Friday, April 27, 2012

Teringat-Ingat: The Oriental Scent



Oktober 1978: Noor dan saya menyanyi keliling Sabah sampai ke ceruk-ceruk, menaiki rakit. Berbagai peristiwa berlaku.

Noor berikan saya tangkal pendindingnya sebab sewaktu di sana, desas-desus di kalangan artis menyatakan yang ada orang nak buat guna-guna pada saya. Saya orang baik-baik, sebab itu tak percaya.... tapi sempat juga jumpa bomoh bila sekali-sekali hilang ingatan. Bomohnya makwe muda pulak tu. Pengerasnya, katanya, hantar majalah hiburan sebulan sekali. Pelik-pelik ragam orang, kan?

Kami berhenti minum, melepas penat di satu penjuru 'Coffee House' sebuah hotel. Bercakap pun antara bisik dan dengar, kerana tidak mahu menarik perhatian. Seorang Mat Salleh pelancong menghampiri kami. Katanya: "Awak berdua macam kembar. Ekspresi, renungan mata, senyuman dan cara awak berdua duduk di ceruk ini pun amat mengkhayalkan sesiapa memandang. Benarkan saya ambil gambar awak berdua buat ingatan. Saya akan namakan gambar ini "The Oriental Scent" (Bau Wangi Timur) sesuai untuk minyak wangi buat kekasih."

Sebulan kemudian saya dan Noor menerima sekeping gambar melalui pos. Mesejnya berbunyi: "Pada waktu-waktu kesunyian, saya menatap gambar awak berdua. Bagaikan satu misteri yang indah."

Kami berkekek-kekek ketawa. Noor terus menyelitkan gambar ini ke dalam tas tangannya.


No comments: