Monday, April 9, 2012

BAM Dipanggil Tengok Sudirman Sakit


Kisah bagaimana saya diberi peluang menziarahi Sudirman yang sedang sakit, pada saya segala-galanya adalah digerakkan oleh Allah yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani.

Saya masih ingat lagi pada Sabtu 7 September 1991, orang di rumah saya memberitahu, "Siang tadi ada orang telefon, katanya dia Rudiah kakak Sudirman. Dua kali dia telefon."

Berdegup jantung saya mendengarnya... sebak rasa dada. Gementar tangan untuk mendail nombor telefon di rumah kakak Sudir, tapi saya kuatkan hati, terus mendail, walaupun sedang dalam keadaan terperanjat.

Saya semacam tidak percaya bila kakak Sudir, Rudiah berkata: Kalau BAM nak tengok Sudirman bolehlah. Bagaimanapun, nanti saya beritahu Roslan dulu, boleh tidak awak datang, kemudian saya akan telefon semula," kata Rudiah.

Jemputan yang tidak disangka-sangka itu membuatkan saya "Sujud Syukur" kepada Allah yang Maha Mengasihani.
Sesungguhnya, sejak Sudir jatuh sakit yang dikejarkan ke Hospital Tawakkal pada 20 Julai 1991, saya benar-benar merasakan kehilangannya, lebih-lebih lagi bila tidak tahu di manakah dia berada dan bagaimana keadaan dirinya yang sebenar.

Boleh dikatakan saban hari saya menelefon ke pejabatnya (Sudirman Productions), bercakap dan menangis bersama setiausahanya, Rohaiza bercakap dengan Tana, Shuib, Ritchie dan pekerja-pekerjanya yang lain untuk mengetahui keadaan Sudirman.

Bila saya tanya macam mana keadaan Sudir?

Jawab Rohaiza: "Ok, dia boleh makan." Bagaimanakah cara-cara saya boleh sampaikan perasaan simpati saya terhadap Sudir?

Terus saya teringat nak menulis surat kepada Sudir dan meminta Rohaiza menyampaikannya. Spontan itu Rohaiza menjawab: "Oh, sayalah yang kena bacakan."

"Sudir hanya terdaya untuk mendengarnya sahaja? Bererti dia dalam keadaan serius," kata hati saya terkejut.

Mulai saat itu, saban minggu saya tulis kisah Sudir. Kisah apa saja yang saya ingat tentang dirinya, khusus untuk tatapan peminat-peminat yang menyayanginya, yang saban hari menelefon, merintih dan menangis bertanyakan hal Sudir.

Rupa-rupanya keresahan hati yang saya tumpahkan di kolum Syyyy BAM di Mingguan Malaysia, seperti yang diberitahu oleh Rudiah kakak Sudir, Doktor Roslan abang Sudir yang tinggal di Johor Bahru turut tersentuh hati dan tak sampai hati membacanya.

Lalu, Dr. Roslan menelifon Rudiah supaya menghubungi wartawan BAM, "Suruh dia datang melihat Sudir."


Esoknya, Ahad 8 September 1991, Rudiah telefon semula minta saya datang selepas solat Isyak. Tak tau rumah di mana?" tanyanya.

"Saya tau. Kalau di Lorong Taban, Bangsar. Sudir kan pernah tinggal di situ dan saya dah beberapa kali datang ke rumah itu, ambil gambar resepi masakan Sudir (ketam sumbat) dan sesi fotografi untuk hari raya."

Mungkin Rudiah pun baru terasa betapa rapatnya persahabatan Sudir dengan saya.

Hinggakan sewaktu dia telefon semalamnya tanpa meninggalkan nombor telefonnya, dan tiba-tiba saya menghubunginya, beliau hairan juga macam mana saya tahu nombor telefon rumahnya. Semuanya kerana Sudir... saya boleh mencarinya di mana saja bila perlu, biar tengah malam mahupun di subuh hari.


Hanya Tuhan saja yang tahu betapa sebaknya hati saya sepanjang perjalanan ke rumah kakak Sudir pada malam itu. Macam-macam yang saya fikir dan bayangkan ketika itu.

Dengan perasaan sebak dan sayu pilu... saya melangkahkan kaki masuk ke rumah banglo yang terpencil di Lorong Taban 1, Bangsar Park itu.

Hati saya tak henti-henti menyebut nama Sudir... Sudir... mana dia Sudir...? Ya Allah Ya Tuhanku... Inikah dia Sudirman... Saya tergamam! Tergamam dan terkejut melihat dia seperti budak belasan tahun yang sakit, tidak bergerak-gerak dan diam membisu.

Mencurah-curah air mata saya teresak-esak menangis tak dapat ditahan-tahan lagi kerana terlalu kesiankan dia dalam keadaan begitu. Dia sudah tidak boleh bercakap lagi. Pandangannya kosong... matanya memandang tajam menghala ke bumbung. Tangan dan kakinya kadang-kadang lembut, kadang-kadang keras kejang.

"Kenapalah Sudir jadi begini sekali... saya meratap dan menangis dan entah apa lagi yang saya merepek sedih dan geram mengapa Sudir dah bukan Sudir lagi... sambil mengusap dahinya dan mencium ubun-ubun kepalanya... Matanya bergenang basah, saya pegang tangan Sudir, kuku-kuku dah hitam lebam.


Sudir sudah seperti adik saya sendiri. Kalau dia datang ke rumah saya pun, dia suka baring lepak-lepak di depan televisyen sambil bercerita, sambil berangan-angan... nak buat itu, nak buat ini... saja-saja cakap kartun, tapi ada juga yang serius dan menjadi kenyataan seperti minuman SUDI dan Sudir Shoppe.

Dia memakai seluar cerut berikat tali ikat di pinggang dan pakai T-Shirt jenama Sudir Shoppe, label lukisan kartunnya tersemat di dada.

Memang 'cute', Sudir walaupun dalam keadaan sakit. Rambutnya basah tersisir rapi. Jelas sekali dia dijaga dengan penuh kasih sayang oleh kakak-kakaknya, Rudiah dan Roaini.


Kata Rudiah, sebelum saya datang, dia sudah beritahu adiknya itu tentang kedatangan saya. Rudiah menyebut kembali kata-kata itu: "Diman, malam ini kita ada tetamu tau, BAM, Kak Bahyah Mahmood dan suaminya Ahmad Idris nak datang tengok awak, boleh kan? Dia kan sayang awak. Deman kan selalu cerita dengan Angah pasal Kak Bahyah. Kalau dia boleh datang, awak kelip mata. "Dia terus kelipkan matanya. Dia tahulah kak Bahyahnya nak datang jumpa dia. Dia izinkan," kata Rudiah.

Saya katakan terus terang kepada Rudiah bahawa selama ini saya hanya kenal rapat dengan Sudir sahaja, tetapi tak pernah bertemu dengan abang-abang dan kakak-kakaknya, walaupun dia selalu bercerita tentang adik-beradiknya dan menyebut semua nama-nama yang menjadi kesayangannya, Zainuddin, Rudiah, Basir, Roslan dan Roaini.

Tapi saya pernah berjumpa Rudiah dua kali semasa beliau bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka dulu.

Jadi bila Sudir jatuh sakit, dengan siapalah saya nak memberitahu yang saya rapat dengan Sudir dan teringin nak menziarahi Sudir yang sedang sakit. Saya terus jadi lemah dan tidak berdaya bila mendapat tahu semua wartawan yang menunggunya di Hospital Tawakkal pada 20 Julai 1991 dulu, tidak berjaya menemui Sudir yang sedang sakit. Kalau saya ke sana, bererti saya pun akan mengalami nasib yang sama.

Biarlah saya berdoa dari jauh sahaja... dan tak henti-henti berdoa supaya dibukakan oleh Allah pintu hati keluarganya untuk mengizinkan saya menziarahi Sudir... Syukurlah doa saya dimakbulkan Allah.


Bercerita perihal Sudir mula-mula jatuh sakit dulu, sehingga pulang ke rumah dari Hospital Tawakkal, sebenarnya Sudir masih rancak bercakap lagi," kata Rudiah.

Ketika saya datang, kebetulan kakaknya Roaini sedang nak beri Sudir makan. Kata Aini: "Kak Bahyah tengok, Deman macam baby, makannya bertime, best-best punya makanan, bubur nasi campur kentang, campur lobak dan sayur-sayuran. Tengok tu kulit tangannya cantik, fresh, merah lebih bersih dari dia tak sakit dulu, yang tidak terjaga makan minumnya.

Kemudian ramuan makanannya dimasukkan ke dalam tiub, laju aje sekejap dah habis. Kemudian dimasukkan pula 'fresh orange' ke dalam tiub itu, laju juga, habis. Bagaikan tak sanggup saya melihat Sudir berkeadaan begitu, sungguh kesian dia.

Saya berpeluang menziarahi Sudir sakit ialah pada 8 September 1991 - 49 hari yang lalu bermakna sudah sebulan lebih dia terlantar, dari boleh bercakap terus dah tak boleh bercakap lagi.

Mulai saat itu, saya ditemani suami, sering berulang menjenguk Sudir. Terasa rindu sangat kalau tak dapat menjenguk beberapa hari. Kesemua tarikh menatap wajah Sudir saya catat di dalam diari...








2 comments:

Unknown said...

entah kenapa rasa nak menjejaki kisah lalu. Teringat untuk mengetahui kisah latar hidup sudirman dibelakan pentas..sedih , pilu , sayu dicelah kekaguman pada insan seni dan pejuang, ikon mesra masyarakat. Memberi tak pernah meminta dan menerima... semoga Allah ampunkan dan rahmati beliau selamanya.. Allah maha PENGASIH..

Anonymous said...

Sy dah 3 hari baca semua entri dlm blog ni. Sy membesar dgn lagu2 arwah dari 80an lagi. Menitik air mata