Malam
4 Ogos 1986 bertempat di Merlin Show Palace, Kuala Lumpur. Tepat jam 10 malam,
buat pertama kalinya Sudirman Haji Arshad muncul secara solo setelah hampir
empat tahun diiringi oleh dua orang penari jelita.
Ternyata
kejayaan setiap pertunjukan Sudir selama ini bukan terletak kepada kejelitaan,
kegenitan dan kelincahan dua orang penarinya itu. Sudir mampu menghibur setiap
inci dewan dan mencuit hati setiap lapisan penonton, baik peringkat
kanak-kanak, muda-mudi belasan tahun, orang dewasa mahupun peringkat makcik dan
pakcik.
Selama
ini, ramai peminat Sudirman yang bersungut kerana tidak berpeluang untuk
menyaksikan persembahannya secara dekat. Ini adalah kerana kontrak Sudir lebih
menumpukan pertunjukan berbentuk ‘international’ di hotel-hotel mewah. Bukan calang-calang
orang yang mampu masuk menyaksikan persembahannya!
Tetapi
di Merlin Show Palace di mana kontrak Sudir selama tiga minggu yang bermula
dari 4hb. Ogos dan kemudian telah dilanjutkan tiga minggu lagi dan berakhir
pada 13hb. September lalu, telah memberi peluang kepada peminat-peminat yang
kurang mampu untuk berhibur. Bayaran yang dikenakan begitu berpatutan dengan
ditambah keselesaan serta kesempatan berhibur dengan keluarga.
Rata-rata
penonton yang datang ke situ membawa keluarga. Tidak terkecuali muda-mudi yang
datang berhibur bersama rakan-rakan, pasangan muda-mudi yang sedang bercinta
serta pasangan suami isteri yang merasakan perlu ‘privacy’ tanpa gangguan
anak-anak!
Selama
hampir dua jam persembahan Sudir bersama Glue dan Giggles tanpa henti-henti,
tiada saat yang membosankan. Itulah keistimewaan Sudir yang segar, tanpa mahu
membiarkan seorang jua penonton bosan menyaksikan persembahannya!!!!
Oleh:
Norbaya Musa
*Petikan
sisipan majalah hiburan URTV terbitan 1HB Oktober 1986.
No comments:
Post a Comment