Jika
Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee diberi penghargaan oleh
kerajaan setelah 11 tahun pemergiannya melalui Arkib Negara dan Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan mengumpul dana untuk pembinaan “Pustaka
Peringatan P. Ramlee” di Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak, Kuala Lumpur bermula
pada tahun 1984 (Sasaran dana sebanyak RM1 juta) sehingga pembukaan
rasminya pada 22 Mac 1986, mengapa tidak
inisiatif yang sama dilakukan ke atas Penghibur Nasional yang bertaraf
Penghibur Nombor 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad?
P.
Ramlee dikenang berdasarkan dari jasa-jasanya sebagai seorang pemikir budaya
yang matang dan kreatif sebagaimana yang disalurkan menerusi karya-karya
seninya terutama menerusi bidang pengarahan, lakonan filem mahupun lagu-lagu
ciptaan dan nyanyiannya yang malar segar sehingga kini dan dekat di hati setiap
golongan masyarakat serta kejayaannya merangkul pelbagai anugerah di peringkat
Asia menerusi Pesta Filem Asia.
Sumbangan
Allahyarham Sudirman kepada negara juga tidak kurang hebatnya kerana beliau
merupakan seorang pejuang seni budaya bangsa yang begitu gigih memartabatkan
industri seni hiburan tanah air sehingga mengharumkan nama negara di persada
antarabangsa apabila bergelar Penghibur Nombor 1 Asia pada 19 Mac 1989 di
pentas berprestij The Royal Albert Hall, London.
Sudirman
seorang Penghibur yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan setiap
persembahannya memberi impak yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang
menyaksikannya. Sudirman memiliki pakej yang lengkap dalam persembahannya iaitu
tampil dengan teamnya yang terdiri daripada band iringan ‘The Glue’, penari
pengiring ‘The Girls’ dan penyanyi latar ‘The Giggles’. Di dalam setiap
persembahannya pasti menjanjikan sesuatu yang terbaik demi kepuasan penonton
yang hadir, di setiap sudut beliau akan pastikan kesempurnaan seperti lampu,
props malah fesyen yang dipakai oleh beliau dan penari-penarinya turut
dititikberatkan. Sudirman tidak pernah sekali pun menghampakan hadirin yang
menyaksikan persembahannya.
Sudirman
juga merupakan simbol perpaduan, kerana di dalam setiap persembahan beliau
pasti diselitkan elemen Malaysia dengan menampilkan lagu-lagu Tamil, Kantonis
dan Inggeris untuk menghiburkan semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa
dan agama, kerana itulah beliau disayangi oleh peminat-peminatnya dari semua
kaum. Malah pekerja-pekerjanya juga terdiri daripada mereka yang berbilang kaum.
Sudirman
juga seorang Penghibur yang peka terhadap situasi masyarakat di sekelilingnya ketika
itu daripada golongan bawahan sehinggalah golongan atasan. Kerana itulah beliau
menghasilkan lagu-lagu yang temanya diluar kebiasaan seperti lagu Aku
Penggangur, Baru Dapat Kerja, Pulang Dari Kilang, Punch Card, Jamilah (Untuk
Jururawat), Sepetang Di Pasar Minggu, Chow Kit Road! Chow Kit Road! dan Hidup Di
Kota. Lagu-lagu seperti ini begitu dekat dengan semua golongan masyarakat,
elemen-elemen sebeginilah mendekatkan peminat dengan Sudirman, kerana beliau
faham dengan kehendak peminat-peminatnya.
Selain
itu, Sudirman juga dikenali sebagai Penghibur yang mempunyai semangat patriotik
yang tinggi dan pernah menghasilkan album patriotik berjudul ABADI pada tahun
1982, lagu-lagu dari album ini kekal menjadi lagu tema untuk sambutan Hari Kemerdekaan
Malaysia saban tahun. Konsert-konsertnya tidak lengkap jika tidak tampil dengan
baju Bendera Malaysia serta lagu-lagunya yang berunsur patriotik seperti 31
Ogos, Tegakkan Bendera Kita, Warisan, Radio Malaysia (Sejak Dulu), Kehadiranku
dan Bapak (Satu Penghormatan kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj).
Kerana semangat patriotik yang beliau tampilkan inilah beliau pernah dinobatkan
sebagai Ikon Patriotik.
Walaupun
meraih kejayaan yang besar sebagai Penghibur, Sudirman tidak lupakan
asal-usulnya dari kampung. Disebabkan itu, Sudirman banyak menghasilkan sendiri
lagu-lagu yang bertema budaya anak desa seperti lagu Anak Gembala, Hidup
Sederhana (Basikal Tua), Aku Budak Kampung, Apa Khabar Orang Kampung dan Balik
Kampung. Pendek kata Allahyarham Sudirman merupakan seorang Seniman Rakyat.
Bakat
Sudirman bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, beliau juga seorang penari, pelakon,
pelawak, penulis lirik, penggubah lagu, wartawan sambilan, penulis, pelukis,
peguam dan usahawan yang berjaya. Sudirman pernah memiliki syarikat
penerbitannya sendiri ‘Sudirman Productions Sdn. Bhd.’ dan juga syarikat yang
menguruskan produk minuman jenamanya sendiri SUDI iaitu ‘Sudirman Usaha Dagang
Industri Sdn. Bhd.’ serta produk Merchandise atas jenama SUDIR SHOPPE.
Di
penghujung usianya Allahyarham Sudirman pernah bercita-cita untuk menubuhkan
syarikat rakamannya sendiri di Los Angeles, California, Amerika Syarikat untuk
mengetengahkan bakat-bakat artis tempatan di peringkat global dan turut
bercita-cita menubuhkan empayar perfileman bertaraf antarabangsa sepertimana
Shaw Brothers di Hong Kong. Namun begitu, hasrat dan cita-citanya terkubur
begitu sahaja kerana beliau terlebih dahulu pergi menyahut seruan Illahi
kembali ke Rahmatullah di usia yang terlalu muda.
Inilah
antara sumbangan-sumbangan Allahyarham Sudirman terhadap industri seni tanah
air. Namanya tetap dikenang saban tahun, namun begitu belum ada usaha yang
dibuat oleh pihak kerajaan untuk mengabadikan namanya secara lebih terhormat
agar generasi baru lebih mengenali pejuang seni tulen ini.
Setelah lebih dua dekad pemergiannya satu usaha perlu dibuat sebagai mengenang jasanya. Adalah wajar dibina sebuah ‘Pustaka Peringatan Sudirman’ untuk menghimpunkan khazanah-khazanah seni yang ditinggalkan oleh beliau supaya dapat menjadi sumber rujukan kepada sesiapa sahaja khususnya mereka yang terlibat secara langsung di dalam industri seni agar dapat mencontohi kesungguhan Allahyarham Sudirman dalam mencapai kejayaan yang gemilang dan kekal terpahat dalam lipatan sejarah seni tanah air.
Setelah lebih dua dekad pemergiannya satu usaha perlu dibuat sebagai mengenang jasanya. Adalah wajar dibina sebuah ‘Pustaka Peringatan Sudirman’ untuk menghimpunkan khazanah-khazanah seni yang ditinggalkan oleh beliau supaya dapat menjadi sumber rujukan kepada sesiapa sahaja khususnya mereka yang terlibat secara langsung di dalam industri seni agar dapat mencontohi kesungguhan Allahyarham Sudirman dalam mencapai kejayaan yang gemilang dan kekal terpahat dalam lipatan sejarah seni tanah air.
*Penulisan ini adalah pendapat peribadi Admin sendiri.
No comments:
Post a Comment