Allahyarham Sudirman mencium Trofi yang dimenanginya setelah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia pada tahun 1989
Nama
Allahyarham Sudirman Haji Arshad, yang pernah mendapat gelaran Penghibur No. 1
Asia dan Penghibur Nasional wajar diabadikan oleh kerajaan atau pihak tertentu
supaya generasi akan datang mengenali lebih dekat tokoh seni itu.
Usaha
itu wajar memandangkan sumbangan, jasa, bakat, kreativiti dan kesungguhan
Allahyarham Sudirman dalam meningkatkan seni budaya bangsa tidak terkira
nilainya, malahan sudah mengharumkan nama Malaysia di negara luar.
Persatuan
Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) turut bersetuju dengan
pandangan Persada Seni malah menyarankan satu langkah segera wajar dibuat oleh
pihak terbabit.
PAPITA
mencadangkan nama Allahyarham Sudirman boleh diabadikan pada nama-nama jalan
raya, dewan, galeri atau tempat awam yang membolehkan ia terus dikenang.
Malahan,
PAPITA juga menyifatkan sudah tiba masanya selepas 10 tahun pemergian
Allahyarham Sudirman, satu pingat atau darjah kebesaran dianugerahkan kepada
Allahyarham sebagai memperingati jasa tokoh seni itu.
Presiden
PAPITA, M. Daud Wahid, berkata pihak kerajaan menerusi Arkib Negara Malaysia
atau agensi kerajaan lain serta pihak swasta, korporat dan pertubuhan
kebudayaan wajar mengabadikan nama Allahyarham Sudirman secara lebih terhormat.
“Malahan,
satu Pustaka Peringatan boleh dibuat untuk mengenang jasa Allahyarham Sudirman
termasuk menghasilkan satu buku biografi mengenai Penghibur Nasional ini. Kita
kena ingat, Sudir bukan sekadar penyanyi tetapi sudah bertaraf Penghibur
Rakyat, Penghibur Nasional dan Penghibur Nombor Satu Asia. Gelaran ini memang
besar dan wajar namanya diikhtiraf dengan lebih bermakna.
“Kita
mahu usaha ini dibuat kerana sumbangan besar dan ketokohan Allahyarham Sudirman
dalam soal seni budaya bangsa, khususnya dalam industri hiburan memberi impak
kuat kepada masyarakat. Kita juga mahu generasi akan datang dapat mengenali
lebih dekat siapa Allahyarham Sudirman.
“Apalah
salahnya jika nama Allahyarham Sudirman diabadikan pada mana-mana tempat awam
seperti jalan raya atau dewan? Jika di Indonesia ada nama Jalan Jeneral
Sudirman atau Panglima Tentera kebanggaan rakyat di sana, tidak salah kiranya
kita juga wujudkan nama Jalan Sudirman di sini sebagai memperingati seorang
pejuang seni budaya bangsa Melayu.
“PAPITA
juga berasakan sepatutnya Allahyarham Sudirman sudah menerima satu darjah
kebesaran daripada kerajaan yang membawa gelaran Tan Sri atau setidak-tidaknya
anugerah dari kerajaan Pahang.
“Kita
rasakan Allahyarham Sudirman sebagai Penghibur Rakyat mempunyai banyak keistimewaannya.
Allahyarham Sudirman menjadi kesayangan masyarakat dan kematiannya dirasai
ramai, termasuk kaum lain. Allahyarham Sudirman sudah berjaya mencuri hati
rakyat pebagai kaum dan menjadi simbol perpaduan rakyat menerusi muzik,”
katanya.
Presiden
PAPITA itu mengulas mengenai pemergian sedekad Allahyarham Sudirman. Hari ini
adalah hari ulang tahun ke-10 beliau meninggal dunia. M. Daud juga berkata,
PAPITA berpendapat jika ada anugerah yang tinggi diberikan kepada Allahyarham
Sudirman, ia amat bermakna untuk penghayatan generasi muda.
“Memang
Allahyarham Sudirman tidak sama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tetapi
kehebatan Allahyarham Sudirman patut dihargai. Kita cuma mampu memutarkan
lagunya semula atau sekadar mengadakan konsert. Sesuatu yang lebih besar perlu
dibuat sebagai mengangkat pengikhtirafan terhadap Penghibur Melayu ini,” kata
M. Daud.
*Kini
setelah lebih dua dekad (hampir 26 tahun) pemergian Allahyarham Datuk Sudirman
Haji Arshad ke Rahmatullah masih belum ada pengikhtirafan yang sewajarnya
diberikan kepada Allahyarham, hanya sebuah jalan kecil di bandar Temerloh dan
Darjah Kebesaran DSAP di peringkat negeri yang membawa gelaran ‘Datuk’
dianugerahkan kepada Allahyarham setelah 17 tahun pemergiannya.
*Belum
wujud sebarang Dewan, Galeri, Muzium atau Pustaka Peringatan atas nama Allahyarham
Sudirman dibina sehingga kini. Beliau masih dikenang saban tahun, namun begitu
jasa dan sumbangan beliau dalam memartabatkan industri seni budaya bangsa
sehingga mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa seolah-olah
dilupakan.
Artikel
ini dipetik daripada akhbar Berita Harian sisipan ‘Persada Seni’ bertarikh 22
Februari 2002 oleh Akmal Abdullah.
No comments:
Post a Comment