Pada bulan Ogos, tahun 1985, buat kali keduanya saya menjejakkan kaki di Kota New York. Kota Besar ini memang telah lama menjadi kota impian saya. Di Pulau Manhattan, bangunannya tinggi dan macam belukar rapatnya. Dari udara, kelihatan seperti gunung-ganang batu. Dan bangunan-bangunan inilah yang menjadi daya tarikan pertama saya terhadap Kota New York.
Saya suka melihat bangunan tinggi pelbagai bentuk ini. Pada kali pertama saya menjejaki di Kota New York, sengaja saya tidak mahu memanjat bangunan yang kedua tertinggi di New York, bangunan United Nation, kerana ketika itu, saya begitu pasti bahawa saya akan kembali ke Kota New York.
Dari hotel penginapan saya, bangunan kembar UN kelihatan bagai dua tiang raksasa. Letaknya di bucu pulau Manhattan. Dalam keadaan cuaca yang redup akan tertutuplah puncak bangunan tersebut dek awan, seolah-olah bangunan itu menceroboh masuk ke ruang udara meninjau langit yang tinggi. Tentu sekali pemandangan dari puncak bangunan itu hebat.
Sejurus setelah saya keluar dari sekolah Fine Arts yang saya hadiri, dengan deras sekali saya melangkah menuju ke bangunan itu. Saya masih ada 4 jam yang terluang untuk dilayan sebelum meneruskan kuliah saya. Dan menara berkembar itu seolah-olah melambai-lambai pada saya.
Sedikit pun tidak terasa keletihan meredah jalan yang berkilometer panjangnya. Bangunan di kiri-kanan jalan bagaikan hiburan dan manusia yang melintasi sana-sini bagaikan teman yang tidak perlu saya teguri. Jauh juga saya menghentak kaki, tetapi keghairahan di dada untuk berada di puncak menara menguasai segala-galanya.
Tiba-tiba, tangan saya ditarik ke kaki lima. Seorang perempuan tua Gipsi merenung saya dengan tajam.
"Anak ada masalah. Saya kasihan sekali melihat anak. Wajahmu mendung. Dahimu melukiskan seribu masalah dan di sekitar tubuh anak saya nampak kegusaran yang amat sangat." Ujar Gipsi itu laju bagaikan keretapi.
"Cuma dengan harga US$3.00 sahaja saya akan menerangkan segala-galanya kepada anak. "Wajahnya penuh simpati. Sebenarnya saya tidak ada pilihan lain tetapi menurut sahaja kehendaknya, kerana kejutan yang dilakukannya mematikan akal saya. Lagipun, saya berasa hairan melihat kesungguhan gelagatnya dan perasaan ingin tahu akan tindak-tanduknya yang seterusnya mula menebal dalam sanubari saya.
Bilik ramalannya sempit. Sebuah meja, dua buah kerusi yang bertentangan dan sebatang lilin.
"Anak dibuat orang. Percayalah cakap saya. Mungkin anak tak percaya. Tetapi tahukah anak, bahawa anak telah dianiaya orang?" Bertempias mulutnya berkata-kata. Mungkin dia bimbang kehilangan pelanggan.
"Dalam tubuh anak tertanam rambut anak, dimasuki orang melalui ilmu hitam. Pernahkah anak membenarkan seseorang mengisar-ngisarkan rambut anak? Rambut anak dicuri, kemudian ditanam ke dalam tanah di perkarangan rumah anak." Tambahnya lagi dengan nada serius dan cemas.
Sebiji telur ayam dibungkusnya di dalam sapu tangan dengan pantas, dan lantas dia menyapu-nyapu bungkusan telur itu ke seluruh belakang saya. Kemudian bungkusan itu ditempatkan di atas meja.
"Pukul!" Perintahnya. Saya memukul dengan kuat. Pasti berkecai telur itu, fikir saya.
"Lihat! Ada rambut di dalam telur ini. Saya keluarkan daripada tubuh anak. Sekarang percaya tak? Ludah! Ludah rambut itu, supaya hilang sialnya!" Herdik Gipsi tua itu lagi.
Pantang saya diperbodoh-bodohkan. "Saya tak percaya. Pertamanya itu bukan rambut saya. Rambut saya tidak sehalus itu. Kedua kalau rambut itu datangnya dari dalam telur, tentu rambut itu dibasahi oleh isi telur, tetapi rambut itu kering. Mesti puan menaruhnya ke dalam sapu tangan semasa menggiling bungkusan itu di belakang saya tadi."
Saya meletakkan US$3.00 di atas meja dan menghayun langkah keluar. Wanita Gipsi itu tidak berkata sepatahpun!
Cerita lama...
No comments:
Post a Comment