Tuesday, July 31, 2012

Merdeka! Merdeka! Merdeka Kita!


Pada suatu petang dalam tahun 1974. Saya dan Rajoo menyaksikan satu perlawanan hoki di antara Malaysia dan India. Rajoo adalah kawan baik saya ketika itu malahan pada waktu itu kami tiada kenalan lain. Tetapi sebaik sahaja perlawanan selesai, kami membawa diri masing-masing. Persahabatan kami berakhir di situ. Atas kemahuan bersama.

Pada suatu petang dalam tahun ini, saya telah menyaksikan satu perlawanan hoki di antara Malaysia dan India. Di situ saya ternampak Rajoo. Mata kami bertentangan. Dan serentak dengan itu, kami mengerti bahawa perselisihan di antara kami telah lama berkubur. "Kamu sokong pasukan mana Sudir?" Rajoo sengaja mengajukan pertanyaan itu kepada saya. Serentak, kami ketawa. Perbualan kami semakin rancak, serancak permainan yang sedang berlangsung.

Rajoo hari ini berbeza daripada Rajoo yang saya kenal dulu. Kini semangat kenegaraannya begitu ketara sekali. Dia tidak lagi memberi sokongan kepada pasukan India seperti yang dilakukannya dulu sehingga kami memutuskan persahabatan kami kerana saya tidak dapat menerima pendiriannya. Malam itu kami meraikan kemenangan kami bersama. Kami amat gembira kerana persahabatan kami terjalin semula. Dan lebih daripada itu, kami berasa bangga kerana kami berdua mempunyai negara yang satu. Tidak berkiblat ke mana-mana lagi.

Saya mempunyai ramai lagi rakan-rakan seperti Rajoo. Dan saya percaya semangat kenegaraan ini kian menular di kalangan masyarakat kita, tanpa mengira bangsa dan agama.

Pada lewat malam 2 Oktober 1981, saya tiba di kota London yang sunyi sepi ketika kota yang gagah itu. Di satu penjuru yang berdekatan, saya ternampak seorang wanita tua terkontang-kanting mengheret lima beg besar. Saya menghampirinya. Malam itu, tidak kurang daripada dua kali saya turun naik tangga yang bertingkat-tingkat, memunggah lima beg yang seberat anak gajah. Sambil turun naik keretapi bawah tanah dan turun naik teksi, untuk ke hotel penginapannya, kami berbual panjang.


"Anak dari mana?" Suaranya parau. Macam suara nenek saya. "Malaysia," kata saya dan serentak itu, bulu roma saya tegak berdiri. Sekilas petir saya teringat tanah air. Tanah air saya! Saya mempunyai negara! Di tengah-tengah kota yang megah dan sombong ini, saya hilang ditenggelami malam. Namun saya masih berpunya, anak Malaysia!

Bukannya selama ini saya tidak menyedari yang saya bertanah air, tetapi suasana pada malam itu meniupkan satu kesedaran yang amat mendalam ke dalam sanubari saya bahawa saya, seorang musafir ketika itu, masih mempunyai negara!

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, laungan ini seumpama satu laungan sakti yang membangkitkan perasaan patriotik di kalangan kita semua. Ia suatu syarat yang mengafdalkan setiap perayaan merdeka di seluruh negara. Dan saya percaya yang tiupan semangat ini akan terus berkekalan sehingga ke zaman cucu-cicit kita dan seterusnya.

Semasa saya kecil, perayaan 31 Ogos secara tidak langsung, banyak mengenalkan saya kepada tanah air. Di lebuhraya, akan kelihatan bendera-bendera Malaysia berkibar megah. Padang awam akan dihias indah. Seolah ditutup, Pawagam menayangkan tayangan gambar percuma (hingga masam panggung). Ayah pula, selain dari memasang bendera, akan sibuk menggantung kertas dan lampu warna-warni di merata siling rumah.

Pada sebelah pagi, beribu-ribu penduduk di sekitar kawasan Temerloh akan membanjiri padang besar. Perarakan berlangsung dengan meriah sekali. Saya adalah di antara murid-murid sekolah rendah yang bersusun rapi macam semut sepanjang jalan raya, mengibar bendera Malaysia berukuran kecil, mengalu-ngalukan kedatangan menteri. Tetapi saya tak pernah dapat tengok wajahnya. Cuma tangannya sahaja yang melambai-lambai di tepi tingkap. Dan saya rasa sungguh berjasa.

Pada sebelah malamnya, selepas Isyak, berhadapan tapak masjid, akan berlangsunglah pertandingan syarahan, bahas, kuiz, nyanyian, kugiran dan drama. Pertandingan ratu fesyen pun ada. Saban malam saya turut berpesta. Walaupun dilarang keras oleh ayah. Saya tidak boleh tidak, mesti pergi. Saya sudah berjanji dengan kawan-kawan untuk bermain kejar-mengejar di celah-celah orang ramai.

Ayah akan mengunci pintu besar rumah kedai kami sekiranya saya pulang melewati jam sebelas malam. "Lantak (biar) dia tidur di luar!" Ayah pernah memberitahu ibu. Tetapi ayah tidak tahu yang sekiranya saya menolak daun pintu sekuat hati, saya dapat menyelit masuk melalui renggang daun pintu tersebut. Kerana itulah saya galak sangat keluar masuk. Merdeka! Tetapi, kebebasan saya tidak lama. Ayah mendapat tahu pintu rahsia saya. Suatu malam, dia menahan daun pintu daripada dalam dengan sebuah meja berat. Tak larat saya menolak.

"Takkanlah hari Merdeka pun tak boleh keluar. Kalau gitu, baik tak usah Merdeka." Saya merayu kepada ayah.

"Aha! Merdeka. Merdeka. Tetapi belajar corot. Orang Merdeka, patutnya belajar rajin-rajin, dia tidak! Asyik bermain, berjalan. Buku tidak dikajinya." Mujur ayah tidak begitu bengkeng malam itu. Baik betul nasib saya. Esoknya saya buat lagi.

Tetapi hari ini saya faham benar akan kata-kata ayah. Kemerdekaan baginya bekerja keras. Bebas daripada penjajah tidak bermakna lepas daripada kemalasan sendiri, satu belenggu yang boleh meracuni kemerdekaan kita.

"Kemerdekaan tanpa kemajuan adalah seperti berjalan hala ke belakang," kata seorang guru saya.

Namun begitu, kita amat bertuah kerana mendapat kemerdekaan tanpa tumpah darah. Dan kerana itu, Hari Kemerdekaan bagi saya ialah satu gambaran di mana Bapak Malaysia Tunku, sedang mengangkat tangan sambil melaungkan kemerdekaan kita di hadapan ribuan saksi. Itulah detik permulaan kita bebas, bebas dari tekanan kuasa luar.

Dua puluh enam tahun kita merdeka. Dan setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, perasaan cintakan tanah air akan datang meluap-luap. Tetapi sedarkah kita, yang setiap hari adalah hari kemerdekaan kita. Merdeka daripada British atau Sepanyol atau Belanda atau Jepun atau apa saja. Bayangkan kehidupan di bawah telunjuk mereka.

Kini, bayangkan betapa indahnya kemerdekaan! Kemerdekaan negara kepunyaan kita bersama!

"Inilah tanahku, tanah pusaka, tanah ayah bunda, milik bersaudara. Ku jaga, ku lindungi dari bencana. Suci, subur, indah, Ini tanah kita, milik bersaudara, Ini tanah pusaka, ini tanah kita." - (tanah ini, tanahku) Sudirman - "Lagu Anak Desa"

Petikan: Dari Dalam Sudirman, muka 29-30.
Oleh: Sudirman Haji Arshad

Laungan keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka!



No comments: