Semacam terselak dari jendela kenangan menyaksikan dia dengan wajah mulus menyanyikan lagu syahdu hidupnya, Salam Terakhir. Di mana-mana saja dia menyanyikan lagu itu, semua mata tertumpu kepadanya. Itulah seniman kita Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
20 tahun lalu, 22 Februari 1992 dia pergi diiringi esakan tangis dan sedu sedan peminat di seluruh pelosok tanah air. Terasa baru semalam saja berlalu, hari ini pada tanggal 22 Februari 2012 genap 20 tahun kita kehilangannya. Setiap saat, setiap waktu jasanya sebagai seniman yang menjulang nama negara tidak pernah tersingkir dari ingatan.
Kejayaannya di Royal Albert Hall, London sebagai Penghibur No.1 Asia bukan mudah untuk dilupakan. Penyanyi yang simpati dengan penganggur dalam lagu Aku Penganggur itu tiba-tiba tercatat namanya di persada antarabangsa.
Lagunya mencuitkan, lagunya menyayukan. Kita diulit rasa yang simpati mendengarkan lagu Merisik Khabar, Terasing dan Salam Terakhir. Nyanyian Sudirman akan terus hidup sampai bila-bila.
Allahyarham menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang mahu berjaya, mahu menakluki dunia dan mahu menjadi orang yang paling disenangi. Allahyarham datang dari keluarga yang sederhana tetapi telah mencapai kecemerlangan.
Antara gambar terakhir Allahyarham Datuk Sudirman
1 comment:
Al Fatihah. Semoga rohnya tenang di sana.
Post a Comment