Setiba di Melaka sakit perut. Bayangkanlah, tanpa air saya merana sehingga jam 9 malam kerana menanti bekalan air. Lebih menyedihkan jam saya baru menunjukkan angka lima.
"Aduh nak tunggu empat jam lagi baru ada air. Macam mana ni, mana boleh tahan. Melaka Oh! Melaka, kau ingin menganiayaku?" keluh hati saya.
Untuk "mengindahkan" lagi suasana, angin pada masa itu bukan lagi bertiup sepoi-sepoi bahasa tetapi terus tak ada! Ranting pun tidak bergoyang.
Hangat, melekit dan perut masih sakit. Begitulah keadaan saya ketika itu. Mujur Rohaiza dan Laila, dua Pegawai Perhubungan Awam Sudirman pandai mengawal keadaan dengan celoteh mereka yang bertali-arus.
Ketika sampai di tapak Expo kira-kira jam 8.15 malam, tempat Sudir bakal beraksi, lengang. Setengah jam kemudian, bagai ada satu perjanjian, manusia dari setiap penjuru berpusu-pusu masuk membanjiri kawasan itu. Tempat duduk kosong sudah penuh dengan penonton pelbagai bangsa dan umur.
Pentas terbuka, di bina khas untuk pertunjukkan itu sejak dua hari lalu, menjadi tumpuan penonton. Di belakangnya dua belon raksasa menayangkan minuman SUDI, terapung. Dua bendera Malaysia besar mengindahkan "back-drop" pentas.
Tepat jam 9.15 malam, pemain muzik dan dua penyanyi latar Sudirman mengambil tempat. Ini diikuti asap tebal yang menyelubingi pentas dan bunyi alat "syntesizer" yang berdentum dari sejumlah 18 speaker di pentas. Alam sekeliling bergema bagai guruh dengan bunyi "sensurround" hasil pukulan drum, keyboard dan gitar elektrik.
Tiba-tiba dua gadis, satu memakai cheongsam dan seorang lagi memakai sari, muncul dan terus bergaya. Sesaat kemudian, berkumandang lagu Kenali Malaysia Cintai Malaysia. Sudirman timbul dengan pakaian kain songket, diapit dua lagi gadis, seorang memakai kebaya dan seorang lagi memakai baju moden.
Sudirman yang menyanyi dengan bersahaja tetapi lantang, menerima tepukan gemuruh. Lagu kedua Sudirman, sebuah lagu dicipta khas olehnya untuk Negeri Melaka iaitu Kota Melaka Kota Bersejarah. Lagu yang menceritakan sejarah negeri itu turut mendapat sambutan hangat penonton.
Empat lagu seterusnya juga berbentuk patriotik. Antaranya, satu dinyanyikan demi menghargai dan mengenangkan jasa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Satu lagi, 31 Ogos, dinyanyikan dengan penuh semangat. Malangnya penonton kelihatan gelisah. Mungkin kerana semua lagu yang disampaikan sehingga itu berentak perlahan.
Di akhir lagu 31 Ogos, Sudirman yang mungkin dapat menyelami kegelisahan penonton, terus mengajak mereka bangun dan bersorak Merdeka! Merdeka! Merdeka! Penonton yang malu-malu, akhirnya memenuhi permintaan Sudirman selepas diajak kali ketiga. Barulah suasana "hidup" kembali. Sudirman terus beraksi dengan Warisan dan bermesra bersama penonton. Ini diikuti empat lagu rancak tanpa henti dan empat jelitawan lincah menari mengiringinya.
Selepas itu seorang Nyonya Cina yang dipilih secara rambang dijemput berbual dengan Sudirman di pentas. Wanita Cina yang tidak begitu fasih berbahasa Melayu itu menggamatkan suasana dengan jawapan-jawapannya yang pelat. Apabila Sudirman bertanya itu sama ada dia kenal Sudirman, wanita yang umurnya berlingkungan 50-an menjawab "Tau, nama itu Seremban!" Apabila ditanya mana suaminya, dia menjawab "sula habit!" (sudah habis / meninggal).
Lagu-lagu seterusnya juga menarik sehingga penonton tidak sedar dua jam sudah berlalu. Di antaranya ialah One Thousand Million Smiles - Lagu yang membolehkan Sudirman mendapat gelaran Penghibur Terbaik Asia.
Secara keseluruhan, boleh dikatakan Konsert Sudirman berjaya memikat hati semua yang hadir pada malam itu. Bagi saya, rasa tidak selesa sebelum pertunjukkan itu hilang sepanjang Konsert Sudirman tetapi perut mula berkeroncong sebaik konsert tamat....mujur sudah ada air.
Petikan: Majalah Tele-Skop keluaran tahun 1991, oleh Hisham Harun.
1 comment:
mmg best konsert dier. br jer dpt vcd konsert ni.
Post a Comment