mengetahui kehebatan Sudirman. Cuma segelintir masyarakat Indonesia yang berpeluang menonton siaran TV RTM dan TV3 melalui alat penerimaan satelit (Parabola) yang sedikit mengetahui dan pernah menyaksikan kelincahan Sudirman di kaca TV.

Dari sekian banyak akhbar di Indonesia, hanya sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang menyiarkan berita kematian Sudirman itu pun terlewat dua hari. Sedangkan beberapa agensi berita asing mengirimkan berita kematian Sudirman dari Kuala Lumpur dengan mencatatkannya sebagai Penghibur Nombor Satu Asia dan penghibur terkenal di Malaysia.

Masyarakat Indonesia terutama peminat seni lebih mengenali nama-nama seperti Sheila Majid, Amy (Search), Awie (Wings) dan Saleem (Iklim) berbanding Sudirman.

Perkara ini wajar kerana penyanyi / kumpulan yang disebutkan tadi sudah memasarkan album atau mendapat publisiti di Indonesia.

Sheila Majid, Amy Search, Awie Wings & Saleem Iklim lebih
dikenali di Indonesia berbanding Sudirman Haji Arshad.

Ini berbeza dengan Sudirman. Walaupun cukup dikenali di Malaysia, Singapura dan Brunei tetapi album-albumnya tidak dipasarkan di Indonesia. Sudirman juga seingat saya belum pernah muncul dalam rancangan penerbitan bersama RTM / TVRI Senada Seirama.

Sudirman sendiri dapat merasakan dirinya tidak dikenali di Indonesia dan tidak berkecil hati dengan kenyataan itu.

Sekitar bulan Ogos 1990, Sudirman bersama pengurusnya ketika itu Dharanee datang ke Jakarta untuk menyampaikan satu ceramah berkaitan dengan perniagaan di sebuah hotel berbintang empat.

Dalam kesempatan itu Sudirman mengambil peluang untuk meninjau suasana sekitar Jakarta dan masyarakatnya, terutama masyarakat bawahan. Lalu beliau bersendirian menaiki beberapa jenis kenderaan awam termasuk mikrolite (van angkutan umum) dan skuter beroda tiga.

Dalam kesempatan bercampur dengan masyarakat biasa dengan menaiki kenderaan awam itu, Sudirman menanyakan apakah mereka mengenali Sudirman, penyanyi Malaysia yang paling popular dan Penyanyi Nombor Satu  Asia '89?

Jawapan mereka antara lain ialah, "Saya tahu itu Jeneral Sudirman, Pahlawan Indonesia. Kalau penyanyi Malaysia itu Sheila Majid, Amy Search, Saleem Iklim, Awie Wings saya kenal. Tapi penyanyi Sudirman saya tak tau."

Sudirman tidak berkecil hati, sebaliknya tersenyum.

Jeneral Sudirman, Pahlawan Indonesia

"Mas tahu enggak, sayalah Penghibur Nombor Satu Asia, Sudirman Haji Arshad," kata Sudirman kepada pemandu skuter yang ternganga mulutnya lalu turun dari kenderaan roda tiga itu dengan menghulurkan sejumlah wang yang "terlalu besar" dari tambang sebenarnya.

Begitulah cerita Sudirman kepada saya ketika kami bertemu di Jakarta pada waktu itu.

Dalam perbualan kami, Sudirman melahirkan hasratnya untuk mencipta nama di Indonesia. Walaupun dia tahu pencapaiannya sudah ke taraf Asia dan sudah merancang membuat album Inggeris bagi mengejar pasaran dunia, Sudirman masih tetap menyimpan cita-cita untuk mencipta nama di Indonesia sebagai negara serumpun.

"Bagaimanapun saya akan memastikan kehadiran saya di Indonesia nanti benar-benar akan membuat masyarakat Indonesia "tabik" kepada penghibur Malaysia," kata Sudirman penuh semangat ketika beliau, Dharanee, saya dan isteri saya makan malam di hotel tempat penginapannya.

Jalan Sudirman di Indonesia

"Saya mahu suatu hari nanti Jalan Sudirman di Jakarta dan kota-kota lain di Indonesia bukan dimaksudkan kepada Jeneral Sudirman, tetapi dimaksudkan untuk penghibur Sudirman Haji Arshad," tambah Sudirman penuh semangat.

"Biarlah sekarang ini teman-teman artis yang lain mencipta nama di Indonesia. Ia satu langkah yang baik bagi membuktikan para artis Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan Indonesia. Malah ada yang lebih hebat.

"Tunggulah nanti waktunya, saya akan membuat kejutan di Indonesia yang selama ini kurang yakin dengan kebolehan artis Malaysia "tabik" dengan kehadiran saya," tambah Sudirman yang memang menyimpan segudang cita-cita dan harapan baik di bidang seni mahupun perniagaan.

Pada ketika yang sama Sudirman juga bercadang untuk memasarkan minuman SUDI ke Indonesia disertai dengan langkah seterusnya untuk memasarkan beberapa barangan jenama SUDI sejajar dengan kehadirannya sebagai penghibur di Indonesia nanti.

Tetapi ternyata impiannya tidak menjadi kenyataan. Pertemuan itu merupakan yang terakhir diantara saya dan beliau. Pertemuan selama tiga hari dengannya berjalan mesra. Ada beberapa kisah dirinya yang mungkin tidak pernah diceritakan kepada orang lain akan saya simpan sebagai kenangan bukan untuk dihebahkan.

Kami juga bersepakat tidak pernah bermusuhan seperti yang dianggap oleh beberapa pihak sebelum ini. Cuma jika ada hanya salah pengertian. Malah saya dan Sudir sendiri tahu siapa yang menjadi "batu api" yang sengaja cuba melaga-lagakan kami. Hanya kami berdua yang tahu siapa yang terlibat tapi kami tetap seperti biasa dengan orang-orang yang terlibat itu, seolah-olah kami tidak mengetahuinya.

Petikan: Akhbar Utusan Malaysia (Seni dan Hiburan) bertarikh 5 Mac 1992
Oleh: Fauzan Uda Ahmad (Wakil Utusan di Jakarta)

1 comment:

Unknown said...

Sedih biler bc article psl ni. Tp semangatnyer mmg x pernah pudar walaupun dihujung nyawa. terima kasih atas article ni :D