Kita sedang menuju ke arah kecemerlangan terpuji, mengapa perlu dikorbankan?
Sekali lagi saya ingin ajukan dengan suatu soalan yang sebelum ini belum pernah saya tinjau. Urusan pentadbiran negara bukanlah urusan saya. Urusan saya adalah untuk mencapai kecemerlangan diri dalam apa jua bidang yang saya ceburi supaya dapat bersama-sama berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara, ke arah kecemerlangan.
Dan, selama ini, suasana pentadbiran negara membolehkan saya memainkan peranan. Justeru itu, mengapa pula saya harus pertukarkan suasana hari ini kepada suasana yang belum saya kenal pasti, dan kurang yakin akan keberkesanannya?
Lebih-lebih lagi kita sebenarnya sedang menuju ke era kegemilangan. Mengapa mahu membunuh kerajaan sendiri?
Para pengkritik mungkin bertanya, apakah yang saya peroleh dengan cerita begini? Saya akan berkata bahawasanya saya hanya bercakap benar atas dasar cinta saya terhadap agama, bangsa dan negara. Sebelum terlambat.
Jakarta
Kota Jakarta (Gambar Hiasan)
Sewaktu berada di Kota Jakarta, saya telah berbual dengan pemandu limousine. "Pak orang Melayu ramaikan di sini Pak? Bagaimana boleh saya kenali mereka? Tanya saya. "Oh di sini , kita semua bangsa Indonesia. Melayunya ramai tapi kita namakan orang Indonesia. Baik yang beragama Kristian, Islam mahupun Hindu. Namanya juga nama Indonesia," ujar pemandu itu panjang lebar. Lalu saya teringat akan harapan Laksamana Hang Tuah lebih 500 tahun yang lalu. Dan betapa gagahnya kerajaan Melayu ketika itu.
Singapura
Kota Singa (Gambar Hiasan)
Sewaktu mengadakan persembahan di sebuah kelab malam di Singapura pula saya terserempak dengan peminat saya, dua orang gadis Melayu. Mereka ingin sekali menonton persembahan saya. Kata saya: "Boleh, Abang Sudir boleh belanja." Mereka terdiam seketika lalu berkata: "Takutlah Abang Sudir. Kita orang 'out-of-place' lah."
Lalu saya berkata, "Tak apa, Abang Sudir ada."
"Terima kasihlah Abang Sudir, tapi entahlah, kita orang rasa tak seronoklah. Itu tempat orang-orang kaya saja."
Malam itu ketika menyanyi di pentas, saya perhatikan pengunjung-pengunjung yang terdiri daripada bangsa Mat Saleh dan bangsa bukan Melayu yang tampak mewah. Kalau ada pun orang Melayu, hanya semeja dua. Itupun lagak mereka bukan seperti orang Melayu lagi.
Lalu saya teringat akan dua orang peminat yang saya temui itu. Saya terfikir, kita pernah senegara dan bersaudara, tetapi kenapa kini langkah kita amat berbeza?
Lalu saya terfikir lagi, adakah itu nasib sebahagian besar daripada Melayu di Singapura? Atau kebetulan saja? Saya tidak mahu memberikan jawapannya. Singapura adalah urusan bangsa Singapura. Laksamana Hang Tuah muncul kembali di benak saya.
Episod Seorang Peminat
Baru-baru ini seorang peminat perempuan dari kampung telah menulis surat kepada saya. Dia mengadu bahawa dia terpaksa berhenti sekolah untuk mencari pekerjaan apa sahaja bagi membantu orang tuanya menyekolahkan 7 orang adiknya. Dia sebenarnya bakal mengambil peperiksaan STPM.
Lalu saya membalas surat itu meminta agar dia mengkaji semula keputusannya. Sama ada dia mahu berkorban sekarang untuk membantu adik-adiknya secara berdikit-dikit, atau mahu meneruskan usahanya dalam pembelajaran dan kemudian membantu keluarganya dengan cara yang lebih berkesan.
Peminat itu menulis balik, marah-marah katanya: "Abang Sudir bolehlah cakap begitu sebab Abang Sudir sudah lepas."
Saya membalas suratnya dan menjelaskan: "Memanglah Abang Sudir boleh cakap sebab Abang Sudir sudah lepas, tetapi mengapa adik tak tanya macam mana Abang Sudir boleh lepas?"
Sudirman sewaktu bergelar siswazah
"Abang Sudir juga daripada keluarga susah. Adik-beradik pun ramai. Malah, kalau nak ikut-ikutkan, mustahil budak-budak dari sekampung Abang Sudir boleh sampai ke mana-mana."
Mujur Abang Sudir berpeluang ke sekolah. Jadi, Abang Sudir belajar rajin-rajin dan berkat ketekunan Abang Sudir, kerajaan telah menawarkan biasiswa. Malah ayah Abang Sudir tak perlu bersusah-payah menanggung persekolahan Abang Sudir. Abang Sudir terus mendapat perhatian dan biasiswa kerajaan, sampailah Abang Sudir jadi penyanyi dan boleh berdikari."
"Nah, sekarang adik pun kata yang Abang Sudir sudah berjaya. Kerana apa? Pastinya usaha! Percayalah kerajaan sentiasa mahu membantu orang susah macam kita. Tetapi kita perlu berusaha." Saya menjelaskan panjang lebar.
"Adik sudah hampir mencapai kejayaan mutlak, mengapa mahu berundur?" Tanya saya lagi.
Dan intisari episod inilah yang ingin saya tekankan. Kita sedang berada di gerbang kecemerlangan. Mengapa mahu berundur?
Pencapaian Negara
Tun Dr. Mahathir telah mencorak kejayaaan Malaysia
Selama 10 tahun Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir menerajui kepimpinan barisan kerajaan, berbagai pencapaian terlihat oleh mata kita. Kita perlu mengakuinya. Kata orang putih, sudah ada 'solid proof'.
Sebenarnya apabila kita terjumpa sebutir mutiara, kita haruslah mengakui kesahihan mutiara itu, tidak menganggapnya sebagai kaca. Hanya dengan pengakuan ini sahajalah kita dapat menikmati nilai sebenar mutiara itu.
Tetapi kita suka menidak-nidakkan sesuatu yang baik. Samalah seperti kisah-kisah Rasul yang tidak diterima ditempat mereka sendiri.
Justeru itu, janganlah kita tersilap langkah.
Salah satu pencapaian kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir.
Pencapaian kerajaan di bawah pimpinan PM terlalu banyak untuk diperkatakan. Ringkasnya:
* Kestabilan dan keharmonian rakyat tidak pernah terganggu-gugat sepanjang dekad lapan puluhan.
* Nilai-nilai hidup yang positif diserapkan ke jiwa rakyat. Dasar pandang ke Timur menjadi landasan.
* Usaha ke arah memperindah Malaysia, dan seterusnya menjadikan Malaysia tempat tumpuan pelancong pesat dilaksanakan.
* Kegagahan Jambatan Pulau Pinang, lambaian pencakar langit di Bandaraya Kuala Lumpur yang bermandikan neon serta keluasan lebuh raya yang terbentang adalah di antara keindahan yang dapat kita nikmati bersama.
* Kemajuan luar bandar menjadi tanggungjawab yang wajib. Pelbagai rancangan dan projek telah diatur untuk menaikkan taraf penduduk luar bandar.
* Bantuan untuk rakyat termiskin juga diberi perhatian. Termasuklah usaha untuk membantu peniaga-peniaga bumiputera.
* Pelajaran dititikberatkan. Setiap warganegara diberi pelajaran sekolah rendah percuma dengan susulan penawaran biasiswa kepada pelajar yang berkebolehan menyambung pelajaran. Universiti juga bertambah.
* Bahasa Melayu didaulatkan sebagai bahasa utama.
* Malaysia menduduki tempat kelima dikalangan negara membangun. Kemajuan ekonomi kian ketara. Kini kita mengecapi perkembangan pada kadar 9%.
* Projek industri besar telah dimulakan. Kita telahpun mempunyai kereta nasional yang menjadi kebanggaan kita.
* Dasar penswastaan dan persyarikatan dilaksanakan kini sudah menampakkan hasilnya.
* Pelaburan negara-negara luar dan perdagangan antarabangsa kian meningkat ke tahap yang belum pernah kita alami selama ini.
* Eksport pertanian juga meningkat 23.2 billion ringgit.
* Hutang negara dibayar lebih awal daripada jangka waktunya.
* Nilai-nilai Islam mula diserapkan ke dalam pentadbiran. Kalau ditinjau, hukuman mati yang dikenakan ke atas pengedar dadah adalah berdasarkan hubungan pencegahan di dalam Islam. Universiti Islam dan Bank Islam dibentuk dan menjadikan Malaysia pusat tumpuan perkembangan Islam di rantau ini.
* Keberkesanan peranan Malaysia di meja antarabangsa juga terserlah. Keberanian dan ketangkasan pemikiran serta ketegasan pendirian PM telah membuka mata dunia yang selama ini kurang tahu akan wujudnya Malaysia.
Sudirman telah lebih awal memakai baju "I Love PM"
Terlalu banyak untuk disenaraikan segala pencapaian kerajaan dalam dekad lapan puluhan ini. Bayangkanlah kegemilangan yang bakal dinikmati sepuluh tahun akan datang.
Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang teruji. Kerajaan hari ini telah berkali-kali diuji dan muncul dengan cemerlang pada setiap ujian. Kesinambungan pentadbiran negara yang sama amat perlu untuk pencapaian yang berterusan cemerlang. Tambahan pula kerajaan pada hari ini terbaris daripada golongan yang mempunyai nada yang sama tanpa suara-suara sumbang.
Lalu saya bertanya kepada diri sendiri, apa akan jadi kalau kita bertukar kerajaan?
Kerajaan Pembangkang?
Hakikatnya, gagasan pembangkang kerajaan, masih belum teruji keberkesanannya. Malah ideologi mereka tampak bercanggah sesama mereka, dan sengaja disatukan untuk kepentingan masing-masing.
Saya bayangkan masalah yang bakal timbul kalau mereka membentuk kerajaan, antaranya:
* Ekuiti 30% bangsa Melayu akan hilang.
* Ketuanan bangsa Melayu di tanah air sendiri akan lupus.
* Bahasa Melayu akan hilang darjatnya.
* Penerapan nilai-nilai Islam akan terjejas. Mungkin terus lesap.
* Negara akan dibelenggu hutang yang banyak.
* Ramai yang akan tertindas, lebih-lebih lagi penyokong Barisan Nasional, termasuk saya.
* Menjelang tahun 1999, saya tidak hairan sekiranya, mereka membuka pintu kepada jutawan-jutawan dari Hong Kong dan negara-negara lain untuk memulakan penghidupan mereka di sini lantas membolot kemewahan dan kekayaan yang ada. Kejadian ini tidak mustahil kerana sejarah telah menunjukkan bahawa perkara ini boleh berlaku (kes BMF).
* Dan bangsa Melayu akan meredah hutan semula. Atau mungkin juga akan hidup seperti kebanyakan bangsa Melayu di negara yang dikuasai oleh bangsa asing. Negara maju tetapi orang Melayu tidak selesa.
* Orang kaya akan bertambah kaya. Orang miskin berterusan miskin.
* Orang Melayu akan terus mundur baik dalam bidang pembelajaran, ekonomi mahupun bidang politik.
* Negara akan asyik berpesta ('Party all the time') cuba kita tanya diri kita sendiri. Apakah ini yang kita mahu? Tidak saya. Jika ini berlaku, akan menangislah saya dengan sedu yang tidak terhenti. Jangan pula saya dikeji kerana menangis, kerana saya pasti ketika itu seluruh tanah air akan meratap sama.
Penentuan
"Takkan Melayu hilang di dunia." Kata Hang Tuah.
"Siapa Hang Tuah itu?" Generasi akan datang akan bertanya.
Ketika itu orang Melayu sudah malu untuk menjawab.
Jangan kita biarkan hal ini berlaku. Marilah bersama-sama kita mempertahankan darjat bangsa kita dengan memberi kepercayaan penuh kepada BARISAN NASIONAL, satu-satunya parti yang dapat memperjuangkan nasib rakyat jelata tanpa menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara.
Sayangi Malaysia, Yakini BN
Petikan: Sudirman Haji Arshad Menulis... Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 21 Oktober 1990.
Sumber: Mohd Azhar Md Isa (Peminat Setia Sudirman)
1 comment:
Excellent article. I am facing many of these issues as well.
.
Here is my webpage the tao badass pdf
Post a Comment