Selain
dari gaya Sudir menyanyi, ada lagi sesuatu yang menarik pada pertunjukkan
Sudirman di Paddock, Hotel Hilton baru-baru ini. Iaitu gaya dua orang gadis
yang mengiringi Sudir menyanyi.
Penari-penari
yang dilahirkan dari darah kacukan Cina, India dan Belanda itu kelihatan begitu
cantik dan menarik. Gaya keduanya yang seirama ketika di pentas dan ketika
berbicara itu, membuat keduanya kelihatan bagai pasangan si kembar.
Sebenarnya
Yvonne Gabriel dan Yvone Blake yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘The Girls’
itu tidak mempunyai perhubungan persaudaraan sedikit pun jua. Mereka cuma bersahabat
baik. Itu pun setelah dipertemukan oleh Sudirman.
Yvonne
Blake dan Yvonne Gabriel sebenarnya merupakan bekas peragawati dari Studio Act
One. Meskipun menerima didikan dari studio yang sama, namun pada waktu itu
mereka tidak pula berkesempatan untuk bermesra atau berkenalan dengan lebih
mendalam seperti yang mereka alami waktu ini.
“Studio
Act One mempunyai ramai peragawati. Setiap hari kami bertemu, berbual dan
bergurau secara beramai-ramai. Setiap orang ada saja jenakanya. Jadi manalah
ada peluang untuk bertanyakan dan bercerita tentang peribadi masing-masing.
“Bukanlah
kemesraan itu wujud setelah mengenali seseorang secara peribadi seperti yang
kami alami hari ini?” Begitu bicara Yvonne Gabriel lemah lembut.
Menurut
kedua-dua Yvonne, mereka merasa sungguh bertuah kerana Sudirman Haji Arshad
yang mereka anggap sebagai Superstar Malaysia itu telah memilih mereka sebagai
penari pengiring pertunjukannya di sebuah hotel antarabangsa itu.
“Tahun
lalu” cerita Yvonne “saya terbaca iklan Sudirman mencari penari untuk
pertunjukannya. Jadi saya pun pergilah mendaftarkan diri. Tak sangka permohonan
saya mendapat layanan dan saya dipanggil untuk ditemuduga dan langsung diterima
untuk menyertai pertunjukannya.”
Kini
telah setahun kedua-dua Yvonne bekerjasama dengan Sudirman. Menurut mereka,
Sudirman seorang penyanyi yang cerewet dan terlalu teliti ketika bekerja.
Jelas
mereka: “Sudir sentiasa mahu memastikan supaya persembahannya betul-betul
sempurna dari setiap penjuru. Untuk itu, dia selalu ambil berat pakaian kami,
cara kami bermekap dan juga setiap pergerakan kami seperti memek muka, jelingan
mata dan sebagainya ketika mengiringinya menyanyi.”
“Sewaktu
berlatih, lagi teruk! Kerana sedikit kesilapan Sudir sanggup mengulanginya
semula dari awal. Keadaan kami yang berpeluh-peluh macam orang mandi dan Sudir
sendiri terpaksa berlenggeng di waktu membuat latihan, sudah menjadi perkara
biasa!” jelas Yvonne.
Kalau
mahu dikatakan penat menjadi penari pengiring Sudirman, memanglah penat dan
teruk. Tetapi itulah pekerjaan yang amat digemari oleh kedua-dua gadis lincah
ini. Mereka menganggap latihan-latihan yang dijalaninya bersama Sudir setiap
hari itu sebagai suatu pergerakan jasmani yang baik bagi kesihatan serta suatu
cara menjaga kecantikan badan yang paling berkesan.
“Kami
dapat menimba pengalaman yang begitu berfaedah dari Sudir. Rasanya pengalaman
ini tidak mungkin kami dapati dari penyanyi-penyanyi lain sebab Sudir adalah
seorang penghibur yang mempunyai daya kreatif paling tinggi. Kami rasa amat
bertuah dapat bekerjasama dengan Sudir!” Begitu pengakuan yang dilafazkan oleh
Yvonne Blake dan Yvonne Gabriel berulangkali.
Menurut kedua-dua gadis jelita itu; “Kami rasa kalaulah pertunjukkan ini bukan Sudir
yang menjadi hostnya, tetapi sebaliknya seorang penyanyi tempatan lelaki yang
lain, kami rasa tentulah kejayaan yang dicapai tidak sehebat pertunjukan Sudir.
Idea Sudir begitu fantastik! Bayangkan! Manalah mungkin seorang lelaki dapat
memikirkan soal mekap, pakaian dan tarian yang bersesuaian untuk pentas?”
“Tapi
Sudir dapat memikirkan soal itu semua dengan baik sekali. Itulah keistimewaannya!”
Begitu puji kedua-dua Yvonne terhadap Sudirman yang baru saja selesai membuat
persembahan di Hotel Hilton baru-baru ini.
*Petikan
artikel ‘Cover Story’ majalah hiburan URTV keluaran 15 November 1984 oleh
Fatimah Hassan.
No comments:
Post a Comment