DAN pada setiap kali saya menziarahinya, pasti saya tidak boleh tidur nyenyak kerana asyik terbayang-bayangkan keadaan dirinya yang terlentang lemah tidak berdaya. Makan disuapkan, mandi pun dimandikan, dilapkan, pakai baju pun dipakaikan dan rambut pun disikatkan. Kesian Sudir...
Bayangkan... Sudirman seorang yang kuat bekerja dan sudah biasa tak tidur sampai pagi, kerana suka menulis apa saja, menulis skrip untuk shownya, mengarang artikel untuk siaran akhbar, melukis kartun dan mengatur perancangan bisnesnya yang sedang rancak pada ketika itu. Minuman SUDI cukup laris di merata negeri, Sudir Shoppe lagi dan terbaru Restoran Selera Sudi.
Jadi apabila saya melihatnya lemah terlentang sakit di katilnya, hati terasa begitu insaf, menyedari betapa besarnya kuasa Allah. Segalanya boleh berubah dalam sekelip mata sahaja. Tidak mustahil yang segar bugar tiba-tiba jadi lemah longlai.
Bayangkan... Sudir yang kuat bekerja itu tiba-tiba terlentang di tempat pembaringannya, seolah-olah Tuhan mahukan dia berehat, kerana dia tidak kenal siang dan malam apabila menghadapi kerja-kerjanya.
Sudir ketika terlantar sakit di Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur.
Menghitung tarikh yang tercatat di dalam diari, kiranya sudah 15 kali saya berulang-alik melepaskan kerinduan terhadap Sudir yang dikasihi, bermula 8 September dan terhenti pada 14 November. Saya pun tidak tahu mengapa terhenti menziarahinya, cuma hati saya semacam merajuk, bagaikan tak sanggup melihat keadaannya begitu... kesian sangat.
Kini saya terasa, semuanya digerakkan oleh Allah jua. Kerana saya yakin seseorang yang kita sayangi, semacam kita tidak mahu berjumpanya lagi, bila kita terasa kita akan kehilangannya.
Tapi saya tidak pula menjangka bahawa Sudir akan pergi menemui Allah, bahkan saya penuh yakin dia akan sembuh, kerana ramai yang meramal Sudir panjang umur.
Seperti juga Rudiah yang amat menyayangi Deman adiknya, di hari kematian adik kesayangannya itu dia bertanya saya; "Awak dah menatap Deman puas-puas di hari terakhir ini, nanti rindu..."
"Dah! Saya tatap wajahnya puas-puas," jawab saya tersedu-sedan. "Awak dah tengok dia," tanya saya pula.
Rudiah menangis menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berkata: "Saya tak mahu tengok Deman mati! Saya tak mahu tengok Deman mati!" berulang kali meratap begitu sedih... kami berdua berpelukan tersedu-sedan.
Kenangan mengusik jiwa Datin Rudiah bersama adik kesayangannya
yang telah pergi buat selama-lamanya.
yang telah pergi buat selama-lamanya.
Dah ketentuan Allah! Sama-samalah kita redha pemergiannya ke 'alam Baqa' - Alam yang kekal abadi!
Barangkali ramai di kalangan kita-kita ini belum memahami bahawa penyakit yang singgah ataupun kita hadapi itu adalah merupakan "Rahmat Allah" kepada kita. Kerana dengan penyakit yang kita tanggung itu dengan penuh sabar, penuh yakin bahawa penyakit itu satu ujian Allah kepada kita, maka semua dosa-dosa kecil akan terhapus.
Begitu juga dengan penyakit yang dideritai oleh Sudirman selama berbulan-bulan, itu merupakan satu kifarah. Itu sebabnya, para ulama besar di zaman dahulu mereka memang mahu Allah timpakan penyakit ke atas mereka, kerana mereka tahu segala dosa-dosa yang ada pada diri mereka akan diampunkan Allah setelah menerima kifarah.
Semua insan dalam dunia ini mempunyai dosa, kecuali para Nabi dan Rasul yang terpelihara dari dosa. Allah S.W.T. Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Dengan ditimpanya penyakit kepada hamba-Nya yang penuh sabar, maka dihapuskannya segala dosa yang ditanggung oleh hamba-Nya itu. (Kecuali dosa-dosa besar dan dosa-dosa mensyirikkan Allah).
RENUNGAN:
Dalam satu Hadis Qudsi, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya aku tidak mengeluarkan seseorang dari dunia, sedangkan aku ingin merahmatinya, sehingga aku membalas kesalahan pernah diperbuatnya dengan menimpakan penyakit di tubuhnya, musibah pada keluarga dan anaknya, kesempitan dalam penghidupannya, dan kekurangan dalam rezekinya. Sehingga dosanya lebih kecil dari beberapa butir zarrah. Jika masih tersisa sedikit dosa padanya, maka aku pedihkan kematian atasnya sehingga dia dikembalikan kepada-Ku seperti saat dilahirkan ibunya."
Al-Fatihah untuk Allahyarham Sudir semoga rohnya dicucuri Rahmat dan
ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal Soleh.
ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal Soleh.
Petikan: URTV "abadi dalam kenangan" catatan, Bahyah Mahmood (BAM) terbitan 1-15 April 2012.
No comments:
Post a Comment