Atai & Bondanya Datin Rodziah Haji Arshad
KUALA LUMPUR: Keluarga penyanyi Sudirman Haji Arshad menuntut kerajaan menubuhkan satu yayasan bagi memperingati seniman itu termasuklah menjaga harta intelek milik Allahyarham.
Anak saudaranya Razman Azrai atau Atau, 38, berkata, yayasan itu perlu kerana ia dapat membolehkan generasi akan datang mengingati pengorbanan dan jasa Allahyarham yang telah terbukti seorang penghibur terbaik.
“Yayasan ini amat penting yang boleh menyimpan segala harta-harta intelek milik Allahyarham termasuklah lukisan-lukisannya. Jika ia tidak diwujudkan, tiada apa-apa yang dapat kita kenang tentang Allahyarham terutamanya kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada mStar Online pada majlis tahlil sempena 20 tahun kematian Sudirman di Restoran Puteri, di sini, Sabtu.
Sudirman meninggal dunia pada 20 Februari 1992 akibat komplikasi penyakit paru-paru pada usia 37 tahun.
Atai berkata yayasan itu bukanlah untuk kepentingan peribadi keluarganya kerana mereka tidak mendapat apa-apa faedah daripada penubuhan itu.
Jelasnya, ia perlu diwujudkan kerana jasa Allahyarham terhadap negara amatlah besar dan perlu dikenang agar ia dapat menjadi contoh kepada generasi akan datang.
Katanya, pada masa ini tidak ada bangunan ataupun jalan yang dinamakan atas nama Allahyarham bagi mengenangkan penglibatannya dalam dunia seni.
“Kita selalu memperkatakan mengenai kehebatan Allahyarham semasa hayatnya tetapi sehingga hari ini tak ada apa-apa pun sumbangan yang kita berikan kepada dia.
“Takkan keluarga ataupun peminat yang hendak buat semua itu. Mestilah pihak kerajaan. Melalui yayasan itu, kita juga boleh mengumpul dana yang dapat memperluaskan lagi aktiviti berkaitan Allahyarham yang semakin dilupakan pada hari ini,” katanya.
Atai menambah sudah 20 tahun dia menyimpan perasaan itu dan berharap luahan tersebut dapat didengar oleh pihak-pihak bertanggungjawab agar merealisasikan impian berkenaan.
1 comment:
extremely intriguing continue posting. casual dating
Post a Comment