Detik-detik manis sewaktu Allahyarham Sudirman menjulang Trofi kemenagan Bintang RTM 1976
Demam
pertandingan akhir Bintang RTM datang lagi. Saya mengerti dan faham bagaimana
gelisahnya perasaan peserta Bintang RTM ’84 yang sedang berada di hadapan kini.
Saat-saat begini memang mendebarkan. “Susahnya nak menempa nama sebagai
penyanyi,” fikir saya sambil duduk terpelosok di dalam Auditorium Angkasapuri.
Penyanyi?
Semasa kecil tidak terlintas di kepala saya bahawa suatu hari nanti saya akan
menjadi seorang penyanyi. Impian itu memang ada, seperti juga impian saya untuk
menjejakkan kaki ke universiti atau untuk menjadi jaguh sukan, seperti yang
telah saya ceritakan dulu. Memang saya mempunyai banyak impian. Tetapi tanpa
usaha untuk melaksanakan impian itu akan terus tinggal sebagai suatu impian.
Saya
masih ingat bagaimana saya sering dipaksa oleh guru dengan rotan untuk menyanyi
di hadapan kelas. Saya juga ingat bagaimana Ustaz Buyung yang mengajar kami
Al-Qur’an tidak membenarkan saya pulang kalau saya tidak menyanyikan sebuah
lagu untuknya. Sebenarnya, sejak kecil lagi saya adalah seorang yang agak
pemalu. Kalau tidak didera dengan rotan jangan harap saya menyanyi!
Setiap
kali saya menonton pertandingan menyanyi di TV atau mendengar di corong radio,
hati kecil saya melonjak-lonjak ingin menjadi penyanyi, saya khayal di dalam
bayangan saat-saat saya menjulang piala kemenangan. Seronoknya! Tetapi itu
hanyalah satu impian. Dan saya sedar tanpa membuka langkah tersebut akan tetap
tinggal sebagai impian.
Saya
menyertai pertandingan Bintang RTM ’76 pun atas desakan rakan-rakan. Itupun setelah
menjejakkan kaki ke dunia pengajian tinggi, juga satu impian saya. Satu impian
yang perlu saya berikan keutamaan ketika itu.
Keluarga
saya tidak tahu menahu tentang penceburan saya. Sedar-sedar, gambar saya
memakai seluar ‘baggy’ ayah saya terpampang di akhbar sebagai seorang peserta
untuk peringkat awal pertandingan Bintang RTM ’76. “Peserta yang harus di
awasi.” Tulis sebuah akhbar. Rasa keseronokkan begitu meruap-ruap di dalam dada
saya kerana bakat saya telah disedari. Dan impian saya untuk menjadi penyanyi
telah berputik. Kini terserah kepada saya untuk menjayakannya. Saya sedar
bahawa bakat yang disertai dengan daya usaha yang gigih adalah menjadi kunci
kepada sesuatu pencapaian.
Malam
itu buat pertama kalinya saya muncul di kaca TV menyanyikan lagu Jali-Jali. “Muncul
di layar TV? Saya? Kenapa tidak?” Saya berbual-bual dengan hati kecil saya. Saya
perhatikan keluarga sekeliling. Mereka juga seakan-akan tidak percaya.
Persiapan
untuk ke peringkat akhir tidak mungkin dapat saya lupakan. Saya begitu galak
menghubungi pihak RTM bertanyakan sama ada pertandingan kali itu menggunakan
orkestra bertali atau orkestra bertiup. Setelah mendapat penjelasan barulah
saya sibuk mencari lagu yang sesuai. Dan kemudian timbul masalah mendapatkan
sepasang ‘suit’ untuk saya pakai di dalam pertandingan akhir itu. Kalau difikirkan
kenangan itu amat memilukan hati. Tetapi tidak apalah. Itu soal kedua. Apa yang
lebih penting, ialah untuk saya berlatih berkali-kali di rumah di hadapan anak
buah dan seekor kucing, Patchy.
Malam
itu, Dewan Pay Fong di bandar Melaka penuh sesak dengan penonton. Ini saat
penentuan bagi saya. Saya memakai hadiah suit kakak saya. Suit pertama dalam
hidup saya. Persediaan saya sudah lengkap. Kini, selama beberapa minit di atas pentas
saya harus menumpukan seluruh tenaga perhatian saya terhadap persembahan saya. Saya
telah berada di ambang impian ini. Saya mesti melaksanakan bersungguh-sungguh. Nak
jadi penyanyi! Sejak malam itu, saya mula mengenali tepukan gemuruh.
Esoknya,
ketika menghadiri kuliah rakan-rakan kelas menghadiahkan saya tepukan tahniah. “Satu
impian telah terlaksana. Kini, ada satu impian lagi,” fikir saya sambil duduk
menghadap pensyarah dan juga rakan-rakan yang juga mempunyai impian untuk
menjadi peguam. Insya-Allah! Saya membulatkan tekad saya!
Saya
tersentak dari lamunan. Peserta-peserta Bintang RTM ’84 telah selesai menyanyi.
Tiba pula giliran saya sebagai penyanyi undangan. Malam ini, seorang peserta
yang berbakat lagi gigih akan tercungkil. Dia akan menjadi penyanyi. Penyanyi seperti
Rosemaria, M. Rizal, Jamal Abdillah, Rohana Jalil dan saya sendiri.
*Kenangan
Bintang RTM 1976, petikan tulisan Allahyarham Sudirman dalam bukunya Dari Dalam
Sudirman.
No comments:
Post a Comment