Inilah
persoalan yang sering menjadi tanda tanya mereka yang pernah bersama Sudir.
Sudir
pernah menjadi penulis tamu di Kumpulan Karangkraf. Ruangan Cetusan Rasa
Sudirman yang memaparkan pengalamannya menjadi tarikan kepada peminat-peminat. Ini
hanyalah sedikit sumbangan Sudir dalam dunia penulisan.
Begitu
banyak sumbangan besar Sudir terhadap industri hiburan tanah air. Namun kematiannya
seolah-olah melenyapkan penghargaan terhadap sumbangannya.
Mungkin
ramai yang bertanggapan ‘usah dikenang orang yang telah pergi’. Biar dan kita
yang hidup perlu meneruskan kehidupan ini seperti biasa. Namun tidakkah kejam
bagi kita melupakan orang yang begitu jujur dan baik seperti Sudir.
Sungguhpun
Sudir mungkin tidak pernah meminta untuk dikenang tetapi segala budi dan bakti
yang ditaburkan dalam bidang seni perlu mendapat pengikhtirafan sewajarnya.
Bukan
pangkat atau darjat yang diharapkan tetapi cukuplah nostalgia dan kenangan
bersama Allahyarham diabadikan untuk tontonan dan ingatan generasi akan datang.
Usaha syarikat EMI dan keluarganya sendiri mengadakan majlis tahlil untuk Sudir
setiap tahun hanyalah sangat sedikit tetapi patut dipuji.
MEMORI
INDAH TETAP DALAM KENANGAN
Pemergiannya
ditangisi oleh seluruh rakyat Malaysia. Tanggal 22 Februari 1992 bersamaan hari
Sabtu, hilanglah sebutir mutiara yang menyinari persada seni tanah air. Kehilangannya
meninggalkan seribu kenangan yang tidak mungkin dilupakan oleh rakyat Malaysia.
Usahanya
menaikkan nama negara di persada dunia dalam bidang seni adalah satu
penghargaan buat semua rakyat terutama insan seni. Kejayaannya itu membuktikan
bahawa rakyat Malaysia juga mampu menawan arena seni antarabangsa.
10
tahun pemergian, dia seolah-olah luput dari ingatan kita. Kalaupun ada yang
mengenang penghibur nombor satu ini, hanyalah sedikit sahaja bilangannya. Mungkin
mereka terdiri daripada kaum keluarga, sahabat terdekat dan mereka yang
mengenali dirinya. Cuma yang mendekatkan kita dengan Allahyarham Sudirman Haji
Arshad ialah lagu-lagu yang menyentuh jiwa yang ditinggalkan.
Di
wajahnya terukir sekuntum senyuman manis menyimpan seribu pertanyaan di hati
kita semua. Ke mana sahaja dia melangkah tidak kira di kala berduka lara atau
gembira, senyuman manis tetap terukir di bibir manisnya. Tidak ada lagi insan
seni yang boleh menandingi kehebatannya sebagai penghibur nombor satu negara.
Dilahirkan
pada 25 Mei 1954, kehadirannya dalam bidang seni mencipta sejarah tersendiri. Anak
kelahiran Temerloh, Pahang ini merupakan seorang artis yang serba boleh. Pernah
bergelar Penghibur No. 1 Asia. Allahyarham merupakan penerima anugerah kedua di
peringkat antarabangsa selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Usaha gigih yang
ditunjukkan oleh Allahyarham membuahkan hasil yang turut dikongsi bersama rakan
artis dan peminat di waktu itu.
Allahyarham
membuktikan bahawa anak tempatan juga mampu bersaing di pentas antarabangsa. Persembahannya
di The Royal Albert Hall, London memukau mata dan hati setiap penonton yang
hadir ketika itu.
MULAKAN
LANGKAH SEBAGAI ANAK SENI
Penglibatan
Allahyarham dalam bidang seni bermula selepas kemenangannya dalam pertandingan
Bintang RTM yang disertainya pada tahun 1976. Kemenangan itu terus menempatkan
dia di persada seni tanah air. Sememangnya dia bukanlah seorang artis yang
tidak mementingkan pendidikan. Kejayaannya dalam bidang seni setanding dengan
bidang pendidikan. Allahyarham adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda
Undang-Undang dari Universiti Malaya.
Selepas
kematian ibunya, dia dibesarkan oleh bapa, adik-beradik dan nenek. Arwah nenek
telah banyak membantu Allahyarham kerana arwah ibunya meninggal sewaktu
Allahyarham berumur 5 tahun. Allahyarham banyak mendapat kasih sayang daripada
keluarga.
Disebabkan
minatnya yang mendalam dalam bidang seni, Allahyarham memperhambakan dirinya
dalam bidang seni. Status peguam yang sepatutnya dimiliki dibiarkan begitu
sahaja. Malah ijazah yang dimilikinya itu merupakan satu aset penting baginya
yang menandakan bahawa dia artis yang cemerlang dalam bidang akademik.
Pelbagai
pembaharuan dan idea kreatif yang telah ditonjolkan oleh Allahyarham dalam
setiap persembahannya. Contohnya persembahan di acara penutup Sukan SEA 1989. Allahyarham
mengadakan satu persembahan yang cukup bertenaga dan menampilkan imej yang
rasanya tidak mungkin difikirkan orang lain. Dengan memakai set pakaian seperti
Bendera Malaysia, penampilannya membuktikan penghibur nombor satu negara ini
mampu bersaing.
Malah
semasa menyertai pertandingan Salem Music Award di The Royal Albert Hall,
London, Allahyarham tidak kurang hebatnya menampilkan satu persembahan yang
cukup bertenaga dan mantap. Idea dan kreativiti yang ditonjolkan dalam
persembahan tersebut membolehkan dia menjuarai pertandingan tersebut lantas
bergelar Penghibur Nombor 1 Asia.
Dalam
pertandingan yang sama Allahyarham telah menewaskan beberapa orang artis
terkemuka Asia seperti Leslie Cheung, Kuh Ledesma, Anita Sarawak dan ramai
lagi.
DIKENANG
KETIKA 31 OGOS DAN HARI RAYA
Lebih
sedekad pemergian Allahyarham, hanya mereka yang pernah bersama Allahyarham
saja yang benar-benar merasakan kehilangannya. Begitu besar namanya dalam
bidang seni namun dia umpama permata yang disaluti habuk dan tidak dijaga rapi.
Dia seolah-olah dilupakan. Jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam bidang seni
juga tidak kurang hebatnya seperti mereka yang lain yang pernah mengharumkan
nama negara.
Jika
ditanya pada kanak-kanak dan golongan remaja masa kini pada mereka mungkin nama
Allahyarham tidaklah sehebat nama-nama insan seni yang lain. Allahyarham dikenang
bila lagu-lagunya berkumandang di corong-corong radio. Terutama pada 31 Ogos
dan menjelang hari raya. Saat-saat inilah mengingatkan kita pada Allahyarham,
selebihnya pergi bersama peredaran masa.
Jika
negara terasa kehilangan dengan pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,
mengapa tidak untuk Allahyarham Sudirman? Hanya mereka yang rapat sahaja
mengenang Allahyarham. Setiap tahun nostalgia untuk mengenang kembali jasa dan
detik-detik Allahyarham sebagai Penghibur Nombor 1 Negara tidaklah sehebat yang
dibuat untuk orang lain.
Sepatutnya
sebagai rakyat Malaysia, yang tahu pengorbanan dan perjuangan Allahyarham dalam
bidang seni juga perlu diikhtiraf seperti insan seni yang lain. Namun selepas
pemergiannya bagaikan dilupakan tanpa sebarang penghargaan dan penghormatan. Suatu
ketika dahulu, ada pihak yang menyuarakan untuk membina Muzium atau Pustaka
Peringatan Sudirman. Namun sehingga kini setelah lebih sedekad pemergiannya
belum nampak usaha ke arah itu dilaksanakan.
*Petikan
sisipan akhbar BACARIA ‘Sedekad Pemergian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad’
terbitan 22 Februari 2002.
No comments:
Post a Comment